Tadabbur Juzuk 15 : Bersabarlah Dengan Sesama Pendakwah Dan Orang Beriman

 

Alhamdulillah, akhirnya kita telah masuk ke separuh daripada al-Quran, iaitu juzuk yang ke-15. Permulaan juzuk 15 ini dimulakan dengan surah al-Isra’, surah yang mana saya yakin ramai tahu disebabkan selalu dibacakan pada setiap kali majlis memperingat hari isra’ dan mi’raj. Dan kalau ada ceramah jauhi zina, ayat yang selalu digunakan adalah pada ayat yang ke-32. Tetapi juzuk kali ini saya memilih untuk tadabbur surah al-Kahfi, yang juga surah terkenal di dalam kalangan orang Melayu. Kita dianjurkan membaca setiap hari Jumaat, dan ada hadis yang menggalakkan untuk menghafal 10 ayat pertama atau terakhir surah al-Kahfi bertujuan untuk perlindungan daripada Dajjal.
 
            Macam biasa, kita lihat secara umum latar belakang surah al-Kahfi. Dalam buku sirah Rasulullah , dikisahkan bahawa ada satu ketika, kaum musyrikin Mekah mula timbul rasa di hati yang mungkin Nabi Muhammad itu memang betul seorang Rasul. Kalau Nabi Muhammad itu benar seorang Rasul dan mereka tak ikut serta menolak ajarannya, dah pasti mereka telah membuat satu kesalahan yang sangat besar. Jadi macam mana mereka nak pastikan ajaran Rasulullah itu benar atau tidak? 
 
Dalam kebanyakkan perkara, orang Quraisy Mekah biasanya akan merujuk kepada pendeta Yahudi. Sebabnya, walaupun orang Quraisy mengikut saki baki ajaran Nabi Ibrahim, tetapi mereka tiada kitab suci untuk dijadikan rujukan. Jadi, mereka sangat menghormati kepada pendeta Yahudi dan dijadikan sumber rujukan memandangkan mereka tahu bahawa orang Yahudi mempunyai Kitab Taurat. Mereka pun menghantar rombongan kepada pendeta Yahudi yang berada di Madinah (ketika itu masih bernama Yathrib). Mereka berjumpa pendeta Yahudi ini dan bertanyakan macam mana nak tahu samada Muhammad itu betul atau bohong? Pendeta Yahudi tu pun menyuruh mereka bertanyakan kepada Rasulullah tiga soalan. Kalau baginda jawab dua dan tak jawab satu soalan, maka dia memang benar seorang Rasul. Apa soalannya?
 
Soalan pertama tentang pemuda yang tinggal di dalam gua, soalan kedua tentang roh dan soalan ketiga tentang Zulkarnain. Apabila balik semula ke Mekah, mereka pun berjumpa Rasulullah dan menanyakan tiga soalan itu. Rasulullah memberitahu yang baginda akan memberikan jawapannya pada hari esok, memandangkan biasanya wahyu akan dapat keesokan harinya. Maka baginda pun menyuruh mereka untuk datang hari esok. Kesilapan Rasulullah masa ini adalah, Rasulullah tak menyertakan janjinya itu dengan kalimah ‘InsyaAllah’. Jadi, apabila esoknya mereka datang, Rasulullah hanya senyap tak dapat jawap sebab baginda belum mendapat sebarang wahyu daripada Allah. 
 
Setiap hari musyrikin Mekah ni datang berjumpa Rasulullah sampai tahap mereka mengejek Nabi Muhammad kerana tak dapat memberikan mereka jawapan. Sebahagian riwayat menyebut, peristiwa itu berlangsung selama 15 atau 17 hari. Apabila perkara ini berlaku, sebahagian penduduk Mekah pun dah mula meragui Rasulullah . Namun selepas 15 hari, akhirnya barulah wahyu turun dan menjawab persoalan pendeta itu. Termasuk juga teguran untuk Rasulullah tentang penggunaan kalimah InsyaAllah dalam ayat yang ke 23 dan 24. 
 

 

Dapatkan novel Sujud Yang Terakhir karya Aizuddin Hamid
di semua rangkaian kedai buku di seluruh Malaysia.

 

Perkongsian juzuk kali ini berkaitan dengan pujukan kepada para pendakwah. Sebab itu, saya bukan nak berkongsi ayat yang ke 23 dan 24 tu, tetapi pada ayat yang ke 28. Bismillah,
 
وَاصْبِرْ نَفْسَكَ مَعَ الَّذِينَ يَدْعُونَ رَبَّهُمْ بِالْغَدَاةِ وَالْعَشِيِّ يُرِيدُونَ وَجْهَهُ ۖ وَلَا تَعْدُ عَيْنَاكَ عَنْهُمْ تُرِيدُ زِينَةَ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا ۖ
وَلَا تُطِعْ مَنْ أَغْفَلْنَا قَلْبَهُ عَنْ ذِكْرِنَا وَاتَّبَعَ هَوَاهُ وَكَانَ أَمْرُهُ فُرُطًا
“Dan bersabarlah kamu bersama-sama dengan orang-orang yang menyeru Tuhannya di waktu pagi dan petang hari dengan mengharap keredhaan-Nya; dan janganlah kedua matamu berpaling daripada mereka (kerana) mengharapkan perhiasan dunia ini; dan janganlah kamu mengikuti orang yang hatinya telah Kami lalaikan dari mengingati Kami, serta mereka itu menuruti hawa nafsunya dan adalah tingkah laku mereka itu melampaui batas.”
 
(Surah al-Kahfi 18 : 28)
 
Allahu Akhbar. Ini antara nasihat dan pujukan daripada Allah kepada kita, khususnya orang yang menjalankan tugas dakwah pada waktu pagi dan petang. Allah memujuk para pendakwah,
 
وَاصْبِرْ نَفْسَكَ مَعَ الَّذِينَ يَدْعُونَ رَبَّهُمْ
“Dan bersabarlah kamu bersama-sama dengan orang-orang yang menyeru Tuhannya..”
 
Dalam ayat ini, pada konteks asal adalah nasihat kepada Rasulullah supaya bersabar dan berasa cukup dengan para sahabat baginda,
 
بِالْغَدَاةِ وَالْعَشِيِّ يُرِيدُونَ وَجْهَهُ
“..di waktu pagi dan petang hari dengan mengharap keredhaan-Nya..”
 
Para sahabat Rasulullah adalah mereka yang beribadat kepada Allah walaupun di waktu-waktu yang sibuk. Sebab waktu pagi dan petang itu adalah waktu-waktu yang manusia lain biasanya menghabiskan masa dengan dunia seperti bekerja, berniaga dan sebagainya. Tetapi para sahabat itu banyak kali meninggalkan waktu yang sibuk itu untuk beribadat kepada Allah. Juga apabila disebut pagi dan petang, ini adalah isyarat kepada sepanjang masa. Dan mereka beribadah kepada Allah semata-mata mengharapkan keredhaan Allah. Mereka sangat ikhlas dalam melakukan amal ibadat. Segala amalan yang mereka lakukan itu adalah semata-mata kerana mengharapkan redha Allah.
 
وَلَا تَعْدُ عَيْنَاكَ عَنْهُمْ تُرِيدُ زِينَةَ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا
“..dan janganlah kedua matamu berpaling daripada mereka (kerana) mengharapkan perhiasan dunia ini..”
 
Ada sebahagian ulama menyebutkan yang ayat ini diturunkan kerana ada sebahagian pemimpin elit musyrikin Quraisy meminta Rasulullah membuat satu majlis khusus untuk mereka saja, tetapi dengan syarat yang orang yang miskin dan lemah seperti Bilal, Ammar, Saad bin Abi Waqqash, Ibnu Mas’ud dan lain-lain tak boleh ikut sama. Belum sempat Rasulullah membuat sebarang keputusan, Allah terlebih dahulu melarang baginda mengikuti permintaan mereka dengan menurunkan ayat ini. Allah tak mahu Rasulullah mengenepikan para sahabat yang ikhlas beribadah kepada Allah siang dan malam. Rasulullah juga dilarang untuk meninggalkan para sahabat.
 
وَلَا تُطِعْ مَنْ أَغْفَلْنَا قَلْبَهُ عَنْ ذِكْرِنَا وَاتَّبَعَ هَوَاهُ وَكَانَ أَمْرُهُ فُرُطًا
“..dan janganlah kamu mengikuti orang yang hatinya telah Kami lalaikan dari mengingati Kami, serta mereka itu menuruti hawa nafsunya dan adalah tingkah laku mereka itu melampaui batas.”
 
Allah sangat menekankan kepada Rasulullah dengan melarang mentaati orang-orang yang lalai daripada mengingati Allah dan mengikuti hawa nafsu mereka. Kalaulah Rasulullah mengikut syarat yang dibuat oleh pemimpin elit kaum musyrikin ini, mungkin akan membuatkan hatinya sibuk dengan urusan duniawi sampai melupakan hal Akhirat. Itulah kerugian yang hakiki di dunia dan Akhirat. 
 
Syeikh Abdurrahman As-Sa’di berkata, “Sesungguhnya hal itu akan menyebabkan hati tergantung dengan dunia. Maka fikiran dan bisikan-bisikan hanya tertuju padanya, hati terjauh daripada mengingat Akhirat. Sebab sesungguhnya perhiasan dunia begitu mengagumkan bagi orang yang melihatnya, menyihir hati sampai lalai daripada berzikir kepada Allah lalu tenggelam ke dalam kelazatan dan syahwat, akhirnya terjebak dengan menyia-nyiakan waktu dan lalai dalam perkaranya, lalu dia akan merugi dengan kerugian yang abadi dan penyesalan yang selama-lamanya.”
 
*****

 

Dapatkan novel Kau Bukan Adiratna karya Najmi Fetih
di semua rangkaian kedai buku di seluruh Malaysia.

 

Satu ayat di atas ini sebenarnya mengandungi banyak pengajaran seperti hubungan guru dan murid, mencari kawan yang beriman, jangan terlalu menghukum, dan sebagainya. Saya rasa macam nak tulis semua, tetapi saya fokuskan kepada 2 perkara saja. Iaitu,
 
1.         Bersabarlah dengan sesama pendakwah dan orang beriman. Kenapa pendakwah dan orang beriman? Sebab kita yakin mereka ini beribadah kepada Allah pagi dan petang demi mengharapkan keredhaan Allah. Tetap, bersabar yang macam mana?
 
            Teman, manusia yang ada di dalam dunia ini mempunyai pelbagai ragam, tak kira sama ada orang beriman ataupun kafir. Ada yang pendiam, banyak cakap, suka cakap lepas, suka menyampuk, penyabar, panas baran, ada yang rasa dia saja paling betul, dan banyak lagi jenis perangai. Dan kita pula disuruh oleh Allah supaya bersabar dengan pendakwah dan orang beriman yang ada pelbagai perangai dan ragam ini. Lagipun, hakikatnya kita sendiri pun ada perangai tersendiri. Kalau setakat berkecil atau terasa hati ini mungkin normal, tetapi janganlah terlalu melayankan perasaan hingga timbul rasa benci, dendam, dan menjauhkan diri daripada orang beriman dan sesama pendakwah. Lebih teruk lagi, terus memburukkan dan membuka aib sesama pendakwah dan orang beriman. Innalillah. 
 
Janganlah macam itu teman. Usahalah untuk sentiasa berlapang dada dan bersangka baik dengan sesama Muslim, khususnya pendakwah dan orang beriman. Walaupun mungkin kita banyak kali berkecil hati dan kecewa, tetapi ia tidak sekali-kali membenarkan kita membuka aib, menghina, memburukkan apatah lagi menjauhi mereka. Sebab kita sendiri kena sedar, bahawa kita pun bukanlah sempurna mana pun. Imam Hassan al-Banna beritahu, peringkat ukhuwwah yang paling tinggi adalah ithar, dan peringkat yang paling rendah adalah salimatus sodri, iaitu berlapang dada.
 
2.         Anjuran untuk sentiasa bersama dengan orang yang soleh dan baik, walaupun mereka ini miskin, lemah, tak pandai, tak belajar di universiti, pendiam, cacat, dan pelbagai lagi kelemahan. Sebab apabila duduk dan bersama dengan mereka, akan mendatangkan kebaikan yang sangat banyak. Masa imam Ibnu Kathir menafsirkan ayat surah al-Kahfi di atas, dia menyebutkan, 
 
“Duduklah bersama orang-orang yang mengingat Allah, yang bertahlil (mengucapkan la ilaha illallah), memuji, bertasbih (mengucapkan subhaanallah), bertakbir (mengucapkan Allahu Akhbar) dan memohon padaNya di waktu pagi dan petang di kalangan hamba-hamba Allah, baik mereka itu orang-orang miskin atau orang-orang kaya, atau mereka itu orang-orang kuat mahupun orang-orang yang lemah.”
 
Bahkan Rasulullah bersabda yang bermaksud,
 
“Janganlah engkau berteman kecuali dengan orang yang beriman dan janganlah memakan makananmu kecuali orang yang bertakwa.”
(Riwayat Abu Dawud)
 
Abu Sulaiman Al-Khattabi berkata, “Sesungguhnya Nabi Muhammad memperingatkan dan mengherdik kita agar tidak bertemankan dengan orang yang tidak bertaqwa dan tidak pula makan bersamanya. Sebab makan bersama akan menimbulkan rasa kasih sayang di dalam hati.”
 
Moga Allah melembutkan hati kita untuk sentiasa bersabar, bersangka baik, dan berlapang dada dengan sesama pendakwah dan orang beriman, serta sentiasa duduk bersama mereka.
 
Wallahua’lam.
 
– Shukery Azizan –
 

 

p/s: Tulisan ini diambil daripada buku Pujukan Dari Tuhan karya Shukery Azizan. Boleh dapatkan buku Pujukan Dari Tuhan sama ada di kedai-kedai buku POPULAR, MPH, SMO dan lain-lain, atau boleh juga dapatkan secara online melalui isbirofficial.
 
p/s : Dapatkan E-Book tulisan Shukery Azizan yang bertajuk “Kisah Wanita Di Dalam Al-Quran” hari ini juga. Klik di sini untuk dapatkan segera : >> KLIK DI SINI <<

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Jom Hantar Kad Ucapan Ramadan

Jom Hantar
Kad Ucapan Ramadan