Surat Cinta Buat Pendosa

 
Assalamualaikum.
 
Aku tuju surat ini buat kau dan diriku sendiri, wahai semua pendosa. Kita semua sama dan tiada siapa yang maksum. Aku dan kalian, masing-masing ada aib tersendiri yang amat malu jika orang lain tahu. Aku tulis surat ini bukan bermakna aku ini mulia, dan kalian yang baca surat ini bukanlah bermakna kalian itu hina.
 
Tidak.
 
Bukan tugas aku untuk menghukum dan menghina kalian atas dosa yang kalian laku. Bahkan, Nabi juga tidak izinkan untuk kita menghina diri sendiri. Jika diri sendiri pun aku tidak berhak untuk menghina, apakah lesen untuk aku terus menghina kalian? Kerana hakikatnya, dosa aku lebih banyak dari kalian, dan aku lebih berhak di hina.
 
Tetapi, penghinaan yang di beri tidak akan mampu merubah manusia.
 
Kerana itu, niat aku cuma ingin sampaikan, ingin memberi pesanan, ingin memberi peringatan, ingin memberi harapan, ingin memberi semangat, ingin memberi motivasi, dan ingin memberi teguran.
 
Aku hanya menegur. Bukan menghukum. Jauh sekali menghina.
 
Ah, lupakan itu semua. Aku tulis ini supaya kalian tidak menuduh aku yang bukan-bukan, mengatakan aku menghukum kalian dan sebagainya. Tidak. Menegur itu bukan menghukum. Aku harap, kalian faham yang itu.
 
TAUBAT ITU TIDAK SIA-SIA
 
Wahai seluruh pendosa termasuk diriku sendiri…
 
Dalam surat ringkas ini, aku hanya mahu menyeru diri kalian agar bertaubat pada Allah. Tinggalkan dosa dan maksiat, mulakan hidup baru, dan jangan putus-asa dalam taubat. Lazimilah taubat dalam hidup.
 
Ya, mungkin terkadang, kalian rasa taubat yang kalian lakukan itu tiada nilainya, dan tidak berguna. Kerana kalian sering mengulangi dosa yang sama berkali-kali. Tetapi, tidakkah kalian sedar, bahawa apa yang kalian rasa itu salah?
 
Taubat itu tidak pernah sia-sia!
 
Jika kalian makan nasi dengan lauk di dalam pinggan, kemudian selepas makan, apa yang kalian akan lakukan? Semestinya, kalian akan basuh pinggan tersebut. Betul tak? Kemudian, kalian makan sekali lagi menggunakan pinggan yang sama, kemudian basuh kembali, dan seterusnya. Bayangkan, kalau ada orang berkata pada kalian,
 
“Buat apa nak basuh pinggan tu? Biarkan je kotor. Sebab, nanti korang akan kotorkan balik pinggan tu. Sia-sia je basuh pinggan…”
 
Apa pandangan kalian tentang kata-kata ini?
 
Sudah semestinya salah! Jika pinggan tidak di basuh, pinggan tersebut akan berkulat, kotor, berulat, busuk, dan kita sendiri dah tidak selera untuk menggunakan pinggan tersebut untuk makan. Bahkan, ianya boleh membawa kepada penyakit, keracunan makanan dan boleh mati. Kenapa? Kerana pinggan tersebut tidak di basuh, di biar kotor, terus menjijik.
 
Begitu juga hatimu.
 
Jangan anggap taubat itu satu perkara yang sia-sia. Hati ibarat pinggan. Dosa itu ibarat sisa makanan. Ianya sentiasa kita ulang dan ulang kerana lemahnya kita sebagai manusia. Taubat itu pula ibarat membasuh pinggan.
 
Ya, kita memang akan sentiasa melakukan dosa, samada sengaja atau tidak sengaja, dosa kecil atau besar. Tetapi, apa alasan untuk kita tidak bertaubat? Walaupun setelah kita taubat, boleh jadi kita mengulangi semula dosa yang sama, namun adakah itu boleh jadi alasan untuk kita tidak bertaubat? Jika kita membiarkan pinggan itu di saluti dengan sisa-sisa makanan yang tidak di basuh, apa akan jadi?
 
Kawan…
 
Jika kita membiarkan hati kita di saluti dengan sisa-sisa dosa yang tidak di taubatkan, apa akan jadi? Hati kita akan kotor, busuk, jijik, penuh dengan karat, bahkan, hati kita boleh mati!! Kerana itu, hati ini perlu sentiasa di basuh dengan taubat wahai teman yang ku amat cintai!
 
Tiada alasan untuk kita tidak bertaubat.
 
Taubat itu nikmat.
Taubat itu ketenangan.
Taubat itu kebahagiaan.
Taubat itu keamanan.
Taubat itu kedamaian.
Taubat itu solusi kepada segala masalah.
Taubat itu kunci kepada kejayaan.
Taubat itu tangga kepada syurga yang di damba.
 

 

Dapatkan buku Pujukan Dari Tuhan karya Shukery Azizan
dan Kerana Aku Sayang karya Aniq Muhaimin secara online di 0196803782
KESAN TAUBAT
 
Wahai seluruh pendosa termasuk diriku sendiri…
 
Aku masih nak jelaskan lagi, apakah yang kalian akan dapat pabila kalian menyambut tawaran taubat yang Allah hulurkan. Aku akan jelaskan pada kalian sehingga kalian benar-benar yakin! Yakin yang tiada sedikit pun keraguan dalam hati kalian! Yakin yang membuahkan amal dan tindakan! Aku akan buktikan, aku akan buktikan, aku akan buktikan, sehingga kalian tiada lagi alasan untuk tidak bertaubat, bahkan kalian akan merasa ketagih untuk bertaubat!!
 
1) Allah akan ampunkan seluruh dosa kalian.
 
Apakah lagi yang di harapkan dalam hidup ini selain di ampuni? Nikmat di ampunkan Allah adalah satu nikmat yang cukup agung! Dan, jalannya adalah taubat wahai kawan! Dalam satu hadith qudsi Allah ada berfirman:
 
“Wahai hamba-hambaKu, setiap kalian pasti berdosa kecuali yang Aku jaga. Maka beristighfarlah kalian kepadaKu, nescaya kalian Aku ampuni. Dan barang siapa yang meyakini bahawa Aku punya kemampuan untuk mengampuni dosa-dosanya, maka Aku akan mengampuninya dan Aku tidak peduli (beberapa banyak dosanya).”
 
(Hadith Riwayat Ibnu Majah dan Tirmidzi)
 
Allah tak peduli berapa banyak dosa kita. Sebesar mana pun dosa kita, tidak mampu menandingi kebesaran Allah! Seluas mana dosa kita, tidak mampu menandingi keluasan rahmat dan pengampunan Allah. Namun, ianya akan tercapai hanya dengan taubat!
 
Indah bukan?
 
2) Allah beri nikmat dan keberkatan rezeki untuk kalian.
 
Nak bebas dari masalah duit? Nak rasai keberkatan dan kecukupan rezeki?  Dah tak tahan hidup dalam kesempitan kewangan? Taubat adalah jawapannya!
 
Ketika kaum nabi Nuh melakukan dosa, mensyirikkan tuhan yang maha Esa, menentang risalah islam yang di bawa baginda, Nabi Nuh hadir menawarkan satu tawaran daripada Allah, yang mana, jika seluruh pendosa menerima tawaran agung ini, nescaya Allah akan beri segala-galanya! Allah kurniakan hujan, Allah kurniakan harta, anak-anak, di suburkan tanaman dan juga Allah akan alirkan sungai-sungai.
 
Tahukah kalian, apakah tawaran itu?
 
Kalian hayati tawaran yang di beri oleh Allah melalui kekasihNya, Nuh alaihissalam.
 
(10). فَقُلْتُ اسْتَغْفِرُوا رَبَّكُمْ إِنَّهُ كَانَ غَفَّارًا
 
“Maka aku katakan kepada mereka: “Mohonlah ampun kepada Tuhanmu, sesungguhnya Dia adalah Maha Pengampun..”
 
(11). يُرْسِلِ السَّمَاءَ عَلَيْكُمْ مِدْرَارًا
 
“(Dengan taubat), nescaya Dia akan mengirimkan hujan kepadamu dengan lebat..”
 
(12). وَيُمْدِدْكُمْ بِأَمْوَالٍ وَبَنِينَ وَيَجْعَلْ لَكُمْ جَنَّاتٍ وَيَجْعَلْ لَكُمْ أَنْهَارًا
 
“Dan menggandakan harta dan anak-anakmu, dan mengadakan untukmu kebun-kebun dan mengadakan (pula didalamnya) untukmu sungai-sungai…”
 
(13). مَا لَكُمْ لَا تَرْجُونَ لِلَّهِ وَقَارًا
 
“Mengapa kamu tidak percaya akan kebesaran Allah?”
 
(Surah Nuh ayat 10 hingga 13)
 
Hujan itu rezeki. Anak dan zuriat itu rezeki. Tanaman subur itu adalah signifikan kepada perniagaan kita Allah suburkan, walau apa bentuk perniagaan pun selagi ia tidak melanggar syarak. Juga di Allah kurniakan sungai yang mengalir. Semua itu rezeki! Dan ia akan hadir pabila kita bertaubat!
 
Bukan itu sahaja wahai kawan.
 
3) Semua masalah kalian di selesaikan dan di beri jalan keluar.
 
Pernah tak kalian di himpit beban dan masalah hidup? Masalah demi masalah, musibah demi musibah, keserabutan demi keserabutan, dan kau mencari-cari jalan keluar dari segala kekusutan dan keserabutan yang kalian alami.
 
Kalian mencari-cari jalan keluar namun buntu, hampir putus-asa, mengeluh dan mengeluh. Adakah kalian sedar, Allah yang maha Pengampun, maha Pemurah, maha Penyayang dan yang maha Pengasih telah memberikan solusi kepada seluruh permasalahan tersebut?  Nabi pernah bersabda:
 
مَنْ لَزِمَ الِاسْتِغْفَارَ، جَعَلَ اللَّهُ لَهُ مِنْ كُلِّ ضِيقٍ مَخْرَجًا، وَمِنْ كُلِّ هَمٍّ فَرَجًا، وَرَزَقَهُ مِنْ حَيْثُ لَا يَحْتَسِبُ
 
“Barangsiapa yang melazimi istighfar, nescaya Allah jadikan baginya dari setiap kesempitan ada jalan keluar, dari setiap kesusahan ada jalan penyelesaian, serta memberinya rezeki dari penjuru yang tidak ia sangka-sangka..”
 
(Hadith Riwayat Abu Daud)
 
Adakah kalian nampak apakah kesan taubat? Jika belum nampak, aku hadiahkan satu lagi kata-kata agung kekasih Allah, Muhammad saw:
 
مَنْ أَكْثَرَ مِنْ الِاسْتِغْفَارِ؛ جَعَلَ اللَّهُ لَهُ مِنْ كُلِّ هَمٍّ فَرَجًا، وَمِنْ كُلِّ ضِيقٍ مَخْرَجًا، وَرَزَقَهُ مِنْ حَيْثُ لَا يَحْتَسِبُ”

“Barang siapa memperbanyak istighfar; nescaya Allah akan memberikannya jalan keluar bagi setiap kesedihannya, kelapangan untuk setiap kesempitannya dan rezeki dari arah yang tidak disangka-sangka.”
 
(Hadith Riwayat Ahmad)
 
Kalian masih lagi tidak mahu mengakui dan mempercayai kalam Allah dan rasul ini? Kalian masih ragu-ragu bahawa TAUBAT adalah solusi dan jalan keluar kepada semua masalah, musibah, keserabutan, kegelisahan, kekusutan, keresahan, kesedihan, kesempitan dan segala-gala bala di dunia ini yang menimpa kalian?
 
Kalian masih tidak percaya kuasa taubat?
 
Nah! Aku hadiahkan kalian bukti-bukti yang nyata dari tuhan yang tidak pernah memungkiri janji!
 
وَأَنِ اسْتَغْفِرُوا رَبَّكُمْ ثُمَّ تُوبُوا إِلَيْهِ يُمَتِّعْكُمْ مَتَاعًا حَسَنًا إِلَىٰ أَجَلٍ مُسَمًّى وَيُؤْتِ كُلَّ ذِي فَضْلٍ فَضْلَهُ
 
” Dan hendaklah kamu meminta ampun kepada Tuhanmu dan bertaubat kepada-Nya. (Jika kamu mengerjakan yang demikian), nescaya Dia akan memberi kenikmatan yang baik (terus menerus) kepadamu sampai kepada waktu yang telah ditentukan dan Dia akan memberikan kepada tiap-tiap orang yang mempunyai keutamaan (balasan) keutamaannya.”
 
(Surah Hud ayat 3)
 
Tak cukup dengan itu wahai kawan!
 

 

Dapatkan buku Agar Kau Bahagia karya Najmi Fetih
di rangkain kedai buku seluruh Malaysia sekarang juga!
4) Andai kalian merasa lemah, taubat itu akan menghasilkan kekuatan!
 
وَيَا قَوْمِ اسْتَغْفِرُوا رَبَّكُمْ ثُمَّ تُوبُوا إِلَيْهِ يُرْسِلِ السَّمَاءَ عَلَيْكُمْ مِدْرَارًا وَيَزِدْكُمْ قُوَّةً إِلَىٰ قُوَّتِكُمْ وَلَا تَتَوَلَّوْا مُجْرِمِينَ

“Dan (Hud berkata): “Hai kaumku, mohonlah ampun kepada Tuhanmu lalu bertaubatlah kepada-Nya, nescaya Dia menurunkan hujan yang sangat deras atasmu, dan Dia akan menambahkan kekuatan kepada kekuatanmu, dan janganlah kamu berpaling dengan berbuat dosa.”
 
(Surah Hud ayat 52)
 
Lihat wahai kawan, Lihat!! Baca dengan mata hati perenggan ayat tadi!
 
“Dia akan menambahkan kekuatan kepada kekuatanmu…”
 
Sungguh dengan taubat, kekuatan akan hadir! Apa lagi alasanmu untuk tidak menyambut tawaran yang Allah hulurkan padamu?
 
5) Allah akan makbulkan doa-doa kalian.
 
Kadang, ramai orang yang marah Allah bila mereka tak dapat apa yang dia minta dalam doa. Tetapi, ramai yang tak sedar, punca Allah tak makbulkan doa adalah kerana dosa-dosa mereka sendiri! Dosa itu yang menjadi penghalang, dan, ianya dapat di atasi dengan taubat!
 
Dengan taubat, Allah akan makbulkan doa kita! Bahkan, Allah akan bagi yang lebih baik buat kita, walaupun kita mintak lain dapat lain, Allah maha tahu! Seorang penyair ada menyebut  dalam kitab Al-Azhiyah Ahkamil Ad’iyah:

“Kita berdoa dan menyangka doa tak dimakbulkan dan terangkat, padahal dosa mereka yang menghalangnya, lalu doa tersebut kembali. Bagaimana doa kita boleh sampai sementara dosa kita menghalang di jalannya”.
 
Aku bagi perumpamaan.
 
Ada seorang raja, dia nak bagi seluruh rakyat dia harta dan segunung emas tiap seorang, tetapi bersyarat. Syaratnya ialah, tidak boleh melanggar undang-undang negara. Siapa yang langgar, dia tidak berhak untuk mendapat harta dan segunung emas tersebut.
 
Dan, ada seorang lelaki ni, dia memang suka melanggar undang-undang dan arahan raja. Segala macam jenayah dia lakukan. Pada masa yang sama, dia selalu datang pada raja dan mintak harta dan segunung emas. Lalu raja tu berkata:
 
“Aku boleh bagi, dengan syarat kau ikut arahan dan undang-undang yang dah termaktub dalam negara kita yang tercinta ni…”
 
Tapi, lelaki tersebut berkeras, dia tak nak ikut syarat tersebut. Dia terus menerus melakukan jenayah. Tetapi, seperti mana dia tidak jemu melakukan jenayah, dia jugak tidak jemu untuk meminta harta dan segunung emas yang raja tersebut telah tawarkan. Tetapi, seperti biasa, permintaannya tidak di tunaikan.
 
Lalu, lelaki tersebut marah dan memaki hamun raja tersebut, serta menyalahkan raja, menuduhnya kedekut, bakhil, sombong, dan sebagainya. Soalan aku buat kalian.
 
Siapa yang bodoh? Raja atau lelaki itu? Siapa yang sombong? Raja atau lelaki itu?
 
Begitu juga kita. Kita sering salahkan Allah bila doa kita tak makbul. Tetapi, pernah tak kita muhasabah diri, sejauh mana kita patuhi segala perintah dan larangan Allah? Kerana itu, kita kena bertaubat!
 
Ah!
 
Nak senaraikan kelebihan taubat ni, terlalu banyak! Secara ringkas boleh aku cakap, dengan taubat:
 
Allah akan mencintai kalian.
Allah akan meninggikan darjat kalian.
Malaikat akan berdoa untuk kalian.
Menggantikan dosa yang kita laku selama ini dengan pahala.
Menyucikan hati.
Mendapat ketenangan.
Terlepas dari neraka.
Di masukkan dalam syurga.
 
Dan banyak lagi! Apa lagi alasan untuk kalian tidak bertaubat? Tidakkah kalian jatuh cinta dengan rahmat yang Allah hulurkan ini?
 

 

Dapatkan Areef The Album di Spotify, iTunes, Deezer, Joox, KKbox
atau dapatkan CD album dengan whatapps di 019 680 3782 sekarang juga!
 
KESAN DOSA
 
Setelah aku sampaikan berita baik tentang indahnya taubat, apa kata kalian dengar juga, apakah kesan dosa dalam hidup kalian. Supaya akhirnya, kalian boleh pilih, nak terus berdosa atau bertaubat terus. Nilai kesan dosa, nilai kesan taubat, mana yang kalian rasa lebih baik untuk diri, lakukanlah ia tanpa ragu-ragu! Kesan dosa ni sangat banyak!
 
Antaranya:
 
1 )Terhalang dapat ilmu.
2) Terhalang dari rezeki.
3) Jauh dari Allah.
4) Rasa terpinggir dari manusia.
5) Urusan jadi sulit.
6) Hati jadi gelap gila.
7) Rasa susah nak taat Allah.
8) Umur jadi pendek(umur tak berkat).
9) Akan mengheret kita untuk buat dosa lain.
10) Melemahkan rangsangan ketaatan. Means, takde rasa nak buat baik langsung!
11) Sampai satu tahap, kita akan rasa bangga dengan maksiat.
12) Allah hina.
13) Rasa maksiat tu kecil.
14) Melemahkan akal.
15) Hati tertutup.
16) Mengundak laknat.
17) Terhalang dari doa nabi dan malaikat.
18) Melemahkan perjalanan hati kepada Allah.
19) Menghilangkan nikmat!
20) Mengabaikan diri sendiri.
21) Kehidupan seolah-olah menjadi sempit!
22) Mengundang azab Allah
 
Ah! Kalian tulis dan isilah sendiri! Terlalu banyak kesannya! Aku juga pernah rasa kesan-kesan tersebut, dan aku sangat terseksa! Benarlah, Ibn Qayyim pernah berkata:
 
“Ramai orang mampu bersabar dengan syahwat. Tapi, tak ramai yang mampu bersabar dengan kesan syahwat!!”
 
Kesan dosa itu hakikatnya lebih pedih dari dosa. Mungkin ketika buat dosa, kalian tak rasa apa. Tetapi, dosa ini meninggalkan bekas. Bekas itulah yang akan menghantui hidup kita! Adakah kalian sanggup meneruskan dosa, sedangkan kalian tahu, hakikat dosa itu amat menakutkan dan amat mengerikan?
 
Sekarang, pilihlah.
 
Taubat.
Atau.
Maksiat ?
 
Aku tahu, kalian tahu, apa yang terbaik. Aku sayang kalian kerana Allah. Moga syurga buatmu!
 
p/s: Tulisan ini diambil daripada buku Surat Untuk Orang Putus Cinta karya Ustaz Adnin Roslan
 
 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Jom Hantar Kad Ucapan Ramadan

Jom Hantar
Kad Ucapan Ramadan