Tadabbur Juzuk 9 : Jangan Pandang Hina Kepada Pendosa

Juzuk kali ini, kita pergi sambung terus ke dalam surah Al-A’raf. Kalimah al-A’raf membawa maksud “Tempat Tertinggi”. Surah ini adalah surah yang ke 7, dan merupakan salah satu daripada tujuh surat dalam al-Quran yang memilik banyak ayat atau disebut juga surah Assab’u Ththiwaal (tujuh surat terpanjang). Surah al-A’raf termasuk dalam kategori Makiyyah, dan diturunkan sebelum Rasulullah berhijrah ke Madinah. Diberikan nama al-A’raf berdasarkan pada ayat yang ke 46 surah ini. Al-A’raf adalah satu tempat tertinggi yang berada di antara Syurga dan Neraka. Ia adalah tempat orang-orang yang belum berjaya masuk ke Syurga dan mereka dapat menyaksikan kehidupan orang-orang mukmin di dalam Syurga dengan segala kenikmatan yang dianugerahkan kepada mereka. Mereka dapat melihat orang-orang kafir di dalam Neraka dengan segala penyeksaan yang diberikan kepada mereka.
 
Ibnu Jarir al-Tabari meriwayatkan daripada Huzaifah bahawasanya dia pernah ditanya siapakah penduduk A’raf? Maka Huzaifah menjawab, “Mereka adalah satu golongan yang mana amalan kebaikan mereka sama timbangannya dengan amalan kejahatan. Mereka tak dimasukkan ke dalam Neraka kerana amalan kebaikan mereka dan tidak pula dimasukkan ke Syurga kerana amalan kejahatan mereka. Maka mereka menetap di suatu tempat yang dinamakan al-A‘raf sehinggalah Allah mendatangkan ketentuanNya.” 
 
Fuh.. 
 
Apa pun, insyaAllah, kita terus sambung tadabbur pada ayat yang ke 164. Dah sedia? Bismillah..
 
 وَإِذْ قَالَتْ أُمَّةٌ مِنْهُمْ لِمَ تَعِظُونَ قَوْمًا ۙ اللَّهُ مُهْلِكُهُمْ أَوْ مُعَذِّبُهُمْ عَذَابًا شَدِيدًا ۖ قَالُوا مَعْذِرَةً إِلَىٰ رَبِّكُمْ وَلَعَلَّهُمْ يَتَّقُونَ
 
“Dan (ingatlah) ketika segolongan di antara mereka berkata: ‘Mengapa kamu menasihati kaum yang Allah akan membinasakan mereka atau mengazabkan mereka dengan azab yang amat berat?’ Orang-orang (yang memberi nasihat) itu menjawab: “(Nasihat itu ialah) untuk melepaskan diri dari bersalah kepada Tuhan kamu, dan supaya mereka bertaqwa”
 
(Surah Al-A’raf 7 : 164)
 
Ayat ini sebenarnya berkaitan kisah kaum bani Israel yang melanggar larangan pada hari Sabtu, iaitu larangan memancing. Mungkin ada yang pernah dengar, dan mungkin ada yang baru pertama kali. Tak apa, saya cerita secara ringkas. Baca elok-elok. Dalam surah al-A’raf ayat yang ke 163, Allah ada menceritakan tentang kaum bani Israel yang mana Allah uji keimanan mereka dengan larangan memancing pada hari Sabtu. Allah berfirman yang bermaksud,
 
“Dan bertanyalah kepada mereka (wahai Muhammad) mengenai (penduduk) bandar yang letaknya di tepi laut, semasa mereka melanggar larangan pada hari Sabtu, ketika datang kepada mereka pada hari Sabtu itu ikan-ikan (yang menjadi cubaan kepada) mereka, yang kelihatan timbul di muka air; sedang pada hari-hari lain, ikan-ikan itu tidak pula datang kepada mereka. Demikianlah kami menguji mereka (dengan cubaan itu) kerana mereka sentiasa berlaku fasik.”
(Surah Al-A’raf 7 : 163)
 
Ya, hanya hari Sabtu SAHAJA. Jadi, hanya pada hari Sabtu ini mereka kena buat aktiviti lain seperti beribadah dan sebagainya. Memancing adalah DIHARAMKAN sama sekali. Namun pada ayat yang sama, Allah juga menceritakan bagaimana Dia mentakdirkan pada hari Sabtu itu jugalah banyak ikan timbul sebagai ujian. Sedangkan pada hari lain, ikan susah nak timbul. 
 

 

Dapatkan buku Bagaimana Menjadi Pemimpin karya
Ir Lukman Al Hakim di semua rangkaian kedai buku seluruh Malaysia.

 

Kalau yang bukan kaki memancing, mungkin awak akan rasa ia macam tak ada masalah. Its not a big deal. Tetapi kalau awak ada kenalan yang kaki pancing, kalau setakat lautan dalam pun sanggup mereka redah untuk pancing, apatah lagi kolam yang mudah. Ditambah pula dengan ikan melompat-lompat di permukaan air. Kalau iman tak berapa kuat, memang akan goyang juga. Disebabkan tidak boleh tahan nafsu memancing, akhirnya sebahagian daripada kaum bani Israel sanggup melanggar perintah Allah, seraya memancing dengan gembira.
 
Pada ayat yang 164, Allah menceritakan lagi tentang wujudnya dalam masa yang sama, daripada kalangan kaum Bani Israel ini yang kumpulan yang tidak memancing kerana nak taat perintah Allah. Dan golongan yang menjaga perintah Allah ini, pun sebenarnya terbahagi kepada dua golongan. Iaitu golongan pendakwah, dan golongan yang duduk berpangku tangan. Senang cerita, daripada peristiwa ini secara keseluruhan, wujud 3 golongan secara umum, iaitu ;
 
A) Golongan yang memancing (langgar perintah Allah).
B) Golongan yang tidak memancing, tetapi berdakwah kepada golongan A.
C) Golongan yang tidak memancing juga, tetapi tak mahu berdakwah, malah mempertikaikan dakwah golongan B. Ini jenis golongan yang apologetik, takut buat dakwah, pentingkan diri sendiri, nak masuk Syurga seorang diri dan sebagainya.
 
Faham? Jadi, pada ayat 164 ini, Allah hanya menekankan tentang kisah golongan B dan C ini. Mereka ini pada asalnya patuh perintah Allah. Cuma masalahnya, satu kumpulan nak buat dakwah, satu lagi tak mahu. Mungkin alasan golongan C,
 
“Lantaklah mereka. Memang ahli Neraka berdaftar, nak buat macam mana. Kau tu tak payah nak sibuk jaga tepi kain orang lain pula. Macam kau tu bagus sangat je.”
 
Allah ceritakan pada kita bagaimana golongan yang C beritahu,
 
وَإِذْ قَالَتْ أُمَّةٌ مِنْهُمْ لِمَ تَعِظُونَ قَوْمًا ۙ اللَّهُ مُهْلِكُهُمْ أَوْ مُعَذِّبُهُمْ عَذَابًا شَدِيدًا
“Dan (ingatlah) ketika segolongan di antara mereka berkata: ‘Mengapa kamu menasihati kaum yang Allah akan membinasakan mereka atau mengazabkan mereka dengan azab yang amat berat?’
 
Nampak bagaimana golongan C mempertikaikan dakwah golongan B. Dahlah tak nak buat dakwah, kemudian sibuk mempersoalkan usaha golongan B. Kemudian Allah rakamkan pula bagaimana golongan B balas balik pada golongan C,
 
قَالُوا مَعْذِرَةً إِلَىٰ رَبِّكُمْ وَلَعَلَّهُمْ يَتَّقُونَ
“..Orang-orang (yang memberi nasihat) itu menjawab: “(Nasihat itu ialah) untuk melepaskan diri dari bersalah kepada Tuhan kamu, dan supaya mereka bertaqwa.”
 
******

 

Dapatkan buku Surat Untuk Orang Putus Asa karya Ustaz Adnin Roslan
di semua kedai rangkaian kedai buku seluruh Malaysia.

 

Pengajaran besar daripada ayat ini adalah,
 
1.         Ayat ini pengajarannya sangat universal. Dan ia khusus untuk golongan yang baik / soleh, tetapi tak nak buat dakwah, tak suka bagi nasihat pada orang lain, dan pentingkan diri sendiri. Mesti awak pernah jumpa golongan sebegini. Kan? Contohnya, mereka tak mahu nasihat kawan baik sendiri atas alasan,
 
“Nanti kalau dia terasa hati macam mana?”
“Ala, jangan jaga tepi kain orang lainlah. Kubur masing-masing. Pandailah dia jawab depan Allah nanti.”
 
Golongan ini bukannya orang yang suka buat dosa dan maksiat. Mereka baik, soleh, jaga solat, rajin pergi surau, tutup aurat dengan baik, selalu baca al-Quran, tetapi.. Tetapi hanya nak masuk Syurga seorang diri saja. Kalau untuk dunia, hanya nak berjaya seorang diri saja. Dahlah tak nak buat dakwah, lepas itu suka hukum orang lain. Kalau di sekolah, biasanya orang macam ni dia hanya nak berjaya seorang diri, tak nak orang lain pandai. Kalau pandai sesuatu subjek, dia tak suka ajar orang lain.
 
Allah dah ceritakan perkara ini dalam al-Quran lebih dari 1400 tahun selepas ayat ini diturunkan. Kita pun dah baca al-Quran, dan juga ayat ini secara berulang-ulang kali. Kenapa susah untuk kita ambil pengajaran?
 
Kenapa kita tak nak dakwah?
Kenapa kita tak nak selamatkan ahli keluarga, saudara mara, kawan-kawan yang terperangkap dalam dosa dan maksiat?
Kenapa kita terlalu pentingkan diri sendiri?
Adakah kita hanya masuk Syurga seorang diri?
 
2.         Ayat ini juga adalah teguran kepada golongan yang suka memandang hina, mencerca, menghina, mengutuk kepada pendosa. Kita jangan lupa, kita akan diuji dengan apa yang kita perkatakan. Kalau hari ini kita rajin solat, baca al-Quran, tutup aurat sempurna, tidak berzina, dan sebagainya, apa jaminan akan datang nanti kita tak akan lakukan juga? Moga Allah pelihara kita semua.
 
3.         Dan yang terakhir, kalau baca ayat yang seterusnya, iaitu ayat ke 165, awak akan nampak satu perkara. Allah berfirman yang bermaksud,
 
“Maka ketika mereka melupakan (tidak menghiraukan) apa yang telah diperingatkan kepada mereka, Kami selamatkan orang-orang yang melarang daripada perbuatan jahat itu, dan Kami timpakan orang-orang yang zalim dengan azab seksa yang amat berat, disebabkan mereka berlaku fasik (derhaka).”
(Surah al-A’raf 7 : 165)
 
Dalam ayat ini, Allah beritahu pengakhiran golongan A ditimpa dengan azab seksa yang amat berat. Manakala pengakhiran golongan B pula diselamatkan daripada azab seksa yang dahsyat itu. Persoalan yang timbul adalah, macam mana golongan C? Misteri kan? Dalam tafsir Ibnu Kathir dinyatakan, 
 
Allah menegaskan bahawa orang-orang yang bernahi munkar (mencegah kemungkaran)itu selamat, sedangkan orang-orang yang berbuat dosa itu binasa. Adapun orang-orang yang bersikap diam, Allah tidak menyebutkan nasib mereka, kerana setiap pembalasan itu disesuaikan dengan jenis pelanggarannya; sedangkan mereka yang bersikap diam bukanlah orang-orang yang berhak mendapat pujian, bukan pula orang-orang yang melakukan pelanggaran berat yang berhak untuk dicela. Tetapi sekalipun demikian, para imam berbeza pendapat mengenai nasib mereka. Apakah mereka termasuk orang-orang yang dibinasakan ataukah termasuk orang-orang yang diselamatkan, ada dua pendapat mengenainya.”
 
Kalau baca tafsir ini, mufassirin khilaf pendapat sama ada mereka ini selamat ataupun tidak. Sehingga Ibnu ‘Abbas sendiri tertanya-tanya apa nasib golongan C ini. Tetapi poin saya nak sampaikan adalah, golongan yang tak nak buat dakwah, pentingkan diri sendiri, dan apologetik, mereka ini langsung TAK PENTING pun, sehingga tahap tak diberitahu pun apa nasib mereka.
 
Kalau disemak sejarah Islam, tokoh-tokoh yang kita kenal sama ada Sultan Salahuddin al-Ayyubi, Sultan Muhammad al-Fateh, Tok Janggut, Dato’ Maharaja Lela, dan sebagainya, mereka semua adalah golongan yang berusaha buat dakwah, tegakkan agama Allah, menolak kemungkaran, dan sebagainya. Mereka tak duduk diam, tengok manusia makin jauh daripada agama. Mereka buat sesuatu. Dan akhirnya nama mereka diangkat dalam sejarah dunia. Tetapi, macam mana pula manusia macam golongan C semasa zaman mereka? Ada orang kenal? Dan persoalan lebih penting, untuk diri kita sendiri, adakah Allah akan pandang kita di Akhirat nanti kalau kita tak buat dakwah?
 
Allahu Akhbar.. Ampunkan kami ya Allah kerana tinggalkan kerja dakwah yang wajib untuk setiap orang Islam.
 

Wallahua’lam.

– Shukery Azizan –
 

 

p/s: Tulisan ini diambil daripada buku Pujukan Dari Tuhan karya Shukery Azizan. Boleh dapatkan buku Pujukan Dari Tuhan sama ada di kedai-kedai buku POPULAR, MPH, SMO dan lain-lain, atau boleh juga dapatkan secara online melalui isbirofficial.
 
p/s : Dapatkan E-Book tulisan Shukery Azizan yang bertajuk “Kisah Wanita Di Dalam Al-Quran” hari ini juga. Klik di sini untuk dapatkan segera : >> KLIK DI SINI <<

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Jom Hantar Kad Ucapan Ramadan

Jom Hantar
Kad Ucapan Ramadan