Tadabbur Juzuk 6 : Janganlah Buka Aib Orang Lain

 

Alhamdulillah, kita dah masuk juzuk yang ke-6. Untuk tadabbur juzuk 6, kita masih lagi di dalam lingkungan surah an-Nisa’. Kali ini saya memilih ayat yang ke 148. Bismillah,

 
لَا يُحِبُّ اللَّهُ الْجَهْرَ بِالسُّوءِ مِنَ الْقَوْلِ إِلَّا مَنْ ظُلِمَ ۚ وَكَانَ اللَّهُ سَمِيعًا عَلِيمًا
“Allah tidak suka kepada perkataan-perkataan buruk yang dikatakan dengan berterus-terang (untuk mendedahkan kejahatan orang); kecuali oleh orang yang dizalimi. Dan (ingatlah) Allah sentiasa Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”
 
(Surah an-Nisa’ 4:148)
 
Ayat ini lebih kepada menyuruh kita menjaga lisan kita. Allah menyebut,
 
لَا يُحِبُّ اللَّهُ الْجَهْرَ بِالسُّوءِ مِنَ الْقَوْلِ
“Allah tidak suka kepada perkataan-perkataan buruk yang dikatakan dengan berterus-terang (untuk mendedahkan keburukan orang)..”
 
Dalam ayat ini sangat jelas memberitahu kita bahawa Allah sangat tak suka dengan perkataan-perkataan buruk yang diucapkan dengan terus terang. Perkataan-perkataan buruk tu termasuklah membuka aib orang, mencela orang, memaki hamun, menceritakan keburukan orang lain di khalayak ramai, mengumpat, menyinggung perasaan orang lain dan seumpamanya. Sebab itu, jangan kita buka cerita tentang dosa-dosa yang dilakukan oleh orang lain, jangan mengumpat tentang mereka, jangan cari kesalahan mereka dan sebarkan dalam media sosial seperti Facebook atau sebagainya. Jangan teman, serius.
 
إِلَّا مَنْ ظُلِمَ
“..kecuali oleh orang yang dizalimi..”
 
Ibnu Abu Talhah meriwayatkan daripada Ibnu Abbas tentang makna ayat ini, bahawa Allah tidak suka apabila seseorang mendoakan kecelakaan terhadap orang lain, kecuali jika ia dianiaya olehnya. Maka saat itu, Allah memberikan rukhsah (keringanan) kepadanya untuk mendoakan kecelakaan terhadap orang yang berbuat aniaya terhadapnya. Akan tetapi, jika si teraniaya bersikap sabar dan tidak mendoakan kecelakaan terhadap orang yang berbuat aniaya kepadanya, maka ini lebih baik baginya.
 
Tentang hal orang dizalimi ni, satu lagi contoh kalau seseorang ditipu oleh sindiket atau scam, maka masa itu bolehlah dia menceritakan kesalahan orang itu kepada pihak polis, mahkamah ataupun pihak berkuasa untuk tindakan undang-undang. Sebab, kalau seseorang itu melakukan kezaliman, dan kita yang tahu tak halang dengan melaporkan kesalahan yang dilakukannya, dia mungkin akan buat kepada orang lain pula. Sebab itu, eloknya kita laporkan kepada pihak yang berwajib.
 
وَكَانَ اللَّهُ سَمِيعًا عَلِيمًا
“Dan (ingatlah) Allah sentiasa Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”
 
            Kena sentiasa ingat, Allah maha dengar dan tahu apa yang kita sebut. Dan jangan lupa, apa yang kita cakap akan sentiasa dicatat dan dipersembahkan semasa padang Mahsyar nanti. Jangan sampai galak membuka aib orang lain, hingga akhirnya Allah sendiri yang akan buka aib kita di dunia dan Akhirat. Allah…
 
******

 

Dapatkan buku Kerana Aku Sayang karya Aniq Muhaimin
di semua rangkaian kedai buku seluruh Malaysia.

 

Ada beberapa pengajaran menarik dalam ayat ini,
 
1.         Hentikanlah membuka dan menjaja aib orang lain. Cakap tentang keburukan dan aib orang memang seronok, kalau boleh nak cakap sampai 1000 tahun tanpa henti. Tetapi kalau cerita keburukan dan aib sendiri, baru cakap 1 saat pun rasa macam dah setahun bercerita. Punya malu. Sebab itu, simpanlah aib diri sendiri dan aib orang lain. 
 
Dan antara tanda seseorang itu dipenuhi dengan aib dan maksiat serta dosa noda ialah apabila dia sering membuka aib orang lain, memburukkan orang lain, mengutuk, mencaci serta memandang rendah orang lain. Dia rasa, dengan mengaibkan orang lain, aibnya sendiri akan di tutup serta orang akan memandang dirinya mulia. Itu antara kesilapan terbesar. Orang yang membuka aib orang lain tak akan dimuliakan. Manusia akan menghina dia. Dan apa yang pasti, aibnya sendiri akan terbuka. Orang yang mulia, ialah orang yang tak sempat membuka aib orang lain kerana terlalu sibuk mengurus aib sendiri dengan bertaubat, menangis, berusaha untuk berubah dan mentaati Allah dan Rasul daripada segenap sudut.
 
2.         Saya tahu saya sendiri banyak aib dan dosa peribadi yang banyaknya mungkin memenuhi langit dan bumi. Sebab itu, saya selalu muhasabah diri supaya TAK MENJAJA aib dan kelemahan orang lain. Sama ada seseorang tu ‘sengaja’ dedahkan aibnya kepada umum, apatah lagi aibnya secara tersembunyi.
 
Apabila seseorang buat dosa atau kesalahan secara terbuka, terutama di media sosial, ia bukan bermakna ‘halal’ untuk kita untuk menjaja aibnya ke seluruh dimensi media sosial. Contohnya, apa-apa isu berlaku di Whatapps, tetapi aibnya di-screenshot, kemudian dijaja hingga ke macam-macam aplikasi media sosial seperti Instagram, Twitter, Facebook dan lain-lain. Budaya ‘screenshot’ tanpa izin adalah budaya yang sedikit sebanyak ‘mengajar’ seseorang untuk menjaja aib dan kesalahan seseorang kepada orang ramai. Alasan yang selalu diberikan,
 
“Kalau kita tak sebarkan, nanti akan semakin banyak spesis macam ni..”
 
Persoalannya, apabila kita screenshot, sejauh mana kita yakin orang lain tak akan buat? Nasihat untuk diri saya sendiri, kita ini setara mana sangat dalam menghitung dosa manusia. Manusia yang berdosa dengan Allah, apabila mereka bertaubat dan minta maaf sungguh-sungguh, mereka akan terlepas bebanannya. Kita yang menjaja aib dan kesalahan orang, agak-agak macam mana? Moga Allah sudi ampunkan kelemahan dan sudi untuk menutup aib kita.
 
Wallahua’lam.
 
 
– Shukery Azizan –
 

 

p/s: Tulisan ini diambil daripada buku Pujukan Dari Tuhan karya Shukery Azizan. Boleh dapatkan buku Pujukan Dari Tuhan sama ada di kedai-kedai buku POPULAR, MPH, SMO dan lain-lain, atau boleh juga dapatkan secara online melalui isbirofficial.
 
p/s : Dapatkan E-Book tulisan Shukery Azizan yang bertajuk “Kisah Wanita Di Dalam Al-Quran” hari ini juga. Klik di sini untuk dapatkan segera : >> KLIK DI SINI <<

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Jom Hantar Kad Ucapan Ramadan

Jom Hantar
Kad Ucapan Ramadan