Tadabbur Juzuk 7 : Rasalah Bersalah Dengan Dosa

 Pada juzuk kali ini, kita akan memilih surah al-Maidah, satu surah yang menarik untuk dikaji. Surah ini adalah surah ke 5 di dalam al-Quran, dan termasuk dalam kategori surah Madaniyyah. Perkataan al-Maidah bermaksud hidangan ataupun jamuan. Salah satu sebab kenapa diberi nama Al-Maidah kerana peristiwa pengikut-pengikut setia Nabi Isa alaihissalam yang meminta kepada baginda agar Allah menurunkan untuk mereka Al Maidah (hidangan makanan) dari langit (ayat 112). Surah ini juga dinamakan dengan Al Uqud (perjanjian) kerana kata itu terdapat pada ayat pertama surah ini di mana Allah menyuruh agar hamba-hamba-Nya memenuhi janji mereka terhadap Allah dan perjanjian-perjanjian yang mereka buat sesama manusia. Dan diberi nama Al-Munqidz (yang menyelamatkan), sebab pada akhir surah ini mengandungi kisah tentang Nabi Isa alaihissalam sebagai penyelamat kepada pengikut-pengikut setianya daripada azab Allah
 
            Dan antara hubungannya dengan surah-surah sebelum ini adalah, kalau surah al-Baqarah banyak menyebut tentang golongan Yahudi, surah Ali-Imran banyak menyebut tentang golongan Kristian, manakala surah an-Nisa menyebut tentang golongan Munafik, tetapi dalam surah al-Maidah pula menggabungkan terus ketiga-tiganya, Yahudi, Kristian dan Munafiqun. Apa pun, untuk juzuk ini, saya terus sambung pada ayat yang ke 100. Bismillah.
 
قُلْ لا يَسْتَوِي الْخَبِيثُ وَالطَّيِّبُ وَلَوْ أَعْجَبَكَ كَثْرَةُ الْخَبِيثِ فَاتَّقُوا اللَّهَ يَا أُولِي الألْبَابِ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ
“Katakanlah (wahai Muhammad): “Tidak sama yang buruk dengan yang baik, walaupun banyaknya yang buruk itu menarik hatimu. Oleh itu bertaqwalah kepada Allah wahai orang-orang yang berakal fikiran, supaya kamu berjaya.”
 
( Surah Al-Maidah 5 :100 )
 
Dalam ayat di atas, Allah mengarahkan kepada Rasulullah supaya menyebut dengan terang dan jelas,
 
قُلْ لا يَسْتَوِي الْخَبِيثُ وَالطَّيِّبُ
“Katakanlah (wahai Muhammad): “Tidak sama yang buruk dengan yang baik..”
 
Ya, premis tentang keburukan/kebatilan selama-lamanya tidak akan sama dengan kebaikan/kebenaran. Dalam ayat ini, Allah dah meletakkan satu garis panduan atau ‘garis merah’ untuk beritahu pada kita semua mana yang diterima syarak (iaitu kebaikan dan kebenaran) dan mana yang ditolak syarak (iaitu keburukan dan kebatilan). Jadi sebagai seorang Muslim, by hook or by crook, wajib ikut mana yang mematuhi syarak dan tinggalkan mana yang ditolak syarak. Walaupun yang buruk itu nampak macam cantik dan menarik.
 
Kemudian Allah sambung lagi,
 
وَلَوْ أَعْجَبَكَ كَثْرَةُ الْخَبِيثِ
“… walaupun banyaknya yang buruk itu menarik hatimu. “
 
Macam saya sebut, walaupun yang keburukan, kebatilan atau maksiat itu nampak menarik, ada sedikit manfaat, cantik, dan ramai manusia buat. Tetapi ia selama-lamanya TETAP tidak akan sama dengan kebaikan dulu, kini dan sampai Kiamat. Kemudian Allah ingatkan lagi,
 
فَاتَّقُوا اللَّهَ يَا أُولِي الألْبَابِ
“..Oleh itu bertaqwalah kepada Allah wahai orang-orang yang berakal fikiran..”
 
Allah dengan jelas suruh bertaqwa kepada orang yang berakal fikiran. Apa maksud taqwa? Banyak definisi. Tetapi nak mudah faham, taqwa adalah kita ikut perintah Allah sungguh-sungguh, jauhi larangan Allahsungguh-sungguh, dan ikut sunnah Rasulullah semampu yang boleh. Dan siapa yang ada akal fikiran? Lembu? Ayam? Orang gila? Bukan. Tetapi kita semua manusia yang sihat sejahtera, dan masih lagi waras. Kita ada akalkan? Kita bukannya manusia yang ada otak, tetapi tiada akal. Kenapa Allah suruh kita bertaqwa?
 
لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ
“..supaya kamu BERJAYA”
 
Inilah tujuan yang paling terakhir sekali, iaitu supaya semua berjaya. Berjaya di mana? Sudah pasti berjaya dunia dan Akhirat.
 

 

Dapatkan buku Harapan Masih Ada karya Qamarul Nazrin
di semua rangkaian kedai buku seluruh Malaysia.

 

*****
 
Pengajaran yang kita boleh dapat dari ayat ini,
 
1.         Dalam ayat di atas, Allah dah sebut dengan jelas dan terang bahawa kebaikan itu TIDAK AKAN sama dengan keburukan walaupun SEMUA manusia buat. Tak kisah sama ada keluarga, kawan-kawan, jiran tetangga, masyarakat, pemimpin, bahkan seluruh manusia lakukannya. Ia tidak akan sama, dan tidak akan berubah. Termasuklah walaupun para ulama’ yang buat dosa itu, ia tetap TIDAK AKAN menghalalkan dosa, maksiat dan keburukan tersebut. Ini merupakan salah satu contoh masalah yang bersifat ‘Timeless Problem’. Masalah yang berulang-ulang berlaku sejak daripada zaman Nabi Adam alaihissalam. Kalau zaman sebelum ini, hitam (keburukan) dan putih (kebaikan) nampak jelas. Orang tahu arak itu haram, dan ia jelas. Orang tahu berzina itu haram, dan ia jelas. Orang tahu babi itu haram, dan ia jelas.
 
            Tetapi hari ini, bukan setakat hitam dan putih, malah ada kelabu (samar-samar) juga. Contohnya, isu liberalisme agama. Ada orang kata baik, ada yang kata buruk, walaupun sebenarnya buruk. Yang berhujah menyatakan liberalisme ini baik, mereka akan kata dalam liberal ada nilai-nilai Islam. Sedangkan Allah dah sebut, yang buruk itu TIDAK AKAN sama dengan baik. Kalau dalam isu remaja pula, kes couple dan ikhtilat. Perkara ini dah jelas-jelas salah. Dan ia salah tetap salah walaupun ada ostat facebook kata ia betul. Dan walaupun yang couple itu seluruh sekolah atau universiti termasuk cikgu atau pensyarah couple sekali. 
 
Ataupun yang couple dan berikhtilat sambil pegang tangan itu adalah ustaz yang berserban sebesar bakul durian dengan ustazah tudung labuh warna traffic light sambil berpurdah bling bling seluruh muka. Ia SALAH dan TIDAK AKAN sesekali-kali sama dengan kebaikan dan kebenaran.
 
2.         Yang kedua, yang salah itu tetap salah WALAUPUN ia nampak baik. Kes macam ini Allah dah bentangkan banyak kali dalam al-Quran. Contohnya tentang isu arak dan judi. Allah beritahu bahawa arak itu haram walaupun ia ada SEDIKIT manfaat. Allah berfirman yang bermaksud,
 
“Mereka bertanya kepadamu (Wahai Muhammad) mengenai arak dan judi. Katakanlah: “Pada keduanya ada dosa besar dan ada pula beberapa manfaat bagi manusia tetapi dosa keduanya lebih besar daripada manfaatnya
(Surah Al-Baqarah 2 : 219)
 
Sama juga macam apa-apa maksiat sekalipun. Contohnya macam nak elakkan kes buang anak luar nikah, maka diajarkan pendidikan seks mengikut cara Barat dan memberikan kondom. Atas alasan, nak kurangkan kes anak luar nikah. Nampak macam ada manfaat, tetapi berzina itu tetap dosa besar. Dan ia lebih besar daripada yang kononnya dikatakan manfaat. Begitu juga merokok. Walaupun orang kata merokok itu nampak cool, macho, trendy. Tetapi ia dah jelas haram, kenapa masih nak mencari-cari fatwa ‘harus’?
 

 

Dapatkan buku Bagaimana Menjadi Pemimpin karya
Ir Lukman Al Hakim di semua rangkaian kedai buku seluruh Malaysia.
 

 

3.         Kebelakangan ini, kalau awak perasan, ada banyak projek daripada Yahudi Zionis, Barat dan sekutunya cuba untuk merosakkan umat Islam. Antara projek merosakkan umat Islam adalah Normalisasi. Normalisasi adalah proses nyahsensitif (desensitization) dalam jiwa umat Islam untuk RASA BIASA dan NORMAL dengan dosa. Sebab sepatutnya ciri seorang mukmin adalah sensitif dengan dosa. Sepatutnyalah. Sama macam ayat tadi, sepatutnya kita boleh beza dosa dan pahala, baik dan buruk, sebab keduanya tidak akan sama. Rasulullah sebut,
 
“Orang yang beriman melihat dosanya umpama gunung yang menghempap, manakala ahli maksiat pula melihat dosa itu umpama lalat yang hinggap pada hidung.”
(Riwayat Al-Bukhari)
 
Kalau awak nak tahu, projek normalisasi adalah salah satu agenda golongan liberal sekular. Bawah ini adalah contoh projek normalisasi yang telah berlaku pada Muslim di Malaysia berserta alasan cliche untuk membenarkan dosanya,
 
1. Melihat aurat – alasannya, macam mana nak tengok TV, jalan di shopping mall, dll. Takkanlah nak d
uduk rumah menghadap buku saja. Semua drama, movie ada buka aurat. Takkan nak duduk dalam gua.
2. Mengumpat – alasannya, aku cakap perkara betul.
3. Memfitnah – alasannya, aku cakap je, mana tahu betul?
4. Perempuan menjadi model – alasannya, biasalah marketing dalam bisnes. Marketing kan tujuannya nak menarik perhatian prospek.
5. Melihat seks kecil di tv seperti adegan bercumbuan – alasannya, ala, drama Melayu pun banyak juga aksi lucah kecil ni. Takkan nak kutuk drama korea, jepun, hollywood, bangla, dll je?
6. Mengangkat orang kafir, menghina Muslim – alasannya, kita nak dakwah. Orang kafir lebih telus, orang Islam banyak korup. Dan orang islam patutnya tahu pasal islam, sebab tu boleh hina mereka.
7. Pertahankan dosa / maksiat yang dibuat – alasannya, eleh, kubur masing-masing. Mak bapak aku pun tak marah. Kau peduli apa?
 
Dan banyak lagi. Belum lagi sebut tentang ikhtilat, tinggal solat, judi, arak dan lain-lain. Manakala normalisasi dosa yang sedang berlaku dan mungkin akan berlaku kelak,
 
1. LGBT – atas alasan, apa salahnya, itukan hak masing-masing. Jangan diskriminasi hak mereka bekerja.
2. Membela anjing tanpa sebab – alasannya, kita nak tunjukkan Muslim tak benci anjing.
3. Seks bebas – alasannya, mak bapa dia pun tak kisah.
4. Syiah, qadiyani, dan lain-lain ajaran sesat – alasannya, itu hak mereka nak amalkan kepercayaan masing-masing. Bukannya kacau keluarga kau pun.
5. Seks (berzina) selamat – alasannya, yang penting tak mengandung dan buang anak, oklah tu. Takkan nak kahwin muda, bukannya matang pun.
 
Dan sebagainya. Awak sendiri boleh perasan perkara ini. Dan banyak lagi yang SEDANG dan AKAN berlaku. Kesan normalisasi dosa punca kepada hilangnya sensitiviti iman. Dan bila dah ramai hilang sensitif iman, maka makin ramai orang buat. Akhirnya, kita pun tidak rasa apa-apa dosa. Seolah perkara itu halal pula. Tepuk dada tanya diri,
 
“Apa khabar iman aku?”
 
Sebab tu Rasulullah penah sebut dalam satu hadis sahih bahawa Islam ini datang dengan asing, dan ia akan kembali asing. Maka beruntunglah orang yang a
sing itu (Riwayat Muslim). Ada hadis lain Rasulullah
sebut bahawa akhir zaman ini pegang Islam (syariat) seperti pegang bara api (Riwayat Tirmidzi). Memang susah nak jaga, tetapi at least CUBA sedaya upaya sehingga ke titisan peluh dan air mata yang terakhir untuk jaga sebaiknya. Kalau dah buat salah, TAUBAT dan akui kesalahan. Moga kita sekurangnya rasalah BERSALAH dengan dosa dan paling minima membenci dengan hati. Kerana itulah selemah iman.
 

Wallahu’alam.

– Shukery Azizan –
 
p/s: Tulisan ini diambil daripada buku Pujukan Dari Tuhan karya Shukery Azizan. Boleh dapatkan buku Pujukan Dari Tuhan sama ada di kedai-kedai buku POPULAR, MPH, SMO dan lain-lain, atau boleh juga dapatkan secara online melalui isbirofficial.
 
p/s : Dapatkan E-Book tulisan Shukery Azizan yang bertajuk “Kisah Wanita Di Dalam Al-Quran” hari ini juga. Klik di sini untuk dapatkan segera : >> KLIK DI SINI <<

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Jom Hantar Kad Ucapan Ramadan

Jom Hantar
Kad Ucapan Ramadan