Tadabbur Juzuk 14 : Inilah Kaedah Dakwah Daripada Allah

InsyaAllah, kali ini kita akan memasuki ke dalam surah An-Nahl, salah satu surah yang agak terkenal di dalam kalangan orang Malaysia. Sebab apa? Sebab ia berkaitan dengan lebah. Surah ini adalah surah ke-16 dalam al-Quran. Surah ini tergolong dalam kalangan surah-surah Makiyyah. Surah ini juga dinamakan An-Nahl yang bermaksud lebah sebab ada di dalamnya, firman Allah ayat 68 yang bermaksud: “Dan Tuhanmu mewahyukan kepada lebah”. Lebah adalah makhluk Allah yang menghasilkan madu daripada pelbagai sari pati bunga. Saya tak nak hurai sangat tentang madu dan lebah, nanti jadi buku sains pula. Cuma saya tertarik dengan satu hadis, Rasulullah bersabda yang bermaksud,
 
“Perumpamaan seorang Mukmin seperti lebah. Apabila ia makan, maka ia akan memakan suatu yang baik. Dan jika ia mengeluarkan sesuatu, ia pun akan mengeluarkan sesuatu yang baik. Dan jika ia hinggap pada sebuah dahan untuk menghisap madu ia tidak mematahkannya.”
(Riwayat Al-Baihaqi)
 
Tadabburlah hadis di atas, dan bandingkan diri kita. Adakah diri kita seperti lebah, ataupun lalat? Apa pun, kita terus sambung kepada ayat pilihan untuk juzuk ke 14 ini, iaitu ayat yang ke 125. Bismillah,
 
ادْعُ إِلَىٰ سَبِيلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِظَةِ الْحَسَنَةِ ۖ وَجَادِلْهُمْ بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ ۚ إِنَّ رَبَّكَ هُوَ أَعْلَمُ بِمَنْ ضَلَّ عَنْ سَبِيلِهِ ۖ وَهُوَ أَعْلَمُ
بِالْمُهْتَدِينَ
Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan bantahlah mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalanNya, dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk.”
 
(Surah An-Nahl 16:125)
 
Ini adalah antara ayat yang paling penting untuk kita tadabbur, khususnya kepada para pendakwah yang nak menyampaikan seruan Islam di dalam masyarakat. Antara asbabun nuzul ayat ini adalah, ketika mana Saidina Hamzah gugur syahid di dalam medan perang Uhud dan dalam keadaan tercincang jasadnya. Ketika Rasulullah melihat keadaan jasadnya, Rasulullah bersumpah, “Sesungguhnya aku bersumpah akan membalas 70 orang daripada mereka sebagai penggantimu”. Apa pun, Allah mengajarkan kita melalui ayat ini kaedah berdakwah kepada manusia. Umumnya, ada tiga jenis kaedah dakwah kepada masyarakat. Kaedah pertama, Allah menyebut,
 
ادْعُ إِلَىٰ سَبِيلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ
Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan..”
 

 

Dapatkan buku Surat Untuk Orang Putus Asa karya
Ustaz Adnin Roslan di setiap rangkaian kedai buku seluruh Malaysia.

 

Kaedah pertama adalah dengan menggunakan cara بِالْحِكْمَةِ iaitu dengan penuh hikmah. Hikmah di sini maksudnya adalah kebijaksanaan menggunakan dalil al-Quran (naqli) dan juga akal (aqli), mengikut tempat dan keadaan. Kaedah pertama nak ditujukan kepada siapa? Ianya untuk golongan yang berpendidikan dan bijak pandai yang mempunyai pengaruh dan pengikut dalam kalangan masyarakat. Kalau zaman Nabi Musa alaihissalam, ia seperti golongan ahli sihir, menteri dan keluarga Firaun. Tetapi kalau zaman Rasulullah pula, ia seperti  golongan penyair, pemuka kaum dan orang yang bijak pandai. Tetapi kalau zaman hari ini, lebih kepada kelompok seperti pelajar pintar (SMS, MRSM, SBPI, dan seumpamanya), golongan berkerjaya, professional, korporat, elit dan menteri. Secara mudahnya, golongan yang ada pendidikan luar biasa dan tinggi serta yang mempunyai taraf sosial elit di peringkat negara. Kemudian Allah menyambung lagi,
 
وَالْمَوْعِظَةِ الْحَسَنَةِ
“..dan nasihat pengajaran yang baik..”
 
            Ini pula kaedah kedua, iaitu menggunakan cara menyampaikan nasihat yang baik. Kaedah ini bersifat umum, boleh digunakan kepada semua lapisan masyarakat awam, khususnya orang awam. Daripada kanak-kanak, hinggalah orang tua. Daripada sekolah harian biasa, hinggalah yang luar biasa. Daripada penagih dadah, sehinggalah banduan penjara. Daripada kerja professional, sehinggalah kerja kampung seperti buruh, nelayan dan juga petani. Hehe. Kebiasaannya, masyarakat awam amat bersedia untuk mendengar nasihat dan peringatan yang lembut. Kalimah الحَسَنَةِ (al-Hasanah) ditafsirkan dengan memberikan targhib dan tarhib (ajakan dan larangan). Tujuannya adalah untuk melembutkan hati dan berusaha agar nasihat ini sampai kepada seluruh manusia. Kaedah dakwah untuk golongan ini lebih mudah berbanding yang professional dan yang menentang Islam. Kemudian Allah sambung lagi,
 
وَجَادِلْهُمْ بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ
“..dan bantahlah mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik..”
 
            Ini pula kaedah ketiga yang Allah ajarkan kepada kita, iaitu membantah golongan yang melawan pendakwah dengan cara yang lebih baik. Zaman Rasulullah dulu, pemuka Quraisy yang membantah dan melawan dakwah baginda. Dan para anbiya’ sebelum itu pun ada juga wujud golongan yang melawan dakwah mereka. Kalau hari ini, biasanya golongan yang melawan pendakwah dan Islam adalah musuh-musuh Islam yang sudah mempunyai organisasi (tanzim) dan kumpulan yang terancang dan tersendiri. 
 
Contohnya seperti organisasi LGBT, kumpulan Atheis, organisasi Kristian Evangelis, organisasi liberal sekular, kelompok hak asasi manusia seperti COMANGO dan sebagainya. Golongan seperti ini kita kena bantah dengan cara yang paling أَحْسَنُ iaitu paling baik. Contohnya berdebat dengan mereka, menyuarakan bantahan dengan hujah kukuh atas segala cadangan mereka yang mengikis dan merosakkan Islam, dan sebagainya. Kemudian Allah menyambung pada frasa terakhir,
 
بِالْمُهْتَدِينَ إِنَّ رَبَّكَ هُوَ أَعْلَمُ بِمَنْ ضَلَّ عَنْ سَبِيلِهِ ۖ وَهُوَ أَعْلَمُ
“..sesungguhnya Tuhanmu Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalanNya, dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk.”
 
Allah jualah yang lebih tahu siapa yang sesat, siapa yang menemui kebenaran. Kalau mereka kalah dalam berdebat sekalipun, belum tentu mereka nak beriman dan bertaubat kepada Allah. Sebab hidayah ini semata-mata milik Allah. Tugas kita hanyalah menyampaikan kebenaran dan dakwah saja walaupun ia pahit.
 
******

 

Dapatkan buku Agar Kau Bahagia karya Najmi Fetih
di semua rangkaian kedai buku di seluruh Malaysia.

 

Ada banyak pengajaran besar untuk kali ini. Antaranya,
 
1.         Pendakwah hari ini kena memaksakan diri sendiri untuk menguasai pelbagai disiplin ilmu. Kena keluar daripada zon selesa. Kalau boleh, bukan setakat menguasai disiplin ilmu agama seperti usul fiqh, tafsir, bahasa Arab dan lain-lain, tetapi kena juga menguasai disiplin ilmu lain seperti sejarah, ekonomi, undang-undang, sains perubatan, geopolitik antarabangsa, perhubungan antarabangsa, diplomatik, pengarah filem, ketenteraan dan sebagainya. 
 
Sebab hari ini kita tidak berhadapan dengan musuh Islam dalam konteks peperangan senjata, tetapi berhadapan dalam konteks war of ideas (serangan pemikiran atau ideologi). Sayangnya, hari ini sangat ramai para pendakwah yang ketinggalan dalam bidang disiplin ilmu sebegini. Perbezaan antara hard power dan soft power pun tak tahu. Itu belum lagi istilah yang pelik-pelik seperti semantic infiltration, dan sebagainya. Sampaikan ada sebahagiannya yang merasakan ‘ini semua dunia’. Aduh, salah tu.
 
            Dan lebih sayangnya, ada orang Islam yang menguasai disiplin ilmu undang-undang, ekonomi, sains politik dan sebagainya, tetapi jauh pula daripada agama. Bahkan ada yang akhirnya termasuk dalam kelompok liberal, sekular, liberal demokratik, syiah, dan sebagainya. Aduh, sakit kepala.
 
            Semua pendakwah yang menguasai asas dan sendi syarak di dalam jiwanya wajib mengubah cara fikir. Kena banyak mujahadah untuk menguasai disiplin ilmu yang pelbagai (interdisciplinary). Susah? Memang susah, kerna Syurga bukan percuma. Kalau kita tak kuasai semua bidang ini, puak jahiliyah pula yang akan menguasainya.
 
2.         Kaedah dakwah ini ada pelbagai, bergantung kepada siapa mad’u (sasaran dakwah) kita. 
 
Setiap orang berlainan cara penerimaan dakwah, dan kita tak boleh pukul rata. Ibarat macam penyakit. Setiap pesakit wajib diberikan ubat yang berbeza. Sebab setiap penyakit itu berlainan dos ubat yang perlu diberikan. Tak bolehlah kalau pesakit kanser tahap 4, diberikan ubat panadol activefast saja. Ataupun pesakit yang demam panas diberikan rawatan dengan pembedahan otak. Begitulah juga sasaran dakwah. Kalau orang yang jauh daripada agama, tetapi rasa nak berubah, berikanlah nasihat yang baik. Kalau golongan intelek atau professional yang perlukan hujah, sampaikanlah dengan penuh hikmah. Kalau golongan yang menentang Islam secara terang-terangan, berhadapanlah dengan baik.
 
3.         Tetapi hari ini sayangnya, ramai orang Islam yang mula apologetik dengan dakwah. Ada yang takut nak berdakwah atas alasan belum sempurna. Yang dah berani buat dakwah, tetapi tak mengikut syaraklah pula. Dengan orang kafir berlemah-lembut, dengan sesama Muslim bertegas keras. Terbalik pula. Umat Islam dah terlalu bertoleransi dan bertolak ansur sehingga akhirnya ditolak beransur-ansur. Yang perlu lembut, kita keras. Yang perlu tegas, kita diam membisu. Itu baru satu perkara, belum lagi yang menghalalkan apa yang haram, bercampur aduk dengan kebatilan, dan sebagainya. Allah..
 
Moga Allah kembalikan semula maruah dan ‘izzah umat Islam di tempat yang tertinggi. Serta moga Allah memilih kita menjadi pendokong dan orang yang terpilih dalam menegakkan agama Allah. Ameen.
 
Wallahua’lam.
 
– Shukery Azizan –
 

 

p/s: Tulisan ini diambil daripada buku Pujukan Dari Tuhan karya Shukery Azizan. Boleh dapatkan buku Pujukan Dari Tuhan sama ada di kedai-kedai buku POPULAR, MPH, SMO dan lain-lain, atau boleh juga dapatkan secara online melalui isbirofficial.
 
p/s : Dapatkan E-Book tulisan Shukery Azizan yang bertajuk “Kisah Wanita Di Dalam Al-Quran” hari ini juga. Klik di sini untuk dapatkan segera : >> KLIK DI SINI <<

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Jom Hantar Kad Ucapan Ramadan

Jom Hantar
Kad Ucapan Ramadan