Tadabbur Juzuk 22 : Jujurlah Wahai Teman

 

InsyaAllah pada juzuk ke-22 ini, kita akan memilih surah al-Ahzab, surah yang ke-33. Surah ini mungkin ramai pernah dengar dan tahu. Surah ini kategori surah Madaniyyah, iaitu diturunkan pada zaman Rasulullah di Madinah selepas hijrah. Isi kandungan dalam surah al-Ahzab banyak menyentuh perkara seperti aqidah, hukum-hakam, kisah, dan sebagainya. Tetapi, ada satu lagi perkara yang menarik berkaitan al-Ahzab adalah, surah ini sempena peperangan al-Ahzab, ataupun nama lainnya perang Khandaq. Al-Ahzab bermaksud “bersekutu”, yang mana dalam peperangan ini, Rasulullah dan kaum Muslimin terpaksa menggali parit keliling Madinah, dan berhadapan dengan bala tentera kafir daripada Quraisy, Yahudi, dan sebagainya. Dan serangan pakatan Ahzab ini datang daripada dalam Madinah dan luar Madinah. Apa pun, insyaAllah kita akan terus pergi ke ayat yang ke-70, 
 
Bismillah…
 
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ وَقُولُوا قَوْلًا سَدِيدًا
“Wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah, dan katakanlah perkataan yang tepat – benar (dalam segala perkara)..”
 
(Surah Al-Ahzab 33 : 70)
 
Di dalam ayat ini, Allah memberikan arahan yang jelas kepada kita untuk,
 
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ
“Wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah..”
 
Untuk bertaqwa kepada Allah. Ini adalah perintah Allah yang bersifat terang, jelas dan straight forward tanpa kita perlu pening untuk faham. Apakah maksud taqwa sebenarnya? Ada macam-macam penjelasan taqwa menurut para ulama’. Saya kongsikan secara ringkas beberapa definisi supaya awak tak pening nak baca banyak-banyak. Antaranya, Imam Ar-Raghib Al-Asfahani sebut, “Taqwa iaitu menjaga jiwa daripada perbuatan yang membuatnya berdosa, dengan meninggalkan apa yang dilarang, dan menjadi sempurna dengan meninggalkan sebahagian yang dihalalkan.” Manakala Imam An-Nawawi pula sebut, “Mentaati perintah dan larangan Allah”.
 
Imam Al-Jurjani pula sebut, “Taqwa iaitu menjaga diri daripada seksa Allah dengan mentaatiNya. Iaitu menjaga diri daripada perbuatan yang mengakibatkan seksa, baik dengan melakukan perbuatan atau meninggalkannya.” Dan satu lagi, Imam Ibnu Taimiyyah pula sebut, “Taqwa adalah seseorang beramal ketaatan pada Allah atas cahaya (petunjuk) daripada Allah kerana mengharap rahmatNya dan ia meninggalkan maksiat kerana cahaya (petunjuk) daripada Allah kerana takut akan seksaNya. Tidaklah seseorang dikatakan mendekatkan diri pada Allah selain dengan menjalankan kewajipan yang Allah tetapkan dan menunaikan hal-hal yang sunnah..”
 
Ha, dah faham taqwa itu apa? Masih pening lagi? Mudah untuk awak faham, taqwa ni adalah apabila kita berusaha TAAT semua perintah Allah, MENJAUHI segala larangan Allah dengan SUNGGUH-SUNGGUH dan berusaha semampu mungkin untuk ikut segala sunnah Rasulullah . Dengan taqwa, sepatutnya akan membuatkan kita sentiasa rasa bahawa Allah selalu tengok apa kita buat sepanjang hidup.
 
Persoalannya, macam mana nak buktikan yang kita ni dah bertaqwa? Kalau sekadar cakap saja, semua orang boleh mengaku mereka bertaqwa. Allah dah beritahu, salah satu cara nak membuktikan taqwa adalah,
 
وَقُولُوا قَوْلًا سَدِيدًا
“..dan katakanlah perkataan yang tepat – benar (dalam segala perkara).”
 
Ya, dengan melaksanakan قَوْلًا سَدِيدًا atau terjemahan literalnya, kita mesti dan mesti bercakap benar dan tepat!
 
*****

 

Dapatkan buku Agar Kau Bahagia karya Najmi Fetih
di semua rangkaian kedai buku di seluruh Malaysia.

 

Walaupun ayat ini pendek, tetapi ada beberapa pengajaran yang saya nak kongsikan,
 
1.         Saya nak kongsi sedikit daripada bahagian kedua atas tu,
 
قُولُوا قَوْلًا سَدِيدًا
“..katakanlah perkataan yang tepat – benar..”
 
Kalau kita perasan, ayat ini Allah sebut قُولُوا قَوْلًا yang memberi maksud bercakaplah atau ucapkanlah. Bercakap ataupun berucap yang macam mana? Allah dah beritahu kita, iaitu dengan ucapan سَدِيدًا (Sadidaa). Kalimah سَدِيدًا berasal daripada kata سَد (Sadd), yang membawa maksud sesuatu yang membuang halangan. Kalimah سَد (Sadd) juga membawa maksud sebagai empangan. Empangan fungsinya menahan masalah air yang terlalu banyak, seterusnya membenarkan air itu melaluinya sama ada secara sementara ataupun berterusan seperti di empangan Kenyir, Semenyih, Sembrong, dan lain-lain.
 
Maka, kalimah سَدِيدًا pula membawa makna ‘kata-kata yang tepat dan dapat menyelesaikan masalah’. Jadi, apa yang nak disampaikan di dalam ayat ini adalah, Allah mahukan kita sentiasa bercakap dalam keadaan yang tiada siapa boleh salah tafsir, salah faham atau salah sangka. Bukan bercakap saja, bahkan menulis pun sama juga. Kena sentiasa berterus terang, lagi-lagi dalam hal yang serius. Sebab, kata-kata daripada manusia ini boleh menyelesaikan masalah tetapi, ia juga yang boleh menyebabkan masalah. Bahkan, kadang-kadang intonasi yang kita gunakan pun boleh ditafsirkan sebaliknya yang menyebabkan orang lain sakit hati. Kalau macam itu keadaannya, ia bukanlah سَدِيدًا.
 
Sebab itu, kalau nak bercakap atau menulis, janganlah keluarkan perkataan yang boleh menyebabkan kontroversi, tanda tanya sekaligus salah faham. Sebab ia akan membuka kepada pintu fitnah. Kena cakap secara crystal clear. Bayangkan empangan air, kalau ada bocor sana sini, atau tak kukuh, awak rasa apa berlaku?
 
BUSSSHH !! 
 
Habis pecah empangan itu, bahkan boleh banjir besar perkampungan yang berhampiran empangan. Sama juga seperti setiap kata-kata dan penulisan kita, sekiranya orang tersalah faham, salah tafsir, salah anggap, disebabkan oleh kecuaian kita, maka secara tidak langsung, ia boleh membuka pintu fitnah, tuduhan dan sebagainya. Ada banyak contoh yang boleh saya bawa, termasuklah hubungan suami isteri. Tetapi saya fokus yang berkaitan dengan remaja. Contoh kalau ada seseorang mesej dan ajak awak couple, janganlah bagi ayat kias sangat untuk tolak. Tak perlu kata,
 
“Saya bukan tak nak terima awak, tapi awak terlalu baik untuk saya..”
           
Ia seakan memberikan harapan pula. Bahkan, boleh membuka pintu fitnah pula. Seolah-olah menyatakan yang awak tak nak yang baik-baik, tetapi nak pasangan yang perompak, pencuri, penagih dadah, dan sebagainya. Pulak dah. Sebab itu, terus terang sajalah. Contohnya,
 
            “Saya tak nak couple, ia haram dan berdosa. Kbye.”
 
            Ha, kan mudah. Sama juga macam nak putus couple, terus terang sajalah beritahu yang ini berdosa, dan nak minta putus. Tak perlu buat karangan sedih. Nanti syaitan akan mengambil peluang untuk menggoda lagi dan lagi, yang akhirnya tak jadi pun putus. Faham kan?
 
2.  Maksud lain bagi سَدِيد juga adalah YANG BENAR. Maksudnya, bukan hanya sekadar bercakap atau menulis secara terus terang, tetapi mesti juga bercakap dan menulis perkara yang BENAR dan JUJUR. Yang ini semua orang tahu, dan ia memang common sense. Jadi, saya tak nak ulas panjang sangat. Secara mudahnya, kalau kita tak tahu nak cakap apa, TAK perlu cakap atau tulis apa-apa. Diam-diam sudah. Apatah lagi jika ada seseorang bertanyakan soalan agama pada kita, tetapi kita tak tahu nak jawab apa. Caranya adalah, jangan pandai-pandai menjawab, katakanlah tak tahu.
 
            Sebab Imam Al-Ghazali pernah sebut, “menyatakan ‘tak tahu’ juga adalah sebahagian daripada ilmu.” Ok jelas? Moga apa yang saya dan kita semua cakap dan tulis selama ini adalah termasuk dalam kategori yang Allah sebut sebagai قَوْلًا سَدِيدًا . Ameen.
 
Wallahua’lam
 
– Shukery Azizan –
 

 

p/s: Tulisan ini diambil daripada buku Pujukan Dari Tuhan karya Shukery Azizan. Boleh dapatkan buku Pujukan Dari Tuhan sama ada di kedai-kedai buku POPULAR, MPH, SMO dan lain-lain, atau boleh juga dapatkan secara online melalui isbirofficial.
 
p/s : Dapatkan E-Book tulisan Shukery Azizan yang bertajuk “Kisah Wanita Di Dalam Al-Quran” hari ini juga. Klik di sini untuk dapatkan segera : >> KLIK DI SINI <<

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Jom Hantar Kad Ucapan Ramadan

Jom Hantar
Kad Ucapan Ramadan