Apa perbezaan Tawaduk dan Sombong?

 

 
Hari ini, ramai orang Islam khususnya di Malaysia susah nak bezakan atau salah faham antara sifat tawaduk dan sombong. Disebabkan salah faham itu, kadang kala orang yang tawaduk dianggap sombong, manakala orang yang sombong dianggap tawaduk. Yang mana akhirnya ramai orang bermasam muka hanya kerana salah faham remeh ini. Parah.
 
InsyaAllah untuk artikel kali ini, kami akan kongsikan beberapa contoh salah faham yang selalu terjadi dalam kalangan masyarakat Melayu Islam di Malaysia.
 
Kami akan pecahkan tulisan ini kepada beberapa bahagian supaya poin utama yang nak disampaikan jelas dan tidak keliru insyaAllah.
 
1) Tawadhuk vs Sombong
2) Situasi dan solusi
3) Antara yang menegur dan yang ditegur
4) Hati
 
TAWADUK VS SOMBONG
 
Tawaduk itu apa? Secara umumnya, menurut kamus bahasa Melayu, tawaduk itu adalah sifat merendah diri, patuh dan tidak sombong. Allah berfirman di dalam al-Quran yang maksudnya,
 
“Dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong, kerana sesungguhnya engkau tidak akan dapat menembusi bumi, dan engkau tidak akan dapat menyamai setinggi gunung-ganang.” (Surah al-Isra’ : 37)
 
Sifat tawaduk ini secara teorinya memang mudah nak sebut, tetapi nak amalkan, ya Rabbi, memang susah. Terutama apabila kita sudah ada nama, kuasa, harta, jawatan dan sebagainya. Tetapi manusia yang berjaya didik hati dan dirinya untuk menjadi tawaduk, pasti tidak akan menunjuk-nunjuk kehebatan dan kelebihan dirinya sendiri di khalyak ramai. Bahkan sentiasa merasakan bahawa orang lain yang selalu ada dengannyalah yang banyak memberi manfaat pada dirinya dan meningkatkan imannya.
 
Ada banyak kisah tawaduk dalam lipatan sejarah Islam. Tetapi untuk kali ini, kami kongsikan dua kisah berkaitan Imam Abu Hanifah, pengasas mazhab Hanafi, berkaitan dengan tawaduk.
 
Pernah suatu hari, Imam Abu Hanifah berjalan di tepi sebatang parit dan tiba-tiba terserempak dengan seorang kanak-kanak yang sedang berjalan dengan memakai kasut terompah kayu. Beliau menegur budak tersebut, “Wahai budak, jaga-jaga dengan kasut kayumu itu. Bimbang engkau akan tergelincir nanti”.
 
Budak tersebut mengucapkan terima kasih di atas perhatian al-Imam kepadanya lalu bertanya, “Wahai Tuan, siapakah nama tuan?”
 
Imam Abu Hanifah lantas menjawab, “Namaku Nu’man”.
 
“Oh, rupa-rupanya tuanlah yang digelar al-Imam al-A’dzam (Imam Yang Sangat Hebat) itu?” lalu dijawab oleh Imam Abu Hanifah, “Bukan aku yang meletakkan gelaran tersebut. Namun orang ramai yang bersangka baik denganku telah meletakkannya”.
 
Seraya budak itu pun berkata, “Wahai Imam, apa yang telah engkau tegurkan kepadaku tadi tentang berjaga-jaga agar aku tidak tergelincir masuk ke dalam parit sangatlah baik, Cuma izinkan aku memperkatakan sesuatu kepadamu. Jika aku yang tergelincir, sekurang-kurangnya aku hanya akan masuk ke dalam parit tetapi jikalau Tuan Imam tergelincir, bukan masuk ke dalam parit tetapi ke dalam neraka Allah. Usahlah engkau sampai tergelincir ke dalam api neraka disebabkan gelaranmu itu, aku hanya memakai kasut kayu yang jika aku tergelincir sekalipun hanya di dunia semata-mata. Namun gelaranmu itu terkadang membuatkan seseorang akan tergelincir ke dalam neraka Allah SWT lantaran angkuh dan berbangga-bangga, Maka berhati-hatilah wahai Tuan Imam”.
 
Menangis Imam Abu Hanifah mendengar nasihat daripada kanak-kanak kecil tersebut. Dahsyat sifat tawaduk Imam Abu Hanifah. Walaupun semua orang maklum kehebatan ilmunya, namun kehebatan akhlaknya juga sama hebat sehinggakan nasihat daripada seorang budak pun sanggup diterimanya demi nak meningkatkan rasa keimanan dan ketakwaan kepada Allah.
 
Satu lagi kisah Imam Abu Hanifah ketika berhadapan dengan Amirul Mukminin. Pernah satu hari dia diminta oleh khalifah untuk menjadi hakim, tetapi dengan rasa tawaduk Imam Abu Hanifah menolak jawatan itu hanya kerana merasakan dirinya tak layak. Subhanallah.
 
Kemudian Khalifah pun kata, “Kamu berbohong!”. Tetapi Imam Abu Hanifah menjawab semula, “Sesungguhnya Amirul Mukminin telah menghukumkan ke atas saya yang saya tidak layak. Maka, sekiranya saya berbohong, maka jelaslah saya tidak layak untuk menjadi hakim. Sekiranya saya seorang yang benar, maka saya telah katakan kepada kamu bahawa saya tidak layak.”
 
Subhanallah. Walaupun sebenarnya beliau ada saja pilihan untuk terima, tetapi kerana sifat tawaduk, Imam Abu Hanifah sanggup menolak jawatan yang besar itu.
 
Sombong pula apa? Sombong ini sama macam takabbur. Imam Nawawi kata, sombong ini ada 2 jenis, yang pertama sombong kepada kebenaran, kedua sombong dengan sesama manusia (dan merendahkan manusia). Kata Syaikh Salim Al-Hilali, sombong ini adalah memandang dirinya berada di atas kebenaran hingga tahap memperlekehkan orang yang berada di sekelilingnya. Orang sombong akan merasa dirinya sempurna dan sentiasa rasa dirinya di atas orang lain. Allah berfirman di dalam al-Quran yang bermaksud,
 
“Sesungguhnya Dia tidak menyukai orang-orang yang menyombongkan diri.” 
(Surah An Nahl: 23)
 
Disebutkan di dalam tafsir ibnu kathir bahawa dosa yang dilakukan oleh makhluk kepada Allah adalah Iblis. Dan dosa itu adalah sombong. Allah berfirman yang bemaksud,
 
Dan (ingatlah) ketika Kami berfirman kepada para malaikat: “Sujudlah kamu kepada Adam,” maka sujudlah mereka kecuali Iblis; ia enggan dan takabur (sombong) dan ia termasuk golongan orang-orang yang kafir” 
(Surah Al Baqarah : 34)
 
Imam Qotadah berkata tentang ayat ini, “Iblis hasad kepada Adam ‘alaihis salaam dengan kemuliaan yang Allah berikan kepada Adam. Iblis mengatakan, “Saya diciptakan dari api sementara Adam diciptakan dari tanah”. Kesombongan inilah dosa yang pertama kali terjadi. Iblis sombong dengan tidak mahu sujud kepada Adam.”
 

 

Dapatkan buku Pujukan Dari Tuhan karya Shukery Azizan
dan Kerana Aku Sayang karya Aniq Muhaimin secara online di 019 6803782

 

 

 

SITUASI DAN SOLUSI
 
Ada banyak sebenarnya contoh situasi yang berlaku dalam kalangan masyarakat Melayu Islam di Malaysia ini. Cuma di sini, kami sentuh sebahagian saja supaya menjadi muhasabah buat diri kita. Contohnya, situasi yang terjadi kepada seseorang yang ingin menegur kawannya ketika ternampak kawannya buat sesuatu yang layak di tegur. Tetapi masalahnya, bila ditegur kawan tu, kebanyakannya akan menganggap bahawa kita sombong. Hanya kerana kita TEGUR dia.
 
Biasanya, apabila kita menegur kawan kita yang susah nak menerima teguran, kebanyakkan daripada mereka akan respon lebih kurang,
 
“Alamak..ada orang cakap tak serupa bikin. Nak tegur orang,tengok diri dulu. Ingat kau baik sangat? nak tegur-tegur orang…”
 
“Jangan tahu nilai orang lain je, diri sendiri tu cuba la nilai….”
 
“Sombong gila. Cakap tu macam kau sorang je baik…”
 
Dan macam-macam lagi. Inilah yang menjadi masalah. Ramai orang sanggup tidak menegur kawan-kawannya yang lain hanya kerana mereka rasa, itulah tawadhuk. Mereka rasa, kalau tegur orang lain tu bermakna sombong. Kalaulah macam itu cara fikirnya, macam mana pula Rasulullah, para sahabat, tabi’in, dan semua pendakwah adalah sombong, hanya kerana mereka buat dakwah dan menegur kesalahan umat? Dan adakah ahli zuhud, yang beribadah dan tak buat dakwah di kira tawadhuk, kerana mereka tidak menegur orang lain dan hanya memikirkan diri mereka sahaja?
 
Disebabkan salah faham inilah, ramai di kalangan kita tak nak buat dakwah, tak mahu menegur orang yang buat silap. Sepatutnya TAWADHUK tak akan menghalang kita untuk menegur orang. Tetapi, tawadhuklah yang mendorong kita untuk menegur orang!
 
Sekali lagi,
 
“TAWADHUK tak menghalang kita untuk menegur orang. Tetapi, tawadhuklah yang sepatutnya mendorong kita untuk menegur orang..”
 
Kalau betul tawadhuk, bila kita nampak kawan kita buat salah, kita kena tegur. Takkanlah kita nak biarkan kawan kita terus lalai dengan movie, game dan lain-lain? Takkan kita nak biar kawan-kawan kita terus terperangkap dengan ikhtilat dan lain-lain? Kalau betul kita sayang dan inginkan kebaikan untuk kawan kita, dan inginkan yang terbaik untuk kawan kita, maka mengapa kita rasa cuak dan segan silu nak menegur kawan sendiri?
 
Hakikatnya, orang yang tak nak buat dakwahlah adalah orang yang sombong! Mereka menolak kebenaran untuk berdakwah. Hanya nak menjadi baik, menikmati nikmat iman, beribadah dan tinggalkan maksiat hanya seorang diri. Kedekut dan sombong! Di sudut yang lain pula, hakikatnya, orang yang tak dapat menerima teguran juga adalah orang yang sombong. Dan hakikatnya juga, orang yang menuduh orang lain sombonglah merupakan orang yang sombong! Bila di tegur, dalam keadaan mereka memang salah, namun mereka tak mengaku salah akibat sombong dan ego, lantas mencipta pelbagai alasan untuk membenarkan kesalahan mereka.
 
Perkara macam ni selalu terjadi. Ini semua perangai Iblis. Iblis apabila ditanyakan oleh Allah kenapa tidak mahu sujud hormat kepada Nabi Adam, jawapannya kerana dia lebih baik daripada Nabi Adam. Dia diciptakan daripada api sedangkan Nabi Adam daripada tanah. Moga Allah bebaskan kita dari sifat ini. Amin!
 

 

Dapatkan buku Agar Kau Bahagia karya Najmi Fetih
di rangkaian kedai buku seluruh Malaysia sekarang juga!

 

ANTARA YANG MENEGUR DAN YANG DITEGUR
 
Kadang-kadang, apabila situasi di atas terjadi, biasanya akan terjadi “gap” di antara si penegur dan yang di tegur. Kerana masing-masing rasa dirinya betul, masing-masing tak nak kalah. Maka, suka untuk saya jelaskan beberapa perkara.
 
Apabila situasi di atas berlaku, ada keadaan salah si penegur, dan kadang kala salah orang yang ditegur. Kedua-dua watak ni perlu terima hakikat. Cuma, kadang-kadang, kedua-dua watak ni selalu menggunakan ayat quran ataupun kata-kata yang tak layak untuk mereka gunakan.
 
Contohnya:
 
1) Dalam Al-Quran ada ayat: “Janganlah kamu meminta-minta…”
 
Ayat ni di turunkan untuk orang miskin. Dan ayat ni tak boleh di gunakan oleh orang kaya untuk mempertahankan ketamakan mereka. Contohnya, bila ada orang miskin mintak sedekah pada orang kaya, tiba-tiba orang kaya tu jawab:
 
”Kan Allah kata, jangan meminta-minta. Kenapa kau still meminta-minta sedekah kat orang?!”
 
Sungguh licik orang kaya tu. Gunakan ayat Quran untuk tujuan peribadi. Sepatutnya, ayat tu perlu di hayati oleh orang miskin, dan digunakan ayat tu untuk memperbaiki dirinya yang suka meminta-minta. Ayat itu bukan untuk orang kaya menempelak orang miskin yang suka meminta-minta. Masalahnya, bila si miskin tak amalkan ayat tu, dan si kaya menggunakan ayat tu bukan pada tempatnya, maka kucar-kacir berlaku.
 
2) Dalam Al-Quran juga ada ayat quran yang menyebut: “Berilah kamu kepada orang yang meminta dan orang yang tak meminta-minta…”
 
Ayat ni adalah untuk kegunaan orang kaya. Tetapi, ada orang miskin gunakan ayat ni untuk kepentingan peribadinya. Contohnya, apabila orang miskin minta sedekah, dan orang kaya taknak bagi, lantas orang miskin tu cakap:
 
”Kenapa kau tak bagi aku duit? Kan Allah kata, berilah kamu kepada yang meminta dan yang tak meminta-minta…”
 
Parah apabila menggunakan ayat untuk tujuan peribadi. Sepatutnya ayat itu perlu dihayati oleh orang kaya untuk memperbaiki dirinya agar tak menjadi kedekut. Ayat tu bukan untuk orang miskin menempelak si kaya yang tak bagi sedekah padanya,
 
Cuba bayangkan, andai orang miskin mengamalkan ayat: “Janganlah kamu meminta-minta”, dan orang kaya pula mengamalkan ayat: “Berilah kamu kepada yang meminta dan yang tak meminta-minta..” Akan berlaku keharmonian, yang mana orang miskin, walaupun tak meminta, orang kaya tetap memberi mereka duit ,akan berlaku tolong menolong dan sebagainya.
 
****
 
Apa yang kami cuba kaitkan melalui contoh di atas ialah, apabila berlakunya adegan “Si penegur menegur si penerima teguran”, maka masing-masing perlu merenung beberapa ayat yang Allah tujukan kepada mereka. Dan jangan menggunakan ayat yang salah untuk menempelak orang lain. Itu penungang agama namanya.
 
HATI
 
Akhirnya, sombong dan tawadhuk ni adalah daripada HATI. Kita tak mampu tahu hati dan niat seseorang. Jangan mudah melabel orang lain “sombong”. Tetapi, sama-sama check diri sendiri, sejauh mana kita merendah diri, dan tak memandang rendah orang lain.
 
Wallahua’lam.
 
Rujukan :
 

4. https://muslim.or.id/3536-jauhi-sikap-sombong.html

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Jom Hantar Kad Ucapan Ramadan

Jom Hantar
Kad Ucapan Ramadan