Tadabbur Juzuk 30 : Masa Dah Semakin Suntuk

 
Alhamdulillah ya Allah. Akhirnya, kita berjaya juga untuk memasuki juzuk terakhir, iaitu juzuk ke 30. Juzuk 30 ini bermula dengan surah an-Naba’, dan ditutup dengan surah an-Nas. Tetapi untuk kali ini, saya akan memilih kepada surah al-Asr. Surah ini yang ke 103 di dalam al-Quran, dan termasuk dalam kategori Makiyyah. Ia merupakan salah satu daripada surah terpendek di dalam al-Quran, kerana hanya mengandungi tiga ayat sahaja. Walaupun ia surah yang pendek, tetapi pengajarannya terlampau banyak, sehingga kita akan mengambil masa yang agak panjang untuk tadabbur surah ini. Selayaknya dengan nama al-Asr yang bermaksud ‘masa’. Tak hairanlah apabila Dr. Wahbah az-Zuhaili menyebut dalam tafsir al-Munir, bahawa Imam Syafie pernah berkata, “kalaulah Allah menurunkan Surah al-Asr ini sahaja, sudah memadai untuk kita jadikan panduan hidup.” Dan kerana hebatnya surah ini, membuatkan para sahabat Rasulullah dan tabi’in akan membacakan surah ini dengan sesama mereka selepas selesai perjumpaan seperti mana yang disebut oleh Abu Madinah Ad-Darimi. Tujuannya supaya untuk mengingatkan sesama mereka tentang perkara yang amat-amat penting terkandung dalam surah al-Asr. Kerana di dalam surah ini, terkandungnya syaratminimum untuk terselamat daripada tergolong dalam kalangan orang yang teramat-amat rugi. 
 
            InsyaAllah kita akan tadabbur kesemua ayat di dalam surah ini, dan sekaligus akan menjadi penutup kepada buku Pujukan Dari Tuhan ini. Bismillah..

وَالْعَصْرِ
“Demi Masa !” (1)

إِنَّ الْإِنْسَانَ لَفِي خُسْرٍ
“Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian –“ (2)

إِلَّا الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ وَتَوَاصَوْا بِالْحَقِّ وَتَوَاصَوْا بِالصَّبْرِ
“Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.” (3)
 
(Surah Al Asr 103 : 1-3)
 
Surah ini sangat sesuai sebagai penutup untuk siri 30 juzuk Pujukan Dari Tuhan untuk kali ini. Sebab tanpa kita sedari, bahawa sekejap saja dah memasuki juzuk yang ke 30. Allah… Cepatnya masa berlalu. Memang benarlah kita dalam keadaan kesuntukan masa. Dalam surah ni, Allah bersumpah atas makhluk yang bernama MASA!

وَالْعَصْرِ
“Demi Masa ! “
 
Tentang kalimah وَالْعَصْرِ ni, saya tak nak menghuraikan dengan panjang. Cukup sekadar kita memahami terjemahan literal sebagai ‘Demi Masa’. Sebab perbahasannya terlalu banyak, lebih-lebih lagi hal teknikal. Dan sebahagiannya tak mencapai objektif tadabbur buku ini. Jadi, saya reserve untuk awak baca dan belajar sendiri di mana-mana kuliah, buku atau kitab tafsir. Tetapi, kalau kita menghayati ayat ini, Allah seakan nak menyuruh kita sentiasa menghayati dan berfikir tentang masa yang dah berlalu meninggalkan kita. Cuba awak kira usia sendiri, dan itulah masa yang telah berlalu dalam hidup kita. Kalau 20 tahun, dah berlalu 20 tahun. Begitulah seterusnya. Kemudian Allah sebut lagi,

إِنَّ الْإِنْسَانَ لَفِي خُسْرٍ
“Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian -“
 
Kalau awak membaca perbahasan ayat ini, ia penuh dengan kaedah Bahasa Arab yang akhirnya membawa maksud sangat serius akan penegasan ayat ini. Saya sekali lagi tak nak membawa perbahasan teknikal yang panjang lebar, sebab nanti buku ini akan menjadi kitab tafsir pula. Lagipun, saya bukanlah ahlinya. Tetapi untuk sekadar pengetahuan umum, saya akan bawakan 3 contoh bentuk penegasan di dalam ayat ini supaya awak betul-betul faham betapa seriusnya ayat ini.
 
1. Pertamanya, kalimah إِنَّ membawa maksud ‘sesungguhnya’ atau ‘tiada syak lagi.’ Kalimah penekanan atau penegasan ini biasanya digunakan apabila bercakap dengan seseorang yang mungkin tak percaya dengan apa yang kita ingin sampaikan. Sebab itu, dalam bahasa Arab digunakan إِنَّuntuk memberikan penekanan supaya pendengar memberikan perhatian. Itu tandanya ia betul-betul serius.
 
2. Keduanya, kalimah الْإِنْسَانَ yang digunakan untuk terjemahan ‘manusia’. Kalimah الْإِنْسَانَ juga membawa maksud ‘pelupa’. Allah boleh saja menggunakan kalimah lain untuk menyebut tentang manusia seperti الفرد(al-Fard), النفس (al-Nafs) atau الناس(an-Nas). Tetapi, Allah gunakan juga kalimah الإِنسانَ ini sebab ia bukan sahaja menunjukkan kepada manusia secara umum, bahkan turut merujuk kepada setiap seorang manusia yang wujud. Bukannya berbentuk umum, tetapi bersifat khusus. Apabila dikatakan الإِنسانَ, memang ditujukan kepada setiap satu manusia yang wujud di muka bumi ini dan kita semua kena ambil perhatian.
 
3. Ketiganya, kalimah لَفِي خُسْرٍ yang membawa maksud ‘dalam kerugian’. Dalam kaedah bahasa Arab, sesuatu perkataan itu boleh diperkuatkan dengan menggunakan kaedah yang kita sebut sebagai Balaghah. Dan daripada balaghah ayat ini, ianya dalam bentuk yang paling kuat dalam al-Quran. Allah boleh sahaja gunakan kalimah لخاسر atau لقد خسر yang dah juga kuat. Tetapi tetap digunakan في خُسرٍ memberi isyarat bahawa mereka itu ‘tenggelam’ dalam kerugian itu. Kalau dah tenggelam, ia tanda memang teruk sangat.
 
Allah.. Pening ke? Secara mudahnya, ayat kedua ini menunjukkan penegasan teramat sangat, di mana setiap manusia yang wujud di dalam bumi ini adalah dalam kerugian. Ia adalah realiti kehidupan kita sejak kita lahir sampailah hari ini. Kerugian apakah yang paling teruk pernah kita lalui? Saham? Duit?Rumah? Laptop?Handset? hilang anak usrah? hilang anak sendiri? Hilang harta benda? Ini kerugian paling besar yang awak pernah lalui? 
 
Sebenarnya TAK. Kerugian paling besar adalah kerugian MASA. Kalau duit, boleh cari, rumah boleh dibina, handset boleh dibeli, hilang anak usrah boleh ditajmik lagi. Tetapi kalau hilang masa? Selama-lamanya tak akan boleh undur kembali. Sebagai orang yang beriman, sepatutnya kita kena ada sense of respect yang sangat tinggi pada satu makhluk bernama masa. Allah.. Saya yang menulis ni pun sebenarnya banyak membuang masa. Moga Allah sudi ampunkan saya.
Dapatkan buku Harapan Masih Ada karya Qamarul Nazrin
di semua rangkaian kedai buku di seluruh Malaysia.
 
Allah dah beritahu satu fakta yang tak boleh disangkal lagi, iaitu semua manusia berada di dalam KERUGIAN. Kecuali… Kecuali siapa? Allah menyebut,

إِلَّا الَّذِينَ آمَنُو
“Kecuali orang-orang yang beriman..”
 
Yang pertama, kecuali orang yang beriman. Siapa orang yang beriman ini? Orang yang beriman adalah mereka yang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya. Bahasa mudahnya, mereka yang Muslim. Ibn Taimiyyah menyebut, ada dua perkara yang menghalang manusia untuk beriman secara sempurna kepada Allah, iaitu shubuhaat (keraguan) dan shahawaat (godaan nafsu). Keraguan tentang kebenaran Islam, dan godaan nafsu untuk melakukan dosa-dosa besar. Dan satu lagi, mereka juga beriman bahawa masa adalah aset yang sangat penting. Masa adalah aset paling mahal kepada orang yang meyakini pada masa. Kemudian Allah sebut lagi,

وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ
“..dan beramal soleh..”
 
Apabila kita dah beriman sungguh-sungguh kepada Allah dan Rasul-Nya, serta percaya dengan kepentingan masa, maka kita sepatutnya akan BERTINDAK. Sebab sepatutnya keyakinan akan menghasilkan tindakan. Amal soleh adalah hasil daripada kita BERIMAN dan yakin kepada Allah sungguh-sungguh. Allah menggunakan kalimah عمل(amal) membawa maksud melakukan sesuatu dengan niat. Ini berbeza dengan kalimah فعل (fi’il) yang bermaksud perbuatan tanpa niat seperti bernafas, kelip mata dan lain-lain. Dan amal yang dilakukan mestilah الصَّالِحَاتِ iaitu soleh, baik dan seumpamanya. 
 
Kalau dilihat dalam kaedah bahasa Arab, amal soleh yang Allah suruh buat ini adalah perkara yang wajib sahaja seperti solat 5 fardhu waktu, zakat, puasa dan lain-lain. Amal soleh yang wajib ini pun bukannya banyak pun. Contohnya solat fardhu. Sehari kita ada 24 jam, Allah hanya suruh kita solat wajib 5 kali sehari semalam yang tempohnya tidak sampai 1 jam pun kalau dicampurkan kesemuanya. Setahun kita ada 12 bulan, Allah hanya suruh kita puasa sebulan saja. Itu belum lagi zakat dan haji. Sedikit sangat yang Allah minta kita lakukan. Tetapi kenapa kita masih tak buat juga amal soleh?
 
Dan satu lagi, kalau kita percaya pentingnya masa, kita tak akan membuang masa untuk melakukan perkara lagha, sia-sia apatah lagi maksiat. Contohnya bermesej atau berikhtilat dengan lelaki atau perempuan ajnabi tanpa sebab. Ataupun menonton drama ataupun movie yang kita tahu ada unsur haram. Bermain games sampai berjam-jam, dan sebagainya. Kemudian Allah tambah lagi,

وَتَوَاصَوْا بِالْحَقِّ
“..dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran..”
 
Berpesan-pesan kepada al-Haq ataupun kebenaran ini luas maknanya. Sekali lagi saya sebut, saya tak mahu go deep into technical things. Tetapi apa saya nak sebut adalah, kita semua wajib sampaikan kebenaran, ataupun dalam bahasa mudahnya, wajib melakukan tugas dakwah. Rasulullah bersabda yang bermaksud,
 
“Siapa yang melihat kemungkaran maka cegahlah dengan tangannya (atau kuasa), jika tidak mampu maka cegahlah dengan lisannya, jika tidak mampu maka (tolaklah) dengan hatinya dan ia adalah selemah-lemahnya iman.
(Riwayat Muslim)
 
Kita buatlah dakwah atas kapasiti kemampuan kita. Dan dakwah ini mudah saja, contohnya macam nak ke masjid. Apabila pakai jubah serban saja, orang dah tahu yang awak nak pergi ke masjid. Dan itu adalah dakwah. Sebab apa? Sebab apabila masyarakat melihat awak, mereka teringatkan Allah. Sama juga kalau awak menutup aurat dengan sempurna. Itupun satu dakwah walaupun awak tak pernah cakap pun. Sebab apa? Sebab apabila masyarakat melihat awak, mereka teringat Allah. Cumanya, nak mengajak kebaikan memanglah mudah, yang susahnya nak mencegah kemungkaran. Kita akan terfikir perasaan orang, takut orang terasa hati dan sebagainya.
 
Selain itu, ayat ini juga menyuruh kita mencari kawan yang soleh dan solehah yang selalu mengingatkan dan membantu kita dalam menjalankan kerja dakwah. Elakkanlah membuat secara individu. Pentingnya awak ada kawan yang soleh dan solehah sebagai penasihat, dan dalam masa yang sama, awak pun boleh menjadi penasihat mereka. Hal kawan ini saya dah hurai dalam juzuk sebelum ini tentang surah al-Furqan. Kemudian, Allah sebut pada ayat yang terakhir,

وَتَوَاصَوْا بِالصَّبْرِ
“..serta berpesan-pesan dengan sabar.”
 
Kita kena faham صَّبْرِ ni bukan hanya sabar dalam kesusahan, bahkan sabar juga kena sabar dengan NAFSU dan GANGGUAN.
 
Sabar dengan nafsu nak ikhtilat atau berzina.
sabar dengan nafsu nak melakukan maksiat.
sabar daripada nak marah-marah orang,
 
dan sebagainya. Dan satu lagi, صَّبْرِ ini juga membawa maksud ketabahan dan istiqomah. Maknanya, kita juga kena bersabar dan istiqomah dalam beriman, membuat amal soleh, melakukan dakwah, dan mengajak orang lain bersabar.

*****
Dapatkan buku Bagaimana Menjadi Pemimpin karya
Ir Lukman Al Hakim di semua rangkaian kedai buku di seluruh Malaysia.

Jadi pengajaran untuk juzuk yang terakhir ini, mungkin agak panjang sikit. Tetapi apa salahnya awak ambil sedikit masa untuk baca pengajaran ni.
 
1.         Yang pertama sekali adalah, JANGAN MEMBUANG MASA. Kerana buang masa pun adalah satu dosa. Sebenarnya, saya agak takut nak tulis pesanan ini, sebab saya juga antara makhluk Allah yang sering membuang masa. Saya takut nak tulis, sebab ia semua berkaitan dengan saya. Tetapi saya KENA tulis, kerana ini adalah amanah ILMU yang saya ada. Saya kena sampaikan juga. Saya nak sampaikan kebenaran, walaupun kebenaran itu menyentapkan tulang belikat saya sendiri.
 
Jaga dan hargailah masa. Perbaiki hari-hari kita.
Tidur dan bangun awal serta solat awal waktu.
Pergilah solat berjemaah di surau atau masjid sekurang-kurangnya untuk subuh dan Isyak.
Jangan buang masa untuk berikhtilat.
Jangan buang masa layan media sosial lama sangat.
Jangan buang masa main games.
Jangan buang masa melayan drama dan sebagainya.
 
2.         Ada yang bertanya, sekiranya ada orang kafir melakukan amal soleh, menyampaikan kebenaran dan bersabar, adakah dia termasuk dalam golongan yang rugi juga? Saya rasa soalan ini pernah dijawab oleh Dr Zakir Naik. Beliau memberikan perumpamaan, ada seorang pelajar kena menduduki peperiksaan. Dalam peperiksaan itu, dia mengambil 5 subjek, dan wajib lulus kesemuanya. Jika ditakdirkan, dia dapat 4A tetapi 1F, adakah dia dikira lulus ataupun gagal? Sudah pasti gagal walaupun kesemuanya gred A.
 
            Itulah analogi untuk surah al-Asr ini. Wajib buat keempat-empat perkara ini tanpa kurang walau satu pun, iaitu beriman, beramal soleh, melakukan dakwah, dan bersabar. Sebab ianya adalah syarat minima. Tidak cukup hanya dengan melakukan amal soleh, menyampaikan kebenaran dan bersabar, tetapi tak beriman. Tetap termasuk dalam golongan yang rugi juga. Sama juga orang Islam yang beriman, buat amal soleh dan bersabar, tetapi tak nak menjalankan dakwah. Itupun termasuk golongan yang rugi juga.

3.         Kita semua berjalan menuju kepada kematian, sama ada suka atau pun tidak. Tiada hari-hari yang berlalu kecuali kita semakin dekat dengan kematian. Dan, tiada satu hari pun yang berlalu, kita akan DAPAT SEMULA hari tersebut. Saya selamanya tak akan jadi muda remaja macam dulu. Saya dah menuju kepada dewasa dan tua. Bahkan mungkin tak sempat pun menjadi tua. Allah Allah. Ini adalah fakta. Kalau kita akui dan terima fakta ni, ketahuilah, kita akan sedar bahawa, berapa banyak kali kita telah membuang masa. Banyak sangat hingga tidak terhingga jumlahnya.
 
Jadi, kalau kita betul-betul menghayati dan memahami sungguh surah al-Asr ni, kita akan tahu dan merasakan bahawa masa adalah ASET yang paling besar dalam hidup kita. Gunakan secara paling terbaik untuk masa kita. Buatlah perkara yang produktif.

4.         Jagalah solat fardhu, sebab solat merupakan KUNCI untuk kita menjaga masa. Kalau waktu solat pun tak terjaga, kita pun selalu solat lewat, macam mana nak jaga masa betul-betul? Dan hayati juga surah al-Mukminun yang saya kongsikan dalam juzuk yang lepas.

5.         Jangan biarkan kita ada masa lapang yang tak digunakan. Sebab apa? Sebab masa lapang ini akan ‘membunuh’ kita tanpa sedar. Ramai manusia tewas sebab masa lapang yang banyak. Sebab itulah Rasulullah
bersabda yang bermaksud,
 
“Dua kenikmatan yang sering dilupakan oleh kebanyakan manusia adalah kesihatan dan waktu lapang.”
(Riwayat Bukhari)
 
Kerana dengan masa lapang, kita akan cenderung untuk melakukan maksiat. Sibukkanlah diri dengan apa-apa aktiviti yang bermanfaat untuk diri sendiri dan agama. Kalau kita tak manfaatkan masa, secara tak langsung, kita akan membuang masa. Dan kalau lemah, janganlah bersendirian. Banyak perkara boleh dilakukan seperti membaca buku, telefon mak ayah, baca al-Quran, belajar tadabbur dan tafsir al-Quran, mendengar kuliah, ziarah kawan, membuat usrah, dan apa pun aktiviti. Jangan biarkan masa itu membunuh kita. Masa ibarat pedang, kalau kita tak memotongnya, masa itu sendiri yang akan ‘memotong’ kita. Moga Allah mengurniakan kita sahabat-sahabat yang baik, kebijaksanaan dalam menilai, kekuatan dan sebagainya untuk mengurus masa kita.
 
Walaupun surah ini pendek, tetapi saya rasa awak boleh nampak bagaimana ianya amat susah untuk diamalkan. Usaha untuk memahaminya pun sudah satu kesukaran, apatah lagi untuk mengamalkannya dan istiqomah. Tetapi kalau kita usaha untuk menerapkan dalam kehidupan seharian kita tanpa rasa putus asa, insyaAllah, kita akan dapat menyaksikan bagaimana surah al-Asr ini mengubah pandangan kita terhadap hidup secara keseluruhan.
 
Moga semua orang dapat merasakan betapa PENTINGNYA MASA, dan moga Allah kurniakan kita keberkatan masa. Ameen.

Wallahua’lam.
 
– Shukery Azizan –
 
p/s: Tulisan ini diambil daripada buku Pujukan Dari Tuhan karya Shukery Azizan. Boleh dapatkan buku Pujukan Dari Tuhan sama ada di kedai-kedai buku POPULAR, MPH, SMO dan lain-lain, atau boleh juga dapatkan secara online melalui isbirofficial.
 
p/ss : Dapatkan E-Book tulisan Shukery Azizan yang bertajuk “Kisah Wanita Di Dalam Al-Quran” hari ini juga. Klik di sini untuk dapatkan segera : >> KLIK DI SINI <<

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Jom Hantar Kad Ucapan Ramadan

Jom Hantar
Kad Ucapan Ramadan