Macam mana Nak Nikah Tanpa Couple?

 
Kredit gambar kepada Areef Music dan Zahirah (isterinya)
 
Ramai sangat sebenarnya yang tanya soalan lebih kurang,
 
“Admin, macam mana nak KAHWIN kalau TAK couple atau bercinta dulu sebelum kahwin? Boleh bagi solusi tak? Asyik sebut haram haram haram. Bukan apa, saya takut membujang je sebab tak bercinta dulu.”
 
Untuk bab ke 8 buku Aku Bukan Malaikat (siri 1) kali ini ini, saya akan straight to the point saja. Kalau betul kau nak bernikah tanpa couple, ini antara solusi yang kami boleh cadangkan yang kami rasa dan yakin ia patuh syarak.
 
[1]        Kalau kau tidak atau belum couple lagi, maka BERTAQWALAH pada Allah. Apakah maksud taqwa? Taqwa adalah ikut perintah Allah dan jauhi larangan Allah dengan SUNGGUH-SUNGGUH! Bukan sambil lewa atau buat acuh tak acuh saja.
 
[2]        Kalau kau SEDANG couple, ada beberapa pilihan. Tetapi sebelum itu, rasalah bersalah dan berdosa serta bertaubatlah pada Allah. Istighfar banyak-banyak, dan sekurang-kurangnya rasalah berdosa. Dosa ini adalah perkara yang buat kita gelisah dan kita rasa benci kalau orang tahu kita buat.
 
[3]        Pilihan kau ada yang pertama, kahwinlah secepat mungkin. Paling baik, tahun ini. Jangan bertangguh sampai 5,6 tahun. Memang itu adalah angan-angan saja. Ini tiada nas dari al Quran atau hadis, tetapi pengalaman. Semakin lama couple, semakin banyak kau nak buat dosa. Hati pun semakin tak tenang, amal pun semakin kurang.
 
[4]        Pilihan kedua, putuskanlah hubungan couple tersebut kalau kau dan pasangan pun masih teragak-agak bila nak kahwin. Biasa orang akan kata,
 
            “Aku nak kahwinlah nanti..”
 
            Tetapi apabila tanya bila nak kahwin, jawapan paling cliché adalah,
 
            “Nantilah kami fikir..”
 
            Ini tanda kau langsung tak serius. Kau hanya nak puaskan nafsu saja, dan bersifat main-main. Bukan nak kahwin sangat pun. Sebab tak puas enjoy. Taubatlah kawan, mati bila-bila masa saja datang.
 
[5]        Kalau kau pelajar lagi, tak kisah pelajar sekolah, kolej atau universiti sekalipun, belajarlah sungguh-sungguh. Dapatkan straight A’s atau 4 flat. Jangan pening-pening fikir tentang cinta, couple bagai dulu. Kalau kau SEKALI dah terperangkap bab cinta ni, percayalah. Kau mesti akan KETAGIH dan susah nak tinggalkan.
 
Kau belajar pun, nak SMS/whatapps dengan pasangan, kalau boleh nak study sama-sama. Kalau dah study sama-sama, konon alasan nak fokus dan bagi semangat. Jangan tipu diri sendiri. Memang takkan fokus punya. Percayalah cakap saya. Kalau nak bagi semangat, adakah keluarga kau tak cukup bagi semangat? Adakah kawan-kawan tiada untuk bagi semangat? Atau adakah Al Quran dan hadis tak cukup untuk bagi semangat?
 
[6]        “Tetapi kami bercinta kerana Allah? Kami tak buat apa-apa maksiat. Kami tak pegang tangan pun.”
 
Kau bukan bercinta kerana Allah, tetapi kau bercinta sebab NAFSU syahwat ! Kalau kau cintakan Allah dan Rasul-Nya, kau tahu ikhtilat itu haram dan salah[1]. Menghampiri zina itu juga HARAM. Kalau kau dah bercinta, kau mesti lupakan Allah. Buktinya?
 
Kau solat pun lambat sebab nak reply SMS/Whatapps dulu,
Kau tidur pun lambat sebab phone call ataupun SMS/Whatapps sampai pukul 3,4 pagi. Lepas tu bangun subuh lambat.
Kau solat pun tak khusyuk sebab teringat-ingat.
 
Dan macam-macam lagi. Ini bercinta kerana Allah? Jangan tipu diri sendiri kawan.
 
Barangsiapa mengaku dapat menggabungkan dua cinta dalam hatinya,
cinta dunia sekaligus cinta Allah,
maka dia telah BERDUSTA.
Kau bermaksiat, lalu mengaku mencintai-Nya?
Ini sungguh mustahil terjadi.
Andaikan cintamu itu sejati, kau pasti mentaati-Nya.
Tanda cinta adalah Taat!
 
(Imam Syafi’I – Mawa’idh Imam Syafi’i)
 
[7]        Kalau kau dah masuk universiti dan bersungguh nak kahwin, pastikan kau yakin bahawa kau memang dah MAMPU dan BERSEDIA nak kahwin. BUKAN ikut atau dengar ceramah tentang kahwin awal, terus kau rasa nak kahwin. Atau sebab kawan kau ramai kahwin awal, kau pun nak kahwin awal. Ikut sunnah, bukan ikut orang. Sebab ikut pengalaman, fasa umur sekitar 18 hingga 23 adalah fasa umur semangat berkobar nak kahwin awal.
 
Bersedia atau mampusaya maksudkan adalah dengan erti kata ;
 
Ø  Kau ada sebab kukuh kenapa nak kahwin. Berikan sekurangnya 5 sebab utama pada diri dan mak ayah kau kenapa nak kahwin.
Ø  Dah tahu secara asas hukum hakam Islam terutama dalam fiqh munakahat termasuk tunang, nikah, cerai, dan sebagainya sebelum pergi kursus kahwin,
Ø  Sudah yakinkan mak ayah sendiri,
Ø  Kau dah ada kewangan yang boleh menampung,
Ø  Kau dah bersedia mental di tahap paling tinggi sebab berkahwin bukan hanya sampai pelamin, tapi sampai ke lampin.
Ø  Kau boleh berkahwin dalam MASA TERDEKAT (paling terbaik kurang dari setahun bertunang),
Ø  Dan paling penting..
 
Kau kena ada SEBAB yang kukuhkenapa kau nak kawin masa belajar. Sebab itu saya cakap, kahwin jangan ikut orang. JANGAN. Sebab ia melibatkan keluarga dua pihak, keturunan, zuriat, masa depan dakwah tarbiah, bahkan lebih jauh dari itu, ia juga boleh menentukan Syurga Neraka kau. Kalau tak betul-betuk, kau akan menyesal. Kahwin ikut sunnah, bukan ikut orang.
 
Ada orang kata nak kahwin sebab nak elak maksiat, jaga pandangan dan sebagainya. Saya nak terus terang pada kau. Kahwin BUKANNYA solusi UTAMA untuk selesaikan masalah dan maksiat kauseperti tak tunduk pandangan, nak elak maksiat, dan sebagainya.
 
Nak tahu sebab apa?
 
Kenapa selepas kahwin, ramai saja suami yang curang, isteri yang jalang, suami asyik usha dan renung perempuan lain serta main kayu tiga, isteri asyik kacau dan keluar dengan lelaki lain dan sebagainya sehingga akhirnya bercerai. Kenapa? Sebab perkahwinan BUKANNYA solusi UTAMA untuk tinggalkan maksiat. Perkahwinan hanyalah solusi sebahagian sahaja. Habis itu solusi utamanya apa?
 
Solusi utama adalah dengan TAQWA. Iaitu dengan diri kau sendiri. Kalau sebelum kahwin tak tunduk pandangan, selalu buat maksiat, tengok video lucah dan sebagainya, tetapi TIDAK atau BERTANGGUH taubat, sampai lepas kahwin pun kau akan buat maksiat yang sama. Serius. Perkahwinan bukan magik. Sebab itu, nyatakan pada diri sendiri 5 hingga 10 sebab kenapa nak kahwin. Bukan semata-mata elak maksiat saja.
 
Saya pernah jumpa pasangan yang dah kahwin sewaktu belajar, lepas tu MENYESAL kahwin awal. Kemudian ada juga yang kahwin waktu belajar, kemudian akhirnya cerai SEWAKTU belajar juga. Isteri mengandung seorang diri dan bersalin seorang diri dalam status PELAJAR. Haru biru pelajaran.
 
Kahwin bukan boleh main-main. Ia melibatkan hal tanggungjawab, maruah, harta, kehormatan, hubungan kekeluargaan dan hal dunia-akhirat. Ia bukan cinta semata-mata. Jangan tergesa dan jangan bertunda!
 
Wahai para pemuda, barangsiapa di antara kamu telah mampu untuk menikah maka hendaknya ia menikah. Kerana menikah dapat lebih menundukkan pandangan, dan lebih menjaga kehormatan.
 
Barangsiapa yang belum mampu menikah maka hendaklah ia berpuasa, kerana puasa adalah penjaga baginya.”
 
(Riwayat Bukhari dan Muslim)
 
[8]        Apa maksud kewangan yang mampu menampung?”Ada ramai yang saya jumpa bagi alasan,
 
            “Kahwin ni murahkan rezeki. Rezekikan dah ditakdirkan. Duit tak penting, yang penting kahwin. Kau jangan syirik weh.”
 
            Aduh. Betul, kahwin ini memurahkan rezeki. Tetapi rezeki ini apa? Baca pada bab seterusnya. Cuma tentang duit ini, saya nak beritahu ia sunnatullah yang perlu diambil kira dan ia adalah masalah REALITI. Bukan main-main. Ramai bergaduh satu keluarga lalu bercerai sebab isu duit. Lagi satu, nak yakinkan keluarga belah pasangan sana antaranya adalah kewangan yang boleh menampung.
 
            Kalau saya jadi ayah, dan kau datang nak merisik anak saya. Tetapi kewangan apa pun takda. Macam mana saya nak yakin yang kau boleh jaga anak saya? Ya, majlis kahwin saya boleh tolong bantu, tetapi takkan saya nak tanggung kau berdua sampai lepas kahwin dan dapat anak cucu? Dah macam jaga biawak hidup la pula.
 
            Kewangan yang mampu menampung ni bukan bermaksud kena ada RM10,000, atau kena ada RM50,000 dan sebagainya. Ia subjektif. Saya hanya letak 3 kriteria untuk membuktikan seseorang itu ada kewangan yang mampu menampung.
 
Kalau kau lepas 3 kriteria ini, insyaAllah saya yakin kau ada kewangan yang menampung. Sekali lagi saya sebut, ini bukan dari nas hadis dan al Quran. Tetapi ini adalah pengalaman sendiri. Nak terima boleh, nak tolak pun tiada masalah.
 
1.      Mesti boleh bagi duit pada mak ayah sekurangnya-kurangnya SETIAP bulan RM50.00. Kalau tiada mak ayah lagi, bagi pada adik beradik yang belajar. Kalau tiada juga, infaq pada rumah anak yatim. Bagilah lebih, sedekah tu. Ini TAK TERMASUK sedekah yang kau buat dalam tabung masjid, tabung Palestin seperti aman Palestin, tabung ke NGO dakwah dan sebagainya.
 
2.      TIDAK meminta duit pada mak ayah untuk perbelanjaan makanan harian. Sebaiknya, bukan sekadar perbelanjaan makanan, bahkan sampai tahap belanja buku, yuran dan sebagainya. Saya tahu, duit biasiswa atau pinjaman tak pernah cukup. Kalau terlebih cukup tu memang bonus.
 
3.      Kau mampu berdikari cari duit sendiri TANPA bergantung pada pinjaman atau biasiswa apatah lagi duit mak ayah bagi. Carilah duit sendiri sama ada kerja part-time 7-eleven atau petronas ke, kedai roti, tanam cili dan jual, berniaga online, berniaga pasar malam dan sebagainya.
 
Kalau ada 3 kriteria ini, insyaAllah ada kewangan yang menampung.
Seperti saya kata, jumlah kewangan itu adalah subjektif.
kredit gambar : ihsan google

 

[9]        Macam Mana Yakinkan Mak Ayah?
 
            Ini soalan famous yang selalu kami dapat. Antara cara kau nak yakinkan mak ayah adalah ;
 
1)    Beritahu dengan penuh kesungguhan bahawa kau nak kahwin pada mak ayah. Hampir 95% orang yang beritahu pada mak ayah untuk kali pertama, semua mak ayah TIDAK AKAN bagi kau kahwin. Ini normal. Jadi apa kau kena buat adalah, TERUSKAN pujuk. Sampai bila, sampai mereka bagi izin kau kahwin. Pujuk je walaupun terpaksa pujuk sampai 464923.34 kali. Tunjukkan kau serius, bukan sembang saja.
 
2)    Buktikan dengan TINDAKAN. Maksudnya, kalau balik cuti jangan kerjanya tidur sampai tengah hari, malas nak tolong mak ayah, menyusahkan mak ayah, tak nak dengar kata mereka, suruh tolong pun tak nak, kemas rumah pun malas, bangun lambat, dan sebagainya. Itu belum lagi kalau solat lambat, baca Quran malas, dan sebagainya. Macam mana mereka nak yakin, kalau diri sendiri pun tak terurus?
 
3)    Tunjukkan dengan kewangan yang mampu menampung.
 
4)    Jangan pernah derhaka pada mak ayah. Kalau terkasar bahasa, CEPAT-CEPAT minta maaf. Jangan lupa, disebalik kau nak kahwin, ada keberkatan dari mak ayah yang datang membantu kalau kau baik dan taat pada mereka.
 
Dan lain-lain cara untuk yakinkan mereka. Saya tak dapat nak senaraikan kesemuanya. Kalau tak berjaya, ulang lagi langkah ini sampai berjaya. Itupun kalau kau serius nak kahwin.
 
[10]     Kalau dah bersedia nak kahwin?
 
Jangan lupa, bersedia ini memang betul-betul bersedia! Bukan bersedia nak kahwin 5 atau 10 tahun lagi. BUKAN ! Bersedia nak kahwin ni contohnya,  kalau keluarga perempuan itu nak kau kahwin minggu depan, kau boleh kata pada keluarga perempuan tu,
 
“No hal makcik dan pakcik. Anytime anywhere. I’m well prepared ! Oyeah !! “
 
Maksudnya, kau dah boleh nak kahwin dalam masa TERDEKAT. Kalau tangguh pun, tak lebih dari 6 bulan atau setahun. (Kurang dari setahun adalah paling terbaik. Lagi CEPAT lagi bagus). Cuma ingat pesanan saya, jangan tergesa, tetapi jangan menunda.
 
Ha, baru betul.
 
Ok, kalau kau dah betul-betul bersedia nak kahwin, maka cari ORANG TENGAH untuk bantu kau berkahwin atau memulakan proses perkenalan. SEBAIKNYA begitu
.  Siapa orang tengah?
 
1. Sesiapa yang MAHRAM dengan kau. Ayah, abang, kakak, emak, pakcik, makcik, saudara kandung dan sebagainya.
 
2. Kalau dah tiada? Cari ustaz atau ustazah yang dah berkahwin, naqib naqibah usrah yang dah berkahwin, atau pensyarah lelaki atau perempuan yang dipercayai dan dah berkahwin, atau sesiapa yang dipercayai (tsiqoh). Sebaiknya dah berkahwin.
 
Contoh seorang lelaki.
 
Kalau lelaki itu dah bersedia nak kahwin tetapi masih tiada calon. Boleh cari ustaz, ustazah atau sesiapa (yang DAH KAHWIN) yang kau rapat dan percaya, minta pandangan dia tentang calon mana yang kau dah ikhtiar ciri-cirinya sebelum ini.
 
Apa ciri-ciri calon perempuan yang baik?
 
1)    Baik agamanya pada sudut harta, keturunan dan juga kecantikan. Seperti yang saya ulas sebelum ini.
 
2)    Bersedia taat kepada suami.
 
3)    Menjaga aurat dan syariat.
 
Dan lain-lain yang kau rasakan perlu. Selepas dia bagi cadangan, dan kau pun setuju berdasarkan ciri-ciri yang dicari dan kau rasa sesuai, minta ayah/adik beradik/ustaz/naqib/orang yang dipercayai menjadi wakil kau untuk masuk meminang. Jangan orang itu pula yang meminang sudah. Melepas kau.
 
Kalau perempuan dan keluarganya itu setuju, terus bincang tarikh dan bawa keluarga kau berjumpa dengan keluarganya dalam MASA TERDEKAT. TETAPI INGAT, ikhtilat masih kena jagawalaupun dah siap bertunang.
 
Jadi macam mana nak contact? Cadangan saya di zaman teknologi yang serba mudah dan penuh fitnah ini, buat whatapps atau telegram group. Dalam group itu, pastikan ada kau, bakal pasangan kau, mahram kau dan mahram pasangan kau. Sekurangnya 4 orang.
 
Sebab apa? Supaya perbualan dan perbincangan dengan perempuan itu TERJAGA. Kau aka
n bincang benda penting seperti tarikh kahwin, hantaran, kos dan sebagainya.  Bukannya tanya,
 
“Ayang dah makan? Ayang sihat? Taa sabar nakk tawen. Saiyaa taa kuad awaaa.”
 
            Nampak susah? Benda syariat ini memang susah. Sebab itu saya cakap pada pemulaan bab, nak masuk Syurga ini bukan perkara mudah! Dan untuk memastikan perkahwinan kau diberkati, kau mesti pastikan LANGKAH BERMULA itu juga langkah yang diberkati dan ikut syarak.
 
Lagipun, bukan lama sangat pun. Sebab itu saya cakap, cepatkan perkahwinan. Kau pun gembira, pasangan kau pun gembira, saya menulis ini pun gembira dan kita semua gembira. Kecuali syaitonirrojim yang menangis.
 
[10]     Bagaimana dengan perempuan pula?
 
Perempuan pun boleh buat perkara sama. Boleh saja melamar lelaki yang dia rasakan sesuai dengan menggunakan orang tengah. TIADA MASALAH. Jangan peduli sangat dengan istilah “perigi cari timba”. Khadijah r.anha pun melamar Rasulullah guna orang tengah juga.
 
Prosesnya sama juga macam lelaki tadi, yang penting kau jaga batas syariat seperti ikhtilat, tunduk pandangan, jaga percakapan, jaga batas-batas agama, maka jalan saja. Kau juga yang nak kahwin, bukan orang lain.
 
Tetapi apa ciri-ciri calon lelaki yang baik?
 
1)    Orang yang kau redha agamanya dari segi harta, keturunan dan rupa paras iaitu tingkah laku dan akhlak sekali.
 
“Apabila orang yang kamu redha agama dan akhlaknya datang meminang, hendaklah kamu kahwinkannya. Sekiranya kamu tidak melakukannya nescaya akan timbul fitnah dan kerosakan di atas muka bumi.”
 
(Riwayat at-Tirmizi)
 
2)    Ada ciri kepimpinan yang diyakini, bukan sembang kencang. Perkara ini semua kena belajar masa taaruf. Tujuannya supaya menjaga keselamatan, hala tuju rumahtangga, nafkah dan sebagainya.
 
“Kaum laki-laki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita, oleh kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka (laki-laki) atas sebahagian yang lain (wanita), dan
kerana mereka (laki-laki) telah menafkahkan sebagian dari harta mereka.”
 
(Surah an-Nisa’ 4:34)
 
3)    Boleh mendidik isteri dan zuriat syariat agama, walaupun bukan ustaz. Sekurang-kurangnya boleh ajar perkara asas dalam Islam. Kalau tak mampu, paling kurang sekali rajin bawa isteri dan zuriat pergi kelas atau kuliah agama.
 
“Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah dirimu dan keluargamu dari api Neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; penjaganya Malaikat-malaikat yang kasar dan keras, yang tidak derhaka kepada Allah terhadap apa yang Dia perintahkan kepada mereka dan mereka selalu mengerjakan apa yang diperintahkan.”
 
(Surah At-Tahrim 66:6)
 
4)    Kalau walinya atau ayahnya yang carikan, sekurang-kurangnya calon tersebut mestilah anak perempuannya setuju. Seorang ulama bernama Ibnu Jauzi sebut,
 
“Disukai bagi yang ingin menikahkan anak gadisnya agar memilih pemuda yang bagus parasnya. Kerana kaum wanita juga menyukai apa yang disukai oleh kaum lelaki[2].”
 
Dan beberapa ciri-ciri lain yang kau rasa perlu.
 
[11]     Kalau nak cari pasangan sendiri?
 
Boleh saja nak cari sendiri. TETAPIdengan syarat. MESTI jaga ikhtilat, jaga pandangan (tunduk pandangan), jaga kata-kata, jaga batas-batas agama (syariat), dan paling penting ADA ORANG TENGAH. Orang tengah ini MESTI dah kahwin dan FAHAM dan AMALKAN AGAMA. Tak semestinya ustaz atau ustazah. Sebaiknya mak ayah la. Dan yang penting bukannya jenis kaki couple juga. Memang tak jalanlah jawabnya.
 
Tetapi kenapa kena ada orang tengah?
 
Kalau kau baca sirah Rasulullah, kau perhatikan bagaimana Rasulullah kahwin, dan macam mana sahabat lain kahwin. Majoritinya menggunakan orang tengah, dan kebiasaanya orang tengah adalah Rasulullah itu sendiri. Bahkan sirah para tabi’ tabi’in dan juga orang-orang soleh turut menggunakan orang tengah.
 
Apa hikmahnya? Kalau belah lelaki, supaya perbualan dan perbincangan tidak terlajak dari yang sepatutnya. Sekurangnya orang tengah ini akan menjadi pemerhati, dan menasihati kalau ada yang langgar syarak.
 
Sebab tu sebahagian NGO Islam dia ada buat sistem unit “baitul Muslim”. Selain daripada peringatan Rasulullah bahawa kalau dah berdua, mesti syaitonirrojim jadi yang ketiga. Walaupun di alam SIBER!
 
Kalau belah perempuan pula, ia akan meletakkan martabat kau lebih tinggi. Kau akan dilihat sebagai seorang wanita yang pemalu, tahu adab dan akhlak, tidak nampak seperti tergopoh-gopoh, dan sebagainya. Selain daripada menjaga perbualan dan sebagainya.
 
Kalau tiada orang tengah tak boleh ke?
 
Kalau kau tanya saya, jujur saya memang tak bagi. Tetapi ikut pada kau lah. Nak ikut, ikutlah. Tak nak ikut, saya tak paksa. Saya hanya berkongsi apa yang terbaik untuk saya dan kau semua. Kalau kau rasa tanpa menggunakan orang tengah ini boleh membuatkan kau dapat redha Allah dan Syurga, teruskan.
 
Saya bagi tips ini adalah cara yang saya analisa dan YAKINI bahawa inilah jalan terbaik. Kalau kau rasa ini jalan terburuk atau ada jalan lain, dipersilakan. Kita semua akan disoal di Akhirat nanti, inilah usaha saya yang saya ajar pada kau untuk kita sama-sama jaga syariat Allah.
 
Kita usaha semampu mungkin walaupun di sana ada lompong sana sini. Sekurangnya kita berusaha. Qul haazihi sabili!
 
“Katakanlah: Inilah jalanku, aku dan orang-orang yang mengikutiku mengajak (kamu) kepada Allah dengan hujjah yang nyata. Maha suci Allah dan aku tiada termasuk orang-orang yang musyrik.”
 
(Surah Yusuf 12:108)
 
[12] Kalau tak jumpa PASANGAN atau tiada siapa nak pada kau?
 
Jangan risau. Ramai saja yang mati dalam dunia ini tak sempat bertemu jodoh pun tetapi dah bertemu maut. Jangan kalut-kalut. Tetapi jangan pula tak nak kahwin dengan sengaja, itu langgar sunnah dan perintah Rasulullah. Kahwin ini perintah Rasulullah, maka jalankanlah semampu mungkin.
 
Jangan sengaja untuk membujang tanpa sebab, haram. Apa pun, rilek sudah. Teruskan kehidupan macam biasa, dan teruskan usaha PERSEDIAAN iaitu ikhtiar dan mencari. Dalam masa yang sama yakin bahawa jodoh itu takdir Allah. Jangan putus asa, sebab Allah tak suka orang putus asa. Teruskan berdoa dan tahajud jangan lupa.
 
Tetapi kalau kau tiada jodoh dalam dunia ini, percayalah di Akhirat nanti kau akan jumpa pasangan kau. Percayalah, sebab Allah itu tidak mengecewakan. Cuma kau kena sabar, dan sangka baik saja.
 
[13]     Saya rasa okaylah sampai di sini. Ini solusi yang saya boleh cadangkan pada kau, dan saya rasa ia patuh syarak. Kalau ada salah, mohon betulkan. Kalau ada soalan, tanyalah di Facebook atau email di akubukanmalaikat91@gmail.com. Kalau rasa bermanfaat, hadiahkanlah buku ini kepada sahabat-sahabat kau. Moga bermanfaat.
 
Wallahu’alam.
 
“… jika mereka miskin, Allah akan memampukan mereka dari limpah kurnia-Nya kerana Allah Maha Luas (rahmat-Nya dan limpah kurnia-Nya), lagi Maha mengetahui.”
 
(an-Nuur 24:32)

 
– Shukery Azizan –
 
Sumber : Dipetik dari Bab 8 buku Aku Bukan Malaikat karya Shukery Azizan. Kongsikan pada kawan-kawan dan group sebelah jom, dan moga bermanfaat !! :)

———————-

Artikel ini adalah salah satu BAB daripada buku Aku Bukan Malaikat tulisan Shukery Azizan yang insyaAllah sudah ada di pasaran sejak tahun 2016 lagi. Sekarang ni alhamdulillah boleh dapatkan di MPH, Popular, Hasani, SMO, dan lain-lain.

Siapa nak beli online buku ini, boleh hubungi atau whatapps nombor 019-6803782

Anda semua dibenarkan untuk sebarkan tulisan dan buku ini ke seluruh galaksi dan jangan lupa bagi kredit kepada buku Aku BUkan Malaikat tulisan Shukery Azizan.

Bukan nak riya’ or berlagak, tetapi sekurangnya kalau dalam tulisan beliau ada kesalahan, at least orang yang nak tegur tu boleh tahu siapa penulisnya dan macam mana nak tegur penulis tersebut (dalam kes ini, tegur Shukery Azizan). Dan juga at least beliau boleh “tracking” ke mana tulisan dia pergi. :)

Semoga bermanfaat. :) 

 

Sekali lagi, siapa nak beli online buku ini, boleh hubungi atau whatapps nombor 019-6803782 

#ShukeryAzizan
#AkuBukanMalaikat
#TarbiahSentap
 

 

 
 

 

[1] Buku Tarbiah Sentap : 7 Jalan Zina
[2] Ahkaamun Nisaa’ tulisan Ibnu Jauzi hal. 203

4 Responses

  1. sya pon antara org yang fikir, cam mna nak kahwin nanti sebab x couple kan..tapi buat masa skrg ni xde la fikir nak kahwin lagi (23 thn skrg)..tapi mak dah berapa kali tanya bila nak kahwin so kekadang risau la jugak sebab x berkawan ngan sesapa..emm…family sya pulak jenis macam kena cari sendiri pasangan. sya nie pulak jenis malu dan segan sikit dgn lelaki sbb mungkin biasa sekolah semua prempuan dulu..so kekok la sikit cakap ngan laki..hahaha.ntah la.nanti la umur 25 ke baru fikir balik pasal ni,boleh ke? hahaha

  2. Pretty nice post. I just stumbled upon your weblog and wanted to say that I have really enjoyed browsing your blog posts.Devin After all I’ll be subscribing to your feed and I hope you write again soon!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Jom Hantar Kad Ucapan Ramadan

Jom Hantar
Kad Ucapan Ramadan