Kisah Taubat 2 : Taubat Nabi Musa Alayhissalam

Wahab bin Munabbih melaporkan, Nabi Musa pernah mendengar Allah berkata-kata. Baginda pun berazam untuk melihat Allah pula. Disebabkan itu, Nabi Musa pun berdoa, “Wahai Tuhanku, tunjukkan aku rupa-Mu supaya aku dapat melihat bentuk-Mu.” Peristiwa ini dirakam dalam surah al-A’raf pada ayat ke 143, “Dan tatkala Musa datang untuk (munajat dengan Kami) pada waktu yang telah Kami tentukan dan Tuhan telah berfirman (langsung) kepadanya, berkatalah Musa: “Ya Tuhanku, nampakkanlah (diri Engkau) kepadaku agar aku dapat melihat kepada Engkau”. Tuhan berfirman: “Kamu sekali-kali tidak sanggup melihat-Ku, tapi lihatlah ke bukit itu, maka jika ia tetap di tempatnya (sebagai sedia kala) nescaya kamu dapat melihat-Ku”. Tatkala Tuhannya menampakkan diri kepada gunung itu, dijadikannya gunung itu hancur luluh dan Musa pun jatuh pengsan. Maka setelah Musa sedar kembali, dia berkata: “Maha Suci Engkau, aku bertaubat kepada Engkau dan aku orang yang pertama-tama beriman.” Allah berkata, “Wahai Musa, tidak ada orang yang sanggup melihat-Ku melainkan selepas itu dia mati.” Nabi Musa menjawab “Tuhanku, tidak ada sesiapa pun yang sama dengan-Mu. Sesungguhnya, melihat-Mu dan sesudah itu mati lebih aku sukai daripada aku terus hidup tetapi tidak berpeluang melihat-Mu. Tuhanku, kurniakan aku kebahagiaan, jadikan aku orang yang bijaksana dan terima segala permintaanku. Aku rela mati kerana semua permintaan itu.” Ibnu Abbas r.anhu melaporkan, Allah Maha mengetahui bahawa Nabi Musa bersungguh-sungguh meminta supaya permintaannya itu diterima. Lalu Allah berkata, “Musa, pergi kamu mendaki sebuah bukit. Perhatikan batu-batu yang ada di puncak bukit itu. Kamu mesti duduk di atas batu-batu itu, Nanti aku kirimkan bala tentera-Ku kepadamu.” Bala tentera Allah yang dimaksudkan adalah para malaikat. Nabi Musa pun melaksanakan apa yang Allah perintahkan. Dia mendaki gunung dan duduk di atas batu di puncak gunung itu. Di atas gunung itu, Allah menunjukkan kepada Nabi Musa bala tentera-Nya dari langit pertama. Allah memerintahkan seluruh malaikat itu menampakkan diri di hadapan Nabi Musa. Malaikat-malaikat itu pun menunjukan diri mereka di hadapan Nabi Musa sambil memuji Allah dengan suara yang kuat seperti petir yang sedang sabung-menyabung. Ada di antara mereka yang bersayap, ada berwajah manusia, ada berbadan singa. Mereka bersama-sama memuji Allah dengan suara yang jelas dan kuat. Lalu Nabi Musa terus bertanya, “Wahai Tuhanku, bolehkah aku lari daripada melihat semua ini? Aku sangat menyesal kerana permintaan seperti tadi.” Kemudian, satu daripada malaikat mencelah, “Wahai Nabi Musa, bertenanglah. Apa yang engkau lihat ini hanyalah sebahagian kecil daripada kehebatan-Nya yang lebih besar.” Tidak lama kemudian, Allah memerintahkan semua malaikat yang ada di langit ketiga turun ke bumi dan menampakkan diri dalam bentuk api yang menjulang-julang, dan pelbagai rupa bentuk lagi. Jumlah mereka tidak terbilang banyaknya seperti butiran pasir di tepi pantai. Mereka sama-sama memuji dan memuja Allah dengan suara yang kuat. Nabi Musa terkejut apabila mendengar suara kuat yang memuji Allah. Baginda menjadi pesimistik dan beranggapan baginda akan mati. Satu daripada para malaikat menghampiri Nabi Musa lalu berkata “Bertenanglah, wahai Nabi Musa. Nanti kamu pasti akan melihat sesuatu yang kamu tidak pernah bayangkan dan lebih hebat daripada ini.” Selepas itu, Allah memberikan perintah-Nya semua malaikat yang berada di langit keempat pula dan seterusnya. Semua malaikat dari setiap langit bermula dari petala pertama hingga ketujuh turun ke bumi menemui Nabi Musa secara bergilir-gilir. Mereka berhadapan dengan Nabi Musa dengan rupa yang pelbagai. Ada yang selaju kilat, ada yang lengkap dengan senjata tombak yang mana tombaknya itu berkilat dan bersilau terang benderang melebihi sinaran mentari, dan sebagainya. Apabila Nabi Musa menyaksikan kesemua kehebatan malaikat yang diciptakan Allah, baginda pun menangis. Nabi Musa berkata, “Wahai Tuhanku, aku adalah hamba-Mu. Ingatlah akan daku dan jangan Engkau abaikan aku. Aku berasa aku tidak akan dapat keluar dari tempat ini. Aku berasa tidak selamat selepas menyaksikan semua itu. Sekiranya aku keluar, mungkin aku dibakar. Tetapi sekiranya aku terus beradan di sini, mungkin aku mati.” Mendengarkan itu, malaikat daripada langit ketujuh menemui Nabi Musa seraya berkata, “Tempat ini adalah tempat yang pernah kamu minta daripada Tuhanmu. Inilah tempat bagi melihat Tuhanmu. Tetapi hatimu penuh dengan perasaan takut dan menyesal.” Nabi Musa mula menangis tidak henti-henti. Nabi Musa ketakutan sehingga bergetar seluruh urat-urat dan sendinya. Kedua-dua lututnya berlaga kerana menggigil ketakutan. Allah melihat perubahan pada diri Nabi Musa lalu Dia memberikan Nabi Musa melihat tiang-tiang yang menampung langit Arasy. Hati Nabi Musa menjadi tenang lalu baginda bersandar pada tiang-tiang yang ada di situ. Tidak lama kemudian, Malaikat Israfil pun menemui Nabi Musa dan berkata, “Wahai Nabi Musa. Aku bersumpah sejak aku diciptakan, aku tidak pernah berani mengangkat muka memandang langit Arasy buat memandang Tuhan walaupun aku ketua seluruh malaikat. Aku sangat takut berbuat begitu. Tetapi, mengapa kamu sungguh berani meminta supaya melihat Tuhanmu sedangkan aku tahu kamu seorang yang lemah?” Nabi Musa dengan tenang menjawab, “Wahai malaikat Israfil, aku meminta begitu kerana aku mahu tahu kehebatan Tuhanku yang aku tidak pernah tahu.” Sejurus selepas itu, Allah berfirman kepada seluruh penduduk langit, “Aku mahu menggegarkan gunung itu.” Seluruh lapisan langit, gunung ganang di bumi, matahari, semua malaikat dan lautan serta segala ciptaan Allah pun bergoncang dan bergegar. Kesemua merendahkan diri bersujud membesarkan Tuhan mereka. Tetapi Nabi Musa masih kaku berdiri memandang gunung itu. Hal ini dinyatakan di dalam surah al-A’raf ayat 143, “Dan tatkala Musa datang untuk (munajat dengan Kami) pada waktu yang telah Kami tentukan dan Tuhan telah berfirman (langsung) kepadanya, berkatalah Musa: “Ya Tuhanku, nampakkanlah (diri Engkau) kepadaku agar aku dapat melihat kepada Engkau”. Tuhan berfirman: “Kamu sekali-kali tidak sanggup melihat-Ku, tapi lihatlah ke bukit itu, maka jika ia tetap di tempatnya (sebagai sedia kala) nescaya kamu dapat melihat-Ku”. Tatkala Tuhannya menampakkan diri kepada gunung itu, dijadikannya gunung itu hancur luluh dan Musa pun jatuh pengsan. Maka setelah Musa sedar kembali, dia berkata: “Maha Suci Engkau, aku bertaubat kepada Engkau dan aku orang yang pertama-tama beriman.” Selepas itu, Nabi Musa pun rebah tidak sedarkan diri. Baginda seperti sudah mati apabila melihat cahaya yang dahsyat.  Al Hassan melaporkan, Tuhan memerintahkan malaikat Jibrail menahan batu itu daripada menimpa Nabi Musa dan masa yang sama membantu Nabi Musa berdiri semula. Kemudian Nabi Musa pun berkata, “Wahai Tuhan yang Maha Suci, aku memohon ampun daripada-Mu atas segala apa yang aku minta. Ampunkan kesalahan diriku kerana inilah kali pertama aku mempercayai kehebatan-Mu. Sesungguhnya tidak ada seorang pun layak melihat-Mu kecuali yang telah mati.” Pengajaran : Antara pengajaran besar daripada kisah ini adalah, tidak semua apa yang kita minta sesuai dan bagus untuk kita. Sebab itu, apa yang kita dapat dalam dunia ini adalah apa yang kita perlu, bukan semestinya apa yang kita mahu. Ramai orang yang selalu mengeluh dan menyalahkan takdir bila tak dapat sesuatu yang mereka mahukan walaupun dah berdoa. Mereka tuduh Allah tak mahu kabulkan permintaan mereka. Lalu mereka pun mengeluh dan merungut. Kalau kita juga pernah terbuat sebegini, istighfar secepat mungkin, dan bertaubat serta berusahalah untuk tinggalkan keluhan ini. Moga Allah menerima taubat kita. Ameen. Rujukan : Mukhtashar Kitab at-Tawwabeenkarya Ibnu Qudamah al-Maqdisi.
Dapatkan buku Pujukan Dari Tuhan karya Shukery Azizan di semua rangkaian kedai buku di seluruh Malaysia.
p/s : Dapatkan E-Book tulisan Shukery Azizan yang bertajuk “Kisah Wanita Di Dalam Al-Quran” hari ini juga. Klik di sini untuk dapatkan segera : >> KLIK DI SINI <<

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Jom Hantar Kad Ucapan Ramadan

Jom Hantar
Kad Ucapan Ramadan