Tadabbur Juzuk 13 : Bersyukurlah Walaupun Sedikit

Juzuk untuk tadabbur kali ini kita akan pilih surah Ibrahim. Surah ini merupakan daripada kalangan surah Makiyyah, dan dinamakan Ibrahim antaranya doa Nabi Ibrahim pada ayat ke 35 hingga 41. Objektif utama surah ini ada pada ayat yang pertama iaitu tentang risalah kerasulan. Maksud risalah yang nak disampaikan dalam surah ini adalah tugas Nabi untuk mengeluarkan manusia daripada syirik ke arah nur melalui perantaraan wahyu.
 
Dalam surah ini juga, Allah beritahu beberapa peristiwa sebagai pengajaran untuk kita. Kesemuanya ada 6 kisah. 4 kisah tentang akhirat dan 2 lagi tentang dunia. Allah mengolahnya dalam bentuk cerita sebab ada orang yang boleh berubah ke arah kebaikan setelah mendengar kisah-kisah yang menyentuh hati. Dalam dunia ini, ada orang yang kita beri macam-macam hujah itu ini, tetapi mereka tetap tak mahu terima. Tetapi apabila baca kisah-kisah tertentu, hati mereka tersentuh dan boleh terima. Inilah keajaiban al-Quran. Apa pun, kali ini saya sentuh pada ayat ke-7, Allah berfirman,
 
وَإِذْ تَأَذَّنَ رَبُّكُمْ لَئِنْ شَكَرْتُمْ لَأَزِيدَنَّكُمْ ۖ وَلَئِنْ كَفَرْتُمْ إِنَّ عَذَابِي لَشَدِيدٌ
“Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: “Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras”.”
(Surah Ibrahim 14 : 7)
 
Ayat ini pada asalnya adalah seruan Nabi Musa alaihissalam kepada bani Israel supaya mereka bersyukur kerana mendapat pengetahuan agama dan segala macam nikmat-nikmat yang lain. Ini diceritakan pada ayat yang ke-6. Saya yakin, kita secara umum tahu kisah perjalanan Nabi Musa dan Bani Israel. Bagaimana Allah menyelamatkan mereka daripada Firaun yang menyeksa dan membunuh setiap anak lelaki mereka. Kemudian akhirnya mereka berjaya menyeberangi laut merah. Peristiwa itu masih segar lagi di dalam ingatan Bani Israel, sebab peristiwa itu baru saja berlaku. Kemudian di tengah-tengah padang pasir itu, Nabi Musa alaihissalam menyampaikan khutbah kepada Bani Israel bukan untuk bersabar, tetapi untuk BERSYUKUR
 
Allah merakamkan khutbah agung ini di dalam ayat ke-7 ini. Bersyukur dengan segala nikmat yang telah Allah kurniakan. Sebab apa suruh bersyukur? Formulanya, kalau tak bersyukur, macam mana nak bersabar? Sebab sabar tidak hadir sendirian, ia mesti hadir dengan perasaan syukur. Dan kalau mereka bersyukur dengan nikmat yang ada, pasti Allah akan tambah lagi nikmat-nikmat itu.
 
Apa pun, awak mesti biasa dengarkan ayat ini kan? Ini juga antara ayat pujukan yang sangat menyentuh hati. Allah beritahu,
 
لَئِنْ شَكَرْتُمْ
“..Jika kamu bersyukur..”
 
Dalam kaedah bahasa Arab, ayat di atas adalah isyarat Allah bahawa kalau kita bersyukur WALAUPUN sedikit. Ya, walaupun hanya sedikit. Allah tidak minta banyak pun kita bersyukur, tetapi SEKURANGNYA sedikit saja. Kemudian Allah sambung lagi,
 
لَأَزِيدَنَّكُمْ
“..nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu..”
 
Walaupun bersyukur hanya sedikit saja, Allah tetap akan tambah dan tambah dan tambah lagi nikmat. Formulanya senang, kita diminta untuk bersyukur walaupun sedikit, kemudian sekaligus Allah akan menambah nikmat lagi dan lagi. Tetapi di sini ada 2 persoalan. Bersyukur tentang apa? Sudah pasti, memang bersyukur pada Allah. Tetapi ayat ini Allah tidak sebut pun secara khusus bersyukur kepadaNya. Kan? Dan satu lagi persoalan, nikmat yang macam mana? 
 

 

Dapatkan buku Harapan Masih Ada karya Qamarul Nazrin
di semua rangkaian kedai buku di seluruh Malaysia.

 

Persoalan pertama, bersyukur itu termasuklah bersyukur kepada Allah, bersyukur kepada Rasulullah , kepada ibu bapa, sahabat-handai, para guru dan pensyarah, murabbi, majikan, dan semua manusia. Sebab bersyukur ini bukan hanya pada kalimah ‘Alhamdulillah’ semata-mata, tetapi ia juga pada SIKAP. Secara mudah faham, sikap untuk menghargai sesuatu. Dan ia mestilah diamalkan dalam bentuk kehidupan, cara fikir, cara bertindak, cara reaksi, perjalanan hidup seharian dan lain-lain. 
 
Mungkin ada sebahagian orang tak setuju dengan penggunaan kalimah syukur kepada selain Allah, baiklah. Selain daripada Allah, kita gunakan istilah berterima kasih. Mana-mana pun, sama ada syukur ataupun terima kasih, kita wajib untuk menghargai setiap orang yang ada di sekeliling kita. 
 
Persoalan kedua pula, nikmat yang macam mana? Inilah antara kecantikan ayat Allah. Allah sekali lagi memberitahu secara umum yang Dia akan tambah dan tambah dan tambah NIKMAT tanpa Allah beritahu nikmat apa. Allah tak letak sebarang had untuk nikmat yang Dia nak tambahkan kepada kita. Boleh jadi Allah akan tambah lagi dan lagi akan nikmat iman, ilmu, kefahaman islam, rezeki, kesabaran, keberkatan harta, kepandaian, keselamatan, gaji, masa terluang bersama keluarga, dakwah, tarbiah, istiqomah, bernikah, boleh jawab peperiksaan dengan cemerlang, boleh membaca dan menulis, boleh menulis buku, dan sebagainya. Banyak sangat nikmat yang Allah dah beri, sedang beri, akan beri dan akan ditambah lagi.
 
Itupun sekiranya kita bersyukur. Kemudian ada lagi satu lagi ayat yang sangat menarik untuk kita fahami,
 
وَلَئِنْ كَفَرْتُمْ إِنَّ عَذَابِي لَشَدِيدٌ
“..jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras..”
 
Kalau awak perasan, ada sesuatu yang menarik pada ayat ini. Iaitu Allah langsung TIDAK menggunakan kalimah “Aku” berbanding ayat sebelum ini. Seperti saya sebut dalam juzuk kedua, dalam kebanyakkan ayat, Allah kebiasaannya akan menggunakan kata ganti diri “Kami”, “Dia” atau “Allah”. Tetapi dalam keadaan menggambarkan sangat cinta atau sangat murka, barulah Allah menggunakan kata ganti diri “Aku”. Subhanallah! Pada ayat sebelum ini, Allah telah menggunakan kata ganti diri “Aku”, yang mana Allah seakan nak memujuk kita supaya bersyukurlah walaupun sedikit, nescaya Allah akan tambah nikmat lagi dan lagi. 
 
Tetapi pada bahagian ini pula, Allah tak guna kata ganti diri “Aku”. Allah tak menyebut pun seperti ni,
 
“Kalau kau tak bersyukur, Aku akan seksa kau dengan seksa keras..”
“Kalau kau tak bersyukur, Aku akan hukum kau..”
 
dan seumpamanya. Tetapi sebaliknya, Allah menyebut,
 
“..Sesungguhnya azabKu amatlah keras / pedih..”
 
Apa bezanya? Begini. Kalau dibacakan ayat di atas dengan teliti, Allah TIDAK menyebut seperti “wa la in kafartum FA inna azabi la syadid..” Tetapi sebaliknya Allah memberitahu, “Wa la in kafartum INNA azabi la syadid..” Dalam kaedah bahasa Arab, apabila ada kalimahفَ  (FA), ia membawa maksud, “.. Jika kamu kufur ingkar, SETERUSNYA azabKu amatlah keras..”
 
Tetapi apabila Allah menggunakan kalimah إِنَّ (INNA), ia seakan-akan membawa maksud, premis pertama (Jika kamu kufur ingkar) tiada kaitan langsung dengan premis kedua (sesungguhnya azabKu amat keras..). Keliru? Beginilah, dengan kata mudah, Allah seakan nak memberi isyarat,
 
“Sekiranya kamu kufur ingkar (tak bersyukur),” dot dot dot, kemudian barulah Allah menyambung premis yang baru iaitu “sesungguhnya azabKu amatlah keras”. Allah TIDAK menyambungkan pun kedua-dua premis ini. Analoginya sebegini.. Di dalam sebuah kelas, hanya ada seorang pelajar yang tidak berjaya menyiapkan kerja sekolah yang diberikan seorang guru kelas. Lalu, guru kelas itu pun menyatakan kepada pelajar tersebut,
 
“Kau tak buat kerja sekolah lagi? Haih… Samsol, kau tahu tak, cikgu dah lama tak rotan orang tau..”
Ia berbeza jika guru kelas itu cakap seperti ini,
“Kau tak buat kerja sekolah lagi? Kau memang kena rotan ni!”
 
Nampak tak perbezaan kedua-dua ayat guru kelas di atas? Fahamkan? Ayat pertama itu membawa maksud, kemungkinan guru kelas itu akan terus rotan, mungkin juga sekadar memberi amaran sahaja. Tetapi pada ayat kedua pula, sudah pasti pelajar itu akan kena rotan. Tiada kompromi dah. Nampak? Fahamkan?
 
Disebabkan itu juga, kita sepatutnya wajib bersyukur dengan penurunan ayat ini sendiri kerana Allah masih lagi memberikan kepada kita peluang untuk belajar bersyukur sebelum Dia terus memberikan sebarang hukuman ataupun azab. Peluang dan ruang yang Allah berikan untuk kita mula belajar bersyukur kepada Allah. Allah seakan-akan menangguhkan hukumannya kepada kita berbanding apa yang berlaku kepada kaum-kaum sebelum ini. Duhai teman, maka nikmat Tuhanmu yang manakah hendak kita dustakan lagi?
 
*****

 

Dapatkan buku Bagaimana Menjadi Pemimpin karya
Ir Lukman Al Hakim di semua rangkaian kedai buku di seluruh Malaysia

 

Apa pengajaran yang kita boleh dapat?
 
Imam Al-Ghazali ada menyebut dalam kitab ‘Ihya Ulumuddin’ bahawa syukur itu adalah menjunjung tinggi nikmat, seterusnya mengagungkan Allah. Syukur juga merupakan salah satu maqam (darjat) yang paling tinggi daripada sabar dan khauf (takut) kepada Allah. Cara kita nak buktikan kesyukuran pada Allah melalui 4 kaedah.
 
1)         Bersyukur dengan hati.
 
Tanda bersyukur dengan hati adalah, apabila kita bersungguh-sungguh meyakini bahawa segala nikmat, pemberian, hadiah, kegembiraan, kebaikan semuanya datang daripada Allah semata-mata, walaupun secara fizikalnya nampak seperti manusia yang berikan. Contohnya, mak kita berikan hadiah hari jadi. Kita kena yakin bahawa hadiah ini Allah yang berikan, melalui perantaraan mak kita. Allah berfirman yang bermaksud,
 
“Dan, apa sahaja nikmat yang ada pada kamu, maka dari Allahlah (datangnya) dan apabila kamu ditimpa oleh kemudaratan, maka hanya kepada-Nyalah kamu meminta pertolongan.”
(An-Nahl 16 : 53)
 
2)         Bersyukur dengan lisan.
 
Banyakkan puji-pujian kepada Allah dengan berzikir khususnya lafaz Alhamdulillah. Dan satu lagi, setiap kali orang memuji kita, kembalikanlah pujian itu kepada Allah. Contohnya, ada seseorang memuji kepandaian kita, jawablah Alhamdulillah, segala puji bagi Allah. Kita kembalikan pujian kepada Allah, sebab hanya Dialah satu-satunya yang paling layak dipuja dan dipuji sepenuhnya.
 
3)         Bersyukur dengan amal perbuatan
 
Kita kerahkanlah segala kudrat anggota badan untuk melakukan ibadah kepada Allah. Tanda syukur yang paling tinggi adalah apabila kita menunaikan solat fardhu 5 waktu dan berdakwah. Inilah tanda kesyukuran yang paling tulen dan asli. Kemudian, barulah kita gunakan anggota badan untuk mengelak daripada membuat maksiat. Menjaga pandangan mata daripada tengok perkara dosa seperti video lucah, aurat, dan sebagainya, menjaga telinga daripada mendengar lagu-lagu yang haram, menjaga mulut daripada bercakap perkara yang haram seperti mengumpat, memfitnah, menipu, mengadu domba, dan sebagainya.
 
4)         Bersyukur dengan segala nikmat pemberian.
 
Apa-apa perkara yang kita perolehi, sentiasa merajinkan diri untuk bersyukur walaupun sekecil-kecil perkara. Contohnya, dianjurkan setiap kali bangun daripada tidur untuk membaca doa yang bermaksud, “segala puji bagi Allah, yang menghidupkan aku selepas mematikan aku.” Selain daripada itu, selalu bersyukur dengan nikmat masa, ilmu, kesihatan, dan sebagainya. Dan satu lagi, rajinkan untuk memandang orang yang kurang bernasib baik daripada kita. Rasulullah bersabda yang bermaksud,
 
“Lihatlah kepada orang-orang yang lebih rendah daripada kamu, dan janganlah kamu melihat kepada orang-orang yang berada di atas kamu, kerana yang demikian itu lebih patut bagi kamu, supaya kamu tidak meremehkan nikmat Allah yang telah dianugerahkan kepada kamu.”
 
(Riwayat Bukhari dan Muslim)
 
Moga kita menjadi hamba Allah yang selalu bersyukur dan membuktikan kesyukuran. 
 
Wallahu’alam.
 
– Shukery Azizan –
 

 

p/s: Tulisan ini diambil daripada buku Pujukan Dari Tuhan karya Shukery Azizan. Boleh dapatkan buku Pujukan Dari Tuhan sama ada di kedai-kedai buku POPULAR, MPH, SMO dan lain-lain, atau boleh juga dapatkan secara online melalui isbirofficial.
 
p/s : Dapatkan E-Book tulisan Shukery Azizan yang bertajuk “Kisah Wanita Di Dalam Al-Quran” hari ini juga. Klik di sini untuk dapatkan segera : >> KLIK DI SINI <<

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Jom Hantar Kad Ucapan Ramadan

Jom Hantar
Kad Ucapan Ramadan