Tadabbur Juzuk 26 : Bantulah Agama Allah

 

Untuk juzuk ke-26 ini, kita akan masuk ke dalam satu surah yang latar belakangnya penuh dengan peperangan dan pertempuran. Iaitu surah yang disebut sebagai surah Muhammad. Ini adalah surah yang ke 47 di dalam al-Quran selepas surah al-Ahqaf. Surah ini dalam kategori Madaniyyah. Dinamakan surah Muhammad sebab menerangkan tentang penurunan al-Quran kepada Rasulullah . Selain nama Muhammad, surah ini diberi nama surah al-Qital yang bermaksud “peperangan” sebab ia banyak membahaskan hukum hakam berkaitan dengan peperangan sama ada semasa peperangan seperti undang-undang dan etika berperang, dan juga selepas peperangan seperti hukum orang tawanan, harta rampasan. Ia juga ada menyatakan gambaran orang mukmin serta ganjarannya dan gambaran orang kafir serta balasan yang akan diterima di Akhirat nanti. Jadi, sebab itu jugalah surah ini diturunkan sebelum Perang Badr berlaku. Selain dari Surah Muhammad ini, Surah al-Baqarah pun macam tu. Ianya adalah persediaan kepada perang yang akan berlaku di Badr.
 
            Apa yang menarik perhatian saya tentang surah ini ialah, ada ulama’ membahaskan surah ini sangat bersesuaian dengan suasana peperangan dan kekerasan. Sebab itu, banyak ayat dalam surah ini seakan menggambarkan kedahsyatan bunyi kata-kata yang diselubungi suasana dan keadaan peperangan. Contohnya, bunyi akhir ceraian-ceraian ayat berdentum-dentum sejak daripada permulaan surah lagi, seolah-olah macam bunyi letupan bom yang berat. Antaranya seperti ‘amalahum, balahum, amthalahum, ahwa’ahum. Tetapi bila bunyinya perlahan, ia seolah-olah bunyi libasan mata pedang di udara pula seperti awzaruha, amthaluha dan aqfaluha. Fuh. Dahsyatkan? Apa pun, untuk surah ini, saya akan pilih ayat yang ke-7. Bismillah,
 
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنْ تَنْصُرُوا اللَّهَ يَنْصُرْكُمْ وَيُثَبِّتْ أَقْدَامَكُمْ
“Wahai orang-orang yang beriman, kalau kamu membela (agama) Allah nescaya Allah membela kamu (untuk mencapai kemenangan) dan meneguhkan tapak pendirian kamu.”
 
(Surah Muhammad 47:7)
 
Ini antara ayat yang saya selalu dengar masa di universiti dulu. Iaitu tentang kalau kita membela dan memperjuangkan agama Allah, nescaya Allah akan membela dan meneguhkan pendirian kita. Allah sebut,
 
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنْ تَنْصُرُوا اللَّهَ يَنْصُرْكُمْ
“Wahai orang-orang yang beriman, kalau kamu membela (agama) Allah nescaya Allah membela kamu (untuk mencapai kemenangan)..”
 
Ayat ini adalah janji Allah bahawa sesiapa orang beriman yang menolong agamaNya, pasti Allah akan menolong dia. Kita kena yakin sungguh-sungguh akan janji Allah ini. Siapa lagi yang maha menunaikan janji selain daripada Allah? Jadi, ayat ini memberi pengajaran kepada para pendakwah supaya tak berputus asa dan gelisah dalam menjalankan dakwah sebab Allah akan menjadi pelindung kepada orang beriman.
 
Ayat ini juga adalah tawaran Allah kepada kita semua sebagai umat Nabi Muhammad . Tawaran untuk membela agama Allah. Boleh saja Allah menegakkan Islam tanpa memerlukan kita, tetapi Allah tetap tawarkan kita juga. Dan sebagai ganjaran, Allah berikan jaminan yang Dia akan membela kita pula untuk mencapai kemenangan! Fuh. Tak cukup sekadar itu, ada satu lagi ganjaran yang Allah nak berikan pada kita, iaitu,
 
يَنْصُرْكُمْ وَيُثَبِّتْ أَقْدَامَكُمْ
“..dan meneguhkan tapak pendirian kamu.”
 
Allah akan meneguhkan pendirian kita berhadapan dengan musuh Allah. Selain itu juga, Allah akan mengukuhkan pendirian kita untuk kekal di jalan Allah tanpa terseleweng.
 
*****
Dapatkan buku Bagaimana Menjadi Pemimpin karya
Ir Lukman Al Hakim di semua rangkaian kedai buku di seluruh Malaysia.
 Walaupun ayat ini pendek, tetapi ia sarat dengan pengajaran. Antaranya,
 
1.         Kepada para pendakwah, jangan putus asa sampaikan dakwah walaupun mungkin ramai orang menolak. Sebab apabila kita berusaha membela dan menegakkan agama Allah ke tempat yang tertinggi, nescaya dan pasti Allah akan membela kita dan meneguhkan pendirian kita. 
 
            Dalam masa yang sama, kita pun janganlah mengambil mudah dan remeh. Contohnya ada pelajar yang bersemangat buat dakwah, buat program agama, bawa usrah sana sini, dan sebagainya, tetapi abaikan akademik. Dengan alasan bahawa Allah akan membantunya. Apabila tiba masa, keputusan peperiksaan teruk, dia mula rasa lemah semangat, dan akhirnya terus tak nak buat dakwah dan tak ikut tarbiah. Ini pun salah satu tipu daya dalam jalan dakwah. Betul kita perjuangkan agama Allah, tetapi jangan lupa tentang sunnatullah, iaitu sunnah alam yang Allah dah tetapkan. Kalau dah tahu pelajar, walaupun rajin buat dakwah tarbiah, jangan tinggalkan akademik. Sebab apa? Sebab itu adalah amanah! Amanah daripada keluarga. Sebab itu, dalam surah al-Mukminun, orang yang berjaya adalah mereka yang menjaga amanah.
 
            Faham?
 
2.         Dulu pernah ada seseorang yang bertanyakan soalan pada saya, kenapa Allah perlukan pertolongan kita untuk membela agamaNya? Bukan ke Allah boleh jaganya sendiri? Saya ingat dia nak provok, rupanya memang dia keliru. 
 
Beginilah, soalan ini sebenarnya boleh menimbulkan soalan yang lain, iaitu “kalau Allah tak perlukan kita, kenapa Allah nak kita menyembahNya, sujud padaNya dan sebagainya?” Ataupun soalan lain, Allah kata dalam surah al-Hajj ayat 37, bahawa semua daging dan darah korban tak akan sampai kepada Allah. Kalau tak akan sampai, kenapa Allah suruh kita laksanakan korban? Dan banyak lagi soalan.
 
Sebab apa?
 
Mudah saja, sebab Allah nak MEMULIAKAN kita. Ya, Allah nak memuliakan kita. Maha Suci Allah yang tak akan mengharapkan kepada makhlukNya. Sebab kalau kita tak nak beribadah, jadi syirik, dan sebagainya, ia langsung tak menjejaskan Allah. Rasulullah sebut dalam hadis qudsi yang bermaksud,
 
“Wahai hamba-Ku, kalau orang-orang terdahulu dan yang terakhir di antara kamu, sekalian manusia dan jin, mereka itu bertaqwa seperti orang yang paling bertaqwa di antara kamu, tidak akan menambah kekuasaan-Ku sedikit pun. Jika orang-orang yang terdahulu dan yang terakhir di antara kamu, sekalian manusia dan jin, mereka itu berhati jahat seperti orang yang paling jahat di antara kamu, tidak akan mengurangi kekuasaan-Ku sedikit pun juga.”
(Riwayat Muslim)
 
Allah suruh kita beribadah, bersedekah, bersyukur berjihad dan sebagainya adalah untuk diri kita sendiri. Dan untuk memuliakan kita. Sebab itu Allah sebut,
 
Dan sesiapa yang berjihad, maka sesungguhnya jihadnya itu adalah untuk dirinya sendiri. Sesungguhnya Allah benar-benar Maha Kaya (tak memerlukan sesuatu) daripada semesta alam.
(Surah Al-Ankabut: 6)
 
“Dan sesiapa yang bersyukur, maka sesungguhnya dia bersyukur untuk (kebaikan) dirinya sendiri. Dan sesiapa yang ingkar, maka sesungguhnya Rabbku Maha Kaya lagi Maha Mulia.
(Surah An Naml: 40)
 
Jadi berbalik pada soalan itu, kenapa perlu kita membela agama Allah? Mudah saja, sebab Allah nak memuliakan kita, dan menolong segala urusan kita. Sebab itu Allah tawarkan kerja membela agamaNya ini kepada kita. Boleh saja Allah terus memenangkan agamaNya tanpa kita, ataupun menolong kita tanpa perlu kita membela agama Allah. Tetapi Allah kita berusaha dulu, seperti mana usaha Maryam untuk menyentuh pokok kurma. Analoginya seperti ini.
 
Yang Dipertuan Agong Malaysia menyeru rakyat Malaysia untuk menolongnya menyelamatkan Malaysia. Sesiapa yang sanggup, baginda akan kurniakan pangkat kebesaran. Sebenarnya, boleh saja Agong pilih sesiapa yang dia nak untuk selamatkan Malaysia, tetapi baginda tawarkan juga kepada umum sebab nak bagi peluang kepada rakyat berkhidmat untuk negara. Begitulah analoginya. Maha Suci Allah yang tidak akan sama seperti makhlukNya.
 

Wallahua’alam.

 
– Shukery Azizan –
 

 

p/s: Tulisan ini diambil daripada buku Pujukan Dari Tuhan karya Shukery Azizan. Boleh dapatkan buku Pujukan Dari Tuhan sama ada di kedai-kedai buku POPULAR, MPH, SMO dan lain-lain, atau boleh juga dapatkan secara online melalui isbirofficial.
 
p/s : Dapatkan E-Book tulisan Shukery Azizan yang bertajuk “Kisah Wanita Di Dalam Al-Quran” hari ini juga. Klik di sini untuk dapatkan segera : >> KLIK DI SINI <<

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Jom Hantar Kad Ucapan Ramadan

Jom Hantar
Kad Ucapan Ramadan