Tadabbur Juzuk 29 : Inilah Kelebihan Taubat!

 

InsyaAllah, ini adalah juzuk terakhir sebelum memasuki juzuk yang ke 30. Apabila memasuk juzuk ke 29, kebanyakkan surah-surah yang ada di dalamnya tidak terlalu panjang pun. Dan untuk kali ini, kita akan memilih surah Nuh, sebab ia ada kaitan dengan tajuk buku ini. Surah Nuh adalah surah yang ke 71 dalam al-Quran, dan mempunyai 28 ayat. Surah ini termasuk dalam kategori Makiyyah. Berdasarkan nama surah saja, kita dah boleh agak gambaran surah ini, iaitu berkaitan dengan Nabi Nuh alaihissalam.
 
Keseluruhan surah ini secara umum menceritakan macam mana Nabi Nuh alaihissalam menyampaikan dakwah kepada kaumnya. Surah ini banyak menceritakan tentang kesabaran Nabi Nuh alaihissalam. Bayangkan, baginda berdakwah sekitar 950 tahun! Surah ini pun menceritakan kepada kita tentang bagaimana Nabi Nuh berdakwah dengan pelbagai kaedah dan cara. Serta ditolak dan ditentang dengan pelbagai cara juga. Dalam surah ini juga, Allah nak menceritakan pada kita, bagaimana perjuangan dan pengorbanan Nabi Nuh alaihissalam yang pada akhirnya tak ramai pengikut pun. Ia adalah pengajaran pada kita bahawa, tidak semestinya setelah kita menjalankan usaha untuk dakwah bertahun-tahun, pada akhirnya ramai yang akan ikut. Boleh jadi, ramai yang akan menolak. Sebab itu, tanggungjawab kita adalah berusaha saja. Selebihnya adalah urusan Allah. Yang penting, jangan putus asa dalam berdakwah. 
 
Kali ini insyaAllah kita akan sambung tadabbur pada ayat yang ke 10, 11 dan 12. Dan sekiranya awak ada kesempatan, usahalah untuk menghafal surah ini. InsyaAllah, dalam masa seminggu saja boleh hafal, sekiranya awak berikan komitmen yang penuh. Bismillah..
 
فَقُلْتُ اسْتَغْفِرُوا رَبَّكُمْ إِنَّهُ كَانَ غَفَّارًا
“Sehingga aku berkata (kepada mereka): `Pohonkanlah ampun kepada Tuhan kamu, sesungguhnya adalah Ia Maha Pengampun.” (10)
 
يُرْسِلِ السَّمَاءَ عَلَيْكُمْ مِدْرَارًا
“(Sekiranya kamu berbuat demikian), Ia akan menghantarkan hujan lebat mencurah-curah, kepada kamu;” (11)
 
وَيُمْدِدْكُمْ بِأَمْوَالٍ وَبَنِينَ وَيَجْعَلْ لَكُمْ جَنَّاتٍ وَيَجْعَلْ لَكُمْ أَنْهَارًا
“Dan Ia akan memberi kepada kamu dengan banyaknya harta kekayaan serta anak-pinak; dan Ia akan mengadakan bagi kamu kebun-kebun tanaman, serta mengadakan bagi kamu sungai-sungai (yang mengalir di dalamnya).” (12)
 
(Surah Nuh 71 : 10 – 12)
 
Sepanjang 950 tahun Nabi Nuh alaihissalam berdakwah kepada kaumnya, kenapa Allah memilih dialog seperti yang ada dalam ayat 10 hingga 12 ni? Antara salah satu sebabnya adalah, Allah nak memberikan kita isyarat tentang satu “hadiah” yang sangat hebat dan istimewa. Hadiah lagi? Subhanallah, Maha baiknya Allah. Sebelum ini hadiahnya adalah membimbing hati kita. Kali ini, apa pula hadiahnya?
 
فَقُلْتُ اسْتَغْفِرُوا رَبَّكُمْ إِنَّهُ كَانَ غَفَّارًا
“Sehingga aku berkata (kepada mereka): `Pohonkanlah ampun kepada Tuhan kamu, sesungguhnya adalah Ia Maha Pengampun.”
 
Hadiah pertama adalah, apabila kita memohon ampun sungguh-sungguh pada Allah, Allah akan sudi ampunkan semua dosa-dosa kita. Di dalam ayat ini, Nabi Nuh alaihissalam menyuruh kaumnya meminta ampun pada Allah kerana Allah akan sentiasa serta berulang-ulang kali akan mengampunkan dosa hamba-Nya. Kalimah غَفَّارًاbermaksud Allah berkali-kali memberi ampun kepada kita. Kerana umumnya, kita kadang-kadang selepas meminta ampun, tidak lama kemudian, masih buat salah semula. Perkataan غَفَّارًا juga bermaksud Allah boleh ampunkan berkali-kali. Itulah sifat Allah. Maha baiknya Allah.
 
Allah akan sentiasa ampunkan hamba-Nya lagi dan lagi dan lagi serta selama-lamanya selagi mana kita sentiasa meminta ampun. Kemudian Nabi Nuh alaihissalam menyebut lagi,
 
يُرْسِلِ السَّمَاءَ عَلَيْكُمْ مِدْرَارًا
“(Sekiranya kamu berbuat demikian), Ia akan menghantarkan hujan lebat mencurah-curah, kepada kamu;”
 
Baginda beritahu, kalau kita meminta ampun kepada Allah dengan sungguh-sungguh, Allah akan menurun hujan. Hujan ini sinonim dengan rahmat dan rezeki. Sekiranya kita istighfar sungguh-sungguh, Allah akan menurunkan rahmat dan rezeki yang mencurah-curah. Tetapi umat Nabi Nuh alaihissalam dapat hujan azab. Hujan yang penuh dengan “kematian”. Disebutkan tentang hujan yang lebat kepada kaum Nabi Nuh alaihissalam di sini kerana sebelum itu, mereka sedang ditimpa kemarau berpanjangan disebabkan oleh mereka menolak ajakan dakwah baginda.
 
Tetapi apa Allah nak beritahu adalah, kalau tempat kita berlaku kemarau panjang, tiada air, apa kena buat? Beristighfarlah sungguh-sungguh. Minta ampun sungguh-sungguh kepada Allah. InsyaAllah Allah akan turunkan hujan dari langit. Inilah hadiah kedua. Kemudian Nabi Nuh alaihissalam sebut lagi,
 
وَيُمْدِدْكُمْ بِأَمْوَالٍ وَبَنِينَ
“Dan Ia akan memberi kepada kamu dengan banyaknya harta kekayaan serta anak-pinak…”
 
Inilah hadiah ketiga dan keempat. Iaitu dengan kuasa istighfar dan taubat sungguh-sungguh, kita bukan hanya sekadar mendapat turunnya hujan rahmat, bahkan dapat harta kekayaan dan juga anak-anak. Nabi Nuh alaihissalam menggunakan kalimah مدِدْ, yang bermaksud Allah akan memanjangkan atau menambahkan lagi apa yang mereka ada. Jika mereka yang sudah sedia kaya, Allah boleh tambahkan lagi kekayaan mereka. Jika mereka yang miskin, Allah akan berikan kekayaan kepada mereka. 
 
Sama juga macam anak. Jika mereka yang dah ada anak, Allah akan tambahkan lagi anak kepada mereka. Atau kalau mereka tiada anak, Allah boleh berikan anak kepada mereka. Kemudian Nabi Nuh alaihissalam tambah lagi,
 
وَيَجْعَلْ لَكُمْ جَنَّاتٍ وَيَجْعَلْ لَكُمْ أَنْهَارًا
“… dan Ia akan mengadakan bagi kamu kebun-kebun tanaman serta mengadakan bagi kamu sungai-sungai (yang mengalir di dalamnya).”
 
Dan inilah hadiah yang kelima dan keenam, iaitu kebun tanaman dan sungai-sungai yang mengalir dalam kebun itu. Subhanallah !
 

 

Dapatkan buku Kerana Aku Sayang karya Aniq Muhaimin
di semua rangkaian kedai buku di seluruh Malaysia.

 

*****
 
Apa pengajaran daripada ayat ni?
 
1.         Cantik dan indahnya Islam. Kita hanya perlu minta ampun sungguh-sungguh kepada Allah iaitu dengan cara beristighfar dan bertaubat sungguh-sungguh, Allah akan memberikan pada kita bukan hanya sekadar pengampunan, bahkan Allah turut memberikan nikmat-nikmat yang lain. Ada 5 nikmat lain selain keampunan berkali-kali, iaitu hujan rahmat yang lebat, harta kekayaan, anak-anak, kebun tanaman dan sungai yang mengalir di dalamnya. Bukan setakat rahmat di Akhirat kita dapat, di dunia lagi dah terima awal.
 
Kita tak minta pun hujan rahmat.
Kita tak minta pun duit atau harta.
Kita tak minta pun anak-anak.
Kita tak minta pun tanah untuk kebun.
Kita tak minta pun sungai milik kita.
 
Tetapi dengan hanya kita meminta ampun sungguh-sungguh dengan Allah, Allah akan berikan KESEMUANYA itu kepada kita. Semuanya.
 
Siapa yang tak gembira kalau hidupnya penuh hujan rahmat di saat ramai orang lain hidup dalam kemarau dan tak ada air pun di rumah. 
 
Siapa yang tak gembira kalau hidupnya penuh kekayaan yang berkat di saat ramai orang hidup dalam kemiskinan, ataupun kekayaan tetapi harta langsung tak ada keberkatan. 
 
Siapa yang tak gembira kalau ada ramai anak di saat ramai orang lain tak dapat anak walaupun berpuluh tahun kahwin. 
 
Siapa yang tak gembira kalau ada kebun sendiri di saat orang lain merempat tumpang tanah orang lain ataupun terpaksa menyewa di tanah orang lain.
 
Allah Allah.. Nikmat Tuhanmu yang manakah hendak kita dustakan? Bila lagi kita nak meminta ampun pada Allah sungguh-sungguh? Mana ada dalam dunia ini, kalau kita minta maaf pada seseorang, orang itu bukan sekadar maafkan kita, bahkan dia berikan duit, harta, tanah, dan sebagainya. Tak ada. Hanya Allah saja. Maha baiknya Allah.
 
2.         Ayat ini menganjurkan kita untuk sentiasa beristighfar. Memohon keampunan kepada Allah adalah salah satu cara untuk memperolehi rahmat dan diberi rezeki dari arah yang tidak di sangka-sangka. Rasulullah bersabda yang bermaksud,
 
“Barangsiapa tekun beristighfar, nescaya Allah mengadakan baginya jalan keluar dari tiap-tiap kesempitan serta diberi rezeki dari arah yang tidak di sangka-sangka.”
(Riwayat Abu Dawud, Nasa’i, Ibnu Majah dan Hakim)
 
Inilah kehebatan istighfar, walaupun zikirnya mudah saja. Ada satu kisah seseorang mengadu keadaan yang kemarau kepada Imam Hasan al-Basri. Hasan Basri suruh lelaki itu balik ke rumah dan melakukan istighfar. Kemudian, datang pula lelaki lain yang mengadu hidupnya dalam kemiskinan. Hasan Basri suruh lelaki itu balik rumah dan lakukan istighfar juga. Kemudian ada yang datang mengadu kerana tidak dapat anak. Hasan al Basri beri nasihat yang sama. Kemudian ada lagi yang datang mengadu keringnya kebun. Hasan Basri memberi nasihat yang sama lagi. 
 
Anak muridnya yang melihat kejadian itu pelik dan bertanya kepada Hasan al-Basri kenapa masalah yang berlainan tetapi semuanya dinasihatkan untuk istighfar. Beliau menjawab yang nasihat itu bukan daripadanya, tetapi hasil kefahaman daripada surah Nuh ayat ini dan beliau terus membacakan ayat ini.
 

 

Dapatkan buku Agar Kau Bahagia karya Najmi Fetih
di semua rangkaian kedai buku di seluruh Malaysia.

 

3.         Yang terakhir, ayat ini juga adalah satu pujukan kepada orang yang SELALU berbuat dosa. Pendosa yang macam mana?
 
Pendosa yang berfikir, kalau dah meminta ampun pada Allah, macam mana nak mencuri lagi?
Kalau dah minta ampun pada Allah, macam mana nak berikhtilat untuk cari jodoh?
Kalau dah minta ampun pada Allah, macam mana nak couple untuk kahwin?
Kalau dah minta ampun pada Allah, macam mana nak tengok drama yang ada unsur haram?
Kalau dah minta ampun pada Allah, macam mana nak meniru dalam exam?
Kalau dah minta ampun pada Allah, macam mana nak mencuri tanah orang? Macam mana nak rasuah? Dan macam-macam lagi.
 
Teman, Allah dah beritahu yang kalau awak meminta ampun kepada Allah sungguh-sungguh, hidup awak akan lebih bermakna daripada hidup awak semasa zaman hanyut dengan dosa sebelum ni. Serius..
 
Kalaulah kita hanya bergantung kepada diri sendiri semata-mata demi mencari kehidupan yang baik, hakikatnya kita hanya BERSENDIRIAN. Tetapi kalau kita meminta ampun pada Allah, bertawakal kepadaNya dan mencuba untuk mencari kehidupan yang baik untuk diri kita, ketahuilah bahawa kita ADA Allah yang Maha Pemurah bersama dengan kita. Percayalah..
 
Allah yang sediakan jodoh untuk kita.
Allah yang sediakan harta dan duit untuk kita.
Allah yang sediakan kerjaya untuk kita.
Allah yang sediakan keputusan peperiksaan cemerlang untuk kita.
Allah yang sediakan anak-anak untuk kita.
Allah akan sediakan segala-galanya untuk kita.
 
Subhanallah.. Moga Allah menjadikan kita orang yang bersungguh-sungguh dalam meminta ampun kepada Allah berkali-kali.
 
Wallahua’lam
 
– Shukery Azizan –
 

 

p/s: Tulisan ini diambil daripada buku Pujukan Dari Tuhan karya Shukery Azizan. Boleh dapatkan buku Pujukan Dari Tuhan sama ada di kedai-kedai buku POPULAR, MPH, SMO dan lain-lain, atau boleh juga dapatkan secara online melalui isbirofficial.
 
p/s : Dapatkan E-Book tulisan Shukery Azizan yang bertajuk “Kisah Wanita Di Dalam Al-Quran” hari ini juga. Klik di sini untuk dapatkan segera : >> KLIK DI SINI <<

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Jom Hantar Kad Ucapan Ramadan

Jom Hantar
Kad Ucapan Ramadan