Untuk juzuk ke 11, kita pilih surah yang ramai orang tahu, iaitu surah Yunus. Surah Yunus ini adalah surah Makiyyah. Diturunkan selepas surah al-Isra’ dan surah al-Isra’ itu diturunkan selepas peristiwa Isra’ Mi’raj. Ramai yang tahu bahawa surah Yunus ini menceritakan tentang kisah Nabi Yunus bin Matta alaihissalam yang berdakwah pada kaumnya kemudian ditolak, serta kisah baginda ditelan oleh ikan Nun. Tetapi disebalik kisah itu juga, surah Yunus ini pun menekankan tentang tauhid kepada Allah dan tentang kenabian Nabi Muhammad ﷺ. Dan surah ini juga mengajar kepada kita tentang Qada’ dan Qadar Allah.
Satu lagi perkara penting kita kena tahu, surah ini juga menekankan bahawa Allah tidak akan terkesan dengan kedudukan makhlukNya. Maksudnya, kalau kita bodek, merasuah atau membunuh kesemua wali, Nabi, hatta malaikat untuk meruntuhkan kerajaan Allah, Allah tak akan terkesan walau sedikit pun. Apapun, insyaAllah malam ini kita sambung juzuk 11, surah Yunus, surah ke 10 ayat 65-66. Bismillah.
وَلَا يَحْزُنْكَ قَوْلُهُمْ ۘ إِنَّ الْعِزَّةَ لِلَّهِ جَمِيعًا ۚ هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ
أَلَا إِنَّ لِلَّهِ مَنْ فِي السَّمَاوَاتِ وَمَنْ فِي الْأَرْضِ ۗ وَمَا يَتَّبِعُ الَّذِينَ يَدْعُونَ مِنْ دُونِ اللَّهِ شُرَكَاءَ ۚ إِنْ يَتَّبِعُونَ إِلَّا الظَّنَّ وَإِنْ هُمْ إِلَّا يَخْرُصُونَ
“Dan janganlah engkau merasa dukacita disebabkan kata-kata mereka yang ingkar itu; kerana sesungguhnya segala kekuasaan tertentu bagi Allah; Dia lah Yang Maha Mendengar, lagi Yang Maha Mengetahui.”
“Ingatlah! Sesungguhnya bagi Allah jualah segala yang ada di langit dan yang ada di bumi dan bahawa mereka yang menyembah sesuatu yang lain Allah sebagai sekutuNya, mereka tidak menurut (sesuatu keyakinan), mereka hanya menurut sangkaan semata-mata, dan mereka hanyalah orang-orang yang sentiasa berdusta.”
Untuk kali ini, insyaAllah saya lebih kepada untuk berkongsikan ayat yang ke-65. Allah memberitahu kepada Rasulullah ﷺ,
وَلَا يَحْزُنْكَ قَوْلُهُمْ
“Dan janganlah engkau merasa dukacita disebabkan kata-kata mereka yang ingkar itu..”
Ayat ini diturunkan ketika mana Rasulullah ﷺ mendengar kata-kata orang kafir yang sangat menyakitkan hati baginda. Orang musyrikin masa itu mengejek, menghina, memfitnah, mencerca dan mengugut Rasulullah ﷺ. Ketika inilah Allah menurunkan ayat ini dan nak memujuk Rasulullah ﷺ bahawa Rasulullah ﷺ mesti kuat dan jangan terlalu dukacita ketika menghadapi kutukan mereka. Kalau dalam juzuk 4, Allah memujuk Rasulullah ﷺ sebab kena hina dengan Yahudi, kali ini dengan orang musyrikin pula. Rasulullah ﷺ mesti tabah dan jangan lemah semangat. Jangan sampai hilang motivasi serta abaikan fitnah, kutukan, cacian mereka. Sebab segala kekuasaan dan kemuliaan hanyalah milik Allah. Teruskan dalam menyampaikan dakwah Islam.
Kalaulah Rasulullah ﷺ terlalu melayan kata-kata orang kafir itu hingga menyebabkan Rasulullah ﷺ hilang semangat, putus asa dan kecewa, maka nanti baginda tak mampu sampaikan dakwah Islam dengan baik. Kalau Rasulullah ﷺ hilang semangat dalam dakwah, maka macam mana para sahabat dan orang Islam yang lain nak bersemangat. Meskipun orang kafir dan golongan yang menentang Islam ini terus menerus mencerca Allah, Islam, Rasulullah ﷺ hatta umat Islam sendiri, maka Allah dah beritahu,
إِنَّ الْعِزَّةَ لِلَّهِ جَمِيعًا
“..kerana sesungguhnya segala kekuasaan tertentu bagi Allah..”
Allah mempunyai semua kehormatan, autoriti, kekuasaan, kemuliaan dan ‘Izzah. Semuanya telah menjadi milik Allah. Maka baginda tidak perlu risau. Mereka merendahkan Allah pun, Allah tetap selamanya Maha Tinggi dan Agung. Kemudian Allah bagitahu lagi,
هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ
“..Dia lah Yang Maha Mendengar, lagi Yang Maha Mengetahui. “
Allah Maha tahu kesemuanya apa yang mereka bincang, komen, mesyuarat, buat perancangan dan segala-galanya. Kemudian, Allah tambah lagi pada ayat seterusnya,
أَلَا إِنَّ لِلَّهِ مَنْ فِي السَّمَاوَاتِ وَمَنْ فِي الْأَرْضِ
“Ingatlah! Sesungguhnya bagi Allah jualah segala yang ada di langit dan yang ada di bumi..”
Sekali lagi Allah tekankan yang Dia memiliki kesemuanya sekali. Golongan yang menolak dan menghina Allah dan RasulNya tidak akan dapat pergi ke mana-mana pun.
|
Dapatkan buku Bagaimana Menjadi Pemimpin karya Ir Lukman Al Hakim di semua rangkaian kedai buku di seluruh Malaysia. |
*****
Pengajaran daripada ayat di atas ini,
1. Walaupun perkara ini dah dihurai dalam juzuk 4, tetapi saya nak tekankan sekali lagi. Sebab ia sangat penting. Teman, jangan rasa lemah semangat, putus asa, kecewa apabila ada orang lain menolak dakwah kita. Apatah lagi kalau mereka menghina kita sehingga tahap mempermainkan ayat-ayat Al-Quran, ataupun melawan Allah dan RasulNya sekalipun. Jangan sekali-kali putus asa. Allah dah pujuk kita banyak kali dalam al-Quran, khususnya dalam surah ini. Kalau kita mula rasa lemah semangat atau ‘down’, cuba muhasabah sekejap macam mana Allah memberi semangat dan pujukan kepada Rasulullah ﷺ. Rasalah seperti Allah sedang memujuk kita sekali. Jangan pernah down. Saya pernah beberapa kali terima soalan daripada pelajar yang berbunyi lebih kurang,
“Ustaz, saya dah dakwah pada kawan saya. Tetapi dia tak nak terima. Malah dia sendiri kutuk saya kata cakap tak serupa bikin. Saya tahu yang saya ini banyak dosa. Tetapi salah ke saya dakwah dan ajak mereka jadi baik?”
Ada saat apabila kita berdakwah, khususnya kepada ahli keluarga ataupun kawan baik, kita akan ditolak. Bahkan lebih teruk, kita dihina. Sehingga tahap, kita rasa putus asa dan kecewa dengan mereka. Syaitan pun mengambil peluang ini dengan menggoda kita supaya tinggalkan dakwah. Lalu, kita pun membina alasan sendiri dengan menganggap bahawa nak berdakwah kena tunggu jadi sempurna. Teman, janganlah putus asa dalam berdakwah. Walaupun kita belum baik lagi. Mungkin ada yang keliru, bolehkah kalau kita berdakwah, dalam masa yang sama kita belum jadi baik lagi?
Teman, ketahuilah setiap Muslim wajib menyampaikan dakwah, walaupun dia adalah seorang pelacur. Contohnya, ada seorang pelacur menasihatkan kawannya supaya jangan berzina. Adakah kawan dia kena tolak dakwah pelacur itu atas alasan, “dia pelacur”? Tak betul. Sama juga macam seorang perokok, dakwah kepada kawannya jangan merokok. Adakah kawannya tolak dakwahnya dengan menyatakan “dia perokok”? Tak betul juga. Sama juga macam tak solat, tak puasa, tak tutup aurat dan sebagainya. Wajib menyampaikan dakwah walaupun dia sendiri masih bergelumang dengan dosa tersebut.
TETAPI, dalam masa yang sama, orang itu WAJIB juga untuk berusaha meninggalkan dosa itu. Seorang pelacur yang menasihatkan kawannya jangan berzina, dia sendiri kena berusaha tinggalkan dunia pelacuran. Seorang perokok yang menasihati kawannya jangan merokok, dia juga kena berusaha tinggalkan ketagihan rokok. Sama juga macam kalau seseorang yang tak tutup aurat, walaupun dia nasihatkan kawannya atau keluarganya tutup aurat, dalam masa yang sama, dia wajib berusaha untuk tutup aurat dengan sempurna. Dan seterusnya.
Apa pun, jangan lemah semangat, putus asa dan kecewa. Bina kekuatan, cari kawan-kawan yang baik, dan yakinlah Allah sentiasa ada dengan kita. Kemudian teruskanlah buat dakwah dengan mengajak kepada yang baik (makruf) dan mencegah kepada yang buruk (munkar).
|
Dapatkan buku Harapan Masih Ada karya Qamarul Nazrin di semua rangkaian kedai buku di seluruh Malaysia. |
2. Satu lagi perkara penting, jangan termakan dengan cacian, kutukan, hinaan dan tolakkan mereka dengan emosi negatif, sampai akhirnya kita pun memaki hamun, mencerca dan sebagainya. Saya dah hurai dalam juzuk pertama tadi. Jangan sampai jadi macam ini. Rilek, tenang, teruskan dakwah, keep calm and marching forward.
Dakwah dengan berhikmah bermaksud dakwah dengan bijaksana bergantung mengikut keadaan dan suasana. Betul, ada masa kena marah, tegur, dan seumpamanya. Tetapi bukannya dengan memaki hamun dan mencerca. Sangat beza antara marah dan maki hamun. Ibarat macam seorang cikgu marah kepada anak muridnya yang langgar peraturan, dengan seorang cikgu yang memaki hamun anak muridnya yang langgar peraturan. Dua perkara yang sangat berbeza.
Lagi satu, apabila dakwah kepada kawan baik kita secara peribadi untuk berubah, elakkan untuk menyindir mereka. Walaupun mereka menyindir kita dengan teruk. Elakkanlah. Ajaklah mereka dengan cara yang terbaik dan pelbagai. Moga mereka bertemu hidayah (petunjuk) daripada Allah, seterusnya dapat taufiq (kekuatan) untuk kekal istiqomah.
Wallahua’lam
– Shukery Azizan –
p/s: Tulisan ini diambil daripada buku Pujukan Dari Tuhan karya Shukery Azizan. Boleh dapatkan buku Pujukan Dari Tuhan sama ada di kedai-kedai buku POPULAR, MPH, SMO dan lain-lain, atau boleh juga dapatkan secara online melalui isbirofficial
p/s : Dapatkan E-Book tulisan Shukery Azizan yang bertajuk “Kisah Wanita Di Dalam Al-Quran” hari ini juga. Klik di sini untuk dapatkan segera : >> KLIK DI SINI <<