Tadabbur Juzuk 28 : Hadiah Istimewa Daripada Allah Untuk Kita

 

Alhamdulillah kali ini kita dah masuk juzuk ke 28, sudah menghampiri penghabisan tadabbur kita. Dalam juzuk 28, terkandung banyak surah yang bernaung di bawahnya. Antaranya adalah surah At-Taghabun. Surat At-Taghaabun adalah surah ke 64 dalam al-Quran. Surah ini termasuk dalam kategori surah Madaniyyah. Nama At-Taghaabun diambil daripada ayat ke-9 yang membawa maksud hari yang di nampakkan kesalahan-kesalahan. Syed Qutb menyebut, surah at-Taghaabun ini terbahagi kepada 4 bahagian, pertamanya adalah pandangan Islam tentang alam semesta. Keduanya pula menjelaskan kisah terdahulu sebagai pelajaran. Bahagian ketiga pula menceritakan tentang kepastian hari kebangkitan, dan bahagian keempat pula berkaitan dengan penjelasan fitnah yang sentiasa menjadi persoalan manusia, iaitu fitnah keluarga dan harta benda. 
 
Jadi insyaAllah, saya akan memilih ayat yang ke 11 daripada surah ini. Bismillah..
 
مَا أَصَابَ مِنْ مُصِيبَةٍ إِلَّا بِإِذْنِ اللَّهِ ۗ وَمَنْ يُؤْمِنْ بِاللَّهِ يَهْدِ قَلْبَهُ ۚ وَاللَّهُ بِكُلِّ شَيْءٍ عَلِيمٌ
“Tidak ada kesusahan (atau bala bencana) yang menimpa (seseorang) melainkan dengan izin Allah; dan sesiapa yang beriman kepada Allah, Allah akan memimpin hatinya (untuk menerima apa yang telah berlaku itu dengan tenang dan sabar); dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.”
 
(Surah At-Taghaabun 64 : 11)
 
Surah at-Taghaabun ini juga ibarat surah buah keimanan. Sebab apa? Salah satu sebabnya ialah kerana ayat ini. Cuba kita perhatikan apa Allah sebut dalam ayat ini,
 
مَا أَصَابَ مِنْ مُصِيبَةٍ
“Tidak ada kesusahan (atau bala bencana) yang menimpa (seseorang)..”
 
Dalam ayat ini, Allah sebut مُصِيبَةٍ yang maksudnya malapetaka, bencana, kesusahan atau apa-apa saja yang dikenakan pada kita. Seperti musibah yang kita faham dalam bahasa Melayu. Kalimah ini Allah gandingkan pula dengan kalimah أَصَابَ yang maksudnya tepat pada tempatnya. Seperti anak panah yang tepat pada sasaran.
 
Apa yang Allah nak sampaikan pada kita adalah, TIADA dan SELAMANYA TIADA musibah atau kesusahan yang berlaku kepada kita, melainkan memang ia telah ditujukan khas untuk kita. Sebab itu tak boleh sebut, “kalaulah aku tak pergi ke sana, tentu aku tidak jadi begini dan begini…”
 
Ujian dan musibah yang Allah susun memang really meant for us. Dan susunan Allah tidak pernah dan tidak akan tersasar. Maksudnya, kalau Allah berikan kesusahan ataupun musibah, memang kesusahan ataupun musibah itu untuk kita. Kalau Allah berikan kesenangan dan kegembiraan, memang ia khas untuk kita. Bukan untuk orang lain. Sebab itu jangan cemburu dan dengki dengan kesenangan dan kegembiraan orang lain.
 
Satu lagi perkara kita kena faham, مُصِيبَةٍ (musibah) ni bukan semata-mata perkara yang buruk saja seperti kita faham dalam bahasa Melayu. Boleh jadi, ia perkara yang kita sukai seperti kekayaan melimpah ruah, pangkat yang hebat, pujian melambung-lambung, ramai peminat dan pengikut, dan sebagainya. Kemudian Allah sambung lagi,
 
إِلَّا بِإِذْنِ اللَّهِ
“..melainkan dengan izin Allah..”
 
Perkataan مَا (ma) pada permulaan ayat 11 ini bermaksud penafian. Apabila digabungkan dengan frasa atas ini, ia membawa maksud penafian bahawa Allah tidak akan memberikan sesuatu kesusahan atau musibah MELAINKAN dengan izinNya . Ini semua semata-mata dengan izin Allah. Apa yang awak lalui hari ini, bukan orang lain yang buat, melainkan semua dengan izin Allah. Kalau Allah tak izinkan, ia tidak akan berlaku. Semuanya di bawah perancangan Allah. Baik atau buruk yang kita lalui, semuanya dengan izin Allah. Kemudian Allah beritahu lagi,
 
وَمَنْ يُؤْمِنْ بِاللَّهِ
“..dan sesiapa yang beriman kepada Allah..”
 
Ayat di atas selain beriman, ia juga membawa maksud, “sesiapa yang boleh BERTAHAN imannya pada Allah ketika mana ia ditimpa musibah..”
 
Dan ayat ini adalah ayat BERSYARAT. Awak nak tahu sebab apa ia bersyarat? Sebabnya, apabila seseorang diberikan musibah oleh Allah dengan musibah yang dahsyat, ketika itu dia ada kemungkinan untuk hilang iman. Itu sebabnya mula mempersoalkan Allah dan takdir, mempertikaikan Allah, tertanya kenapa Allah buat macam ni pada mereka, kalau betul Allah sayang kenapa Allah buat macam ni dan macam-macam lagi rungutan serta keluhan apabila ditimpa musibah.
 

 

Dapatkan novel Kau Bukan Adiratna karya Najmi Fetih
di semua rangkaian kedai buku di seluruh Malaysia.

 

Apabila seseorang mula berfikir macam ini, itu antara tanda imannya dah mula ada masalah atau bergoyang. Sebab itu Allah sebut dengan jelas, sesiapa yang beriman kepada Allah serta boleh bertahan imannya, ataupun masih beriman sungguh-sungguh walaupun ditimpa musibah yang disasarkan khas untuknya, Allah akan kurniakan satu HADIAH ISTIMEWA. Apakah hadiahnya? Allah kata,
 
يَهْدِ قَلْبَهُ
“..Allah akan memimpin hatinya (untuk menerima apa yang telah berlaku itu dengan tenang dan sabar)..”
 
Inilah HADIAH yang awak tidak akan jumpa mana-mana pun dalam ceruk dunia. Lebih berharga daripada dunia dan seisinya. Apabila Allah MEMBIMBING hati kita dalam menempuhi musibah dan membuat sebarang keputusan. Imam Jalaluddin Al-Mahalli dalam tafsirnya, menafsirkan يهد قلبهdengan “Allah memberikan hambaNya petunjuk dengan memberikannya kesabaran menghadapi musibah yang menimpanya”. Fuh.. Dan kesabaran yang paling jitu adalah seperti mana Rasulullah sebut,
 
“Sesungguhnya kesabaran itu ada pada pukulan pertama.”
(Riwayat Muslim)
 
Dahsyat sungguh hadiah Allah ini. Dan untuk mendapatkan hadiah ini, seperti saya sebut, ia bersyarat. Syaratnya mesti BERIMAN sungguh-sungguh saat ditimpa ujian dan musibah. Apabila tiba saat kita dapat hadiah ini, awak dah tak akan peduli apa-apa pun. Kerana ini adalah hadiah yang paling istimewa di dalam muka bumi ini. Saya tak tahu bagaimana nak gambarkan lagi betapa istimewanya hadiah ini. Dan saya sendiri tak tahu sama ada Allah bimbing atau tidak hati saya. Begitu juga dengan awak.
 
Tetapi orang yang PASTI dan PASTI, orang yang hatinya dibimbing oleh Allah adalah sesiapa yang boleh BERSABAR dan BERIMAN walaupun ditimpa musibah dahsyat yang dibuat khas untuknya. Sama ada baik atau buruk, senang atau susah. Inilah bukti keimanan yang sebenar dan hakiki kepada Allah. Dan kenapa Allah berikan musibah kepada kita? Allah dah jawab,
 
وَاللَّهُ بِكُلِّ شَيْءٍ عَلِيمٌ
“..dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.”
 
Kerana Allah Maha tahu apa yang kita tak tahu. Kita mungkin akan tahu apabila kita dah ada di Akhirat nanti. Salah satu sebab kenapa Allah berikan musibah juga telah dijawab di dalam surah Al-Ankabut ayat 2 dan 3. Allah Maha tahu siapakah yang benar-benar beriman. Dan kerana Allah dah tahu, maka Allah juga tahu siapakah yang layak diberikan hadiah istimewa tadi.
 
*****
 
Pengajaran daripada ayat ni yang boleh kita ambil,
 
1.         Sekali kita dengar pasal ayat ni, seolah macam menggerunkan. Kan? Masa saya pertama kali dengar, sejujurnya rasa agak cuak. Serius, rasa takut sungguh. Saya mula teringat kisah-kisah saya mempertikaikan Allah satu ketika dulu. Saya juga teringat yang saya banyak kali merungut apabila ditimpa musibah atau kesusahan.
 
            Teman, kita kena faham dan sedar, bahawa kita ini sebenarnya tiada apa-apa pun. Allah yang memiliki kita semua. Kita selalu cakap yang Allah lah penguasa langit dan bumi. Senang kan cakap macam ni? Tetapi apabila dah kena musibah, masa itu kita ada kemungkinan besar untuk lupa apa yang pernah kita ungkapkan. Kita dah lupa that we’re nothing !
 
Allah memiliki mata, hidung, mulut kita dan seluruh anggota kita.
Allah yang sama memiliki nyawa dan hati kita.
Allah yang sama jugalah memiliki anak, isteri dan suami kita.
Allah yang sama juga miliki harta kita.
Bahkan, Allah jugalah yang memiliki diri kita sendiri !
 
Tetapi, apabila Allah nak ambil balik milikNya, dan nak balas semula dengan bimbingan khusus serta Syurga untuk kita, kita boleh pula kata, “kenapa Allah ambil aku punya.” Kenapa boleh cakap macam ni? Sedangkan diri kita pun adalah milik Allah. Itulah sebenarnya penghambaan pada Allah. Itu lah sebenar-benar aplikasi zikir yang selalu kita sebut,
 
Rodhi tu billahi robba. (Aku redha Allah sebagai Tuhanku..)

 

Dapatkan novel Sujud Yang Terakhir karya Aizuddin Hamid
di semua rangkaian kedai buku di seluruh Malaysia.

 

 
2.         Mungkin kita pernah terfikir saat ketika datangnya sesuatu masalah ataupun musibah besar, kita rasakan kalaulah semua itu tiada, pasti hidup akan rasa tenang dan damai. Selalunya dialog yang akan disebut, “kan bagus kalau aku tak kena semua tu..” Tetapi apabila masalah atau musibah itu dah hilang, datang lagi musibah yang lain, kemudian datang lagi, bahkan lebih besar pula tu. Hingga akhirnya kita tertanya, “kenapa aku?”
 
            Teman, ketahuilah yang masalah dan musibah tak akan hilang selama-lamanya. Kalaulah musibah boleh hilang secara total, ia akan hilang lebih awal daripada Nabi Yaaqub alaihisalam. Jika kita rasa dengan menjadi orang beriman maka ujian dan musibah akan hilang, sudah pasti Maryam tak akan ditimpa musibah. Rasulullah pun tak ditimpa musibah. Apabila kita mula belajar tentang ciri-ciri orang yang dekat dengan Allah di dalam al-Quran, mereka semua ada masalah dan musibah yang dihadapi. Bahkan bersambung-sambung masalahnya serta makin besar dan terus membesar. Seolah macam tiada penghujung. Nabi Yusuf alaihissalam ditimpa ujian dan musibah sejak kecil lagi.
 
Tetapi teman.. 
 
Apa yang Allah akan berikan kepada kita sekiranya kita beriman sungguh-sungguh pada Nya saat ditimpa musibah? Jika kita beriman sungguh-sungguh saat orang lain mula menghasut kita, dan Syaitan pun turut hasut sekali, hingga timbul terjentik perasaan ‘adakah Allah benci kita?’, namun kita masih lagi beriman, bertawakal, menjaga hubungan dengan Allah sungguh-sungguh, ketahuilah, saat itu, seperti Allah sebut dalam ayat di atas,
 
يَهْدِ قَلْبَهُ
“..Allah akan memimpin hatinya (untuk menerima apa yang telah berlaku itu dengan tenang dan sabar)..”
 
Ya, Allah akan membimbing hati kita. Kenapa hati? Perasaan sedih, kecewa, marah, semua tu datang daripada mana? Hati kan? Jadi, Allah yang membimbing hati kita. Apabila Allah dah bimbing hati kita, maknanya Allah akan membimbing sekali perasaan, emosi, cara fikir, idea, tingkah laku dan perbuatan kita. Allah.. Saya boleh jamin pada awak. 
 
Kalau ada masalah kewangan, Allah akan bimbing hati untuk mencari punca kewangan. Kalau masalah kesihatan, Allah akan bimbing hati untuk mencari jalan penyembuhan.
Kalau ada masalah keluarga, Allah akan bimbing hati kita untuk mencari jalan keluar.
 
            Dan banyak lagi. Itulah harganya sekiranya kita bersabar dan kekal beriman sungguh-sungguh pada Allah. Allah akan bimbing hati kita, يَهْدِ قَلْبَهُ.
 
3.         Sebagai penutup, Saya nak kongsi satu kisah yang diceritakan Ustaz Nouman Ali Khan (NAK). Dia ada menceritakan tentang kisah cikgunya cerita padanya (ini cerita dalam cerita.) UNAK sebut tentang kisah suami isteri yang mendapat anak ketika mereka dah tua. Kisah benar ini berlaku di sekitar Pakistan. 
 
Setelah berpuluh-puluh tahun berkahwin, alhamdulillah akhirnya mereka baru mendapat seorang anak, itu pun dah di usia yang agak tua. Dan mereka pun jagalah sungguh-sungguh sampai anaknya membesar berusia sekitar 18 tahun. Jadi suatu hari, masa anaknya dalam perjalanan nak pergi ke konvokesyen, anaknya mengalami satu kemalangan dan meninggal dunia. Awak bayangkan, berpuluh-puluh tahun kahwin baru dapat seorang anak, kemudian dah membesarkannya sekitar 18 tahun, akhirnya anaknya pula meninggal dunia semasa hari konvokesyen. Anaknya itu adalah segala-galanya untuk mereka. Mereka berdua mengalami tekanan emosi yang terlalu sangat.
 
Tetapi..
 
Selepas beberapa minggu, suaminya datang pada isteri dan bercakap (lebih kurang),
 
“Allah beri kita mainan. Allah biarkan kita bermain dengan mainan tu selama 18 tahun. Dan ia milik Allah, bukan milik kita. Dia ambil balik apa yang milik Dia. Kita sepatutnya bersyukur sebab Allah beri izin kepada kita untuk gembira dan bahagia selama 18 tahun dengan pemberian Nya.”
 
Subhanallah. Inilah kisah benar, contoh MUSIBAH yang menimpa, lalu BERSABAR dengan penuh KEIMANAN. Dan bagaimana Allah membimbing hati mereka. Kita mungkin senang nak sebut pada lidah tentang sabar, sabar, sabar. Tetapi belum tentu kita boleh lakukan dengan tindakan. Moga Allah membimbing hati kita semua untuk melalui setiap musibah yang Allah berikan khusus untuk kita. Dan moga Allah beri kekuatan untuk kita terus beriman pada Allah sampai jadi mati.
 
Wallahua’lam
 
– Shukery Azizan –
 

 

p/s: Tulisan ini diambil daripada buku Pujukan Dari Tuhan karya Shukery Azizan. Boleh dapatkan buku Pujukan Dari Tuhan sama ada di kedai-kedai buku POPULAR, MPH, SMO dan lain-lain, atau boleh juga dapatkan secara online melalui isbirofficial.
 
p/s : Dapatkan E-Book tulisan Shukery Azizan yang bertajuk “Kisah Wanita Di Dalam Al-Quran” hari ini juga. Klik di sini untuk dapatkan segera : >> KLIK DI SINI <<

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Jom Hantar Kad Ucapan Ramadan

Jom Hantar
Kad Ucapan Ramadan