Tadabbur Juzuk 16 : Yang Penting Usaha Dulu


Dalam juzuk yang ke-16 kali ini, insyaAllah saya akan bawakan kepada awak salah satu ayat kegemaran saya. Ayat ini banyak kali saya tadabbur dan muhasabah untuk diri sendiri, khususnya ketika mana sedang menghadapi sebarang kesusahan. Ayat ini terkandung di dalam satu surah yang mungkin ramai Muslim di Malaysia tahu, iaitu surah Maryam. Surah Maryam ini adalah surah ke-19, selepas surah al-Kahf, dan ia termasuk dalam kategori Makiyyah. Surah ini pernah dijadikan sebagai hujah Jaafar bin Abu Talib apabila berhadapan dengan Raja Najasyi semasa hijrah kali pertama umat islam ke Habsyah (Ethiopia). 
 
            Ada banyak perkara istimewa di dalam surah Maryam ini. Antaranya termasuklah 3 kisah agung dan sangat menyentuh hati saya ada dalam surah ini. Yang pertama, kisah ajaib tentang Nabi Zakariya alaihissalam mendapat anak, iaitu Nabi Yahya alaihissalam. Nabi Zakariya alaihissalam berdoa selama bertahun-tahun untuk mendapat anak, dan pada akhirnya barulah Allah memakbulkan doanya. Dan ajaibnya, baginda mendapat anak pada usia yang sangat tua. Ada ulama seperti Qatadah menyatakan  masa itu umur baginda mencecah 70 tahun, manakala riwayat daripada Muqatil pula sebut 95 tahun. Mana-mana pun, ia satu umur yang sangat tua. Dan lagi ajaib adalah, isterinya pula dah mandul. Tetapi Maha Agung Allah, itu semua mudah saja bagiNya.
 
            Yang kedua pula, kisah ajaib berkenaan dengan kelahiran Nabi Isa alaihissalam melalui rahim Maryam binti Imran. Baginda lahir tanpa seorang ayah, dan boleh berkata-kata sejak daripada bayi. Dan baginda sendiri mengakui bahawa baginda bukannya anak Tuhan. Sekaligus menafikan dakwaan orang Kristian dan menyucikan Maryam daripada tuduhan orang Yahudi. 
 
Dan kisah ketiga adalah kisah Nabi Ibrahim alaihissalam dengan ayahnya. Walaupun baginda tak menyembah berhala seperti ayahnya, tetapi baginda tetap menasihati dengan lembut kepada ayahnya, bahkan berdoa kebaikan dan pengampunan untuk ayahnya. Kalau awak perasan, ketiga-tiga kisah ini semua saling berkaitan dengan kekeluargaan, khususnya penjagaan dan pendidikan agama untuk anak-anak. Sebab hari ini, di dalam dunia Islam, berlaku satu krisis pendidikan agama untuk anak-anak yang sangat kritikal. Ramai Muslim berlumba-lumba mendidik anak-anak dengan ilmu dunia, tetapi meninggalkan agama. Sampai tahap, nak baca al-Quran pun tak pandai. Baiklah, kita akan teruskan sambung tadabbur kali ini. Ayat yang saya pilih adalah ayat yang ke-25. Bismillah,
 
وَهُزِّي إِلَيْكِ بِجِذْعِ النَّخْلَةِ تُسَاقِطْ عَلَيْكِ رُطَبًا جَنِيًّا
“Dan gegarlah ke arahmu batang pohon tamar itu, supaya gugur kepadamu buah tamar yang masak.”
 
(Surah Maryam 19:25)
 
Inilah ayat yang saya katakan tadi sebagai salah satu ayat kegemaran saya. Apa yang menariknya ayat ini? Kalau dibacakan secara literal, mungkin awak akan pening dan sedikit tertanya-tanya. Apa istimewanya sangat ayat ini? Pasal buat kurma ke? Haha.
 

 

Dapatkan novel Sujud Yang Terakhir karya Aizuddin Hamid
di semua rangkaian kedai buku di seluruh Malaysia.

 

Beginilah, untuk memahami ayat ini, kita kena mulakan bacaan bermula daripada ayat yang ke-16. Ayat 16 sampai 38 adalah berkisar tentang kisah Maryam dan Nabi Isa al-Masih alaihissalam. Saya akan ceritakan secara ringkas berkaitan kisah Maryam. Mungkin awak dah pernah tahu, tetapi saya tetap nak cerita sebagai peringatan, pengajaran dan ulang kaji. Ringkasnya, Maryam lahir sebagai seorang anak yatim, dan dijaga oleh Nabi Zakariya alaihissalam. Dan Maryam merupakan seorang perempuan yang sangat mulia, suci dan pandai menjaga diri. Sehinggalah masa berlalu, kemudian Allah mengirimkan Malaikat Jibrail untuk bertemu dengan Maryam seperti mana yang disebut di dalam ayat ke 17 dan 18.
 
Kemudian, pada ayat seterusnya menceritakan tentang bagaimana Malaikat Jibrail memaklumkan kepada Maryam bahawa Allah akan mengurniakannya seorang anak lelaki yang suci. Malaikat Jibrail pun meniupkan roh ciptaan Allah masuk terus ke dalam tubuh badan Maryam. Para mufassirin berbeza pendapat tentang berapa lama tempoh Maryam mengandung. Ada pendapat menyatakan Maryam terus mengandung serta-merta dan bersedia untuk bersalin. Ada yang sebut selama 40 hari, dan paling masyhur di kalangan jumhur ulama’ mufassirin sebut tempohnya 9 bulan sama seperti wanita lain. Mana-mana pun tempoh waktu, yang pasti, selepas mengandung, dia terus mengasingkan diri ke tempat yang jauh. Sebab apa? Sebab tak nak bagi fitnah untuk agama dan keluarganya.
 
Selalunya, apabila seorang wanita hampir bersalin, biasanya ia akan bersama keluarga. Ramai yang akan hadir untuk memberikan bantuan dan sokongan. Tetapi tengok apa yang Maryam terpaksa hadapi. Dia terpaksa membawa diri jauh daripada masyarakat, dalam keadaan sarat mengandung dan nak melahirkan anak. Ketika itu, secara logik, tentu dia sedang mengalami sakit-sakit dan teramat lemah. Kalau awak pernah mengandungkan anak, mesti akan memahami perasaan ini. Kalau belum pernah atau tak akan mengandung sekalipun, cuba pergi tanya orang terdekat yang pernah mengandungkan anak. Sakit dan lemah teramat sangat. Tetapi Maryam tetap teruskan juga perjalanannya ke tempat yang jauh. Sebab apa? Semata-mata nak menjaga nama baik agama dan keluarga. Allahu Rabbi. Dahsyatnya pengorbanan Maryam. Tak hairanlah Allah memuliakan Maryam sehingga kita selalu menyebutkan kisahnya hingga hari ini.
 
Kemudian, dipendekkan cerita, Maryam pun rasa nak bersalin. Dia mula bersandar di sebuah pohon kurma di tengah padang pasir. Sedang dia dalam keadaan lapar, penat, dan sakit teramat sangat, datang sekali lagi Malaikat Jibrail memujuk Maryam supaya jangan bersedih seperti disebut dalam ayat ke 24. Tak cukup sekadar memujuk, Malaikat Jibrail memberitahu bahawa Allah telah menjadikan sebatang sungai khas untuk Maryam. Ia merupakan satu pujukan khusus daripada Allah. Allahu Akhbar. Ha, kemudian pada ayat ke-25, barulah Allah menyediakan pula makanan untuk Maryam. Tetapi..
 
Tetapi dengan satu syarat, yang mana Maryam mestilah menggegarkan pokok kurma berhampiran dengannya. Fuh! Dan sekarang saya yakin baru awak faham, kenapa ayat ini sangat istimewa untuk saya. Ketika ini, mufassirin menyebut yang Maryam dah bersalin. Awak bayangkanlah, orang yang baru lepas bersalin, dalam keadaan sangat letih, sakit dan penat teramat, seorang diri pula itu, disuruhnya pula menggoyangkan sebuah pokok kurma. Kalimah هُزِّي (huzza) membawa maksud menggoyang sesuatu yang besar dan kuat. Maknanya, kena kerahkan segala kudrat tenaga yang banyak untuk menggoyangkan pokok kurma itu. Bukan macam goyang buaian. Kalau ikut logik akal, usaha yang perlu Maryam keluarkan bukannya sedikit, tetapi memerlukan usaha yang luar biasa.
 
Kita sendiri yang kuat dan sihat pun nak goyang pokok kurma tak jadi apa-apa, inikan pula Maryam. Kenapa Allah suruh? Ini adalah isyarat daripada Allah untuk berusaha! Peristiwa ini mengajarkan kita tentang kepentingan usaha. Memanglah Allah yang menjadikan sesuatu perkara, tetapi Allah juga nak melihat usaha kita dahulu. Walaupun usaha kita hanyalah sedikit saja.
 
*****

 

Dapatkan novel Kau Bukan Adiratna karya Najmi Fetih
di semua rangkaian kedai buku di seluruh Malaysia.

 

Untuk juzuk 16 ini, nampak macam ringkas, tetapi ia padat dengan pengajaran. Tetapi, saya nak kongsi dua saja pengajaran, iaitu,
 
1.         Kebanyakkan perkara dalam hidup ini, sama ada sedar atau tidak, menuntut untuk kita berusaha terlebih dahulu. Kemudian barulah Allah akan berikan hasilnya. Berbalik pada kisah Maryam, kalau ikutkan logik akal, apalah sangat kudrat wanita yang baru lepas bersalin untuk menggoyangkan sebatang pokok kurma yang besar dan keras. Tetapi peristiwa agung ini mengajarkan kita bahawa, ikuti arahan dan perintah Allah semampu mungkin, walaupun kita rasa mungkin tak logik. Tetapi poinnya, usaha dulu. Kita usaha 1 peratus, lagi 99 peratus Allah akan tolong selesaikan. Maryam hanya usaha 1 peratus saja, bahkan mungkin tak sampai pun. Tetapi, selebihnya Allah yang selesaikan dengan cara menjatuhkan buah-buah kurma untuk Maryam.
 
            Sama juga dalam kehidupan, Allah tuntut kita usaha saja dulu, walaupun hanya 1 peratus, selebihnya Allah akan selesaikan. Termasuklah usaha mencari rezeki, mencari jodoh yang soleh, berdakwah, belajar, sehinggalah tahap menegakkan agama Allah. Contohnya dalam isu mencari rezeki. Allah boleh saja memberikan segalanya kepada kita, tetapi syaratnya kena tunjukkanlah dulu komitmen usaha kita. Kena ada sebab musabab. Itu adalah Sunnah para Nabi. 
 
Kita tak diajar untuk bertawakal sahaja tanpa sebarang usaha. Kita kena berusaha seiring dan serentak dengan tawakal. Itulah makna tawakal bulat-bulat. Bukannya tak buat apa-apa, tetapi dah kata bertawakal. Ada orang yang tak faham, lalu mereka hanya berdoa sahaja tanpa usaha.
 
Sama juga macam nak menegakkan Islam semula di muka bumi, khususnya di Malaysia. Ada orang cukup sekadar berdoa di masjid, ataupun paling teruk, hanya menunggu Imam Mahdi dan Nabi Isa alaihissalam saja. Atas alasan Islam satu hari nanti akan menang. Sedangkan tak ada usaha langsung untuk menegakkan agama Allah dengan cara menjalankan dakwah dan mentarbiah masyarakat. Inilah antara falasi atau tipu daya iblis kepada sebahagian orang Islam.
 
Sebab itulah, kena meyakini bahawa Allah langsung tak tengok hasil, tetapi Allah melihat usaha. Sejauh mana usaha kita untuk memartabatkan agama Allah di tempat yang paling tertinggi. Walaupun mungkin nampak mustahil.
 
2.         Kita kena yakini sungguh-sungguh, bahawa apa yang kita ada selama ini semuanya hasil daripada pertolongan Allah.Contohnya kalau awak seorang pelajar, dan akan menghadapi peperiksaan yang besar. Adakah awak yakin yang ulang kaji pelajaran, jawab kuiz, baca buku, buat study group, berjaga tengah malam untuk belajar dan segala usaha yang awak dah kerahkan, pasti akan menghasilkan A di dalam peperiksaan? Tiada siapa yang berani kata yakin. Boleh jadi, walaupun awak dah hafal seluruh buku teks dan rujukan, tetapi semasa peperiksaan, awak akhirnya jatuh sakit ataupun kemalangan. Akhirnya terpaksa menangguhkan peperiksaan. Ataupun masa peperiksaan, tiba-tiba kepala ‘blank’. Boleh jadi kan?
 
            Sama juga macam yang bekerja. Awak yakin ke dengan gaji yang diperolehi, kerja sambilan, bisnes, dan sebagainya yang awak lakukan itu cukup untuk tampung kehidupan sampai mati? Boleh jadi esok lusa kemalangan dan tiba-tiba lumpuh pula atau cacat kekal pada anggota. Boleh jadi kan?
 
            Sebab itulah, kita kena yakin sungguh-sungguh bahawa, usaha kita cuma 1 peratus saja dalam hidup ini. Dan sememangnya pun, Allah hanya minta sedikit saja usaha kita. Selebihnya Allah yang bantu, dan Allah jualah yang memberikan hasilnya. Yakinlah, kerana semua yang ada hanyalah milik Allah. Dan kepada Allah jualah semuanya akan dikembalikan.
 
            Moga Allah mengurniakan kita kekuatan untuk sentiasa berusaha menegakkan agama Allah, dan meyakini tentang segala pertolongan Allah. Ameen.
 
Wallahua’lam.
 
– Shukery Azizan –
 

 

p/s: Tulisan ini diambil daripada buku Pujukan Dari Tuhan karya Shukery Azizan. Boleh dapatkan buku Pujukan Dari Tuhan sama ada di kedai-kedai buku POPULAR, MPH, SMO dan lain-lain, atau boleh juga dapatkan secara online melalui isbirofficial.
 
p/s : Dapatkan E-Book tulisan Shukery Azizan yang bertajuk “Kisah Wanita Di Dalam Al-Quran” hari ini juga. Klik di sini untuk dapatkan segera : >> KLIK DI SINI <<

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Jom Hantar Kad Ucapan Ramadan

Jom Hantar
Kad Ucapan Ramadan