Tadabbur Juzuk 8 : Jangan Pandang Remeh Dengan Kebaikan Walaupun Kecil

 

Juzuk kali ini berkaitan dengan surah Al-An’am. Mungkin awak pernah mendengar nama surah ini. Ini adalah surah Makiyyah terbesar. Al-An’am membawa maksud ‘binatang ternak’. Salah satu sebab kenapa nama surah ini dinamakan binatang ternak kerana musyrikin Mekah ada kepercayaan syirik yang melibatkan binatang ternak. Ada binatang ternak yang mereka khususkan kepada penyembahan berhala mereka. Kaitan surah al-An’am dengan yang sebelumnya adalah, macam saya sebut pada juzuk ke 7, surah al-Baqarah banyak menyebut tentang golongan Yahudi, surah Ali-Imran banyak menyebut tentang golongan Kristian, manakala surah an-Nisa menyebut tentang golongan Munafik, tetapi dalam surah al-Maidah pula menggabungkan terus ketiga-tiganya, Yahudi, Kristian dan Munafiqun. Tetapi ada satu lagi golongan yang tak disebut. Iaitu golongan Musyrikin, dan ia ada disentuh dalam surah al-An’am ini. Inilah golongan sesat keempat yang Allah ceritakan di dalam al-Quran.
 
Ada ulama’ sebut, salah satu hikmah kenapa Allah ajarkan awal-awal di dalam susunan al-Quran supaya kita boleh kenal siapa golongan yang sesat, dan buat semakan untuk diri sendiri supaya tidak ada sifat-sifat mereka ini dalam diri kita. Sebab kita belajar tentang golongan ini bukanlah sebab nak kutuk mereka, tetapi supaya kita tidak jadi macam mereka.
 
Surah ini telah diturunkan sekaligus, kecuali beberapa ayat saja. Ibnu Abbas menyatakan yang surah ini diturunkan pada malam hari dan Jibrail telah diiringi oleh 70 ribu malaikat semasa menurunkannya kepada Rasulullah . Ini kerana amat penting dan mulianya surah ini. Fuh, dahsyat. Apa pun, InsyaAllah, untuk juzuk kali ini, kita akan pilih ayat yang ke 160. Bismillah,
 
مَنْ جَاءَ بِالْحَسَنَةِ فَلَهُ عَشْرُ أَمْثَالِهَا ۖ وَمَنْ جَاءَ بِالسَّيِّئَةِ فَلَا يُجْزَىٰ إِلَّا مِثْلَهَا وَهُمْ لَا يُظْلَمُونَ
“Sesiapa yang membawa amal kebaikan (pada hari kiamat), maka baginya (balasan) sepuluh kali ganda (dari kebaikan) yang sama dengannya; dan sesiapa yang membawa amal kejahatan, maka ia tidak dibalas melainkan (kejahatan) yang sama dengannya; sedang mereka tidak dianiaya (sedikitpun).”
 
(Surah al-An’am 6:160)
 
Allahu Akhbar! Daripada ayat ini secara literal pun, sepatutnya kita dah rasa takjub dan syukur sangat kerana Maha Pemurahnya Allah kepada kita. Allah beritahu kita,
 
مَنْ جَاءَ بِالْحَسَنَةِ
Sesiapa yang membawa amal kebaikan (pada hari kiamat)”
 
Ini adalah suasana semasa di padang Mahsyar nanti. Setiap daripada kita akan menghadap Allah yang Maha Agung. Kita akan menghadap Allah sambil membawa apa yang pernah kita lakukan semasa di dunia dulu. Apa yang kita nak tunjukkan? Apa bekal yang ada? Ini yang sepatutnya menjadi muhasabah kita. Dalam ayat ini, Allah menggunakan kalimah الْحَسَنَةِ (Al-Hasanah) yang membawa maksud kebaikan. Ada ulama menyebut الْحَسَنَةِ ini adalah kalimah toyyibah iaitu Laa ilaha illallah. Ada juga yang menyatakan apa-apa saja amal yang baik.
 
            Cuma apa yang saya tertarik di sini adalah, amal baik yang kita buat itu Allah pandang penting sampaikan Allah gunakan ال pada perkataan الْحَسَنَةِ itu. Maksudnya, amal baik yang secara khusus. Contohnya sama ada sedekahkan senyuman ke, tolong orang ke, solat sunat ke, atau sebagainya. Kadang-kadang, kita tak sangka perbuatan kita itu adalah pahala. Contohnya, kita tolong mudahkan urusan orang lain. Nampak macam tak ada apa, tetapi di sisi Allah ia sesuatu yang sangat besar. Sebab itu jangan pandang remeh dengan apa-apa amal kebaikan. Rasulullah bersabda yang bermaksud,
 
“Janganlah kamu menganggap remeh suatu kebaikan, meskipun sekadar bermanis muka ketika menemui saudaramu.”
(Riwayat Muslim)
 

 

Dapatkan buku Agar Kau Bahagia karya Najmi Fetih
di semua rangkaian kedai buku di seluruh Malaysia.

 

Kemudian, Allah menambah lagi,
 
فَلَهُ عَشْرُ أَمْثَالِهَا ۖ
“..maka baginya (balasan) sepuluh kali ganda (dari kebaikan) yang sama dengannya..”
 
Subhanallah! Allah menggandakan amal kebaikan dengan 10 kali ganda yang sama banyak. Analoginya seperti kita melabur emas RM100, dan kita mendapat pulangan sebanyak RM1000. Itu baru satu amal kebaikan, macam mana kalau banyak? Dan ini yang paling minima. Sebab ada ayat lain yang Allah balas sampai 700 kali ganda seperti dalam surah al-Baqarah ayat 261. Allahu Allah. Dalam hadis sahih pula menceritakan bagaimana hanya kita berniat kebaikan pun, malaikat dah mencatat 1 kebaikan. Rasulullah bersabda yang bermaksud,
 
Sesungguhnya Allah menulis kebaikan-kebaikan dan kesalahan-kesalahan kemudian menjelaskannya. Barangsiapa berniat melakukan kebaikan namun dia tidak (jadi) melakukannya, Allah tetap menuliskannya sebagai satu kebaikan sempurna di sisi-Nya. Jika ia berniat berbuat kebaikan kemudian mengerjakannya, maka Allah menulisnya di sisi-Nya sebagai sepuluh (10) kebaikan hingga tujuh ratus (700) kali lipat sampai kelipatan yang banyak. Barangsiapa berniat berbuat buruk namun dia tidak jadi melakukannya, maka Allah menulisnya di sisi-Nya sebagai satu kebaikan yang sempurna. Dan barangsiapa berniat berbuat kesalahan kemudian mengerjakannya, maka Allah menuliskannya sebagai satu kesalahan.”
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
 
Masha Allah! Maha Baiknya Allah kepada kita sampai saya tak tahu nak hurai macam mana lagi. Speechless. Kemudian Allah tambah lagi,
 
وَمَنْ جَاءَ بِالسَّيِّئَةِ فَلَا يُجْزَىٰ إِلَّا مِثْلَهَا
“..dan sesiapa yang membawa amal kejahatan, maka ia tidak dibalas melainkan (kejahatan) yang sama dengannya..”
 
Allahu Akhbar! Bertakbirlah wahai teman. Maha Baiknya Allah, kejahatan atau dosa yang kita hanya dibalas setimpal dengan apa yang dilakukan, tanpa sebarang penggandaan. Bahkan, apabila kita baca hadis yang saya berikan tadi, kalau sekadar berniat nak buat dosa, tetapi tak jadi buat, tak dikira sebagai dosa. Malah dikira sebagai pahala pula tu! Kalau dah buat baru dicatat sebagai satu dosa. Masya Allah! 
 
Luasnya rahmat dan pujukan daripada Allah untuk kita. Lebih luas daripada kemurkaan Allah. Allah sentiasa beri kita peluang lagi dan lagi untuk bertaubat, dan sentiasa beri peluang untuk kita masuk ke SyurgaNya. Allah..
 
وَهُمْ لَا يُظْلَمُونَ
“..sedang mereka tidak dianiaya (sedikitpun).”
 
Kita tidak rugi walau sedikit pun kalau buat sebarang kebaikan. Sebab semuanya akan mendapat balasan yang setimpal. Bahkan, kalau kita tinggalkan keburukan, Allah balas pula dengan kebaikan. Jangan pernah rasa rugi buat kebaikan walaupun mungkin tak dipandang di dunia. Sebab Allah tak akan menzalimi kita.
 

 

Dapatkan novel Sujud Yang Terakhir karya Aizuddin Hamid
di semua rangkaian kedai buku di seluruh Malaysia.

 

*****
 
Saya nak kongsi satu saja pengajaran terbesar yang kita boleh dapat, jangan pandang remeh dengan kebaikan, walaupun kita nampak kecil.Saya ingat lagi, masa awal perkahwinan dulu, isteri saya pernah bertanya usai makan di sebuah kedai makan,
 
“Kenapa rajin nak kemas pinggan ni? Bukan ke nanti pekerja akan kutip dan basuh je?”
 
Saya hanya senyum saja. Kemudian saya tanya dia,
 
Apa pendapat eizza kalau orang bantu kerja eizza walaupun sikit?”
 
Dia terdiam.
 
“Hmm.. Rasa gembira. Terasa ada orang hargai..”
 
Saya mengangguk. Lantas saya balas,
 
“Macam itu juga pekerja kedai makan. Abang dulu pernah jadi tukang cuci pinggan di kedai makan. Saat paling letih adalah bila kita tengok pinggan berselerak di atas meja. Dah la kuah dan tulang berterabur atas meja. Rasa nak merungut pun ada. Namun ye lah, dah kerja. Nak buat macam mana. Tetapi pernah beberapa kali masa nak kutip pinggan, tengok orang tu dia dah siap kemas pinggan. Malah, mereka lap kuah yang tumpah atas meja guna tisu. Abang rasa syukur sangat. Dan selalunya abang akan doa secara spontan dalam hati moga Allah mudahkan urusan dia sekeluarga. Kerja kedai makan ni penat. Saangat penat. Apatah lagi bila dah 7, 8 jam bekerja tengok perkara sama, kutip benda sama, basuh benda sama. Teringin juga nak orang bantu mudahkan walau sedikit. Tak susah pun, tolong kemas pinggan sikit, kutip tulang yang berterabur bawah meja atau atas meja dalam satu pinggan, dan lap kuah, sos, atau apa-apa yang tertumpah atas meja guna tisu. Buat perkara ini tak sampai 3 minit pun. Tetapi pahalanya besar sebab mudahkan tugas orang. Dalam hadis sahih, Nabi kata, sesiapa yang memudahkan urusan orang lain, Allah akan mudahkan urusannya dunia Akhirat.”
 
Isteri saya mengangguk faham. Tak pasal-pasal kena ceramah ringkas di kedai makan sebelum makanan sampai. Sejak daripada itu, setiap kali lepas makan di mana-mana kedai makan, kami sekeluarga akan usaha kemas meja untuk mudahkan pekerja. Ini baru satu contoh. Ada banyak lagi perkara yang kita boleh buat. Dan saya cerita atas ini bukan nak riya’ ya. Moga Allah pelihara niat saya. Tetapi pointnya adalah, jangan pandang remeh dengan amal kebaikan. Sebagai penutup, saya nak kongsi satu hadis sahih, Rasulullah beritahu,
 
“Sungguh aku melihat seorang lelaki menikmati kesenangan di dalam Syurga kerana sebatang pohon yang ia singkirkan dari tengah jalan yang mengganggu manusia.”
(Riwayat Muslim)
 
Fuh, masuk Syurga hanya kerana membuang sebatang pokok yang mengganggu laluan manusia. Subhanallah! Teman, teruskanlah membuat kebaikan, walaupun mungkin ramai manusia tak pandang dan tak iktiraf pun. Sebab kita tak tahu amal mana yang paling ikhlas, yang Allah terima dan yang dijadikan asbab untuk kita masuk ke SyurgaNya.
 

Wallahua’lam.

 
– Shukery Azizan –
 

 

p/s: Tulisan ini diambil daripada buku Pujukan Dari Tuhan karya Shukery Azizan. Boleh dapatkan buku Pujukan Dari Tuhan sama ada di kedai-kedai buku POPULAR, MPH, SMO dan lain-lain, atau boleh juga dapatkan secara online melalui isbirofficial.

 

p/s : Dapatkan E-Book tulisan Shukery Azizan yang bertajuk “Kisah Wanita Di Dalam Al-Quran” hari ini juga. Klik di sini untuk dapatkan segera : >> KLIK DI SINI <<

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Jom Hantar Kad Ucapan Ramadan

Jom Hantar
Kad Ucapan Ramadan