Tadabbur Juzuk 2 : Allah Tak Pernah Jauh Dari Kita

 

 
 
Untuk juzuk kedua pula, kita masih lagi di dalam surah al-Baqarah. Tetapi kali ini pada ayat yang ke 186. Kita terus tadabbur ayat ini ya. Bismillah,
 
وَإِذا سَأَلَكَ عِبادي عَنّي فَإِنّي قَريبٌ ۖ أُجيبُ دَعوَةَ الدّاعِ إِذا دَعانِ ۖ فَليَستَجيبوا لي وَليُؤمِنوا بي لَعَلَّهُم يَرشُدونَ
“Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanku (dengan mematuhi perintahKu), dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka mendapat petunjuk.”
(Surah al-Baqarah 2 :186)
 
Ini antara ayat kegemaran saya. Setiap kali terdengar ayat ini, hati saya akan sentiasa rasa terpujuk dan sayu. Apatah lagi terdengar saat saya sedang futur atau lemah semangat. Disebabkan terlalu istimewa, untuk kali ini saja, saya akan cuba pergi satu persatu kalimah di dalam ayat ini. Sebab apa? Sebab nak membuktikan kepada awak yang betapa baiknya Allah pada kita semua. Allah sebut,
 
 
وَإِذا سَأَلَكَ عِبادي عَنّي
“Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku..”
 
Hanya dalam satu frasa saja dah sangat menarik. Allah mulakan ayat ini dengan kalimah إِذا (idza) yang membawa maksud ‘apabila’. Allah tak menggunakan kalimah إِن (inn) yang bermaksud ‘jika’. Apa bezanya? Begini, saya cuba bagi analogi. Satu hari, ada seorang makcik terpaksa melepaskan anaknya pergi berperang sebagai seorang askar. Tiada khabar berita dan sebagainya. Kalau awak tanya tentang anaknya, agaknya makcik itu akan cakap, “Apabila anak saya balik, saya akan gembira” ataupun dia jawab “Jika anak saya balik, saya akan gembira”?
 
Dah pasti dia akan cakap ‘apabila’. Sebab apa? Sebab makcik itu masih mengharapkan yang anaknya akan pulang ke rumah. Tetapi kalau makcik itu cakap ‘jika’, maksudnya makcik itu dah redha yang anaknya mungkin dah mati. Nampak tak bezanya? Maknanya dalam ayat ini, Allah sangat mengharapkan hambaNya akan bertanya tentang DiriNya. Allah mengharapkan kita semua bertanya tentang diriNya.
 
Kemudian, Allah teruskan lagi ayat dengan kalimah سَأَلَكَ (saalaka) yang mana dalam kaedah bahasa Arab, ia adalah sejenis past tense. Dalam bahasa Arab, past tense ataupun fi’il madhi adalah sesuatu yang dah berlalu, dan kebiasaannya hanya sekali saja berlaku. Maknanya, apa Allah nak sampaikan dalam ayat ini adalah, Allah mengharapkan kita bertanya tentang diriNya walaupun hanya SEKALI sahaja. Ya, walaupun hanya sekali saja. Allah tak minta berulang-ulang kali pun. Sekurangnya, sekali kita bertanya.
 
Selepas itu, Allah gunakan pula kalimah عِبَادِي (‘ibaadee) yang membawa maksud ‘HambaKu’. Menariknya kalimah ini, ada perkataan ي (ee) yang membawa maksud ‘Aku’. Kita tahukan dalam al-Quran, kadang-kadang Allah gunakan kata ganti diri ‘Dia’, ‘Kami’, ataupun ‘Allah, dan ‘Aku’. Bila masa Allah gunakan kalimah ‘Aku’? Kata Ustaz Nouman Ali Khan, iaitu ketika mana Allah menggambarkan keadaan terlalu cinta, atau terlalu marah. Subhanallah. Maknanya, Allah terlalu cintakan pada kita. Kemudian Allah sambung lagi,
 
فَإِنّي قَريبٌ
“..sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka..”
 
Ada satu kisah di sebalik ayat ini. Satu hari, ada seorang Arab Badwi bertanya kepada Rasulullah ﷺ tentang Allah. Soalannya lebih kurang adakah Allah ini dekat dengan kita? Ataupun jauh? Kalau Allah dekat, jadi kita hanya berbisik saja ke? Atau kalau Allah jauh, jadi bila nak bercakap denganNya, kita kena bercakap dengan kuat ke? Pertanyaan ini dijawab sendiri oleh Allah secara khusus!
 
Allah tak tambah kalimah قُلْ (qul) yang bermaksud katakanlah di dalam ayat di atas. Kalau ada kalimah قُلْ, bermakna Allah hanya suruh Rasulullah ﷺ saja yang jawab. Sebab ada masa, Allah suruh Rasulullah ﷺ yang jawab. Tetapi kali ini, Allah sendiri jawab direct yang Allah sangat dan selalu dekat. Subhanallah! Ini bermakna ianya lebih istimewa kerana Allah sendiri nak beritahu yang Dia sangat dekat. Sangat dan sentiasa hampir dengan kita.
 
Analoginya macam ini. Satu hari kita nak bercakap dengan Sultan, tetapi dah pasti kena melalui PA (personal assistant) baginda kan? Namun untuk kali itu, Sultan tak nak guna pembantu peribadinya. Sultan sendiri yang nak bercakap dengan kita. Rasa istimewa kan? Maha Suci Allah, ia lebih hebat daripada itu!
 
 
Dapatkan buku Harapan Masih Ada karya Qamarul Nazrin
di store.tarbiahsentap.com sekarang juga!
 
Satu lagi, kalimah قَريبٌ bukan hanya dekat, tetapi ia juga bermaksud sentiasa dekat. Maknanya, Allah sangat dan sentiasa dekat dengan kita. Allahu Allah. Kemudian Allah sambung lagi,
 
أُجيبُ دَعوَةَ الدّاعِ إِذا دَعانِ
“..Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu..”
 
Ayat ini serius sangat memujuk kita. Allah gunakan kalimahأُجيبُ (ujibu) yang bermaksud ‘menyahut/respon’. Dalam bahasa Arab, أُجيبُ datang daripada perkataan أُجاب (aajaba). Dan satu lagi perkataan serupa dengan makna menyahut adalah استجاب (istajaaba). Apa beza dua-dua ini? أُجاب bermaksud menyahut dengan segera/secepatnya, manakala استجاب pula bermaksud akan ataupun cuba untuk menyahut tetapi ambil masa sedikit (delayed). Maksudnya di sini, Allah dengan segera akan menyahut/perkenankan doa kita. Subhanallah, sayangnya Allah pada kita.
 
Kemudian, Allah guna pula kalimahدَعوَةَ (da’wata) yang bermaksud sekali doa atau permintaan. Kalau seseorang yang dah selalu berdoa, kita biasanya akan guna perkataan دعاء (da’aa). Tetapi Allah guna kalimah دَعوَةَ, bermaksud Allah meminta pada kita sekurang-kurangnya doalah walaupun hanya sekali saja. Allahu Rabbi.
 
Seterusnya, Allah menggunakan kalimah الدّاعِ (addaa’i) membawa makna orang yang berdoa ataupun seorang pendoa. Sesiapa saja yang berdoa. Tidak semestinya orang yang berdoa itu alim, ahli ibadat, orang yang selalu solat, ahli masjid. Sesiapa pun, walaupun orang itu tak pernah solat, selalu berzina, selalu minum arak, dan sebagainya. Ya, sesiapa sahaja yang berdoa.
 
Dan menariknya, Allah menggunakan ال yang membawa maksud secara khusus/spesifik. Maknanya, Allah tahu dan kenal sesiapa saja yang berdoa kepadaNya secara khusus dan spesifik. Kalau awak hanya baru sekali saja berdoa seumur hidup, Allah tahu tentang awak secara khusus, dan ia menunjukkan yang awak sangat istimewa. Ibarat macam seorang Sultan yang kenal awak secara peribadi dan khusus. Di dunia ini, ramai manusia yang tak berdoa dengan Allah. Tetapi mereka yang berdoa terus kepada Allah adalah golongan yang sangat istimewa.
 
Dan satu lagi bahagian menarik tentang bahagian ayat ini, adalah pada إِذا دَعانِ (idza da’aan) yang maknanya apabila dia berdoa. Ada orang tanya, sebenarnya bila waktu doa yang paling terbaik? Kalau awak nak tahu, Allah dah jawab pun dalam ayat ini, iaitu إِذا, yang bermaksud bila-bila saja! Bila-bila saja kita berdoa padaNya, tak ada had masa. ‘Apabila’ kita berdoa sahaja pada bila-bila masa di mana jua, Allah akan segera menyahut doa kita. Tak perlu melalui proses atau majlis pelik-pelik, sebab Allah akan segera mendengar doa kita bila-bila saja, sama ada pagi, petang, malam, tengah malam, atau sebagainya. Kemudian Allah menyambung lagi,
 
فَلْيَسْتَجِيبُوا لِي وَلْيُؤْمِنُوا بِي
“..Maka hendaklah mereka menyahut seruanku (dengan mematuhi perintahKu), dan hendaklah mereka beriman kepadaKu..”
 
Ini adalah bahagian yang paling saya sayu sangat. Sehingga saat saya tulis ini, nak bergenang air mata. Betapa baiknya Allah pada kita. Pada ayat ini, Allah menggunakan kalimah فَلْيَسْتَجِيبُوا (falyastajeebuu) yang bermaksud ‘Maka hendaklah mereka menyahut seruanku’. Ingat lagi tak, tadi saya ada sebut perbezaan antara أُجاب dan استجاب ? فَلْيَسْتَجِيبُوا datang daripada kalimah استجاب yang bermaksud akan atau cuba untuk menyahut tetapi ambil masa. Maknanya, Allah nak beritahu pada kita bahawa, sekurang-kurangnya, sahutlah seruan Allah untuk taat perintah Allah dan jauhi larangan Allah semampu yang kita mungkin walaupun lambat. Allahu Akhbar!
 
Apabila Allah mendengar permintaan kita, Allah akan segera menjawab semua doa kita walaupun hanya sekali saja kita pernah minta. Tetapi Allah tawarkan pada kita pula, sekurang-kurangnya taatlah perintah Allah semampu mungkin. Walaupun bertangguh-tangguh dalam menunaikan ibadah pada Allah. Tetapi sekurangnya, buatlah. Allah.. Maha Baiknya Allah! Kemudian Allah suruh kita yakin bahawa Allahlah sahaja yang boleh memperkenankan doa kita. Ayat ini juga bermaksud, hendaklah mereka yakin bahawa Allah telah mendengar doa mereka. Allah nak kita beriman padaNya sungguh-sungguh dan meyakini hanya Allah saja yang Maha Mendengar doa dan mengabulkan doa.
 
بي لَعَلَّهُم يَرشُدونَ
“..supaya mereka mendapat petunjuk.”
 
Apa beza ‘hidayah’ dan رشد (rusyd) macam ayat di atas? Kedua-duanya ada ‘petunjuk’ di dalamnya. Ada ulama mengatakan رشد bermaksud ‘mengamalkan’ hidayah yang telah diterima itu. Dapat petunjuk dan terus mengamalkannya. Sebab kadang-kadang, kita dah tahu apa yang kena buat, tetapi kita tak amalkan. Ataupun kita buat sedikit dan sekejap sahaja. Itu bukanlah ‘rusyd’. Jadi, kita boleh faham bahawa رشد ini adalah istiqamah dalam beramal kebaikan. Sebab itu, berdasarkan ayat ini, kalau kita beriman dan taat kepada Allah, itu adalah jalan untuk mendapat petunjuk.
 
*****
Dapatkan buku Bagaimana Menjadi Pemimpin karya Lukman Al Hakim
di store.tarbiahsentap.com sekarang juga!
 
Pengajaran besar daripada ayat ini termasuklah,
 
1. Saya tahu, mungkin awak akan mengalami sedikit kepeningan dengan istilah atau kalimah Arab dan juga sebahagian istilah teknikal di atas. Sebenarnya saya tak nak letak, tetapi saya tetap juga letak sebab nak tunjukkan kepada awak betapa baik dan sayangnya Allah kepada kita. Berdasarkan ayat ini, saya buat sedikit perbandingan supaya awak jelas tentang apa yang Allah tawarkan kepada kita, dan apa yang Allah minta daripada kita.
 
Apa yang Allah tawarkan kepada kita:
 
a) Allah sangat mengharap yang kita akan berdoa kepadaNya walaupun SEKALI sahaja.
b) Allah gunakan kata ganti diri ‘Aku’ menunjukkan Allah sangat cintakan kita.
c) Allah menjawab secara terus bahawa Allah ini sangat dan sentiasa dekat.
d) Allah menyahut doa kita secepat/sesegera mungkin walaupun kita hanya doa SEKALI sahaja.
e) Allah tak kisah pun sesiapa yang berdoa kepadaNya walaupun mereka pendosa.
f) Allah kenal kita secara khusus dan spesifik walaupun kita hanya pernah sekali saja berdoa.
g) Allah menyahut doa kita bila-bila masa saja selagi mana kita nak berdoa.
h) Allah tawarkan rusyd ataupun petunjuk supaya kita dapat amalkan perintahNya.
 
Apa yang Allah minta daripada kita :
 
a) Berdoa kepada Allah walaupun sekali saja seumur hidup dan bila-bila masa saja.
b) Menyahut dan melaksanakan perintah Allah walaupun berlengah-lengah ataupun lambat sekalipun.
c) Beriman iaitu meyakini sungguh-sungguh tanpa berbelah bagi dan tanpa banyak soal yang Allah pasti dan pasti akan kabulkan doa kita.
 
Nampak? Subhanallah! Allahu Akhbar. Nikmat Tuhanmu yang manakah hendak kita dustakan lagi? Terlalu dahsyat Allah memujuk kita dalam ayat ini. Terlalu dahsyat. Sangat luar biasa. Kalau awak tak rasa terpujuk, saya pun tak tahu nak kata apa.
 
2. Ketahuilah, bahawa Allah sentiasa dan selalu dekat dengan kita. SENTIASA walaupun kita rasa seperti sudah jauh daripada Allah. Allah tak pernah menjauhi kita. Rasulullah ﷺ pernah bersabda yang mana Allah berfirman yang bermaksud,
 
“Aku menurut sangkaan hambaKu kepadaKu, dan Aku bersamanya apabila ia ingat kepadaKu. Jika ia ingat kepadaKu dalam dirinya maka Aku mengingatnya dalam diriKu. Jika ia ingat kepadaKu dalam kelompok orang-orang yang lebih baik daripada kelompok mereka. Jika ia mendekat kepadaKu sejengkal maka Aku mendekat kepadanya sehasta. jika ia mendekat kepadaKu sehasta maka Aku mendekat kepadanya sedepa. Jika ia datang kepadaKu dengan berjalan maka Aku datang kepadanya dengan berlari-lari kecil.”
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
 
Janganlah putus asa dengan Allah. Usahalah untuk kembali pada Allah walaupun terpaksa merangkak-rangkak. Saya pun pendosa macam awak, bahkan mungkin lagi banyak dosa. Cuma, janganlah putus asa. Allah cintakan kita. Allah sayangkan kita. Allah sentiasa berikan peluang lagi dan lagi kepada kita. Janganlah rasa jauh, sebab Allah tak pernah jauh.
 
3. Berdoalah kepada Allah dan mintalah apa saja yang kita nak. Jangan malu nak minta kepada Allah. Ada orang yang malu hendak minta Syurga sebab rasa mereka banyak dosa dan tak layak masuk Syurga. Jangan macam tu, kita kena minta masuk Syurga. Dan kena minta masuk Syurga yang paling tinggi sekali iaitu Syurga Firdaus.
 
4. Dan terakhir, ramai yang bila disuruh berdoa, mereka jawab,
 
“Dah doa dah sebelum ni, tapi tak dapat lagi.”
 
Teman, kita kena ingat doa kepada Allah ni bukan macam order KFC drive thru. Baru saja order, tak lama kemudian dah sampai. Bukan macam ni, dan jangan salah faham. Allah Maha Tahu apa yang kita perlukan dan akan beri mengikut keperluan. Bukan ikut apa yang kita nak, sebab kadang-kadang, kita pun tak tahu apa yang kita nak sebenarnya.
 
Kita kena percaya dan yakin sepenuhnya kepada Allah yang Dia akan memberi yang terbaik untuk kita. Itulah sebabnya dalam ayat ini, Allah suruh kita ‘beriman kepadaNya’. Maksudnya, kita kena percaya dan yakin sungguh bahawa Allah dengar doa kita, dan akan memberikan apa yang kita perlu. Sebab tu, jangan segan nak berdoa, dan jangan putus asa. Kalau boleh, berdoalah lagi dan lagi. Allah pasti akan mendengar doa kita dan kabulkan permintaan kita melalui 3 cara,
 
a) Allah akan beri apa yang kita nak semasa di dunia lagi. Cuma lambat atau cepat saja
b) Allah beri selain dari apa yang kita nak, iaitu Allah beri apa yang kita perlukan.
c) Allah tak beri di dunia, tetapi Allah akan balas di Akhirat nanti.
 
Moga kita diberi kekuatan untuk sentiasa berdoa pada Allah. Ameen.
 
Wallahua’lam.
 
Shukery Azizan
 
 
p/s : Tulisan ini diambil daripada buku Pujukan Dari Tuhan karya Shukery Azizan. Boleh dapatkan buku Pujukan Dari Tuhan secara ONLINE di store.tarbiahsentap.com atau di kedai-kedai buku POPULAR, MPH, SMO dan lain-lain.
 
p/s : Dapatkan E-Book tulisan Shukery Azizan yang bertajuk “Kisah Wanita Di Dalam Al-Quran” hari ini juga. Klik di sini untuk dapatkan segera : >> KLIK DI SINI <<

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Jom Hantar Kad Ucapan Ramadan

Jom Hantar
Kad Ucapan Ramadan