Tadabbur Juzuk 10 : Sumbangkanlah Sesuatu Untuk Islam

 

Alhamdulillah, kita telah masuk ke 1/3 al-Quran, iaitu pada juzuk ke 10. Kalau awak masih baca sehingga ke bab ini, saya ucapkan tahniah! Saya harap supaya awak dapat amalkan dan belajar sesuatu dalam bab sebelum ini. Ok, kali ini kita akan masuk ke dalam surah At-Taubah, satu-satunya surah yang tiada basmalah pada permulaan ayat. Salah satu sebab kerana surah ini mengisytiharkan perang kepada orang Musyrikin, sedangkan basmalah itu bernafaskan cinta dan kasih sayang Allah. Surah ini termasuk dalam kategori Madaniyyah. Dan surah ini disebut sebagai at-taubah (pengampunan) sebab istilah at-taubah banyak kali diulang-ulang. Ok, tanpa berlengah, kita terus sambung terus pada ayat ke 41. Bismillah.
 
انْفِرُوا خِفَافًا وَثِقَالًا وَجَاهِدُوا بِأَمْوَالِكُمْ وَأَنْفُسِكُمْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ ۚ ذَٰلِكُمْ خَيْرٌ لَكُمْ إِنْ كُنْتُمْ تَعْلَمُونَ
“Berangkatlah kamu sama ada dengan keadaan ringan ataupun dengan keadaan berat (disebabkan berbagai-bagai tanggungjawab); dan berjihadlah dengan harta benda dan jiwa kamu pada jalan Allah (untuk membela Islam). Yang demikian amatlah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui.”
 
(Surah At Taubah [9]:41)
 
Kalau perasan, ayat ini boleh dikatakan hampir selalu kita dengar dalam mana-mana ceramah agama di masjid atau surau. Tetapi kalau awak pertama kali dengar dan baca, tak apa. Kita sama-sama belajar. Ayat ini diturunkan sebelum berlakunya peristiwa perang Tabuk, iaitu selepas Rasulullah dah berjaya menawan kota Mekah dan Islam sudah dominan di Tanah Arab. Rasanya semua maklum tentang peristiwa Fathul Makkah. Kan?
 
Ok, berbalik pada perang Tabuk. Masa ini, tentera Rom sedang merancang untuk melakukan serangan yang besar terhadap kota Mekah. Mendengar ancaman ini, Rasulullah pun segera menyediakan barisan ketenteraan Muslimin untuk mempertahankan Islam dan umat Islam serta mengalahkan musuh. Tetapi dalam masa yang sama, ada juga Sahabat Rasulullah yang rasa agak berat untuk turun terutama yang dah tua, atau tak larat. Bahkan, untuk rekod, ini antara peperangan dengan kerajaan Romawi yang paling terbesar selepas perang Mu’tah. Tentera Rom sekitar 300,000 orang, manakala tentera Islam cuma 70,000 orang saja. Mungkin itu ada yang mula rasa berat untuk turun berjihad sekali. Golongan munafik awal-awal dah rasa berat untuk berperang.
 
Maka, apabila Allah turunkan ayat ini, ia suatu seruan kepada kaum Muslimin untuk turun berjihad sama ada senang atau susah, muda atau tua, kaya atau miskin. Dan lagi satu, ayat ini bukan hanya untuk Sahabat Rasulullah ketika itu saja, bahkan untuk kita semua sekali. Kita semua yang masih hidup dan hinggalah hari Kiamat nanti. Allah turunkan ayat yang sangat umum, yang mana Allah nak beritahu bahawa kita semua boleh tolong perjuangkan agama Allah dalam apa jua keadaan sekalipun. TANPA ALASAN.
 
انْفِرُوا خِفَافًا وَثِقَالًا
“Berangkatlah kamu sama ada dengan keadaan ringan ataupun dengan keadaan berat (disebabkan berbagai-bagai tanggungjawab)..”
 
Walaupun dalam keadaan RINGAN atau BERAT sekalipun. Atau dalam keadaan tua atau muda, kaya atau miskin, lapang atau sempit, dan sebagainya.
 
وَجَاهِدُوا بِأَمْوَالِكُمْ وَأَنْفُسِكُمْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ
“..dan berjihadlah dengan harta benda dan jiwa kamu pada jalan Allah (untuk membela Islam).”
 
Untuk berjihad dengan seluruh HARTA dan JIWA kita. Ya, berjihad dengan wang tunai, harta benda, air mata, peluh keringat, mental, hinggalah darah dan jiwa kita. Kemudian Allah beritahu lagi,
 
ذَٰلِكُمْ خَيْرٌ لَكُمْ إِنْ كُنْتُمْ تَعْلَمُونَ
“.. Yang demikian amatlah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui.”
 

 

Dapatkan novel Sujud Yang Terakhir karya Aizuddin Hamid
di semua rangkaian kedai buku di seluruh Malaysia.
   

 

*****
 
Pengajaran yang kita boleh ambil daripada ayat ini,
 
1.         Dengan jelas dan nyata, Allah dah beritahu kita macam mana nak SUMBANGKAN sesuatu untuk ISLAM. Kita semua boleh sumbangkan sesuatu untuk agama Allah, demi memastikan agama Allah ini terus tinggi hingga tiada lagi yang lebih tinggi daripada keagungan Islam. Rasulullah bersabda yang bermaksud,
 
“Islam itu tinggi dan tidak ada yang mengalahkan ketinggiannya”
(Riwayat al-Baihaqi)
 
Persoalannya, macam mana kita nak sumbangkan sesuatu untuk Islam? Allah dah jawab,
 
انْفِرُوا خِفَافًا وَثِقَالًا
“Berangkatlah kamu sama ada dengan keadaan ringan ataupun dengan keadaan berat..”
 
Ya. Dengan cara kita berusaha untuk tolong agama Allah sama ada kita rasa RINGAN atau BERAT. Ada orang merasakan yang dia tak layak tolong agama Allah sebab tak pandai agama. Ada yang rasa sebab terlalu miskin. Ada yang rasa selalu buat maksiat, macam mana nak tolong agama Allah. Teman, Allah beritahu dalam surah al-Isra’ ayat 83 yang maksudnya,
 
“Katakanlah: “Tiap-tiap orang berbuat menurut keadaannya masing-masing”. Maka Tuhanmu lebih mengetahui siapa yang lebih benar jalannya.”
 
Allah tahu kemampuan, kelebihan, kekurangan dan kelemahan kita. Sebab itu, Allah sebut secara umum, bantu agama Allah sama ada kita ringan atau berat.
 
Samada kita KAYA atau MISKIN.
samada kita BERBAKAT atau TIADA BAKAT.
samada kita KUAT atau LEMAH.
samada kita CERDIK atau BODOH.
samada kita BERANI atau PENAKUT.
samada kita RAJIN atau MALAS.
Samada kita SIHAT atau SAKIT.
samada kita PEMIMPIN atau PENGIKUT.
Samada kita PENCERAMAH atau PENDENGAR.
Samada kita PERAMAH atau PENDIAM.
 
Semua daripada kita yang masih hidup. Tak kisah walau apa pun yang kita ada. Setiap orang akan ada KELEBIHAN tersendiri. Semua orang pasti ada, sama ada sedikit atau banyak. Dan kita semua boleh SUMBANGKAN kelebihan yang kita ada untuk ISLAM. Kita semua lebih tahu akan diri sendiri. Jangan bagi alasan lagi untuk berdalih.
 
“aku tak layak..”
“aku tak mampu..”
“aku belum cukup baik..”
“aku masih belum cukup ilmu..”
“Aku bukan budak sekolah agama..”
 

 

Dapatkan novel Kau Bukan Adiratna karya Najmi Fetih
di semua rangkaian kedai buku di seluruh Malaysia.

 

Saya bagi contoh, kalau awak tiada duit, tetapi peramah dan berani bercakap di hadapan orang ramai, maka sampaikanlah Islam melalui LIDAH dengan cara berpidato, debat, syarahan, perkongsian, tazkirah, dan lain-lain. Atau awak mungkin pendiam dan pemalu, tetapi pandai melukis. Maka sampaikanlah Islam melalui LUKISAN dengan cara melukis, buat kartun atau animasi, doodle, dan sebagainya. Kalau awak pendiam dan tidak pandai melukis, tetapi ada duit lebih, maka gunakan HARTA untuk sampaikan Islam dengan cara menderma kepada umat Islam yang memerlukan seperti Palestin, bantu kawan yang tak ada duit, dan sebagainya. Kalau awak seorang ayah dan ibu, tetapi ada anak-anak, maka didiklah anak-anak dengan acuan Islam supaya mereka boleh berjuang untuk agama Allah. Dan banyak lagi cara. Kena fikir fikir fikir.
 
Duduk sejenak, dan fikir apa kelebihan yang awak ada. Kelebihan sebagai seorang pelajar, anak, abang, kakak, adik, suami, isteri, pekerja, pemimpin dan lain-lain. Kemudian, fikir lagi macam mana nak gunakan kelebihan itu untuk kepentingan Islam. Kena berfikir secara kreatif dan kritikal selagi mana tidak langgar perintah Allah. Bantulah Islam dan tawarkan kepada Allah apa yang kita mampu untuk bantu agamaNya. Walaupun sebenarnya Allah langsung tak perlukan pun bantuan kita. Tetapi beri peluang ini sebab Allah nak tolong kita untuk dapatkan Syurga! Allah berfirman yang bermaksud,
 
“Sesungguhnya Allah telah membeli daripada orang-orang mukmin diri dan harta mereka dengan memberikan Syurga untuk mereka…”
 
(Surah At-Taubah 9 : 41)
 
Allah nak hadiahkan kita Syurga dengan syarat kita mesti ‘menjual’ SELURUH kemampuan diri kita sama ada harta, akal, air liur, keringat, peluh, air mata, hingga tahap darah dan jiwa untuk agama Allah. Ini adalah peluang yang sangat berharga. Kenapa kita lokek untuk jual semua ini kepada Allah?
 
            Sedangkan yang berikan kita harta adalah Allah. Yang berikan kita ilmu, akal, keringat, peluh, air mata, darah, bahkan nyawa adalah Allah. Semua Allah yang beri. Tetapi bila Allah minta balik dan nak tukarkan dengan Syurga, kita tak nak. Tidakkah pelik? Jadi, awak dah mula terfikir apa yang boleh disumbangkan untuk bantu agama Allah? 
 
Apa lagi, infiru !!
 
Wallahua’lam
 
– Shukery Azizan –
 

p/s: Tulisan ini diambil daripada buku Pujukan Dari Tuhan karya Shukery Azizan. Boleh dapatkan buku Pujukan Dari Tuhan sama ada di kedai-kedai buku POPULAR, MPH, SMO dan lain-lain, atau boleh juga dapatkan secara online melalui isbirofficial.  

 
p/s : Dapatkan E-Book tulisan Shukery Azizan yang bertajuk “Kisah Wanita Di Dalam Al-Quran” hari ini juga. Klik di sini untuk dapatkan segera : >> KLIK DI SINI <<

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Jom Hantar Kad Ucapan Ramadan

Jom Hantar
Kad Ucapan Ramadan