Tadabbur Juzuk 23 : Jangan Putus Asa Bertaubat

 


Alhamdulillah, kali ini kita dah memasuki juzuk yang ke 23. Lagi 7 juzuk nak habis. Awak dah rasa terpujuk belum dengan setiap pujukan daripada Allah? Kalau belum rasa sangat, insyaAllah juzuk kali ini saya akan persembahkan satu ayat yang sangat memujuk, bahkan banyak ulama tafsir menyebutkan bahawa ayat ini adalah ayat yang paling memberikan harapan kepada manusia di dalam al-Quran. Wah! Tetapi sebelum itu, seperti biasa, kita akan cerita secara ringkas latar belakang surah. Surah yang saya pilih kali ini adalah surah az-Zumar, surah yang ke 39.
 
            Surah ini adalah surah Makiyyah, diturunkan pada fasa Mekah. Sama macam kebanyakan surah-surah Makiyyah yang lain, ianya banyak menceritakan tentang keimanan, tauhid dan seumpamanya. Sebahagian mufassirin menyebut, surah ini adalah penjelasan kepada ayat al-Quran yang selalu kita sebut, iaitu إِيّاكَ نَعبُدُ dalam Surah al-Fatihah. Dalam surah al-Fatihah yang dibacakan setiap hari semasa solat, kita telah berjanji dengan Allah yang kita hanya akan sembah Dia sahaja. Tetapi adakah kita akan amalkan dengan cara begitu dalam kehidupan kita? Ha, inilah antara yang dibincangkan dalam surah ini. Jadi, surah ini terlalu penting untuk kita memahaminya, kerana ia menjelaskan maksud ayat إِيّاكَ نَعبُدُ yang kita bacakan setiap hari. Kalau setiap hari baca ayat itu, tetapi masih tak faham apakah yang dimaksudkan dan apa yang dituntut daripada ayat tu, memang kita sedang hadapi satu masalah besar. Apa pun, saya akan terus lompat ke ayat yang 53 pada juzuk kali ini. Bismillah,

قُلْ يَا عِبَادِيَ الَّذِينَ أَسْرَفُوا عَلَىٰ أَنْفُسِهِمْ لَا تَقْنَطُوا مِنْ رَحْمَةِ اللَّهِ ۚ إِنَّ اللَّهَ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ جَمِيعًا ۚ إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ
“Katakanlah: Hai hamba-hambaKu yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya. Sesungguhnya Dia lah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”
 
(Surah Az Zumar 39 : 53)
 
Biasakan dengar ayat ini? Ini adalah ayat yang ditujukan kepada orang yang telah pernah membuat amalan syirik atau yang pernah melakukan dosa besar dan berulang-ulang kali sebelum ini. Ayat ini adalah sebagai pengumuman dan pujukan daripada Allah sebagai rahmat kepada kita semua. Kalau awak dalam keadaan kesedihan dan putus asa dalam hidup, cubalah baca dengan memahami serta selami makna ayat ini.
 
Sejujurnya, apabila awak membaca terjemahan untuk ayat ni, apa yang awak rasa? Jujur daripada hati. Apa yang awak rasa? Kalau saya, masa pertama kali membaca ayat ini, saya termenung panjang. Kenapa? Rasa sedih sebab saya pernah banyak kali berputus asa dengan hidup. Tetapi Maha Baiknya Allah, Dia sentiasa ada untuk saya. Sentiasa memberikan rahmat untuk saya. Bahkan, sentiasa beri peluang lagi dan lagi kepada saya untuk berubah, bertaubat dan kembali padaNya. Ini yang saya rasa, hinggakan membuatkan saya kadang-kadang menangis apabila membaca ayat ini. Malah, semasa menulis tadabbur ayat ini pun, saya tak dapat menahan air mata saya mengalir. Maha Baiknya Allah dan Maha Pemurahnya Allah, sudi ampunkan dan terima hamba kotor macam saya. Allah..
 
            Pada permulaan ayat, Allah menyebut,
 
قُلْ يَا عِبَادِيَ الَّذِينَ أَسْرَفُوا عَلَىٰ أَنْفُسِهِمْ
“Katakanlah: Hai hamba-hambaKu yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri…”
 
Kalimah أَسْرَفُوا yang membawa maksud ‘melampaui batas’ di atas pada asalnya ditujukan tentang perbuatan syirik kepada Allah. Perbuatan syirik yang menyebabkan ramai manusia akhirnya kekal selama-lamanya di dalam Neraka. Tetapi dalam masa yang sama, kalimah أَسْرَفُوا pun membawa maksud ‘berlebihan’. Berlebihan dalam apa? Ini membawa maksud yang lebih umum. Boleh jadi berlebihan dalam malas, tidur, main game, bercinta, bekerja, berbisnes, mencari harta, berpolitik, bergaduh, marah, dendam, buat maksiat dan banyak lagi. Setiap daripada kita akan ada satu dosa yang dibuat secara berlebihan. Bahkan sampai memberi kesan buruk pada diri sendiri.
 
Kita sangka apa yang kita buat adalah untuk kebaikan diri sendiri, tetapi sebenarnya ianya langsung tidak baik dan memberi kesan kepada diri sendiri. Sebab itulah kalimah seterusnya yang digunakan adalah عَلَىٰ. Iaitu bermaksud perbuatan melampau itu telah memberi kesan buruk kepada diri sendiri.
Dapatkan buku Harapan Masih Ada karya Qamarul Nazrin
di semua rangkaian kedai buku di seluruh Malaysia.
Sebagai contoh, remaja yang berlebihan dalam bercinta, akhirnya melanggar batasan ikhtilat, seterusnya melampau hingga berpegang tangan dan akhirnya berzina berkali-kali. Kalau orang dewasa pula, berlebihan dalam bekerja atau mencari harta, yang akhirnya sampai lewat atau tinggalkan solat, bahkan sampai sanggup ambil rasuah, abaikan keluarga, dan sebagainya. Kalau yang suka berpolitik pula, berlebihan sampai tahap menghina dan mencerca orang lain, hingga sanggup menjatuhkan orang lain dan sebagainya. Ayat ini tak dikhususkan apakah perkara yang mereka telah melampaui atau berlebihan. Ini adalah kerana terlalu banyak perkara yang manusia terlampau dan berlebihan.
 
Malah, ada ulama’ tafsir menyebut, kalimah itu juga bermaksud mereka yang telah ‘jatuh’. Jatuh ini boleh jadi hilang pekerjaan, akademik merosot, hilang keluarga, dan sebagainya. Sampai tahap ada yang telah putus asa. Maka, kepada mereka ini juga, Allah nak berikan harapan. Allah sebut,
 
لَا تَقْنَطُوا مِنْ رَحْمَةِ اللَّهِ ۚ
“..janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah..”
 
Allahu Allah. Ayat ini dengan jelas pujukan daripada Allah supaya jangan berputus asa dengan rahmatNya. Sebab apa? Sebab kita masih lagi ada peluang dan peluang untuk mendapat keampunan daripada Allah. Maknanya, masih berpeluang untuk bertaubat lagi walaupun kita banyak membuat dosa maksiat, berzina, tukar jantina, bahkan sampai tahap ada yang murtad sekalipun. Ya, Allah akan ampunkan dosa kita walaupun kita pernah murtad sekalipun. Syaratnya, cuma kena sungguh-sungguh minta ampun saja selagi masih hidup. Kalau dah meninggal dunia, dosa syirik atau murtad memang dah tertutup pintu harapan.
 
Ayat ini juga pujukan kepada kita bahawa Allah tak melupakan kita. Allah masih lagi memberikan peluang kepada kita, walau berapa banyak pun dosa yang kita lakukan. Ini kerana Allah amat sayang kepada kita. Sifat rahmah Allah amatlah besar. 
 
Bila dah selalu buat dosa, akan ada saat kita akan rasa tertekan yang teramat sangat. Bahkan, ada yang depression hingga cubaan nak bunuh diri. Sebab apa? Sebab ada orang menyangka yang dosa mereka terlalu banyak sehingga menganggap yang Allah tak akan ampunkan mereka lagi. Itu semuanya adalah sangkaan mereka sahaja, sebab Allah tak pernah kata macam itu. Jangan kita ada sangkaan macam itu. Sebab, ini juga bisikan daripada syaitan untuk melemahkan harapan kita dan supaya kita tak minta ampun kepada Allah. Syaitan bisikkan,
 
“Dosa kau ni dah banyak sangat, memang tahap ahli Neraka berdaftar. Allah takkan ampunkan punya. Pandang kau pun tak. Alang-alang dah buat dosa, teruskan je la. Hidupkan cuma sekali je. Enjoy the moment. Hehe.”
 
Dahsyat Syaitan bisikkan pada kita. Kemudian, Allah sambung lagi,
 
إِنَّ اللَّهَ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ جَمِيعًا ۚ
“..Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya..”
 
Allahu Rabbi, Maha Baiknya Allah, Allah sudi untuk ampunkan kesemua dosa kita.Ya, sama ada kecil atau besar hingga tahap syirik, murtad atau yang pernah jadi atheis sekalipun, Allah sudi dan sedia untuk ampunkan dosa kesemuanya. Dengan syarat, kita kena minta ampun pada Allah. Ayat 54 dan 55 surah az-Zumar pula menerangkan macam mana nak bertaubat. Awak boleh baca dan hayatinya sendiri. Saya nak fokuskan ayat yang 53 ini saja.
 
Apa pun, mintalah ampun kepada Allah. Selagi mana kita masih hidup dan bernyawa, Allah akan sedia mengampunkan kesemua dosa-dosa kita, walaupun dosa itu dah dibuat bertahun-tahun lamanya. Allah sanggup untuk ampunkan semua sekali dosa kita, bukan hanya sedikit. Bukan dosa yang kecil saja, tetapi dosa yang besar sekalipun. Maka, kalau Allah dah kata yang Dia sanggup untuk terima taubat itu, maka mintalah ampun semasa hidup di dunia ini. Janganlah bertangguh sampai tunggu di akhirat kelak yang mana taubat tak diterima lagi.
 
إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ
“…Sesungguhnya Dia lah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”
 
Kenapa Allah sanggup ampunkan semua dosa kita? Sebab Allah sendiri dah menyatakan bahawa Dialah yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. Dia boleh ampunkan dan boleh ‘melupakan’ terus dosa yang pernah kita buat. Sampaikan tak ada lagi yang akan tahu bahawa kita pernah melakukan dosa tersebut. Kalau kita sebagai manusia, tak boleh lupa kesalahan orang lain kepada kita, walaupun mungkin dah maafkan dia. Hati kita masih lagi teringat-ingat walaupun sudah maafkan dia dengan mulut. Orang putih kata, forgive but not forget.
 
Tetapi sebaliknya bagi Allah, apabila Dia memberikan pengampunan, Dia akan tutup terus segala dosa itu. Dan Dia tidak akan mengazab hambaNya itu dalam Neraka atas kesalahan itu. Sebab itu, jangan bertangguh-tangguh untuk bertaubat. Dia sanggup ampunkan kerana Dia amat belas kasihan kepada semua makhluk. Dia sayang sekali kepada hambaNya. Kepada kita semua.
 
*****

 

Dapatkan buku Surat Untuk Orang Putus Asa karya
Ustaz Adnin Roslan di semua rangkaian kedai buku di seluruh Malaysia

 

 
Ada banyak pengajaran yang kita boleh ambil. Tetapi saya hanya nak kongsi 2 pengajaran,
 
1.         Janganlah bertangguh untuk bertaubat. Ada orang bertangguh sebab malu untuk bertaubat. Malu kalau Allah tak nak menerima taubatnya. Taubat wajib dilakukan dengan segera, tak boleh ditangguhkan. Imam Ibnu Qayyim kata, “Sesungguhnya segera bertaubat kepada Allah dari perbuatan dosa hukumnya adalah wajib dilakukan dengan segera dan tidak boleh ditunda.” Imam an-Nawawi pun pernah sebut, “Para ulama telah sepakat, bahawa bertaubat daripada seluruh perbuatan maksiat adalah wajib; wajib dilakukan dengan segera dan tidak boleh ditangguh, sama ada itu dosa kecil atau dosa besar.”
 
Saya nak beritahu, Allah itu SENTIASA ampunkan kesemua dosa-dosa kita SELAGI belum menjadi mayat. Bahkan kalau dah mati pun, di Akhirat nanti kemungkinan Allah akan sudi ampunkan kita dengan rahmatNya seperti mana hadis mengenai kisah pelacur yang bagi minum air pada anjing. Kecuali dosa syirik. Allah hanya nak kita semua JANGAN PUTUS ASA dan TERUS MENERUS bertaubat. Jangan berhenti bertaubat. Itu saja. Walaupun dosa kita terlalu banyak sampai tidak dapat tercapai dek akal. Tetapi Allah tetap akan ampunkan kita. Allah SUDI ampunkan kita. Rasulullah bersabda yang bermaksud,
 
“Kaffarah dosa adalah PENYESALAN.”
(Riwayat Ahmad).
 
Ada banyak kisah di dalam hadis dan sejarah Islam tentang taubat. Banyak sangat, dan kebanyakkannya awak mesti pernah dengar. Antaranya kisah seorang lelaki yang bunuh 99 orang, selepas itu membunuh seorang lagi hingga cukup 100 orang. Tetapi akhirnya berhijrah kemudian mati dalam keadaan bertaubat. Kemudian, kisah Saidina Umar al-Khattab sebelum masuk Islam yang pernah merancang NAK MEMBUNUH Rasulullah . Tetapi selepas mendapat hidayah dan masuk Islam, Allah muliakannya bahkan menjadi Khalifah lagi. Kisah Saidina Khalid al-Walid yang memerangi Islam bahkan berjaya mengalahkan tentera Islam semasa perang Uhud. Tetapi akhirnya masuk Islam bahkan menjadi panglima perang Islam terunggul dengan gelaran pedang Allah. Banyak sangat. Tetapi, mereka tak bertangguh dalam taubat. Mereka terus masuk Islam dan bertaubat.
 
Saya nak kongsi satu hadis qudsi dengan awak. Rasulullah pernah bersabda yang mana Allah berfirman yang bermaksud,
 
“Wahai anak-anak Adam, selagi mana engkau memohon dan mengharapkan dari-Ku, Aku ampunkan engkau walau apapun dosamu, Aku tidak peduli.
Wahai anak-anak Adam, jika dosamu sampai ke puncak langit, lalu engkau pohon keampunan dari-Ku, Aku ampunkan engkau, aku tidak peduli.
Wahai anak-anak Adam, engkau jika datang kepada-Ku dengan dosa yang hampir memenuhi bumi, namun engkau menemui-Ku tanpa mensyirikkan Daku dengan sesuatu, nescaya aku datang kepadamu dengan penuh keampunan.”
 
(Riwayat Tirmidzi)
 
2.         Jangan putus asa dengan rahmat Allah. Ada yang tertanya, kalau dah bertaubat lepas tu ulang balik dosa, kemudian bertaubat semula, adakah kita main-main dalam taubat? Teman, Rasulullah bersabda yang bermaksud,
 
كُلُّ بَنِي آدَمَ خَطَّاءٌ وَخَيْرُ الْخَطَّائِيْنَ التَّوَّابُوْنَ.
“Setiap anak Adam pasti berbuat dosa dan sebaik-baik orang yang berbuat dosa (pendosa) adalah yang bertaubat.”
 
(Riwayat Ahmad)
 
Dalam hadis ini, Rasulullah beritahu bahawa setiap anak Adam akan melakukan dosa. Kalimah خَطَّاءٌ dan التَّوَّابُوْنَ pada hadis ini dalam kaedah bahasa Arab disebut sebagai sighah mubalaghah yang bermaksud melampau-lampau ataupun hiperbola. Apa yang Rasulullah nak sampaikan, setiap anak Adam pasti akan melakukan dosa dan lagi dan lagi dan lagi. Akan ada kemungkinan untuk mengulang-ulang dosa.
 
            Tetapi Rasulullah juga beritahu, sebaik-baik pendosa adalah mereka yang bertaubat lagi dan lagi dan lagi. Ya, kita kena taubat berulang-ulang kali, seperti mana kita berulang-ulang kali melakukan dosa. Persoalannya, sampai bila nak bertaubat? Sampai moga-moga kita mati dalam keadaan bertaubat, bukan dalam keadaan maksiat. 
 
            Apa saya nak sebut, jangan putus asa dengan rahmat Allah. Teruskan bertaubat, dan teruskan usaha. Kalau hilang pekerjaan, usaha cari kerja baru. Kalau akademik jatuh, usaha untuk naikkan gred dan sebagainya. Poinnya, jangan putus asa. 
 
Teman, bertaubatlah dan teruskan bertaubat. Jangan berhenti bertaubat. Sebab kita ada Allah yang sentiasa menerima taubat. Kalau awak rasa buku Pujukan Dari Tuhan ini boleh membantu kawan-kawan yang dah mula berputus asa, malu nak bertaubat dan sebagainya, bolehlah kongsikan cerita ataupun buku ini pada mereka. Ataupun belikan saja buku ini untuk mereka. Moga ia menjadi asbab hidayah untuk mereka bertaubat dan tidak berputus asa dengan Allah.
 
Wallahua’lam
 
– Shukery Azizan –
 

 

p/s: Tulisan ini diambil daripada buku Pujukan Dari Tuhan karya Shukery Azizan. Boleh dapatkan buku Pujukan Dari Tuhan sama ada di kedai-kedai buku POPULAR, MPH, SMO dan lain-lain, atau boleh juga dapatkan secara online melalui isbirofficial.
 
p/s : Dapatkan E-Book tulisan Shukery Azizan yang bertajuk “Kisah Wanita Di Dalam Al-Quran” hari ini juga. Klik di sini untuk dapatkan segera : >> KLIK DI SINI <<

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Jom Hantar Kad Ucapan Ramadan

Jom Hantar
Kad Ucapan Ramadan