Tadabbur Juzuk 5 : Kenapa Nak Putus Asa Dengan Allah?

 

Alhamdulillah, kali ini kita masuk pula ke surah yang baru lagi, iaitu surah ketiga terbesar yang diturunkan dalam fasa Madinah, iaitu surah Madaniyyah, selepas surah al-Baqarah dan ali-Imran. Surah ini dinamakan an-Nisa’ yang bermaksud wanita. Salah satu sebab dinamakan an-Nisa’ kerana surah ini banyak membicarakan tentang hal yang berkaitan dengan wanita berbanding surah lain. Contohnya seperti hak wanita, tanda-tanda wanita solehah, pembahagian harta pusaka, pemberian mahar kepada wanita dalam munakahat, nasab, susuan dan lain-lain. Oh ya, ada satu lagi surah yang banyak cerita tentang wanita adalah surah at-Talaq.
 
            Apa pun, kalau kita renungkan, surah an-Nisa’ ini juga sekaligus mengangkat martabat dan maruah perempuan ke tahap yang tertinggi. Sebab kalau kita perhatikan zaman jahiliah, wanita hidup dalam keadaan terhina. Jadi hamba seks, bayi perempuan dibunuh hidup-hidup, hak wanita diabaikan, dan sebagainya. Dengan kedatangan Islam, maruah wanita diangkat setinggi-tingginya. Dan kalau awak nak tahu, harga bagi sebuah maruah seorang wanita (dan juga seorang lelaki) adalah SYURGA. Bukannya harta, takhta ataupun kuasa. 
 
Tetapi sayangnya, zaman hari ini maruah perempuan dihina sekali lagi. Contohnya, berapa banyak wanita yang dieksploitasi untuk tujuan pemasaran dan pengiklanan. Daripada produk kosmetik, sehinggalah jual tayar kereta pun ada model wanita! Apa kaitan? Itu belum lagi yang jadi paddock atau umbrella girls dalam perlumbaan motor atau kereta, dan sebagainya. Allah.. Betapa sedihnya maruah wanita yang diperlakukan sebegitu. Itu belum lagi kalau dalam kalangan remaja, dengan istilah bohsia, cikaro, dan lain-lain. Moga Allah pelihara zuriat keturunan kita daripada terhancurnya maruah. Ameen.
 
            Apa pun, untuk juzuk 5 ini, sebenarnya saya nak pilih beberapa ayat. Antaranya ayat ke 40, 110 dan 147. Tetapi lepas fikir panjang, saya pilih yang ayat yang ke 147. Sebab ayat yang ke 40 dan 110 boleh diambil pengajaran bersama dengan ayat ke 147 ini. Saya akan hurai dalam bahagian pengajaran. Moga bermanfaat. Bismillah.

مَّا يَفْعَلُ اللّهُ بِعَذَابِكُمْ إِن شَكَرْتُمْ وَآمَنتُمْ وَكَانَ اللّهُ شَاكِراً عَلِيماً
“Apa gunanya Allah menyeksa kamu sekiranya kamu bersyukur (akan nikmatNya) serta kamu beriman (kepadaNya)? Dan (ingatlah) Allah sentiasa Membalas dengan sebaik-baiknya (akan orang-orang yang bersyukur kepadaNya), lagi Maha Mengetahui (akan hal keadaan mereka).”

(Surah An Nisa’ 4 : 147)
 
Ayat yang ke 147 ini serius sangat menarik dan menyentuh perasaan. Tetapi kalau nak lebih menyentuh perasaan, cuba kita perhatikan 2 ayat sebelum itu, iaitu ayat yang ke 145 dan 146. Dalam ayat ke 145, Allah menceritakan tentang azab kepada orang-orang munafik. Siapa orang munafik ini? Orang munafik adalah orang kafir yang berpura-pura masuk Islam, dan bertujuan untuk menghancurkan Islam daripada dalam. 
 
Dapatkan buku Harapan Masih Ada karya Qamarul Nazrin
di semua rangkaian kedai buku seluruh Malaysia.
Dan tiada siapa pun tahu siapakah yang munafik, kecuali Allah, Rasulullah dan Huzaifah al Yamani, seorang sahabat yang menyimpan rahsia Rasulullah . Rasulullah pernah memberitahu senarai orang munafik, dan meminta beliau merahsiakan sebelum baginda wafat. Selepas kewafatan Huzaifah pula, tiada siapa tahu siapakah yang munafik. Sebab munafik adalah penyakit hati, tidak diketahui kecuali Allah sahaja. Kita tidak disuruh untuk cari siapakah munafik walaupun diberitahu tentang hadis ciri-ciri nifaq. Ciri-ciri itu adalah untuk muhasabah diri sendiri, bukan melabel sesama Muslim.
 
Dan munafik ini lebih bahaya daripada orang kafir yang jelas nyata memerangi Islam. Mungkin itu salah satu sebab kenapa Allah campakkan golongan munafik ke dalam Neraka yang paling BAWAH ! Allah berfirman yang bermaksud,
 
“Sesungguhnya orang-orang munafik itu ditempatkan pada tingkatan yang terkebawah sekalidari (lapisan-lapisan dalam) Neraka. Dan engkau tidak sekali-kali akan mendapat sesiapa pun yang boleh menolong mereka.”
(Surah an-Nisa 4 : 145)
 
Serius seram! Tetapi….. Allah sambung lagi pada ayat seterusnya, yang mana Allah memberi pengecualian kepada orang yang bertaubat dengan sebenar-benar taubat. Allahu Rabbi. Maha pemurahnya dan baiknya Allah. Bukan setakat Allah ampunkan dan menerima taubat mereka, bahkan Allah kumpulkan mereka dengan orang yang beriman pula sekaligus menganggap mereka ini sebagai orang yang beriman! Dan Allah berikan satu lagi nikmat agung. Apa dia? Iaitu masuk ke dalam Syurga Allah. Allahu Akhbar. Allah sebut dalam al-Quran yang bermaksud,
 
“Kecuali orang-orang yang bertaubat (dari perbuatan munafik itu) dan memperbaiki amalan mereka (yang salah), dan mereka pula berpegang teguh kepada (agama) Allah, serta mengerjakan agama mereka dengan ikhlas kerana Allah, maka mereka yang demikian itu ditempatkan bersama-sama orang-orang yang beriman (di dalam Syurga); dan Allah akan memberikan orang-orang yang beriman itu pahala yang amat besar.”
(Surah an-Nisa’ 4 : 146)
 
Kenapa saya terangkan ayat ke 145 dan 146 terlebih dahulu? Sebab saya nak beritahu kepada awak, ini adalah bukti betapa sayangnya Allah kepada kita dengan sentiasa memberi pengharapan supaya manusia terus kembali kepadaNya. Manusia yang macam mana? Manusia (terutama orang Islam) seperti kita semua yang kadang-kadang merasakan diri sendiri sebagai HIPOKRIT. Malah, banyak kali melakukan ciri-ciri nifaq seperti berbohong, tidak amanah, khianat, dan sebagainya. Bahkan, kadang-kadang, ada orang yang terlajak hingga jauh atau meninggalkan terus agama. 
 
Sampai satu saat, mereka sangka bahawa Allah dah tidak mahu ampunkan mereka. Mereka sangka Allah dah BENCI mereka. Mereka sangka Allah tidak akan maafkan mereka. Mereka sangka dah tiada jalan balik lagi untuk masuk Syurga. Dan mereka sangka bahawa mereka dah tidak boleh bertaubat lagi. Bila datang perasaan ini, Syaitan pun semakin galak menghasut lagi, 
 
“Haa! Memang Allah benci kau. Dia akan masukkan kau ke dalam Neraka. Kau tak ada peluang untuk taubat. Masak la kau Neraka.”
“Kita kan ahli Neraka berdaftar, tak payah nak bergaul sangat dengan orang alim yang kononnya ahli Syurga tu.”
 
Hingga akhirnya kadang sampai terfikir, 
 
“Kenapa Allah hidupkan manusia? Kenapa beri ujian pada manusia? Kenapa Allah cipta Neraka? Kenapa mesti kena seksa? Kenapa dan kenapa?”
 
Apabila timbul persoalan demi persoalan sebegini, sebenarnya Allah dah sediakan jawapan di dalam al Quran,

مَّا يَفْعَلُ اللّهُ بِعَذَابِكُمْ
“Apa gunanya Allah menyeksa kamu…”
 
Inilah bahagian yang paling menyentuh perasaan saya secara peribadi. Kenapa Allah perlu seksa kita? Kenapa Allah perlu hukum kita? Sekiranya kita..

إِن شَكَرْتُمْ وَآمَنتُمْ
“…sekiranya kamu bersyukur (akan nikmatNya) serta kamu beriman (kepadaNya)?..”
 
Allahu Rabbi. Apa gunanya Allah menyeksa sekiranya dalam hati kita ada sekelumit rasa syukur dan beriman pada Allah. Walaupun mungkin perasaan syukur dan keimanan itu lebih kecil saiznya daripada skala Planck. Kenapa perlu Allah seksa kalau macam itu? Bahkan lebih daripada itu, Allah sambung lagi,

وَكَانَ اللّهُ شَاكِراً عَلِيماً
“Dan (ingatlah) Allah sentiasa Membalas dengan sebaik-baiknya (akan orang-orang yang bersyukur kepadaNya), lagi Maha Mengetahui (akan hal keadaan mereka).”
 
Untuk pengetahuan, kalimah شَاكِر (syaakir) dalam kaedah bahasa Arab sepatutnya digunakan untuk HAMBA. Tetapi untuk ayat ini, Allah menggunakan untuk diriNya sendiri. Analoginya seperti, Yang Dipertuan Agong Malaysia (YDPA) datang ke rumah kita, dan berbual dengan menggunakan kata ganti diri “saya”, bukannya “beta”. Allahu. Betapa Allah nak tunjukkan kepada kita semua bahawa Allah sungguh-sungguh menghargai keimanan dan syukur kita yang sebenar-benar ikhlas itu, walaupun hanya sedikit.

*****
Dapatkan buku Surat Untuk Orang Putus Asa karya Ustaz Adnin
di semua rangkaian kedai buku di seluruh Malaysia.
Pengajaran yang paling berharga untuk kali ini adalah,

1.         Duhai teman, sungguh bahawa Allah sayang sangat pada kita. Sungguh saya tidak tipu. Allah sayang kita semua. Ini adalah bukti dan harapan yang Allah berikan kepada kita. Harapan yang TIDAK pernah mengecewakan. Harapan yang TIDAK pernah mati. Harapan yang sentiasa hidup. Harapan yang sentiasa memberi semangat dan motivasi. Allah hanya mahukan kita BERSYUKUR walaupun sedikit dan BERIMAN kepada Allah dengan keimanan yang sungguh-sungguh.Pernah satu hari anak Imam Hasan al-Basri terluka di tangannya. Lalu Hasan al-Basri bertanya kepada anaknya lebih kurang, “Adakah tangan kamu cedera? Nampak seperti berdarah..” Anaknya menjawab,
 
“Wahai ayahku.. Syukur alhamdulillah. Syukur kepada Allah kerana hanya membenarkan tangan aku sahaja yang terluka berdarah sedangkan BADAN aku masih selamat…”
 
Allah.. Ibnu Athaillah al-Sakandari juga pernah menyebut, “Siapa yang tidak mensyukuri nikmat Tuhan, maka bererti dia berusaha untuk menghilangkan nikmat itu. Dan siapa yang bersyukur atas nikmat bererti telah mengikat nikmat itu dengan ikatan yang sangat kuat.”
 
 
Jadi apa saya nak sampaikan adalah, bersyukur dan berimanlah pada Allah dengan sungguh-sungguh. Nescaya Allah akan ampunkan dosa, hargai dan muliakan kita. Allah sayang pada kita semua. Ketahuilah, Allah TIDAK mahupun untuk menyeksa atau menghukum kita. Sekiranya kita bersyukur dan beriman pada Allah.
 
2.         Macam saya sebut, pada ayat yang ke 40 dan 110 surah An-Nisa’ ini seakan memberi signal kuat kepada kita bahawa Allah sungguh-sungguh cintakan kita! Saksikan, pada ayat yang ke-40, Allah berfirman yang bermaksud,
 
“Sesungguhnya Allah tidak sekali-kali menganiaya (seseorang) sekalipun seberat zarah (debu). Dan kalaulah (amal yang seberat zarah) itu amal kebajikan, nescaya akan menggandakannya dan akan memberi, dari sisiNya, pahala yang amat besar.”
 
Dan pada ayat yang ke 110, Allah juga berfirman yang bermaksud,
 
“Dan barangsiapa yang mengerjakan kejahatan dan menganiaya dirinya, kemudian ia mohon ampun kepada Allah, nescaya ia mendapati Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”
 
Allahu Akhbar! Maha baik dan Maha penyayang Allah melebihi daripada kemurkaanNya. Walaupun kita buat amalan hanya sebesar zarah sekalipun, Allah tetap akan MENGGANDAKAN pahala itu. Bahkan, sekiranya kita buat jahat dan menganiaya diri sendiri (melakukan kezaliman seperti berzina, menipu, jadi gay dan lesbian, atau apa-apa dosa pun), maka kalau bertaubat, Allah akan AMPUNKAN. Allah ampunkan tanpa syarat. Tanpa syarat wahai teman. Baiknya Allah. Maka, persoalan saya nak timbulkan untuk kita sama-sama fikir. 
 
Kenapa perlu putus asa dengan Allah? Sedangkan Allah berkali-kali TIDAK PERNAH putus asa untuk memujuk kita bertaubat?
 

Wallahua’lam.

 
– Shukery Azizan –
 

 

p/s: Tulisan ini diambil daripada buku Pujukan Dari Tuhan karya Shukery Azizan. Boleh dapatkan buku Pujukan Dari Tuhan sama ada di kedai-kedai buku POPULAR, MPH, SMO dan lain-lain, atau boleh juga dapatkan secara online melalui isbirofficial.
 
p/s : Dapatkan E-Book tulisan Shukery Azizan yang bertajuk “Kisah Wanita Di Dalam Al-Quran” hari ini juga. Klik di sini untuk dapatkan segera : >> KLIK DI SINI <<

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Jom Hantar Kad Ucapan Ramadan

Jom Hantar
Kad Ucapan Ramadan