Tadabbur Juzuk 24 : Balaslah Dengan Kebaikan

 

InsyaAllah kali ini kita masuk pada surah yang termasuk dalam kategori surah-surah 7 Haa Mim, iaitu surah al-Fussilat. Sebab apa? Sebab dalam al-Quran, ada 7 surah yang dimulakan dengan “Haa Mim” atau disebut sebagai ayat Muqatta’ah. Surah ini adalah surah Makiyyah. Selain Fussilat, surah ini juga dinamakan sebagai ‘Hamim Fussilat’ atau ‘Hamim Sajdah’. Sebab ada ayat sajdah di dalam surah ini. Fussilat diambil daripada kata dasar fasila yang membawa maksud menjelaskan sesuatu perkara itu dengan terperinci dan mengkategorikannya satu persatu. Apabila membaca surah ini, kita akan nampak bagaimana Allah akan kategorikan mana yang iman dan mana yang kufur seterusnya dijelaskan dengan sejelas-jelasnya. Surah ini juga banyak menekankan tentang kepentingan dakwah.
 
            Sebelum kita mulakan tadabbur, saya nak kongsi satu peristiwa menarik yang berkaitan dengan surah Fussilat ni. Semasa surah ini diturunkan, gangguan terhadap orang Islam di Mekah meningkat dengan dahsyat. Mereka sampai mula nak beri rasuah kepada Rasulullah . Yang dihantar kepada baginda oleh orang Quraisy untuk menyampaikannya adalah Utbah ibn Rabiah. Utbah adalah seorang pemimpin yang dihormati di Mekah. Dia pun mula berjumpa dengan Rasulullah dan mula marah-marah kepada baginda.
 
Utbah tuduh Rasulullah telah memecah-belahkan umat Arab, antara suami isteri, ayah dan anak dan sebagainya. Baginda tak layan pun. Lepas itu, Utbah buat satu tawaran. Kalau Rasulullah nak perempuan, dia boleh berikan siapa sahaja baginda nak. Kalau Rasulullah  nak harta, mereka boleh beri. Kalau Rasulullah nak pangkat, mereka pun sanggup angkat baginda jadi Raja Tanah Arab. Senang cerita, apa sahaja yang Rasulullah nak, mereka sanggup tunaikan. Dengan syarat, baginda berhenti berdakwah.
 
Rasulullah hanya biarkan saja Utbah membebel sambil pasang telinga. Sedikit pun tak cakap apa-apa apatah lagi cair dengan tawaran Utbah. Lepas Utbah dah tak tahu nak cakap apa, baginda terus membaca Surah Fussilat ini dari ayat 1 sampai ke ayat ke 13. Apabila sampai kepada ayat itu, Utbah terus tutup mulut Nabi dengan tangannya kerana dia tidak sanggup lagi dengar ayat-ayat Quran itu sebab dia sudah rasa takut. Ayat ke-13 tentang ancaman Allah seperti mana berlaku pada Kaum ‘Ad dan Tsamud. Fuh, dahsyatkan? 
 

 

Dapatkan novel Sujud Yang Terakhir karya Aizuddin Hamid
di semua rangkaian kedai buku di seluruh Malaysia.

 

Apa pun, kita teruskan tadabbur dengan ayat ke 33 dan 34. Bismillah..
 
وَمَنْ أَحْسَنُ قَوْلًا مِمَّنْ دَعَا إِلَى اللَّهِ وَعَمِلَ صَالِحًا وَقَالَ إِنَّنِي مِنَ الْمُسْلِمِينَ
“Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada (mengesakan dan mematuhi perintah) Allah, serta ia sendiri mengerjakan amal yang soleh, sambil berkata: “Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang Islam (yang berserah bulat-bulat kepada Allah)?” [33]
 
وَلَا تَسْتَوِي الْحَسَنَةُ وَلَا السَّيِّئَةُ ۚ ادْفَعْ بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ فَإِذَا الَّذِي بَيْنَكَ وَبَيْنَهُ عَدَاوَةٌ كَأَنَّهُ وَلِيٌّ حَمِيمٌ
“Dan tidaklah sama (kesannya dan hukumnya) perbuatan yang baik dan perbuatan yang jahat. Tolaklah (kejahatan yang ditujukan kepadamu) dengan cara yang lebih baik; apabila engkau berlaku demikian maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu, dengan serta merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib.” [34]
 
Dalam ayat yang ke 33, apabila dibacakan sambil bertadabbur dengan penuh cermat dan teliti, awak akan perasan yang Allah menyebut,
 
وَمَنْ أَحْسَنُ قَوْلًا
“Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya…”
 
dalam potongan ayat ni, Allah nak beritahu 2 perkara,
 
1) TIADA yang lebih baik daripada kata-kata atau seruan tu,
2) TIADA yang lebih baik daripada orang yang berkata atau menyeru perkara tu.
 
Ayat ini sedang menggambarkan bahawa Allah nak muliakan seseorang. Persoalannya, Allah nak muliakan siapa? Ha, dalam ayat ini secara penuh, Allah nak muliakan sesiapa saja yang mempunyai 3 ciri penting. Apa ciri-cirinya? Allah beritahu,
 
مِمَّنْ دَعَا إِلَى اللَّهِ
“…orang yang MENYERU kepada (mengesakan dan mematuhi perintah) Allah..”
 
Ciri pertama adalah, orang yang menyeru manusia kepada Allah. Atau bahasa mudahnya, orang yang BERDAKWAH! Ya, sama ada berdakwah kepada sesama Muslim ataupun kepada bukan Islam (non muslim). Dakwah adalah menyuruh kepada kebaikan/kebenaran dan mencegah kepada kemungkaran (amar makruf nahi mungkar). Seruan dan penyeru yang baik tu adalah kata-kata orang yang berdakwah kepada Allah. Walaupun mungkin kata-katanya semudah,
 
“Bertaubatlah kepada Allah..”
“Jom solat di masjid nak?”
 
Dan sebagainya. Tak perlu kata-kata yang bombastik pun untuk menjadi orang yang dimuliakan Allah. Itu baru ciri pertama. Tetapi, ia tak cukup dengan dakwah saja. Sebab, dakwah ini ada ‘kembar’nya. Siapa? Allah sambung lagi,
 
وَعَمِلَ صَالِحًا
“..serta ia sendiri mengerjakan amal yang soleh,.”
 
Kembarnya adalah pendakwah mesti mengerjakan amal soleh. Dengan kata lain, tarbiah. ‘Kembar’ kepada dakwah adalah tarbiah. Dakwah dan tarbiah mesti berjalan seiring dan serentak. Bahkan, amal soleh sendiri pun kadang-kadang boleh jadi dakwah, iaitu dakwah bil hal (dakwah dengan perbuatan). Contohnya, ramai orang selalu nampak awak rajin solat berjemaah di masjid. Itupun satu dakwah, sebab orang yang nampak itu mungkin akan tergerak hati untuk solat.
 
            Sebab itu, dakwah mesti jalan seiring dengan tarbiah. Kalau dalam bahasa Arab, disebut sebagai aslih nafsak wad’u ghairak, yang bermaksud perbaikilah dirimu dan serulah orang lain (kepada kebaikan). Lagi satu yang menarik, dalam ayat ini, Allah guna kalimah صَالِحًا, bukannya kalimah الصَّالِحَاتِ yang membawa maksud amal soleh yang khusus seperti solat, zakat, dan sebagainya. Kalimah صَالِحًا ni maksudnya amal-amal yang umum macam zikir, tahajud, mencari ilmu, puasa sunat, membaca al-Quran, tadabbur al-Quran dan lain-lain. 
 
Dengan kata lain, seorang pendakwah tidak boleh jadi macam orang ‘biasa’. Orang biasa yang saya maksudkan adalah, orang yang hanya tunaikan apa yang wajib, tetapi tak buat apa yang sunat. Selain daripada buat perkara yang wajib, pendakwah juga kena berusaha untuk melakukan apa yang sunat seperti sedekah, tahajud, baca al-Quran, rajin membaca buku dan sebagainya. Sebab perkara sunat ini ibarat supplement atau makanan tambahan. Kemudian, Allah tambah lagi,
 
وَقَالَ إِنَّنِي مِنَ الْمُسْلِمِينَ
“…sambil berkata: “Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang Islam (yang berserah bulat-bulat kepada Allah)?”
 
Ini pula ciri ketiga. Ayat ini umpama “deklarasi” kebanggaan. Dalam ayat ini Allah guna perkataan إِنَّنِي (innani) yang memberi penekanan kepada SESUNGGUHNYA. Kebiasaannya, Allah akan guna perkataan “inni” saja. Maksudnya, kita wajib berbangga yang kita adalah pendakwah. Dan lebih daripada itu, kita kena berbangga yang kita ini MUSLIM. Apa maksud bangga? Takbur? Riak?
 
TIDAK.
 
Maksudnya kita mesti tahu bahawa Islam adalah yang TERTINGGI dan selain daripada Islam semua rendah dan bawah. Mesti rasa ‘izzah bahawa tiada yang lagi tinggi daripada Islam. Atau tiada yang sama rata dengan Islam. Tiada. Sebab apa perkara ni penting sangat? Kerana hari ini, ramai yang pengecut dan malu nak mengaku Muslim. Bahkan, ada yang sanggup buat ‘bidaah’ dengan menambah bahawa dirinya seorang muslim liberal, muslim moderate, muslim sekular, muslim gay, muslim lesbian, muslim transgender dan sebagainya.
 
            Ada yang sanggup menerima idea pluralisme (sama rata semua agama) semata-mata nak nampak moden. Ada yang sanggup menjadi atheis sebab nak nampak hebat. Malah, ada juga yang mengaku sebagai muslim liberal atau muslim moderate kononnya lebih terbuka dan pertengahan. Kita sebagai pendakwah kena sentiasa rasa sensitif dan cakna. Kalau ada orang cuba menyamakan kedudukan Islam dengan agama lain dalam apa jua cara dan situasi sekalipun, kita kena lawan sehingga semua akur bahawa Islam itu tinggi dan patuh kepada perintah Allah dan mengaku bahawa Rasulullah itu pesuruh Allah. Atau kalau tak nak masuk Islam sekalipun, sekurang-kurangnya, tunduk di bawah sistem dan perlembagaan Islam. 
 
Apa pun, kita kena ingat, dalam berdakwah, mesti akan ada orang yang tak akan suka sama ada dalam kalangan Muslim ataupun non Muslim. Itu normal saja. Kalau ada orang tak suka, apa kita kena buat? Allah beritahu dalam ayat seterusnya,
 
وَلَا تَسْتَوِي الْحَسَنَةُ وَلَا السَّيِّئَةُ
“Dan tidaklah sama (kesannya dan hukumnya) perbuatan yang baik dan perbuatan yang jahat…”
 
Pertamanya, kita kena jelas bahawa kebenaran tidak akan sama dengan kebatilan sampai kiamat. Kebaikan takkan sesekali sama dengan kejahatan atau keburukan. Ini saya dah tekankan dalam tadabbur juzuk ke-7 sebelum ini. Allah tekankan dengan mengulangi perkataan لَا dalam ayat ini. Maksudnya memang takkan sama selama-lamanya. Kemudian Allah sebut,
 
دْفَعْ بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ
“..Tolaklah (kejahatan yang ditujukan kepadamu) dengan cara yang lebih baik;..”
 
Apa Allah nak beritahu kita semua, kalau seseorang melakukan kejahatan kepada kita, seboleh-bolehnya kita cubalah untuk berbuat baik pada mereka. Contohnya, kalau ada orang memaki hamun, kutuk, fitnah dan sebagainya pada kita, seboleh-bolehnya, JANGAN buat perkara sama pada mereka. Jangan sindir, hina, fitnah, kutuk mereka balik. Ini saya dah tekankan dalam tadabbur juzuk 1 lagi. Kalau nak berlawan hujah, lawan hujah dengan penuh ahsan, iaitu sebaiknya. Kalau tak nak layan, sabar dan senyum sajalah. 
 
Macam Imam Hassan al-Banna pernah sebut, فأن أساس دعوتنا الحب والتعارف yang bermaksud, asas dakwah kita adalah cinta dan saling perkenalan. Dan satu lagi, Hassan al-Banna juga pernah menyebut, sekiranya mereka membaling batu, kita akan berikan buah epal kepada mereka. Contoh kalau kita tahu ada kawan mengumpat di belakang, kita balas dengan belanja makan ke, ziarah bilik ke dan sebagainya.
 
TETAPI HATI-HATI.. 
 
Jangan sampai mereka melampaui batas. Contohnya, kalau mereka nak memukul kita, apa lagi, larilah. Jangan pula serahkan tubuh badan untuk dipukul. Toleransi kita pun ada hadnya. Apabila orang menghina peribadi kita, kita boleh bersabar dan balaskan dengan paling baik. Tetapi apabila menghina Allah, Rasulullah dan Islam, kita kena bertegas. Orang Islam memang terkenal dengan sifat toleransi dan bertolak ansur. Tetapi jangan sampai kita ditolak beransur-ansur.
 
فَإِذَا الَّذِي بَيْنَكَ وَبَيْنَهُ عَدَاوَةٌ
“..apabila engkau berlaku demikian maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu,..”
 
Jadi, kalau kita buat baik pada mereka yang buat jahat, apa yang kita dapat? Allah beritahu,
 
كَأَنَّهُ وَلِيٌّ حَمِيمٌ
“…dengan serta merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib.”
 
Orang yang benci kita melampau-lampau pun, sekiranya kita selalu usaha buat baik pada mereka, insyaAllah lambat-laun nanti akan lembut hatinya pada kita dengan izin Allah. Dalam sirah Rasulullah , cuba perhatikan tentang Abu Sufyan, Ikrimah, Khalid al-Walid, dan sahabat Rasulullah yang sebelum itu pernah memusuhi baginda dan Islam selama bertahun-tahun lamanya. Bahkan sampai berperang pula tu, akhirnya mereka masuk Islam juga. 
 
Lagi satu, dalam akhir ayat ini, Allah menggunakan kalimah حَمِيمٌ yang maksudnya ‘mendidih’. Apa Allah nak beritahu, mereka ini akan menjadi kawan rapat yang sampai satu tahap, sangat-sangat rapat. Ibarat ‘mendidih-didih’ mereka nak bersama dengan kita, bahkan SANGGUP pertahankan dan tolong kita dalam apa jua keadaan sekalipun. Walaupun satu ketika dulu mereka memusuhi kita. Ini dah dibuktikan dalam sepanjang sejarah Islam.
 
******
 
Dapatkan buku Bagaimana Menjadi Pemimpin karya
Ir Lukman Al Hakim di semua rangkaian kedai buku di seluruh Malaysia.

 

Saya nak tulis pengajaran pun, rasanya tadabbur di atas pun jelas dengan pengajaran. Jadi, saya cuma nak simpulkan saja moga awak faham apa yang saya nak sampaikan. Antaranya,
 
1.         Kita mesti berusaha untuk berdakwah. Walaupun mungkin kita rasa belum sempurna, tak cukup ilmu dan sebagainya. Dakwah ini mudah saja, apa-apa seruan yang mengajak manusia kepada Allah. Kalau nasihatkan kawan untuk bertaubat pun adalah satu dakwah, bahkan kalau awak tutup aurat dengan sempurna pun adalah satu dakwah. Mudah kan? Nak dakwah tak perlukan untuk jadi sempurna. Kalau nak tunggu sempurna, kata Imam Hassan al Basri, memang tak akan berdakwah sampai bila-bila. Sebab apa?  Sebab kesempurnaan itu hanyalah milik Allah.
 
2.         Kita mesti berusaha untuk menjaga amal soleh dan ikutlah program tarbiah. Ikutlah tarbiah ini tak kisah sama ada bersama dengan orang soleh, rajin pergi masjid, datang kuliah agama, ikut program usrah, daurah dan sebagainya.
 
3.         Kita mesti berbangga dengan Islam, tanpa perlu ikut acuan Yahudi Zionis, Barat dan sekutunya pun. Tak perlu terhegeh-hegeh nak menjadi Muslim liberal, moderate, sekular, LGBT, dan sebagainya.
 
4.         Kita mesti menguasai akhlak Islam seperti mana yang dibawa dan dilakukan Rasulullah . Dan yang paling penting juga, kita mestilah rajin berdoa sungguh-sungguh, khususnya pada ahli keluarga, kawan-kawan yang sesiapa yang kita nak dakwahkan itu. Sebab, Allah lah yang memberi hidayah, kita hanya usaha saja.
 
Wallahua’lam
 
– Shukery Azizan –
 

 

p/s: Tulisan ini diambil daripada buku Pujukan Dari Tuhan karya Shukery Azizan. Boleh dapatkan buku Pujukan Dari Tuhan sama ada di kedai-kedai buku POPULAR, MPH, SMO dan lain-lain, atau boleh juga dapatkan secara online melalui isbirofficial.
 
p/s : Dapatkan E-Book tulisan Shukery Azizan yang bertajuk “Kisah Wanita Di Dalam Al-Quran” hari ini juga. Klik di sini untuk dapatkan segera : >> KLIK DI SINI <<

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Jom Hantar Kad Ucapan Ramadan

Jom Hantar
Kad Ucapan Ramadan