Tadabbur Juzuk 18 : Ciri-Ciri Orang Mukmin

 

Untuk juzuk yang ke-18 kali ini, kita akan pilih surah Al-Mukminun, salah satu surah yang penting dan amat istimewa sangat. Sebab apa istimewa? Salah satunya kerana 11 ayat pertama dalam surah ini. Dan 11 ayat inilah yang kita akan tadabbur untuk juzuk kali ini, insyaAllah. Tetapi sebelum tu, kita lalui sekali imbas latar belakang surah ini dulu. Surah al-Mukminun adalah surah yang ke-23, dan dalam kategori Makiyyah. Dinamakan surah al-Mukminun sebab permulaan ayat ini saja dah membahaskan tentang sifat-sifat orang mukmin. Ini adalah surah untuk orang beriman, sebab ia berkaitan tentang iman tu sendiri, dengan segala permasalahan, tanda-tanda dan sifat-sifatnya. Dengan kata mudah, iman adalah tema utama surah ini. 
 
            Apa pun, jom kita mulakan eksplorasi tadabbur ayat ini. Bismillah.
 
قَدْ أَفْلَحَ الْمُؤْمِنُونَ (1) الَّذِينَ هُمْ فِي صَلَاتِهِمْ خَاشِعُونَ (2) وَالَّذِينَ هُمْ عَنِ اللَّغْوِ مُعْرِضُونَ (3) وَالَّذِينَ هُمْ لِلزَّكَاةِ فَاعِلُونَ (4) وَالَّذِينَ هُمْ لِفُرُوجِهِمْ حَافِظُونَ (5) إِلَّا عَلَى أَزْوَاجِهِمْ أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُهُمْ فَإِنَّهُمْ غَيْرُ مَلُومِينَ (6) فَمَنِ ابْتَغَى وَرَاءَ ذَلِكَ فَأُولَئِكَ هُمُ الْعَادُونَ (7) وَالَّذِينَ هُمْ لِأَمَانَاتِهِمْ وَعَهْدِهِمْ رَاعُونَ (8) وَالَّذِينَ هُمْ عَلَى صَلَوَاتِهِمْ يُحَافِظُونَ (9) أُولَئِكَ هُمُ الْوَارِثُونَ (10) الَّذِينَ يَرِثُونَ الْفِرْدَوْسَ هُمْ فِيهَا خَالِدُونَ (11)
 
Sesungguhnya beruntunglah orang-orang yang beriman (1) (iaitu) orang-orang yang khusyuk dalam solatnya (2) dan orang-orang yang menjauhkan diri dari (perbuatan dan perkataan) yang tiada berguna (3) dan orang-orang yang menunaikan zakat (4) dan orang-orang yang menjaga kemaluannya (5) kecuali terhadap isteri-isteri mereka atau hamba yang mereka miliki; maka sesungguhnya mereka dalam hal ini tiada tercela.(6) Sesiapa yang mencari di balik itu, maka mereka itulah orang-orang yang melampaui batas.(7) Dan orang-orang yang memelihara amanat-amanat (yang dipikulnya) dan janjinya, (8) dan orang-orang yang memelihara solatnya. (9) Mereka itulah orang-orang yang akan mewarisi, (10) (iaitu) yang akan mewarisi Syurga Firdaus. Mereka kekal di dalamnya.(11)
 
(Surah al-Mukminun 23:1-11)
 
Surah ini dimulakan dengan premis bahawa orang-orang beriman itu adalah golongan yang berjaya dan beruntung walaupun belum masuk Syurga lagi. Allah berfirman,
 
قَدْ أَفْلَحَ الْمُؤْمِنُونَ
“Sesungguhnya beruntunglah orang-orang yang beriman.”
 
Ayat ini dimulakan dengan kalimah قَدْ (qod) yang membawa makna ‘sesungguhnya’ dalam bentuk penegasan. Ini adalah penegasan daripada Allah bahawa orang beriman adalah mereka yang paling beruntung dan berjaya. Kemudian Allah menggunakan kalimah أَفْلَحَ (aflaha) yang membawa maksud berjaya setelah berusaha. Ia juga adalah gambaran bahawa orang beriman itu bahagia di dunia dan di akhirat. Mereka tak pernah kecewa dan berputus asa semasa hidup di dunia sehinggalah bertemu dengan Allah di Akhirat. Dan satu lagi yang menarik tentang ayat pertama ini adalah, Allah menggunakan kalimah الْمُؤْمِنُونَsedangkan di dalam al-Quran, banyak kali digunakan kalimah الَّذِينَ آمَنُواْ. Apa perbezaan kedua-dua kalimah ini? Sedangkan terjemahannya sama saja, iaitu orang-orang beriman.
 
Bezanya adalah dari segi kaedah bahasa Arab. Daripada segi bahasa, kalimah المُؤمِنونَ adalah dalam bentuk isim fa’il (kata nama pembuat). Sedangkan kalimah الَّذِينَ آمَنُواْ pula dalam bentuk fi’il (kata kerja). Dalam prinsip bahasa Arab, kata kerja ‘tak sekuat’ jika dibandingkan dengan kata nama. Contohnya, ‘penulis’ dan ‘orang yang sedang menulis’. Berbezakan? Sebab itulah, apabila digunakan perkataan ‘orang beriman’ itu dalam bentuk kata nama, ia bermaksud bahawa iman mereka itu telah stabil dan mantap. Sedangkan kalimahالَّذِينَ آمَنُواْ  (orang-orang beriman) yang digunakan di dalam bentuk kata kerja, bermaksud mereka itu ada masa imannya naik dan kadang-kadang imannya jatuh. Sebab masih lagi di dalam keadaan tak stabil. Kemudian Allah sambung,
 
الَّذِينَ هُمْ فِي صَلَاتِهِمْ خَاشِعُونَ
“..(iaitu) orang-orang yang khusyuk dalam solatnya..”
 
Inilah ciri pertama orang mukmin yang imannya telah stabil dan mantap. Iaitu mereka yang khusyu’ di dalam solat. Maksudnya tawajjuhnya hati di dalam solat kepada Allah kerana berasa takut dan mengagungkan Allah. Saidina Ali sebut, خَاشِعُونَadalah orang-orang yang takut lagi penuh ketenangan. Ada suatu ketika Rasulullah ternampak seorang lelaki menyapu janggutnya ketika sedang bersolat. Maka Baginda bersabda yang bermaksud,
 
“Jika khusyuk hati lelaki ini akan tenanglah anggota badannya.”
(Riwayat Hakim dan Tirmidzi)
 
Persoalannya, macam mana nak dapat solat yang khusyu’? Ada banyak cara sebenarnya. Awak boleh Google ataupun rujuk mana-mana buku. Salah satu caranya, Allah dah terangkan dalam ayat seterusnya, iaitu,
 
وَالَّذِينَ هُمْ عَنِ اللَّغْوِ مُعْرِضُونَ
“..dan orang-orang yang menjauhkan diri dari (perbuatan dan perkataan) yang tiada berguna..”
 
Kalimah اللَّغوِ(lagha) membawa maksud perbuatan atau tindakan yang langsung tak memberi sebarang manfaat sama ada di dalam perkara dunia apatah lagi Akhirat. Bahasa mudahnya, perkara yang sia-sia. Ia tidaklah sesuatu yang membahayakan dengan jelas, tetapi yang pasti ia adalah perbuatan membuang masa. Orang yang khusyu’ dalam solatnya adalah mereka yang meninggalkan perkara lagha.
 
Perkara lagha ini termasuklah tersangkut dalam media sosial selama berjam-jam, selalu melepak di shopping mall, banyak tidur, banyak gelak, selalu bermain games dan sebagainya. Termasuk juga orang yang suka melayan lagu-lagu lagha. Imam Hassan al-Banna pernah menyebut di dalam wasiatnya yang ke 2, “Bacalah al-Quran, tatapilah buku-buku ilmu, pergilah ke majlis-majlis ilmu, dan amalkanlah zikrullah dan janganlah membuang masa dalam perkara yang tiada memberi faedah (lagha).” Ini ciri orang beriman yang kedua. Kemudian Allah sambung lagi,
 
وَالَّذِينَ هُمْ لِلزَّكَاةِ فَاعِلُونَ
“..dan orang-orang yang menunaikan zakat..”
 
            Ciri ketiga adalah mereka yang menunaikan zakat. Mufassirin berbeza pendapat tentang kalimah الزَّكاةَ. Ada yang berpandangan zakat yang perlu dibayar dengan harta. Satu lagi pendapat kata ‘tazkiyatun nafs’ iaitu penyucian hati dan jiwa. Dua-dua melibatkan ‘penyucian’, satu penyucian harta, satu lagi penyucian hati. Untuk tadabbur ini, kita akan fokus kepada penghayatan pada penyucian hati. Orang mukmin yang berjaya adalah mereka yang sentiasa menyucikan hati dan jiwa daripada perkara dosa dan maksiat. Dosa dan maksiat ini termasuklah tidak menutup aurat dengan sempurna, berikhtilat, bercouple, melayan drama, movie atau anime yang ada unsur aurat, menonton video lucah, tak menjaga pandangan mata dan banyak lagi. Kemudian ayat seterusnya,
 
وَالَّذِينَ هُمْ لِفُرُوجِهِمْ حَافِظُونَ
“..dan orang-orang yang menjaga kemaluannya..”

 

Dapatkan buku Bagaimana Menjadi Pemimpin karya
Ir Lukman Al Hakim di semua rangkaian kedai buku di seluruh Malaysia.

 

            Ciri keempat adalah mereka yang menjaga kemaluannya. Atau bahasa mudahnya, orang yang mengawal nafsu syahwat. Mereka adalah orang yang menjaga maruah daripada berzina. Bukan setakat berzina, bahkan meninggalkan jalan-jalan ke arah zina tu sendiri seperti menjaga pandangan, menjaga ikhtilat, dan sebagainya. Rasulullah bersabda yang bermaksud,
 
Barangsiapa yang dipelihara oleh Allah dari keburukan dua perkara, nescaya ia masuk Syurga: Apa yang terdapat di antara kedua tulang dagunya (mulutnya) dan apa yang berada di antara kedua kakinya (kemaluannya).”
(Riwayat Tirmidzi)
 
إِلَّا عَلَى أَزْوَاجِهِمْ أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُهُمْ فَإِنَّهُمْ غَيْرُ مَلُومِينَ
“..kecuali terhadap isteri-isteri mereka atau hamba yang mereka miliki; maka sesungguhnya mereka dalam hal ini tiada tercela..”
 
            Walaupun kita disuruh untuk menjaga kemaluan, tetapi Islam tetap meraikan fitrah manusia. Sebab itulah, dibenarkan melempiaskan nafsu syahwat hanya kepada yang halal saja. Iaitu kepada isteri dan hamba sahaya. Dalam konteks hari ini, hamba dah tak ada lagi. Jadi, nafsu syahwat boleh dilepaskan kepada pasangan yang halal saja, iaitu isteri ataupun suami melalui pernikahan yang sah. Tetapi kalau yang bujang macam mana? Rasulullah beritahu,
 
“Wahai para pemuda, sesiapa di antara kamu yang mampu bernikah, maka bernikahlah. Kerana menikah lebih dapat menahan pandangan dan lebih memelihara kemaluan. Dan sesiapa yang tidak mampu, maka hendaklah ia berpuasa; kerana puasa dapat menekan syahwatnya (sebagai perisai).”
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
 
Kepada pemuda, kalau mampu bernikah, maka bernikahlah kerana ia melengkapkan sebahagian agama. Tetapi kalau tak mampu, berpuasalah dengan puasa orang bertaqwa.
 
فَمَنِ ابْتَغَى وَرَاءَ ذَلِكَ فَأُولَئِكَ هُمُ الْعَادُونَ
“Sesiapa yang mencari di balik itu, maka mereka itulah orang-orang yang melampaui batas..”
 
Dalam ayat ini, Allah menggunakan kalimah ابتَغىٰ yang bermaksud ‘melampau’. Iaitu melawan hukum Allah dalam hal perhubungan suami isteri. Mereka memang berusaha untuk mencari lelaki dan wanita lain walaupun sudah mempunyai isteri dan suami yang halal. Contohnya sanggup melanggan pelacur, ada kekasih gelap, dan sebagainya. Ini termasuklah juga mereka yang memilih nak menjadi golongan LGBT. Kemudian Allah sambung ciri seterusnya,
 
وَالَّذِينَ هُمْ لِأَمَانَاتِهِمْ وَعَهْدِهِمْ رَاعُونَ
“..Dan orang-orang yang memelihara amanat-amanat (yang dipikulnya) dan janjinya..”
 
Orang yang beriman adalah orang yang paling menjaga amanah dan berusaha memenuhi janji mereka. Ini adalah ciri kelima dan keenam untuk orang beriman. Contoh amanah ni termasuklah pelajar yang dapat biasiswa. Mereka diberi amanah untuk belajar bersungguh-sungguh, dan sebagai balasan, mereka akan mendapat biasiswa. Biasiswa datang daripada hasil titik peluh cukai duit rakyat. Tetapi hari ini, berapa ramai pelajar yang khianat biasiswa. Belajar main-main, duit biasiswa gunakan untuk perkara dosa dan maksiat, sampai akhirnya kena buang universiti. Kalau yang dibuang pun, belajarnya ala kadar saja. Setakat dapat CGPA cukup makan.
 
وَالَّذِينَ هُمْ عَلَى صَلَوَاتِهِمْ يُحَافِظُونَ
“..dan orang-orang yang memelihara solatnya..”
 
Ciri ketujuh orang beriman adalah mereka yang menjaga solatnya. Kalau ciri pertama tadi adalah orang yang khusyu’ dalam solat, ciri terakhir ini pula tentang menjaga solat. Antara ciri menjaga solat adalah mereka yang solat di awal waktu. Jika lelaki solat berjemaah di masjid, manakala perempuan solat awal waktu di rumah. Selain itu, orang beriman juga berusaha untuk menjaga solat-solat sunat mereka seperti solat Dhuha, witir, tahajjud, dan sebagainya.
 
أُولَئِكَ هُمُ الْوَارِثُونَ (10) الَّذِينَ يَرِثُونَ الْفِرْدَوْسَ هُمْ فِيهَا خَالِدُونَ (11)
Mereka itulah orang-orang yang akan mewarisi, (10) (iaitu) yang akan mewarisi Syurga Firdaus. Mereka kekal di dalamnya.(11)
 
Subhanallah! Orang-orang beriman ini bukan setakat berjaya di dunia, bahkan mereka juga mewarisi Syurga Firdaus, iaitu Syurga tertinggi, bahkan kekal selama-lamanya di dalamnya. Ini jaminan Allah sejak daripada dunia lagi.
 
******

 

Dapatkan buku Surat Untuk Orang Putus Asa karya
Ustaz Adnin Roslan di setiap rangkaian kedai buku di seluruh Malaysia.

 

Sebenarnya ada banyak pengajaran dalam juzuk kali ini. Tetapi saya ambil satu saja. Seperti yang Allah beritahu, ciri-ciri orang beriman yang berjaya ada 7 berdasarkan ayat ini. Iaitu,
 
a) Khusyuk di dalam solat
b) Meninggalkan perkara lagha
c) Melakukan zakat (tazkiatun nafs)
d) Menjaga kemaluan dari perkara haram
f) Memenuhi amanah
g) Memenuhi janji
h) Menjaga solat
 
Kalau awak perasan, ciri-ciri ini dimulai dengan ‘solat’ dan diakhiri dengan ‘solat’ juga. Ini memberi isyarat yang kalau kita menjaga solat kita dengan penuh khusyu’ dan khudu’ (penuh tertib), sifat-sifat yang lain itu juga akan datang secara berturutan.Janji Allah, apabila kita menjaga solat, insyaAllah solat itu sendiri akan mencegah kita daripada perkara keji dan mungkar.
 
Wallahua’lam.
 
– Shukery Azizan –
 

 

p/s: Tulisan ini diambil daripada buku Pujukan Dari Tuhan karya Shukery Azizan. Boleh dapatkan buku Pujukan Dari Tuhan sama ada di kedai-kedai buku POPULAR, MPH, SMO dan lain-lain, atau boleh juga dapatkan secara online melalui isbirofficial.
 
p/s : Dapatkan E-Book tulisan Shukery Azizan yang bertajuk “Kisah Wanita Di Dalam Al-Quran” hari ini juga. Klik di sini untuk dapatkan segera : >> KLIK DI SINI <<

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Jom Hantar Kad Ucapan Ramadan

Jom Hantar
Kad Ucapan Ramadan