Tadabbur Juzuk 20 : Meletakkan Akhirat Di Hati, Dunia Di Tangan

 

Subhanallah, sekejap saja kita dah memasuki juzuk yang ke 20. Kalau tadarus al-Quran, sekejap saja kita dah masuk 2/3 al-Quran. MasyaAllah, cepat masa berlalu. Untuk juzuk ke-20 ini, saya berniat untuk memilih surah al-Qassas. Surah al-Qassas merupakan surah yang ke 28, dan termasuk dalam kategori Makiyyah. Al-Qassas bermaksud ‘kisah-kisah’. Kenapa dinamakan ‘al-Qassas’ salah satu sebabnya kerana ayat yang ke 25 dalam surah ini yang bermaksud ;
 
“Kemudian salah seorang dari perempuan dua beradik itu datang mendapatkannya dengan berjalan dalam keadaan tersipu-sipu sambil berkata: Sebenarnya bapaku menjemputmu untuk membalas budimu memberi minum binatang ternak kami. Maka ketika Musa datang mendapatkannya dan menceritakan kepadanya kisah-kisah kejadian yang berlaku (mengenai dirinya) berkatalah orang tua itu kepadanya: ‘Janganlah engkau bimbang, engkau telah selamat dari kaum yang zalim itu.’”
 
Ada beberapa perkara yang menarik tentang surah ini. Antaranya, kisah Nabi Musa alaihissalam hampir lengkap ada di dalam surah ini, sampaikan ada mufassirin menamakan surah ini sebagai ‘Surah Musa’. Dan dalam surah al-Qassas ini, ada satu kisah yang tak diceritakan di dalam surah lain, iaitu kisah Qarun yang hidup pada zamannya. Surah ini juga sebagai isyarat kepada Rasulullah bahawa baginda akan meninggalkan Mekah sebagaimana Nabi Musa alaihissalam meninggalkan Mesir dan kembali semula. Dan Baginda juga akan dapat kembali semula ke Mekah.
 
Antara dua mesej penting dalam surah ini perlu kita hadam sungguh-sungguh iaitu pertama berkaitan dengan keberanian dalam menyampaikan kebenaran tauhid kepada manusia. Walaupun kepada pemerintah sekejam dan sezalim Firaun sekalipun. Kemudian mesej kedua adalah, kesanggupan dalam menanggung segala beban kesusahan di dalam menyampaikan risalah tauhid. Di dalam projek memperbaiki akidah umat, Allah telah sediakan beberapa ujian dan dugaan kepada penyampainya. Apa pun, untuk surah ini kita akan pilih ayat yang ke-77. Bismillah,
 
وَابْتَغِ فِيمَا آتَاكَ اللَّهُ الدَّارَ الْآخِرَةَ ۖ وَلَا تَنْسَ نَصِيبَكَ مِنَ الدُّنْيَا ۖ وَأَحْسِنْ كَمَا أَحْسَنَ اللَّهُ إِلَيْكَ ۖ وَلَا تَبْغِ الْفَسَادَ فِي الْأَرْضِ ۖ إِنَّ اللَّهَ لَا يُحِبُّ الْمُفْسِدِينَ
“Dan carilah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu (akan pahala dan kebahagiaan) hari Akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia; dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmatNya yang melimpah-limpah); dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi; sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan.”
 
(Surah Al-Qassas 28:77)
 
Ayat ini sebenarnya berkaitan dengan sambungan nasihat kaum Qarun kepadanya bermula daripada ayat yang ke 76. Awak mungkin pernah dengan kisah Qarun kan? Istilah ‘harta karun’ dalam kalangan orang Melayu sinonim dengan nama Qarun. Allah menceritakan kisah Qarun ini bermula daripada ayat 76 hinggalah ayat yang 82. Dan penghujung kisah Qarun, Allah tenggelamnya dan segala hartanya ke dalam perut bumi sampai tak ada tinggal walau sedikit pun. Nasihat kaum Qarun itu Allah rakamkan semula di dalam al-Quran. Ini merupakan nasihat yang bersifat malar hijau. Ia berguna untuk semua zaman sehinggalah Kiamat. Kaum Qarun memberikan nasihat,
 
وَابْتَغِ فِيمَا آتَاكَ اللَّهُ الدَّارَ الْآخِرَةَ
“Dan carilah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu (akan pahala dan kebahagiaan) hari Akhirat..”
 
            Walaupun nasihat ini asasnya pada Qarun, tetapi ia juga untuk kita semua sebagai umat Rasulullah , khususnya kepada golongan yang Allah berikan kepada mereka kelebihan harta yang banyak. Selayaknya apabila mempunyai banyak harta, maka semakin mudah mereka untuk melakukan kebaikan sebab boleh infak harta mereka sebanyak mungkin untuk agama. Dan ini yang sepatutnya Qarun buat, tetapi sebaliknya pula berlaku. Dia hanya simpan dan menunjuk-nunjuk kepada orang ramai.

 

Dapatkan buku Harapan Masih Ada karya Qamarul Nazrin
di semua rangkaian kedai buku di seluruh Malaysia.

 

            Hari ini ramai orang kaya dalam kalangan Muslim mula lupakan Akhirat. Lagi-lagi apabila Allah kurniakan kepadanya harta yang melimpah ruah. Harta yang ada mereka simpan dan menunjuk-nunjuk kepada masyarakat dengan cara menayangkan kereta mewah, rumah besar macam istana dan duit berkepuk-kepuk di dalam media sosial. Alasannya konon nak memberikan motivasi kepada orang ramai. Bahkan ada yang lagi teruk, dia sanggup taburkan duitnya di tempat awam seperti tabur dedak ayam. Maka berpusu-pusulah masyarakat mengejar dan mengutip duit itu, seolah macam tak ada maruah.
 
وَلَا تَنْسَ نَصِيبَكَ مِنَ الدُّنْيَا
“..dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia..”
 
            Islam sangat menyeimbangkan antara keperluan dunia dan tuntutan Akhirat. Kita sepatutnya menjadikan dunia sebagai tempat meraih Akhirat. Dengan bahasa mudahnya, dunia hanyalah alat untuk kita dapatkan matlamat Akhirat. Ada orang dia meninggalkan keperluan dunia atas alasan tak nak tertipu dengan dunia. Sehingga seakan-akan menjadi rahib, dan tak pedulikan masyarakat. Tak boleh macam itu. Setiap perkara ada haknya, dan kita wajib menunaikan setiap satu hak.
 
وَأَحْسِنْ كَمَا أَحْسَنَ اللَّهُ إِلَيْكَ ۖ وَلَا تَبْغِ الْفَسَادَ فِي الْأَرْضِ
“..dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmatNya yang melimpah-limpah); dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi..”
 
Dalam ayat ini, kaum Qarun menasihatinya supaya berbuat baik kepada orang lain seperti mana Allah telah berbuat baik padanya dengan cara mengurniakan harta yang banyak dan melimpah ruah. Berbuat baik ini termasuklah sedekah kepada orang ramai, mengeluarkan zakat, membantu sesiapa yang memerlukan, dan sebagainya. 
 
Kemudian, dalam masa yang sama, kaum Qarun juga menasihatkan supaya jangan melakukan kerosakan atas muka bumi. Melakukan kerosakan ini termasuklah tak membayar zakat sebab di dalam zakat itu ada hak orang lain, menubuhkan pusat-pusat maksiat seperti judi, bahkan sampai tahap memeras ugut orang miskin.
 
إِنَّ اللَّهَ لَا يُحِبُّ الْمُفْسِدِينَ
“..sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan.”
 
            Allah sangat benci dengan orang yang suka berbuat kerosakan, bahkan Allah akan balas keburukan itu. Sama ada balas di dunia ataupun Akhirat. Dalam kes Qarun, Allah akan balas di dunia lagi. Di Akhirat sana lagilah dahsyat.
 
*****

 

Dapatkan buku Bagaimana Menjadi Pemimpin karya
Ir Lukman Al Hakim di semua rangkaian kedai buku di seluruh Malaysia.

 

Ada beberapa pengajaran cantik yang terkandung dalam ayat ini,
 
1.         Dalam kita mencari keperluan dunia, jangan sampai kita tertipu dan terpedaya dengannya. Ramai orang yang apabila dikurniakan harta melimpah ruah, habis terus gelap mata. Hilang pedoman hingga tahap menjadi tamak lagi dan lagi. Sebab itu Rasulullah pernah beritahu,
 
“Seandainya seorang anak Adam memiliki satu lembah emas, tentu ia menginginkan dua lembah lainnya, dan sama sekai tidak akan memenuhi mulutnya (merasa puas) selain tanah (iaitu setelah mati) dan Allah menerima taubat orang-orang yang bertaubat.”
(Muttafaqun ‘alaih.)
 
Kita tak akan pernah puas dengan harta benda sampailah kita mati. Sebab itulah, sebagai seorang Muslim, sentiasa rajinkan bersedekah, keluarkan zakat, bersifat qanaah (mencukupi), selalu bantu orang lain, jangan membazir, uruskan kewangan dan sebagainya. Amalan ini semua sedikit sebanyak akan berjaya menghakis sifat bakhil, kedekut, tamak haloba dan sebagainya.
 
2.         Dalam kita mengejar Akhirat, jangan dilupakan tanggungjawab di dunia pula. Ada suami yang rajin pergi kuliah agama, tetapi malas pergi kerja. Duit selalu minta isteri memandangkan isterinya kerja. Ataupun yang pelajar aliran agama, memandang golongan pelajar yang ambil aliran sains tulen atau sosial sebagai ‘dunia’ semata-mata. Sedangkan mereka lupa, untuk dapatkan dunia kena ada ilmu, untuk dapatkan Akhirat kena ada ilmu, dan nak dapatkan kedua-duanya pun kena ada ilmu. Ada orang yang bersemangat tak nak kahwin sebab kononnya nak fokus beribadah. Malah nak berpuasa setiap hari tanpa berbuka. Sedangkan Rasulullah yang merupakan manusia paling bertaqwa, baginda juga berpuasa dan berbuka, dan bernikah.
 
            Sebab itu, di saat mengejar matlamat Akhirat, jangan lupakan tanggungjawab dan hak-hak yang wajib kita tunaikan di dunia. Hak suami isteri, hak seorang Muslim, hak seorang anak, hak harta, hak tanggungjawab kerjaya, hak tubuh badan dan sebagainya. Rasulullah bersabda yang bermaksud,
 
Sesungguhnya tubuhmu punya hak atas dirimu.
(Riwayat Muslim)
 
Kalau kita abaikan tanggungjawab dan hak ini, silap haribulan, dunia tak dapat, Akhirat melayang.
 
3.         Setiap Muslim kena berusaha untuk menjadi kaya raya. Tetapi tak cukup sekadar kaya, kena menjadi orang kaya yang beriman. Ada orang diberikan nikmat harta, tetapi lupa agama. Ada juga yang diberikan harta, tetapi dikongsi bersama. Ketahuilah, sebaik-baik manusia adalah mereka yang bermanfaat untuk orang lain.
 
Wallahua’alam.
 
– Shukery Azizan –
 

 

p/s: Tulisan ini diambil daripada buku Pujukan Dari Tuhan karya Shukery Azizan. Boleh dapatkan buku Pujukan Dari Tuhan sama ada di kedai-kedai buku POPULAR, MPH, SMO dan lain-lain, atau boleh juga dapatkan secara online melalui isbirofficial.
 
p/s : Dapatkan E-Book tulisan Shukery Azizan yang bertajuk “Kisah Wanita Di Dalam Al-Quran” hari ini juga. Klik di sini untuk dapatkan segera : >> KLIK DI SINI <<

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Jom Hantar Kad Ucapan Ramadan

Jom Hantar
Kad Ucapan Ramadan