BSS 51 : Daripada UPSR kepada PhD..?

Maaf malam ni BSS tak menepati hari yang sepatutnya. Sepatutnya BSS dikeluarkan pada hari Isnin, Rabu dan Jumaat.
 
Tapi terkeluar hari sabtu la pula. Takpe la, maafkanlah saya ya.
 
InsyaAllah BSS malam ni saya nak tunaikan janji saya pada korang. Janji apa?
 
Janji nak kongsi cerita seorang sahabat baik saya, Azlan tentang macam mana daripada seorang pelajar sekolah rendah yang sangat TAK CEMERLANG, akhirnya hari ni tengah ambil PhD.
 
Nak tahu kisah dia untuk korang jadikan inspirasi?
 
Tapi sebelum tu saya nak bagitahu. Cerita ni sangat panjang. Jadi saya bahagikan kepada dua bahagian supaya korang tak bosan membaca.
 
Selamat membaca. Moga bermanfaat.
 
Bismillah….
 
 
—-
 
“Anak kau dapat berapa A UPSR?”,
“Azlan, berapa A dapat masa UPSR lepas?”,
“Azlan dapat 5A tak UPSR hari tu?”
 
Ironinya, saya hanya mampu menjawab,
 
“tak de pun makcik, 3B 2C je…”
 
Peristiwa ini berlaku 13 tahun yang lepas…
 
Hari ini mungkin orang berasa pelik,
 
“tipulah masa kau sekolah tak cemerlang, PhD kot sekarang”…
 
Kita mungkin boleh menganggap cemerlangnya seseorang itu pada hari ini disebabkan cemerlangnya dirinya pada masa yang lepas.
 
Untuk kes saya, tidak sama sekali. Jadi, macam mana saya boleh bergelar pelajar PhD seperti hari ini? Sebelum ini saya tidak pernah terfikir untuk menulis coretan pengalaman saya sejak dibangku sekolah sehingga bergelar sebagai pelajar PhD. Tetapi disebabkan permintaan daripada sahabat saya, Ahmad Shukery Azizan, salah seorang daripada admin Tarbiah Sentap, maka saya cuba menulis sebaik mungkin agar sedikit sebanyak memberikan suntikan inspirasi kepada orang lain untuk berjaya.
 
Sewaktu berada di sekolah rendah saya hanyalah seorang kanak-kanak yang tidak ada keistimewaan di dalam akademik. Malah, selalu dimarahi guru disebabkan prestasi pelajaran yang sangat teruk.
 
Saya masih ingat ketika berada di darjah satu, subjek “English” adalah subjek yang paling saya lemah. Sehinggakan guru English pernah menegur di dalam kelas,
 
“Azlan ni bukan dia tidak pandai, cuma dia lembab”
 
Walaupun pernah disindir dan diejek selepas itu oleh rakan-rakan saya, saya tidak pernah ambil hati walaupun sedikit dengan kata-kata guru saya tersebut. Kerana ketika itu saya memahami dan berasakan betul apa yang dikatakan oleh guru terbabit.
 
Ketika berada di darjah 6, seorang guru matematik yang merupakan guru besar di dalam sekolah pernah hampir-hampir menghubungi kedua ibu bapa saya kerana keputusan percubaan UPSR di dalam subjek matematik yang sangat teruk.
 
Sepanjang berada di sekolah rendah, denda-denda seperti duduk di atas kerusi, duduk di luar pintu kelas, kena ketuk dengan buku di atas kepala, kena rotan di atas tangan, dicubit pipi sehingga hampir menitiskan air mata, dilempang oleh guru, semua itu pernah saya lalui. Sehinggakan saya pernah dipanggil “Nobita” kerana selalu dimarahi guru dan teruk di dalam prestasi akademik.
 
Namun begitu, saya tidak pernah ambil hati dan marah kepada guru-guru saya ketika di sekolah rendah dahulu. Kerana sememangnya ketika di sekolah rendah saya tidak pernah serius di dalam pelajaran dan selalu bermain-main. Selayaknya guru-guru saya ketika itu memberikan hukuman kepada diri saya supaya sedar dan berubah. Tetapi, saya masih tak nak sedar dan degil pada ketika itu.
 

 

Gambar sewaktu form 3 (Tembam sebab asyik bersantai di rumah)

 

Bagaimana Pula Di Sekolah Menengah?
 
Di sekolah menengah, ketika berada di tingkatan satu hingga tiga saya hanya bersekolah di sekolah harian biasa dan guru-guru ketika itu tidak terlalu menekan di dalam aspek akademik. Akademik saya masih biasa, dimarahi oleh guru kerana kerja rumah tidak siap dan gagal di dalam peperiksaan sudah menjadi perkara lumrah.
 
Setiap kali pulang ke rumah, saya akan bersantai di atas lantai dengan menonton drama di television sambil makan keropok jajan. Alangkah bahagianya ketika itu sehingga badan saya turut menjadi “bahagia”. Ketika itu, keluarga dan saudara mara saya hilang keyakinan bahawa suatu masa nanti saya akan ke universiti.
 
Sikap yang malas, banyak bermain, suka menonton television, suka tidur, dan suka keluar dengan rakan setiap kali waktu petang menjadikan diri saya lemah dan teruk di dalam akademik. Saya pernah dihantar ke rumah saudara saya ketika waktu cuti sekolah dengan harapan saya dapat belajar dan tingkatkan prestasi akademik. Namun begitu, keadaan tetap menjadi hambar.
 
Betapa lemahnya saya di dalam pelajaran sehinggakan saudara saya tidak mampu berbuat apa-apa.
 
Begitu ironi bukan?
 
Menjadi bahan sindiran dan kritikan oleh guru-guru serta saudara mara sudah menjadi lumrah kepada saya ketika itu. Sebagai seorang manusia, saya selalu menangis dan lemah semangat kerana sindiran serta kritikan sebegitu kepada diri saya.
 
Saya pernah mengharapkan seseorang di dalam hidup saya yang mampu memberikan kata-kata semangat, dorongan, motivasi dan bimbing saya supaya cemerlang dan berjaya. Namun, sememangnya tidak akan pernah ada kerana sikap diri sendiri yang tidak mahu diubah.
 
Keputusan PMR saya ketika itu sangat hambar. Hanya memperoleh 2A sahaja dan selebihnya B dan C. Amat mengecewakan terutamanya kedua ibu bapa saya. Bertambah-tambah kritikan di sekeliling saya sehingga seolah olah tiada lagi harapan yang boleh diletakkan di dalam diri saya.
 
Jadi Sejak Bila Saya Berubah?
 

 

Gambar form 5 (kurus sebab mula nak berubah!)

 

Saya mula berubah ketika berada di tingkatan 4. Ketika itu saya mendapat tawaran untuk masuk ke sekolah teknik dan duduk di asrama. Setelah mendapatkan tawaran itu, saya mula menanam hasrat untuk serius di dalam perubahan dan ingin menjadi orang yang cemerlang pada suatu masa nanti.
 
Saya mula buang sikap malas dan selalu ke bilik prep untuk mengulang kaji pelajaran. Keropok jajan kesukaan saya, saya tinggalkan sejauhnya dan television pula tidak mungkin dapat ditonton di asrama sekolah.
 
Usaha saya untuk berubah ternyata berhasil apabila peperiksaan matematik tambahan ketika berada di tingkatan 4, saya satu-satunya pelajar di dalam sekolah yang memperoleh A.
 
Ketika itu saya mula mendapatkan perhatian di dalam sekolah dan rakan-rakan saya mula melihat saya sebagai “budak pandai add-math”. Saat itu barulah saya dapat merasai perasaan menjadi pelajar yang “ada harapan”.
 
Namun begitu, saya tidak pernah berasa sombong dan memandang hina kepada rakan-rakan lain yang lemah. Bahkan, ketika di dalam asrama saya menjadi mentor kepada pelajar-pelajar yang lemah di dalam matematik kerana simpati kepada mereka. Saya juga pernah menjadi pelajar lemah dan  bahan kritikan orang, sudah semestinya saya turut simpati kepada mereka yang mengalami nasib yang sama seperti saya.
 
Rakan-rakan yang rapat dengan saya ketika itu adalah di dalam kalangan mereka yang lemah akademik. Kerana saya berasakan satu keperluan untuk menyuntik inspirasi kepada mereka agar turut sama-sama cemerlang seperti saya. Saya juga pernah menjadi mentor untuk mengajar subjek fizik di dalam kalangan rakan-rakan sebaya terutamanya mereka yang lemah di dalam subjek tersebut.
 
Setiap kali rakan-rakan saya mengadu berasa tidak pandai dan lemah, saya akan cuba sedaya upaya meyakinkan pada mereka bahawa
 
“kita boleh!!”.
 
Ketika berada ditingkatan 5, ada seorang rakan dari aliran vokasional ingin mencuba mengambil peperiksaan matematik tambahan di dalam SPM. 
 
Ketika itu, ramai rakan-rakan saya yang berada di aliran teknik menyindir dirinya,
 
“boleh ke ko nak ambil ni? Macam tak caya je”,
“add math susah tahu tak, kitorang pun fail, apa lagi ko”,
“lupakan je la, buang masa ko je”..
 
Namun, saya  tidak seperti mereka. Ketika sahabat saya itu mengadu kepada saya tentang kritikan-kritikan orang kepada dirinya, saya berkata,
 
“takpe, ambil je dan usaha sekurang-kurangnya untuk lulus, tak salah untuk ko mencuba, aku boleh ajar ko add-math, jangan risau, buat tak tahu je apa diorang nak kata kat ko”.
 
Pengalaman saya yang pernah dikritik dan disindir menjadikan saya sensitif dan bersikap untuk memberikan kata-kata harapan dan semangat kepada orang lain.
 
Saat itu saya mula sedar, kejayaan yang Allah beri itu bukan hanya untuk diri saya. Bahkan perlu dikongsi bersama dengan orang lain. Akhirnya, setelah mendapatkan keputusan SPM saya berjaya membuktikan kepada kedua ibu bapa saya di mana saya masih ada harapan dan boleh cemerlang seperti rakan-rakan yang lain.
 
Tidak ramai yang menyangka saya mampu mendapatkan keputusan SPM yang cemerlang jika diikutkan sejarah saya yang tidak pernah cemerlang ketika itu.
 
 
 

 

Bersambung…..
 
 
 
Penulis : Noorazlan Bin Abd Azis (Azlan Wildan)
Edited : Ahmad Shukery

4 Responses

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Jom Hantar Kad Ucapan Ramadan

Jom Hantar
Kad Ucapan Ramadan