Tadabbur Juzuk 25 : Sejauh Mana Kita Bertawakal?

 

Untuk juzuk ke-25 ini juga, kita akan pilih salah satu daripada 7 surah Haa Mim juga, iaitu surah ash-Shuraa. Surah ini termasuk dalam kategori surah Makiyyah. Perkataan “Shuraa” membawa maksud mesyuarat. Daripada nama surah saja, kita dah boleh dapat agak atau gambarkan apa yang Allah nak sampaikan dalam surah ini. Secara mudahnya, surah ini menceritakan jalan dalam menyelesaikan perbalahan atau pergaduhan. Setiap manusia di dunia ini secara umumnya akan ada berlaku perbezaan pandangan antara kita dan kadang-kadang sampai berlaku sedikit perbalahan. Perkara ini berlaku pada semua orang, sama ada adik beradik, keluarga, sahabat baik, termasuk juga dalam kalangan pendakwah. Salah ke berbeza pendapat? 
 
Tak salah pun kalau berbeza pendapat, kerana ini menunjukkan kita menggunakan akal fikiran dengan baik. Tetapi yang menjadi salah apabila manusia saling bergaduh yang melampau kerana berbeza pendapat. Contohnya apabila seseorang merasakan bahawa pendapatnya sahaja yang benar, sampai tak nak mendengar pandangan orang lain. Bahkan, merasakan pendapat orang lain selalu salah. Kalau sampai tahap macam ini, maka perbezaan pendapat itu sudah menjadi buruk, bahkan boleh merosakkan masyarakat dan mereka yang terlibat.
 
Sebab itu, surah ini mengajar kita jalan penyelesaian kepada perbalahan pendapat itu. Iaitu dengan melakukan ‘shura’ atau mesyuarat di mana semua pihak kena duduk berbincang dan mendengar pendapat masing-masing. Diceritakan di dalam surah ini juga tentang macam mana orang-orang terdahulu pun ada berbeza pendapat dan bagaimana cara mereka menyelesaikannya. Ok, kita teruskan pada ayat yang ke 36 dan 37. Bismillah,
 
فَمَا أُوتِيتُمْ مِنْ شَيْءٍ فَمَتَاعُ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا ۖ وَمَا عِنْدَ اللَّهِ خَيْرٌ وَأَبْقَىٰ لِلَّذِينَ آمَنُوا وَعَلَىٰ رَبِّهِمْ يَتَوَكَّلُونَ
“Oleh itu, apa jua yang diberikan kepada kamu, maka ia hanyalah nikmat kesenangan hidup di dunia ini sahaja, dan (sebaliknya) apa yang ada di sisi Allah (dari pahala hari akhirat) adalah lebih baik dan lebih kekal bagi orang-orang yang beriman dan yang berserah bulat-bulat kepada Tuhannya;
 
وَالَّذِينَ يَجْتَنِبُونَ كَبَائِرَ الْإِثْمِ وَالْفَوَاحِشَ وَإِذَا مَا غَضِبُوا هُمْ يَغْفِرُونَ
“Dan juga (lebih baik dan lebih kekal bagi) orang-orang yang menjauhi dosa-dosa besar serta perbuatan-perbuatan yang keji; dan apabila mereka marah (disebabkan perbuatan yang tidak patut terhadap mereka), mereka memaafkannya;”
 
(Surah Ash-Shuraa 42:36-37)
 
Dalam permulaan ayat yang 36, Allah menceritakan kepada kita tentang hakikat dunia. Allah juga beritahu kita bahawa ramai manusia yang lalai kerana mereka leka dengan dunia. Tak salah kalau mahu dapatkan dunia, cuma jangan sampai jadi hamba dunia. Sebab tipu daya dunia sangat dahsyat, apatah lagi dengan segala keindahannya pada mata manusia. Jadilah seperti orang zuhud yang mengejar akhirat. Tetapi dalam masa yang sama, mereka juga menggunakan dunia untuk keperluan hidup, tetapi tak terikat dengan tipu daya dunia. Maknanya, mereka jadi dunia sebagai alat untuk dapatkan akhirat.
 
Bahkan, dalam ayat ke 36 ini juga, Allah beritahu apa yang ada di sisi Allah itu lebih baik dan kekal selama-lamanya daripada apa yang ada di sisi manusia. Contohnya? Kalau awak ada kereta, Allah boleh bagi kereta yang lebih baik dan kekal selamanya. Kalau awak ada rumah, Allah boleh beri rumah yang lebih baik dan kekal selamanya. Kalau ada isteri atau suami, Allah boleh bagi awak isteri atau suami yang lebih baik dan kekal selamanya. Kalau ada anak-anak, Allah boleh beri awak anak-anak yang lebih baik dan kekal selamanya. Semuanya di mana? Di Akhirat sana. Sebab di sisi Allah, semuanya lebih baik dan kekal selama-lamanya.
 
            Di Akhirat nanti, kalau ditakdirkan masuk Syurga, jika ada isteri, isteri awak akan nampak lagi muda jelita bahkan lebih cantik daripada mana-mana perempuan yang awak pernah kenal di dunia.  Jika ada suami, suami awak akan nampak lagi kacak, hensem dan lebih tampan daripada mana-mana lelaki yang awak pernah kenal di dunia. Sama juga kalau ada rumah, kereta atau anak-anak sekalipun, Allah akan beri yang lebih baik daripada apa yang kita pernah nampak dan dapat di dunia dulu. Sebab apa?
 
Sebab Allah Maha Tahu, kita semua nak semula apa yang pernah kita dapat di dunia ni semasa di dalam Syurga nanti insyaAllah. Kan? Perpisahan dan perubahan itu menyakitkan, tetapi di dalam Syurga sana, tiada lagi erti perpisahan, dan tiada erti perubahan. Yang ada hanyalah LEBIH BAIK dan KEKAL SELAMANYA. Persoalannya, macam mana nak dapatkan semua ini? Ada syaratnya. Sebab apa bersyarat? Kerna Syurga bukan percuma.

 

Dapatkan novel Kau Bukan Adiratna karya Najmi Fetih
di semua rangkaian kedai buku di seluruh Malaysia

 

Antara 5 syarat yang wajib kita buat semasa di dunia ni. Antaranya, yang pertama,
 
لِلَّذِينَ آمَنُوا
“…bagi orang-orang yang beriman..”
 
            Syarat pertama mestilah beriman sungguh-sungguh kepada Allah tanpa melakukan sebarang perkara syirik. Maknanya kena masuk Islam. Yang kedua adalah,
 
وَعَلَىٰ رَبِّهِمْ يَتَوَكَّلُونَ
“…dan yang berserah bulat-bulat kepada Tuhannya.”
 
            Syarat kedua pula mestilah sungguh-sungguh bertawakal kepada Allah. Ya, serah bulat-bulat, bukannya sedikit saja.
 
وَالَّذِينَ يَجْتَنِبُونَ كَبَائِرَ الْإِثْمِ
“Dan juga (lebih baik dan lebih kekal bagi) orang-orang yang MENJAUHI dosa-dosa besar..”
 
Syarat ketiga pula mesti menjauhi dosa-dosa besar. Apakah dosa-dosa besar ni? Dosa besar ini termasuklah mensyirikkan Allah, sembah kubur, minum arak, berzina, makan harta anak yatim, mencuri, riba’, derhaka dengan mak ayah, LGBT, dan segala macam dosa besar. Kalau ada yang dah terbuat, MESTI dan MESTI BERHENTI. Mesti berhenti. Cubalah sedaya upaya untuk berhenti dan tinggalkan jauh-jauh. Kalau tidak, macam mana nak dapat Syurga?
 
Kemudian yang keempat pula Allah beritahu,
 
وَالْفَوَاحِشَ
“.. serta perbuatan-perbuatan yang keji..”
 
Apa beza perbuatan keji dengan dosa besar? Dosa-dosa الْفَوَاحِشَ ini adalah dosa yang memalukan kita. Kita sendiri pun malu nak beritahu kepada orang, atau malu kalau orang lain tahu kita terlibat dengan dosa-dosa itu. Termasuklah kalau orang itu yang rapat dengan kita, contohnya ibu, isteri, suami, kawan-kawan, atau adik beradik kita. Ianya adalah perbuatan yang memalukan dan selalunya berasal daripada syahwat yang tidak terkawal. Perbuatan yang keji ini termasuklah ketagih menonton video lucah, tak jaga ikhtilat, dating dengan couple sampai pegang tangan, upload gambar seksi, tak tutup aurat, menonton hiburan yang ada unsur haram dan sebagainya. Kemudian yang terakhir Allah sebut,
 
وَإِذَا مَا غَضِبُوا هُمْ يَغْفِرُونَ
“…dan apabila mereka marah, mereka memaafkannya;”
 
Teman, orang mukmin apabila marah, mereka akan berusaha memaafkan orang yang menyebabkan mereka marah. Kerana marah jenis غَضِبُ, ianya adalah jenis yang boleh menyebabkan seseorang yang sedang marah itu membalas dendam kepada sesiapa yang membuatkan dirinya marah. Hingga akhirnya dia sanggup menyakiti orang itu. Tahanlah marah sungguh-sungguh. Kalau boleh tahan marah, tahan sungguh-sungguh, semata-mata kerana Tuhanmu.
 
*****

 

Dapatkan buku Agar Kau Bahagia karya Najmi Fetih
di semua rangkaian kedai buku di seluruh Malaysia.

 

Antara beberapa pengajaran besar daripada ayat di atas,
 
1.         Sentiasa berdoa sungguh-sungguh moga kita mati dalam keadaan beriman. Hari ini ramai yang pandang remeh dengan iman, hingga akhirnya ramai juga yang murtad, atheis dan sebagainya. Moga kita dilindungi.
 
2.         Usahalah untuk bertawakal secara bulat-bulat kepada Allah. Apabila cerita bab tawakal ini, teringat saya akan satu kisah. Saya pernah terjumpa dengan beberapa orang yang masih tak nak kahwin lagi walaupun usia dah semakin lanjut atas alasan yang lebih kurang sama “takut tersalah pilih..” Saya menarik nafas lembut, lalu saya nasihatkan dengan rasa rendah diri sambil menepuk perlahan bahunya,
 
“Tahu tak kenapa kau takut? Kita takut tersalah pilih sebab menyangka bahawa kita tahu segalanya. Kita tak meminta pun kepada Allah. Kita tak bergantung mutlak kepada Allah. Kita tak meyakini sepenuhnya kepada Allah. Kita hanya bergantung kepada usaha sendiri saja. Berilah ribuan alasan, akhirnya kita terpaksa akui bahawa kita tak bergantung pada Allah pun. Bahkan, kita mungkin tak berapa yakin dengan Allah. Kita terlalu meyakini pada usaha sendiri. Sebab itu dalam al-Quran, Allah banyak kali menekankan isu tawakal. Nampak serius bukan? Ya, memang serius. Sebab ia melibatkan penyerahan total masa depan, urusan, pilihan dan tindakan kita kepada Allah. Tetapi kita sombong. Setiap perkara yang terjadi, kita menyangka dan yakin itu adalah hasil usaha kita semata-mata.
 
Dapat masuk universiti, kita sangka itu hasil dari titik peluh dan susah payah belajar kita.
Dapat keputusan cemerlang, kita sangka hasil dari study sampai burning the midnight oil. Dapat biasiswa, kita sangka itu hasil daripada keputusan cemerlang kita.
Dapat kerja, kita sangka itu hasil dari CGPA dan kepetahan berkata masa temuduga.
Dapat gaji bulanan, kita sangka itu memang gaji yang pasti syarikat akan masukkan dalam akaun peribadi.
Dapat membeli rumah banyak, kita sangka itu hasil daripada ilmu yang kita belajar dan teknik hartanah kita.
Dapat jual produk atau buku beribu-ribu, kita sangka hasil dari marketing bisnes yang hebat.
 
Dan segala macam urusan harian kita, kita sangka semuanya berpunca daripada diri kita sendiri. Atau yang islamik sikit, kita sadurkan dengan ayat, ‘aku tawakal la ni..’ Mulut saja yang manis berkata yakin dan tawakal, tetapi hati kita sebenarnya jauh sangat daripada yakin dan tawakal sebenar kepada Allah. Kita pendusta.”
 
Kawan saya terdiam. Dia sedikit berang dengan kata-kata saya. Lalu dia tanya, “So, apa bukti kita betul2 yakin dan tawakal pada Allah?”
 
Saya juga diam. Lalu menjawab,
 
“Antara buktinya adalah, setiap kali kita nak buat sesuatu, atau nakkan sesuatu perkara, kita akan solat sunat kepada Allah. Atau sekurang-kurangnya, minta pada Allah dulu. Walaupun sekecil-kecil perkara, atau perkara yang paling remeh. Contoh, nak makan. Kita doalah minta pada Allah nak makan, walau hanya di dalam hati, Selepas berdoa pendek dalam hati, barulah kita usaha. Nampak macam kelakarkan? Ya, memang kelakar, sebab kita tak pernah buat. Kita lebih yakin dengan usaha sendiri, kurang yakin bahawa Allah yang berikan kita makanan. Ataupun, paling kurang bacalah bismillah sebelum buat apa-apa perkara. Tidak semestinya makan minum. Itu antara tanda kita benar yakin dan tawakal. Kita minta pada Allah dahulu, kemudian usaha sebaik mungkin, selepas itu baru sebenar-benar bertawakal. Contoh lain, setiap kali nak peperiksaan. Selalu buat macam tu kan? Tetapi, kenapa hanya pada exam saja? Adakah tawakal kita hanya pada exam, interview kerja, viva, dan apa-apa perkara yang kita sangka kritikal saja?”
 
Dia diam. Saya pun diam sama. Sebab kami sama-sama muhasabah. Sejauh mana kita benar-benar bertawakal pada Allah secara mutlak?
 
3.         Tinggalkanlah dosa-dosa besar dan dosa-dosa yang keji itu. Antaranya adalah video lucah, khususnya masalah remaja. Kepada yang ketagih, terutama lelaki, usahalah tinggalkan secepat mungkin. Sebab kesan kritikal ketagihan video lucah ini sampai tahap, awak akan melihat perempuan semata-mata sebagai objek seks, hatta adik beradik atau saudara mara sendiri. Serius seram.
 
4.         Dan terakhir, usahalah belajar memaafkan dan bersabar. Rasulullah bersabda yang bermaksud,
 
Orang kuat itu bukanlah yang menang dalam gusti tetapi orang kuat adalah yang mampu menahan nafsu amarahnya.”
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
 
“Sesiapa yang mampu menahan marahnya padahal dia mampu menyalurkannya, maka Allah menyerunya pada hari kiamat dari atas khalayak makhluk disuruh memilih bidadari mana yang mereka mahu.”
(Riwayat Ahmad)
 
Ada banyak lagi hadis berkaitan marah. Apa pun, saya mendoakan moga kita semua dikurniakan Allah untuk masuk Syurga Firdaus tanpa hisab dengan berpimpinan tangan. Ameen.
 
Wallahua’lam
 
– Shukery Azizan –
 

 

p/s: Tulisan ini diambil daripada buku Pujukan Dari Tuhan karya Shukery Azizan. Boleh dapatkan buku Pujukan Dari Tuhan sama ada di kedai-kedai buku POPULAR, MPH, SMO dan lain-lain, atau boleh juga dapatkan secara online melalui isbirofficial.
 
p/s : Dapatkan E-Book tulisan Shukery Azizan yang bertajuk “Kisah Wanita Di Dalam Al-Quran” hari ini juga. Klik di sini untuk dapatkan segera : >> KLIK DI SINI <<

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Jom Hantar Kad Ucapan Ramadan

Jom Hantar
Kad Ucapan Ramadan