Tadabbur Juzuk 19 : Pilihlah Sahabat Yang Betul

Untuk juzuk yang ke-19 ini, insyaAllah kita akan pilih surah Al-Furqan. Surah yang mungkin ramai biasa pernah dengar. Surah al-Furqan ini adalah kategori surah Makiyyah. Ulama ada membahagikan surah-surah Makiyyah kepada tiga bahagian: Peringkat awal, pertengahan dan akhir. Dan Surah Furqan ini diturunkan di peringkat pertengahan Makiyyah. Maknanya, surah ini turun selepas beberapa tahun baginda berdakwah secara terbuka tetapi belum lagi berhijrah ke Madinah. 
 
Nama “al-Furqan” ini diambil berdasarkan ayat pertama surah ini. Al-Furqan maksudnya “pembeza” sebab dalam surah ini banyak dijelaskan tentang perbezaan antara yang benar dan salah, yang halal dan haram, yang haq dan batil, ketauhidan dan kemusyrikan, kenikmatan Syurga dan seksaan api Neraka, perbezaan sahabat yang baik dan jahat, perbezaan antara kehidupan dan kematian, dan perbezaan antara Allah dan makhluk-Nya. Untuk info, saidina Umar al-Khattab juga diberi gelaran al-Furqan iaitu pemisah antara haq dan batil sebab tegasnya Umar dalam hal ehwal Islam. Jadi kali ini, insyaAllah kita akan tadabbur mengenai ayat yang berkaitan SAHABAT BAIK. Allah berfirman di dalam surah al Furqan pada ayat 27-30, Bismillah..
 
وَيَوْمَ يَعَضُّ الظَّالِمُ عَلَىٰ يَدَيْهِ يَقُولُ يَا لَيْتَنِي اتَّخَذْتُ مَعَ الرَّسُولِ سَبِيلًا
“Dan (ingatlah) hari orang-orang yang zalim menggigit kedua-dua tangannya (marahkan dirinya sendiri) sambil berkata: “Alangkah baiknya kalau aku (di dunia dahulu) mengambil jalan yang benar bersama-sama Rasul?..” (27)
 
يَا وَيْلَتَىٰ لَيْتَنِي لَمْ أَتَّخِذْ فُلَانًا خَلِيلًا
“Wahai celakanya aku, alangkah baiknya kalau aku tidak mengambil si fulan itu menjadi sahabat karib!” (28)
 
لَقَدْ أَضَلَّنِي عَنِ الذِّكْرِ بَعْدَ إِذْ جَاءَنِي ۗ وَكَانَ الشَّيْطَانُ لِلْإِنْسَانِ خَذُولًا
“Sesungguhnya dia telah menyesatkan daku dari jalan peringatan (Al-Quran) setelah ia disampaikan kepadaku. Dan adalah Syaitan itu sentiasa mengecewakan manusia (yang menjadikan dia sahabat karibnya)”. (29)
 
وَقَالَ الرَّسُولُ يَا رَبِّ إِنَّ قَوْمِي اتَّخَذُوا هَٰذَا الْقُرْآنَ مَهْجُورًا
Dan berkatalah Rasul: “Wahai Tuhanku sesungguhnya kaumku telah menjadikan Al-Quran ini sesuatu (perlembagaan) yang ditinggalkan (tidak dipakai)”. (30)
 
(Surah al Furqan 25 : 27-30)
 
Keempat-empat ayat ini dengan jelas memberitahu tentang kepentingan memilih kawan atau sahabat yang baik. Kita tengok satu persatu. Dalam ayat ke-27, Allah menyebut,
 
وَيَوْمَ يَعَضُّ الظَّالِمُ عَلَىٰ يَدَيْهِ
“Dan (ingatlah) hari orang-orang yang zalim menggigit kedua-dua tangannya (marahkan dirinya sendiri)..”
 
Ayat ini dimulakan dengan menggambarkan kepada kita betapa dahsyatnya penyesalan sebahagian manusia di Akhirat nanti. Kenapa gigit tangan? Kalau di dunia, secara psikologi, kebiasaan seseorang yang mengalami keadaan tertekan, gelisah, risau, cemas, takut, dan seumpamanya, akan secara spontan menggigit kuku ataupun jarinya secara tanpa sedar (subconscious action). Contohnya seorang pelajar yang masuk dalam dewan peperiksaan. Semasa nak menjawab kertas untuk subjek yang paling susah, cuba perhatikan rakan sekeliling yang tak boleh nak menjawab. Ada sebahagiannya yang secara spontan (tak sedar) tergigit kukunya. Mungkin menyesal sebab tak study sebelum tu.
 
            Begitulah analoginya bagaimana Allah menggambarkan suasana orang yang zalim di Akhirat nanti. Mereka tahu apa yang telah mereka buat di dunia, dan nampak di depan mata ada suatu azab yang sangat pedih. Mungkin sebab itu juga, mereka bukan setakat menggigit jari, bahkan terus gigit tangan. Punyalah takut, menyesal, gelisah dan seumpamanya. Kemudian Allah sambung lagi,
 
يَقُولُ يَا لَيْتَنِي اتَّخَذْتُ مَعَ الرَّسُولِ سَبِيلًا
“..sambil berkata: “Alangkah baiknya kalau aku (di dunia dahulu) mengambil jalan yang benar bersama-sama Rasul?..” (27)
 
Dalam ayat ni pula, Allah merakamkan dialog keluhan orang yang zalim ini. Mereka menyatakan rasa menyesal sebab tidak mengikut jalan yang benar bersama Rasulullah . Kalau kita memahami ayat ini, mereka mengeluh bukan sebab tidak mempercayai Rasulullah , tetapi mereka sendiri TAK NAK AMBIL jalan Rasulullah . Dengan kata mudah, mereka sendiri menolak kebenaran Rasulullah .
 

 

Dapatkan novel Kau Bukan Adiratna karya Najmi Fetih
di semua rangkaian kedai buku di seluruh Malaysia.

 

            Daripada sudut lain pula, ada mufassirin menyebut, orang yang zalim ini percaya Rasulullah , percaya bahawa baginda ini pesuruh Allah, bahkan mungkin mengaku sayang kepada Rasulullah. TETAPI, mereka abaikan sunnah dan petunjuk Rasulullah serta tidak mengambil sirah perjalanan hidup Rasulullah sebagai cara hidup mereka. Mereka rasa menyesal. Bahkan, bukan setakat menyesal saja, mereka juga menyalahkan KAWAN-KAWAN mereka! Fuh. Allah sebut,
 
يَا وَيْلَتَىٰ لَيْتَنِي لَمْ أَتَّخِذْ فُلَانًا خَلِيلًا
“Wahai celakanya aku, alangkah baiknya kalau aku tidak mengambil si fulan itu menjadi sahabat karib!” (28)
 
Dalam ayat ni, Allah merakamkan perbualan mereka dengan menggunakan kalimah فُلَانًا (fulanan) yang membawa maksud seseorang atau kawan yang mereka langsung TAK ingat siapa. Ibaratnya seperti, mereka ini mengeluh,
 
“Arghh.. Siapa ya roomate aku yang ajak sama-sama tengok marathon movie sampai terlajak subuh?”
 
Kemudian Allah rakamkan lagi keluhan mereka,
 
لَقَدْ أَضَلَّنِي عَنِ الذِّكْرِ بَعْدَ إِذْ جَاءَنِي
“Sesungguhnya dia telah menyesatkan daku dari jalan peringatan (Al-Quran) setelah ia disampaikan kepadaku…”
 
Ayat ini menguatkan lagi kenyataan pada ayat yang ke 27 tadi. Yang mana sebenarnya sebelum ini sudah ada pun orang lain yang menasihati mereka. Tetapi mereka mungkin ego, sombong ataupun melengah-lengahkan taubatnya. Ibaratnya, dah ada orang lain yang nasihatkan mereka jangan merokok, jangan ponteng solat, jaga aurat dengan sempurna, jangan menonton drama atau cerita yang ada unsur haram, jangan bercouple, dan sebagainya. Tetapi apa mereka buat? Adakah mereka mengikut nasihat itu?
 
Mereka TAK peduli pun. Ataupun mungkin mereka bertangguh-tangguh untuk bertaubat. Bahkan, mereka lebih suka untuk memilih atau mengikuti kawan-kawan lain yang mengajak berbuat maksiat. Kemudian Allah tambah lagi,
 
وَكَانَ الشَّيْطَانُ لِلْإِنْسَانِ خَذُولًا
“…Dan adalah Syaitan itu sentiasa mengecewakan manusia (yang menjadikan dia sahabat karibnya)”. (29)
 
Dalam ayat ini, Allah menggunakan kalimah خَذُول (khodzul). Kenapa dengan kalimah ni? Saya berikan contoh mudah. Dalam konteks sesama manusia, ibaratnya seperti, kita ada seorang kawan baik yang namanya Siti Colgate. Semasa senang, Siti selalu mengajak kita melakukan maksiat seperti berjudi, pergi kelab malam, ponteng solat, mengumpat, mencarut, dan sebagainya. Tetapi masa susah, seperti tiada duit, sakit, kena tangkap polis dan sebagainya, Siti Colgate terus meninggalkan kita terkapai-kapai seorang diri. Dia langsung tak peduli pun keadaan kita. Lalu, kita pun rasa menyesal sebab berkawan baik dengannya.
 
Sama juga seperti Syaitan. Mereka akan menggoda dan terus menggoda sampai kita sesat dan akhirnya dicampakkan ke dalam Neraka. Selepas itu, Syaitan akan membiarkan kita seorang diri dibakar di situ. Allah…
 
Pada ayat seterusnya, Allah menyambung lagi, masa itu juga, saat orang-orang zalim ini sedang menyesal dan merasa sedih sebab tak ikut sunnah Rasulullah , memilih kawan yang jahat serta tak nak dengar nasihat, sebahagian mufassirin menyebut, tiba-tiba mereka ternampak akan Rasulullah datang kepada mereka.
 
Fuh.. Mereka punyalah rasa gembira sebab menyangkakan bahawa Rasulullah datang untuk memberi syafaat, doa untuk mereka, atau sebagainya. Namun pula yang sebaliknya berlaku. Rasulullah mengadu kepada Allah,
 
وَقَالَ الرَّسُولُ يَا رَبِّ إِنَّ قَوْمِي اتَّخَذُوا هَٰذَا الْقُرْآنَ مَهْجُورًا
“Dan berkatalah Rasul: “Wahai Tuhanku sesungguhnya kaumku telah menjadikan Al-Quran ini sesuatu (perlembagaan) yang ditinggalkan (tidak dipakai)”. (30)
 
Kalimah مَهجورdatang daripada kalimah ه ج ر yang biasa digunakan untuk ‘hijrah’. Biasanya, apabila seseorang itu berhijrah, dia akan pergi meninggalkan tempat asalnya. Begitulah juga dengan orang yang meninggalkan al-Quran, mereka telah tinggalkan dan langsung tak gunakan lagi al-Quran sebagai perlembagaan hidupnya. Mereka langsung buat tak kisah dengan apa yang terkandung di dalam al-Quran ini. Dalam bahasa mudah, mereka ini hanyalah Islam pada keturunan, kad pengenalan ataupun nama, tetapi LANGSUNG tak amalkan Islam dalam kehidupan. Naudzubillah..
 
*****

 

Dapatkan buku Sujud Yang Terakhir karya Aizuddin Hamid
di semua rangkaian kedai buku di seluruh Malaysia.

 

Kalau satu ayat pun sudah ada banyak pengajaran, apatah lagi 4 ayat sekaligus. Disebabkan ini hanyalah buku tadabbur, jadi saya hanya nak sebutkan beberapa poin penting yang sangat signifikan dalam hidup kita,
 
1.         Kena ingat sungguh-sungguh bahawa, sangat tak cukup hanya sekadar melaungkan rasa cinta pada Rasulullah , rindu pada baginda, teringin nak jumpa baginda dan sebagainya, tetapi dalam masa yang, kita selalu mengabaikan perintah dan larangan Rasulullah ! Ataupun mungkin, kita hanya ambil Islam separuh, tetapi meninggalkan separuh. Contohnya, bernikah nak ikut cara Nabi, tetapi bercinta ikut cara orang kafir. Beribadah nak ikut cara Nabi, tetapi berhibur nak ikut cara orang kafir. Kenapa jadi macam ini?
 
            Kita kata rindukan Rasulullah , tetapi sirah Rasulullah pun tak habis baca. Mengharapkan sekadar membaca apa yang tertulis di dalam buku teks pendidikan Islam ataupun buku teks sejarah tingkatan 4 pada bab yang ke-4. Itupun baca sekadar nak menjawab peperiksaan saja. Bila kali terakhir kita membaca sirah Rasulullah dengan terperinci? Tak kisah siapa pun penulisnya, ataupun terbitan mana-mana pun. Kita membaca sirah daripada sebelum kelahiran Rasulullah , sehinggalah baginda wafat. 
 
Bila? Macam mana kita boleh mengaku rindu sedangkan sirah Nabi pun malas nak baca ataupun dengar? Padahal itulah bahan bacaan paling penting setelah al-Quran dan hadis. Jadi, apakah bukti kerinduan kita kepada Rasulullah ?
 
            Kalau benar kita teringin nak berjumpa Rasulullah , berapa banyak kali kita telah berselawat ke atas Rasulullah ? Sedangkan Allah dan malaikatnya sendiri sentiasa berselawat ke atas Rasulullah , kenapa kita pula susah sangat nak berselawat ke atas baginda? Adakah cukup sekadar mengucapkan selawat dan salam kepada baginda hanya apa yang ada di dalam solat? Muhasabah untuk diri saya juga.
 
2.         Teman, jika datang kepada kita seorang yang menasihatkan ataupun mengajak kepada kebaikan, usahalah untuk mengikuti dia!
 
“Ikutilah orang yang tiada minta balasan kepadamu; dan mereka adalah orang-orang yang mendapat petunjuk.”
(Yasin 36 : 21)
 
Orang yang selalu mengajak kita kepada kebaikan seperti usrah, program tarbiah, solat berjemaah, kelas agama, dan sebagainya, mereka tak mengharapkan apa-apa ganjaran material ataupun duit daripada kita. Mereka hanya nakkan pahala sahaja. Contohnya golongan tabligh yang ketuk pintu ke pintu, mengajak orang pergi solat berjemaah. Adakah mereka nak duit kita? Adakah mereka nak tinggal di dalam rumah kita? Adakah mereka nak jadi rekrut jadi ahli MLM?
 
            Tidak!
 
            Mereka cuma nak ajak kita untuk jadi soleh (baik), dan musleh (menyampaikan kebaikan). Tetapi sayangnya, apabila nampak golongan tabligh datang ke rumah, ada sebahagian daripada kita yang sanggup mengunci pintu, buat-buat tak ada orang dalam bilik/rumah. Kemudian rasa lega apabila orang tabligh (karkun) sudah pergi. Sedangkan kita tahu yang mereka cuma nak ajak pergi solat berjemaah di surau, dan nak memberikan sedikit perkongsian yang tak sampai 5 hingga 10 minit pun. Kenapa?
 
            Tetapi apabila ada seseorang mengajak kita menonton wayang, pergi jalan-jalan buang masa, menonton drama, main games, ajak berdating, dan sebagainya, tanpa berlengah dan fikir panjang, terus ikut sama. Kenapa? Kita tak takut menyesal ke?
 

 

Dapatkan buku Kerana Aku Sayang karya Aniq Muhaimin
di semua rangkaian kedai buku di seluruh Malaysia.

 

3.         Kita kena pandai-pandailah pilih sahabat yang baik.Bukan semua orang kita boleh bersahabat dengannya. Kalau setakat kenalan biasa-biasa tak ada masalah, tetapi untuk dijadikan sahabat, memang kena buat  tapisan. 
 
‘Sahabat’ yang saya maksudkan adalah seseorang yang kita rapat dengannya secara mendalam, selalu ada bersama ketika senang dan susah, banyak kali mendengar pendapat dan pandangannya, serta kita boleh terpengaruh dengannya. Memilih sahabat memang perkara yang sangat ditekankan oleh Rasulullah sendiri. Rasulullah bersabda yang bermaksud,
 
Seseorang itu bergantung pada agama sahabatnya. Oleh itu, salah satu di antara kalian hendaknya memperhatikan siapa yang dia jadikan sahabat.”
(Riwayat Abu Daud dan Tirmidzi)
 
Syeikh ‘Abdul Muhsin Al-Qasim kata, “Sifat manusia adalah cepat terpengaruh dengan teman pergaulannya. Manusia saja boleh terpengaruh bahkan dengan seekor binatang ternak.” Dan satu lagi, jangan jadikan orang yang jahat, teruk, ahli maksiat sebagai sahabat. Jangan. Habis, takkan nak biarkan mereka berterusan buat maksiat, dan kita nak masuk Syurga seorang diri?
 
            Teman, ingat ayat di bawah ini betul-betul. Kalau nak tampal di dinding pun tak apa.
 
“Orang yang BAIK adalah untuk kita BERSAHABAT dengannya. Orang yang JAHAT pula adalah untuk kita DAKWAH kepadanya. Apabila bersahabat, kita akan mudah TERPENGARUH. Tetapi apabila berdakwah, kita akan mudah MEMPENGARUH.”
 
4.         Dan yang terakhir, berusahalah untuk amalkan apa yang ada di dalam al-Quran dengan sebaik mungkin. Bayangkan, Rasulullah sendiri akan mengadu kepada Allah yang umat baginda telah meninggalkan al-Quran. Jangan sampai kita termasuk dalam golongan yang disebutkan Rasulullah sebagai kaum yang menjadikan al-Quran sebagai sesuatu yang ditinggalkan. Alangkah malunya, dan alangkah takutnya kalau itu terjadi kepada kita. Mana nak letak muka?
 
Ayat ini sangat mengajar kita betapa pentingnya al-Quran untuk kita baca, hayati (tadabbur), fahami dan amalkan di dalam kehidupan. Tetapi, macam mana kita nak faham dan amalkan kalau kita sendiri tak mempelajari tafsir al-Quran? Sebabnya, kalau setakat membaca dan menghafal sahaja tak cukup. Ramai daripada kalangan masyarakat kita menumpukan untuk membaca dan menghafal al-Quran. Itu bagus alhamdulillah, tetapi tak cukup. Kerana kita baca dan hafal sebenarnya untuk lebih memahami dan selalu ulang-ulang peringatan dalam al-Quran itu. 
 
Tapi kalau kita sendiri tak memahami apa yang dibaca dan yang diajarkan di dalam al-Quran, adakah tercapai maksud al-Quran itu? Dan kerana tak faham, maka banyak perintah Allah yang kita langgar tanpa sedar. Sebab ramai orang tak tahu pun apa yang mereka baca. Contoh kalau pelajar sekolah, hanya baca surah Yaasin atau al-Kahfi pada hari Jumaat, tetapi tak faham apa pun pengajaran dan tujuan kedua-dua surah itu. Dapat pahala insyaAllah, faham belum tentu lagi. Sayangnya, ramai yang membaca sahaja tanpa usaha untuk memahami. Dan tak ada usaha untuk belajar tafsir al-Quran. Ini juga boleh termasuk dalam maksud ‘meninggalkan’, ‘tidak acuh’. Cuma dibaca kosong sahaja, semasa majlis tertentu sahaja, tetapi tak faham apa-apa pun. Rasulullah sebut,
 
“Sesiapa yang Allah hendakkan kebaikan kepadanya, Allah akan berikan kepadanya kefahaman ad-deen (agama).”
(Riwayat al-Bukhari)
 
Kita janganlah jadi begitu. Sebab itu saya ambil alternatif untuk menulis buku Pujukan Dari Tuhan ini, dengan tujuan utama supaya kita ada rasa terdetik untuk mempelajari tafsir al-Quran. Saya menulis tadabbur al-Quran ini juga untuk menimbulkan sedikit rasa cinta untuk memahaminya dan berusaha untuk belajar al-Quran. Dan bukan setakat itu saja, malah berusaha untuk berdakwah kepada orang lain supaya masyarakat Malaysia pun teringin untuk tahu apakah yang hendak disampaikan oleh al-Quran. Kalau tak tahu nak cakap apa pun, sekurang-kurangnya boleh bacakan buku ini dalam program tazkirah, usrah ataupun sedekah kepada orang ramai, supaya mereka boleh dapat apa yang saya tulis.
 
Jadi, daripada ayat ini menunjukkan betapa pentingnya al-Quran kepada kita. Sebab itu juga, kita kenalah belajar tafsir al-Quran supaya memahami kehendak al-Quran ini dan kemudian boleh menyebarkannya kepada masyarakat. Belajarlah tafsir al-Quran walaupun bukan untuk menjadi ustaz ustazah pun, tetapi cukup untuk kita semakin cinta pada Allah dan Rasulullah . Jadi, salah satu cara praktikal yang saya boleh cadangkan adalah, jom kita buat kempen untuk membiasakan bercerita tentang al-Quran ini di mana-mana saja. Supaya kita, ahli keluarga dan kawan-kawan serta masyarakat tidak termasuk di dalam golongan yang dikatakan oleh Rasulullah di dalam ayat ini. Ameen.
 
Wallahua’lam
 
– Shukery Azizan –
 

 

p/s: Tulisan ini diambil daripada buku Pujukan Dari Tuhan karya Shukery Azizan. Boleh dapatkan buku Pujukan Dari Tuhan sama ada di kedai-kedai buku POPULAR, MPH, SMO dan lain-lain, atau boleh juga dapatkan secara online melalui isbirofficial.
 
p/s : Dapatkan E-Book tulisan Shukery Azizan yang bertajuk “Kisah Wanita Di Dalam Al-Quran” hari ini juga. Klik di sini untuk dapatkan segera : >> KLIK DI SINI <<

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Jom Hantar Kad Ucapan Ramadan

Jom Hantar
Kad Ucapan Ramadan