Tadabbur Juzuk 1 : Janganlah Pandang Remeh Dengan Perintah Allah

 

 

 

Sebelum kita mulakan ekspedisi tadabbur kita sepanjang 30 juzuk ini bagi sepanjang Ramadhan, ada beberapa perkara yang saya nak beritahu. Pertama, setiap surah yang dipilih, saya akan kongsi juga latar belakang surah, supaya kita lebih menjiwai tadabbur ini. Kedua, kesemua taddabur al-Quran ini diambil daripada buku buku Pujukan Dari Tuhan karya Shukery Azizan. Ada yang tanya,

“Tak rugi ke tulis di sini? Nanti orang dah baca, orang tak nak beli buku Pujukan Dari Tuhan pula?”


Saya punya impian mudah saja. Buku saya itu hanyalah perantaraan atau wasilah saja. Yang paling penting, orang dapat manfaat daripada al-Quran itu sendiri. Dan kita kena faham, tak semua orang ada duit macam kita. Ada orang yang teringin nak baca, tetapi tak mampu nak membeli buku itu. Jadi kami sediakan alternatif kepada mereka yang kurang berkemampuan, untuk baca secara percuma. Dengan harapan mereka boleh amalkan, dan sebarkan pada orang lain. Tak ada yang rugi pun. Win-win situation orang kata. Lagi pun, anggaplah ini adalah hadiah daripada kami, Tarbiah Sentap, kepada anda semua kerana sentiasa menyokong kami hingga ke hari ini.

 

Kepada mereka yang dah baca buku Pujukan Dari Tuhan, anda tak rugi pun beli buku itu atau baca semula di sini. Sebab boleh jadi, bila anda baca semula di sini, anda dapat ilmu baru secara tak sengaja. Kan? Kepada anda semua, saya persembahkan karya taddabur al-Quran 30 juzuk sepanjang bulan Ramadhan ini. Moga bermanfaat!

Sebagai permulaan juzuk untuk buku ini, kita akan mulakan dengan surah al-Baqarah dulu. Dan sebelum saya pilih salah satu ayat untuk tadabbur, seperti saya beritahu, lebih baik kalau kita belajar secara umum mengenai latar belakang surah al-Baqarah secara ringkas. Tiada perselisihan faham antara mufassirin bahawa keseluruhan surah al-Baqarah diturunkan di fasa Madinah, serta dipanggil surah Madaniyyah. Ia adalah surah yang terpanjang, dan di dalamnya ada ayat yang paling panjang di dalam al-Quran. Cuba teka ayat apa? Ya betul, ayat tentang hutang. Ha, apa lagi, awak dah habis bayar hutang belum?
 
            Kalau nak disenaraikan keunikan dan kelebihan surah al-Baqarah, memang panjang dan bermuka-muka. Antaranya termasuklah huraian berkaitan hukum-hakam seperti berpuasa, haji, perkahwinan, perceraian, tempoh iddah, judi, arak dan lain-lain, kisah pemindahan arah kiblat dari Baitul Maqdis ke Makkah, kisah Nabi Musa, Tholut dan Jalut, dan sebagainya. Dan satu lagi perkara menarik tentang surah al-Baqarah adalah, surah ini banyak menceritakan tentang sifat-sifat orang Yahudi. Perkara ini disebut dalam banyak kitab tafsir seperti tafsir Al-Azhar, Ibnu Kathir, Fi Zhilalil Quran, dan sebagainya. Sebab kita tahu, kaum Yahudi adalah antara kaum yang Allah banyak utuskan para Nabi dan Rasul kepada mereka. Antara sebab Allah ceritakan sifat-sifat kaum Yahudi yang perangainya diwarisi dari zaman-berzaman supaya kita tidak ikut macam mereka. Huh.
 
            Baik, kita terus kepada pemilihan ayat, iaitu pada ayat yang ke-67, Allah berfirman,

وَإِذۡ قَالَ مُوسَىٰ لِقَوۡمِهِۦۤ إِنَّ ٱللَّهَ يَأۡمُرُكُمۡ أَن تَذۡبَحُواْ بَقَرَةً۬‌ۖ قَالُوٓاْ أَتَتَّخِذُنَا هُزُوً۬ا‌ۖ قَالَ أَعُوذُ بِٱللَّهِ أَنۡ أَكُونَ مِنَ ٱلۡجَـٰهِلِينَ
“Dan (ingatlah), ketika Nabi Musa berkata kepada kaumnya: ‘Sesungguhnya Allah menyuruh supaya kamu menyembelih seekor lembu betina’. Mereka berkata: ‘Adakah engkau hendak menjadikan kami ini permainan?’ Nabi Musa menjawab: ‘Aku berlindung kepada Allah daripada menjadi salah seorang dari golongan yang jahil (yang melakukan sesuatu yang tidak patut).”
 
(Surah Al-Baqarah 2 : 67)
 
Dalam surah ini, Allah ada menceritakan kepada kita berkaitan dengan kisah seekor lembu betina (memandangkan surah ini pun bermaksud lembu betina). Macam mana ayat ini boleh turun? Ok, kita cerita sikit asbabun nuzul ayat ini, barulah kita boleh faham serba sedikit latar belakang cerita. Baiklah, macam ini ringkasan cerita.
 
Menurut beberapa tafsir, sebelum ayat ke 67 ini diturunkan, seorang lelaki kaya daripada kalangan bani Israel telah dibunuh, dan mayatnya diletakkan di kampung berdekatan dengan tempat pembunuhannya. Lalu kes ini menyebabkan berlakunya pertikaian dan tuduh-menuduh antara dua kampung berkaitan dengan siapakah pembunuh sebenar lelaki itu. Pembunuh ini berjaya bersembunyi sehingga tak dapat dikesan. Dan dipercayai bahawa pembunuh itu telah membuat beberapa pakatan agar identitinya dirahsiakan. Kes pembunuhan yang misteri ini telah disebut oleh Allah dalam surah al-Baqarah juga, tetapi pada ayat yang ke 72. 
 
Apabila tak jumpa jawapan kepada misteri ini, mereka pun datang berjumpa dengan Nabi Musa alaihissalam seraya meminta baginda bermunajat kepada Allah agar didedahkan identiti pembunuh. Sudahlah kena menghadap perangai kaumnya yang saling berbunuhan, tambah satu lagi perangai bani Israel yang betul-betul menguji Nabi Musa alaihissalam. Apa dia? Banyak songeh. 
 
Allah memerintahkan kepada bani Israel agar menyembelih seekor lembu betina. Apabila Nabi Musa alaihissalam menyampaikan perintah Allah kepada mereka, memang terperanjatlah bani Israel sebab kena sembelih seekor lembu betina demi mendedahkan identiti pembunuh. Sebab pada mereka, ini semua tak masuk dek akal. Dan, awak nak tahu apa respon PERTAMA bani Israel? Seperti mana dalam ayat di atas, mereka sindir kepada Nabi Musa alaihissalam,

قَالُوٓاْ أَتَتَّخِذُنَا هُزُوً۬
“Mereka berkata: ‘Adakah engkau hendak menjadikan kami ini permainan?”
 
Kalau saya analogikan remaja hari ini, apabila kita beritahu hukum-hakam sesuatu perkara (khususnya apabila sesuatu itu haram), lalu mereka pun jawab lebih kurang,
 
“Kau ni dah kenapa? Semua benda nak haram je..”
“Perghh, acah-acah alim islamik lah pulak!”
 
Dan lain-lain. Ha, lebih kurang begitulah kaum bani Israel respon kepada baginda. Kemudian, selepas Nabi Musa alaihissalam kena sindir, kutuk, perli, maki hamun oleh bani Israel, apa baginda balas? Jawapan Nabi Musa alaihissalam memang tenang, tidak menggelabah, tidak sinis dan sangat win. Iaitu,

قَالَ أَعُوذُ بِٱللَّهِ أَنۡ أَكُونَ مِنَ ٱلۡجَـٰهِلِينَ
Nabi Musa menjawab: “Aku berlindung kepada Allah daripada menjadi salah seorang dari golongan yang jahil (yang melakukan sesuatu yang tidak patut)”.

*****
Dapatkan buku Surat Untuk Orang Putus Asa karya Ustaz Adnin Roslan
di store.tarbiahsentap.com sekarang juga.

 

Daripada ayat yang ringkas tetapi padat ini, antara pengajaran yang boleh saya rumuskan,

1.         JANGAN pandang remeh dengan perintah Allah! Sepanjang kisah di atas, kita boleh perhatikan bagaimana kaum bani Israel respon terhadap arahan dan perintah daripada Allah. Apabila Allah mewahyukan kepada Nabi Musa alaihissalam agar memberi arahan untuk menyembelih lembu betina, sama ada ia logik akal ataupun tidak, sepatutnya WAJIB untuk mereka sembelih. Tak perlu untuk banyak soal. Wajib taat perintah Allah yang telah disampaikan melalui Nabi Musa alaihissalam. Tetapi sebaliknya berlaku. Respon sinis mereka apabila mendengar arahan untuk sembelih lembu betina,
 
“Adakah kau jadikan kami ini permainan?”
 
Atau kalau bahasa pasarnya,
 
“Kau ingat ini lawak ke apa? Ini kematian la. Bukan main-main.”
“Kau ingat sembelih lembu tu lawak la?”
 
Padahal mereka yang pada awalnya beria-ia merayu dan meminta agar Nabi Musa alaihissalam memohon pertolongan Allah untuk mendedahkan siapa pembunuh sebenar. Tetapi apabila diberikan perintah, mereka mempertikaikan pula. Berbeza dengan generasi sahabat Nabi Muhammad , apabila diberikan perintah oleh Rasulullah , sama ada logik ataupun tidak, jika ia adalah kehendak wahyu, mereka akan terus melaksanakannya tanpa banyak soal. Peristiwa ini disebut jelas oleh Allah di dalam surah an-Nur ayat 51 yang bermaksud ;
 
“Sesungguhnya perkataan yang diucapkan oleh orang-orang yang beriman ketika mereka diajak ke pada Kitab Allah dan Sunnah RasulNya, supaya menjadi hakim memutuskan sesuatu di antara mereka, hanyalah mereka berkata: “Kami dengar dan kami taat“: dan mereka itulah orang-orang yang beroleh kejayaan.”
 
(Surah an-Nur 24:51)
 
Bukan itu saja, malah Allah sebut dalam surah dan ayat lain seperti surah al-Baqarah ayat 285 dan surah al-Maidah ayat 7. Pendirian ini jelas berbeza dengan bani Israel. Tak hairanlah apabila Allah menyebut bani Israel ini adalah golongan yang “Kami dengar dan kami tidak taat” seperti mana yang Allah ceritakan di dalam surah al-Baqarah ayat 93 yang bermaksud,
 
“Dan (ingatlah) ketika Kami mengikat perjanjian setia dengan kamu semasa Kami angkatkan bukit Tursina itu ke atas kamu (sambil kami berfirman): “Ambillah (dan amalkanlah ajaran Kitab Taurat) yang Kami berikan kepada kamu itu dengan bersungguh-sungguh, dan dengarlah (apa yang diperintahkan kepada kamu dengan mematuhinya)”. Mereka menjawab: “Kami dengar, dan kami tidak taat.”
 
(Surah al-Baqarah 2:93)
 
Antara faktor dan sebab kenapa Allah merakamkan perbualan ini di dalam al-Quran, bahkan diletakkan pada surah yang terawal, antaranya sebab ia adalah “Timeless Problem”. Maksud ‘Timeless Problem’ adalah, masalah ini berlaku sejak dari dulu, sekarang dan akan datang sehinggalah Kiamat berlaku. Ia bukan hanya berlaku zaman dahulu saja.
 
Hari ini, bila kita sebut tentang hukum-hakam yang dah jelas lagi bersuluh, ramai pula orang yang mempertikaikannya. Bahkan, apabila kita sebut tentang sesuatu hukum Allah, tak semena-mena, kita pula dituduh sebagai “penghukum”, “penglabel” dan seumpamanya. Itu belum disebut golongan liberal yang cuba menafsirkan al-Quran mengikut logik akal mereka. Sekiranya tidak kena dengan logik mereka, ayat itu akan ditolak serta-merta. Atau menyatakan ayat itu dah tak relevan untuk zaman hari ini. Contohnya seperti isu semudah MENUTUP AURAT dengan sempurna. 
 
Di Malaysia, sesiapa yang pernah menduduki pendidikan formal sama ada di sekolah biasa, sains, MRSM atau mana-mana pun, mesti akan belajar subjek Pendidikan Islam. Dan di dalam subjek itu, pasti akan belajar tentang kewajipan menutup aurat dengan sempurna. Menutup aurat BUKAN HANYA pakai tudung (contohnya wanita), bahkan ia menutupi seluruh anggota badan kecuali muka dan tapak tangan. Dan ia TIDAK SAMA seperti MEMBALUT aurat. Malah, falsafah menutup aurat bukan sekadar tutup anggota badan, termasuk juga menjaga MARUAH dan AIB serta meningkatkan frekuensi MALU. Allah dah sebut dengan jelas dan nyata di dalam al-Quran antaranya pada surah an-Nur bahawa tutup aurat dengan sempurna itu wajib. Tetapi apa jawapan yang kita biasa dengar?
 
“Alaa.. kau ni ekstrem sangat la. Aku tak dapat hidayah lagi la..”
“Ala nantilah dulu..”
“Kau ni islamik sangatlah..”
 
Dan lain-lain. Golongan liberal dan feminis sekular pula ada yang menuduh bahawa pakai tudung ini hanya budaya orang Arab saja sebab nak mengelakkan pasir. 
 
Contoh satu lagi masalah yang berlegar dalam kalangan remaja adalah isu ikhtilat. Ikhtilat datang daripada bahasa Arab yang bermaksud pergaulan/percampuran antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram, atau yang boleh dikahwini. Lelaki dan perempuan bukan mahram dalam bahasa Arab disebut sebagai ajnabi. Hukum asal ikhtilat adalah haram. Antara dalil pengharamannya seperti yang disebut oleh Dr. Abdul Karim Zaidan adalah, pada surah al-Isra’ ayat ke-32 yang mana Allah berfirman yang bermaksud,
 
“Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan).”
 
(Surah al Isra’ 17:32)
 
Dalam ayat ini, Allah dengan jelas sebut “jangan HAMPIRI zina.” Ikhtilat pula salah satu cabang jalan menuju ke arah berzina. Kalau ikhtilat pun dah haram, apatah pula couple, couple so called islamic, crush, candy crush dan apa-apa jenis nama pun. Jahiliah ni sentiasa berevolusi dan bertukar nama, tetapi isinya tetap sama, iaitu dosa dan maksiat. Apabila Allah dah beri amaran agar JANGAN DEKAT, ikut sajalah perintah Allah. Ini tidak, dipertikaikan itu ini dan memandang remeh perintah agama dengan alasan,
 
“Kau ni syadid sangat..”
“Cuba kau baca tafsir lain..”
 “Mana ada Allah sebut haramnya couple..”
 
Kemudian bila tiada hujah, ambil sesuka hati saja dalil sana sini untuk mempertahankan dosa dan maksiat. Kalau tidak jumpa dalil, terus dihukumnya kita tak faham agama pula. Aduh. Duhai teman, apabila sedar yang perbuatan kita itu dosa dan salah di sisi agama, bertaubatlah dengan sebenar taubat. Dan berhentilah mencari dalil untuk mempertahankan dosa. Itu namanya penunggang agama. Enough is enough. Dosa tetap dosa, ia tidak menghalalkan apa-apa pun. Selepas bertaubat, usahalah untuk taat perintah Allah.
Dapatkan novel Kau Bukan Adiratna karya Najmi Fetih
di store.tarbiahsentap.com sekarang juga.

 

 

 
 

2.         Ayat ini juga memberi peringatan kepada semua PENDAKWAH. Siapa pendakwah?Saya, awak dan kita semua yang mengucap kalimah syahadah. Bukan hanya ustaz, ustazah, mufti dan ulamak saja. Jadi, apa pesanan dan peringatannya? Seperti yang Nabi Musa alaihissalam sebut,


قَالَ أَعُوذُ بِٱللَّهِ أَنۡ أَكُونَ مِنَ ٱلۡجَـٰهِلِينَ
Nabi Musa menjawab: “Aku berlindung kepada Allah daripada menjadi salah seorang daripada golongan yang jahil (yang melakukan sesuatu yang tidak patut)”.
 
Antara ciri-ciri orang yang jahil adalah mengikut hawa nafsu, ucapannya kotor, sombong, angkuh tidak menerima kebenaran, cepat marah, panas baran, suka membantah tanpa sebab, cepat menghukum, memarahi sesuatu yang dia tak tahu dan sebagainya. Maka sebagai seorang pendakwah, kita mesti berusaha untuk TIDAK memiliki sedikit pun ciri-ciri orang yang jahil.
 
Apabila kita berdakwah, menyampaikan kebenaran dengan hikmah (bijaksana mengikut keadaan dan tempat), menasihat kawan-kawan, dan sebagainya, akan ada saat kita akan dimaki hamun, dicaci, difitnah, diumpat keji dan sebagainya. Masa itu, apa lagi pilihan yang ada? Pilihan yang ada cuma SABAR dan usaha untuk KAWAL EMOSI sepenuhnya. Kena ada ‘kalis maki’, telinga kena ‘tebal’. Kemudian berdoalah seperti mana Nabi Musa sebut,

أَعُوذُ بِٱللَّهِ أَنۡ أَكُونَ مِنَ ٱلۡجَـٰهِلِينَ
 
Minta perlindungan daripada Allah supaya kita semua pun tidak termasuk dalam kalangan orang yang jahil. Teman, apalah gunanya sekiranya kita mendabik dada mengaku pendakwah, namun dalam masa yang sama, lidah tak berhenti daripada meratib zikir mencarut, memaki hamun, mengumpat, mengadu domba, memfitnah, menipu dan lain-lain. Apa beza kita dengan orang jahil? Sebab itu, ayat ini adalah pesanan, peringatan dan pujukan kepada semua pendakwah khususnya diri saya, agar SELALU BERSABAR dan KAWAL EMOSI, dan juga banyakkan doa hidayah untuk keluarga, kawan-kawan dan masyarakat. 
 
Teman.. 
 
Ketahuilah, bahawa orang jahil itu bukanlah Firaun, dan kita pun bukanlah Nabi Musa alaihissalam. Berhentilah mengherdik mereka, dan banyakkan bersabar. Sebagai penutup, pernah sekali Imam as-Syafie dicaci dan dimaki di hadapan pelajarnya. Lalu pelajarnya pun bertanya kenapa beliau tidak membalas kejian mereka itu. Antara jawapan Imam as-Syafie,
 
يُخَاطِبُنِي السَّفِيْهُ بِكُلِّ قُبْحٍ
Orang jahil berbicara kepadaku dengan segenap keburukan,
 
فَأَكْرَهُ أَنْ أَكُوْنَ لَهُ مُجِيْبًا
Aku pun enggan untuk menjawabnya,
 
يَزِيْدُ سَفَاهَةً فَأَزِيْدُ حُلْمًا
Dia semakin bertambah kejahilan dan aku semakin bertambah kesabaran,
 
كَعُوْدٍ زَادَهُ الْإِحْرَاقُ طِيْبًا
Seperti gaharu dibakar, akan semakin menebar kewangiannya.
 
Wallahua’lam.
 
Shukery Azizan.

 

p/s : Tulisan ini diambil daripada buku Pujukan Dari Tuhan karya Shukery Azizan. Boleh dapatkan buku Pujukan Dari Tuhan secara ONLINE di store.tarbiahsentap.com atau di kedai-kedai buku POPULAR, MPH, SMO dan lain-lain.
 
p/s : Dapatkan E-Book tulisan Shukery Azizan yang bertajuk “Kisah Wanita Di Dalam Al-Quran” hari ini juga. Klik di sini untuk dapatkan segera : >> KLIK DI SINI <<

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Jom Hantar Kad Ucapan Ramadan

Jom Hantar
Kad Ucapan Ramadan