Kenapa aku HIDUP?

 
 
 

 

Dulu saya anak tunggal (sampai sekarang pun), ayah kandung saya dah bercerai dengan ibu, dan saya tinggal dengan arwah ayah tiri saya masa tu di kawasan bandar. Masa tu saya sekolah rendah. Ibu saya kerja kilang, balik pukul 9.30 malam, arwah ayah tiri saya pula kerja security guard, pergi pukul 12.00 tengah hari balik 12.00 malam.
 
Selalunya dalam pukul 8.00 malam, saya akan tinggal sendirian di rumah. Kalau saya lapar, saya hanya makan apa yang ibu masak masa tengah hari tu, atau kalau ada duit sikit, saya  akan makan di kedai makan. Nak dipendekkan cerita, satu hari saya lapar gila sebab makanan takde kat rumah. Saya selongkar peti ais, yang ada cuma telur ayam dan daging mentah. Nak masak tak reti, nanti terbakar dapur.
 
Arghh !! 
 
Ini semua alasan je, padahal malas nak memasak. Suka sangat bagi alasan semata-mata nak membenarkan kesalahan (tiba-tiba emo). Makanan di dapur habis sebab saya dah bedal[1] masa tengah hari, yang akhirnya malam saya lapar. Padan muka aku. Jadi disebabkan saya lapar sangat, saya pun keluar pergi kedai makan untuk makan. Eh, sebenarnya saya bukan nak cerita pasal ni, saya nak cerita pasal lain. Huhu..
 
Dipendekkan cerita, masa saya tengah tunggu order roti canai, tiba-tiba saya ternampak ada satu keluarga tengah makan bersama. Yang saya perhatikan, dalam keluarga tu ada ayah, emak, kakak, abang dan adik-adik. Semuanya dalam sekitar 6 orang dalam satu keluarga. Saya tengok mereka semua gembira makan bersama, malah bergurau mesra sekali.
 
Tanpa saya sedar, air mata saya mengalir. Sampaikan abang yang bawa roti canai kosong pada saya tu pelik tengok saya menangis tiba-tiba, mungkin dia ingat roti lambat sampai ke apa. Tapi memang lambat sampai pun. Masa saya dalam perjalanan balik ke rumah, saya menangis sendiri sambil pandang ke langit. Masa tu saya mula pertikaikan Tuhan,
 
“Kenapa Allah tak adil, kenapa Allah tak bagi aku adik beradik? Kenapa Allah tak bagi aku ayah kandung? Kenapa Allah tak bagi aku hidup senang? Kenapa Allah tak bagi aku masuk sekolah asrama? Kenapa Allah tak bagi aku pandai macam orang lain yang selalu dapat nombor 1?”
 
 Saya terus menangis sampai saya terfikir,
 
“Kenapa Allah buat aku macam ni? Kenapa Allah bagi aku ujian macam ni? Kenapa Allah tak tolong aku pun? Apa tujuan aku hidup sebenarnya? Kenapa aku jadi manusia? Lebih baik aku jadi kucing je, selalu kena belai!” (ok ini tambahan je).
 
“Apa tujuan aku hidup sebenarnya? Apa yang aku nak dalam hidup ni sebenarnya?”
 
Pernah kau fikir sebegini? Atau kau sebenarnya tak pernah terfikir pun tujuan hidup ni untuk apa? Biasanya kita akan fikir macam ini bila sedang berhadapan dengan banyak masalah dan krisis sehingga kita rasakan ini masalah yang paling berat tahap kritikal dalam hidup.
 
Soalan macam ni ramai orang tanya dalam email atau inbox Tarbiah Sentap terutama bila dalam keadaan tertekan (kebanyakkan tanya sebab lepas gagal exam atau baru putus cinta). Masa tu bukan hanya tanya tujuan hidup, malah dipertikaikan kenapa Allah tak tolong itu dan ini, kenapa Allah biarkan perkara ini dan itu berlaku.
 
Tetapi kalau tengah berseronok-ronok, berhibur sana sini sampai lupa Allah, biasanya orang tak akan pernah terfikir apa tujuan hidup. Sebab masa itu kau hanya fikir,
 
“Hidup hanya sekali, masa muda pun sekali, so kita enjoyyyy!”
 
Kau dah kenapa…?
 
Cari Falsafah Dan Tujuan Hidup
 
Saya jumpa tujuan hidup bukan dalam sehari dua, bahkan makan masa bertahun. Bertahun-tahun saya hidup tanpa saya tahu tujuan hidup. Malah saya baru sedar tujuan hidup masa saya belajar di universiti. Tu pun syukur masuk U, kalau tak, entah ke laut agaknya.
 
Persoalannya, kenapa nak beriya-iya sangat untuk tahu tujuan hidup? Apa yang bagus sangat kalau tahu tujuan hidup? Dapat duit ke? Harga barang boleh turun ke? Minyak boleh turun ke? GST boleh hilang ke? (ayat orang materialistik) Kalau kita terus hidup je tanpa tahu tujuan hidup tak boleh ke?
 
Mudahnya begini, kau tahu kipas angin atas meja yang ada jenama Khind, dan sebagainya tuh kan? Ok, kita tahu apa tujuan kipas angin tu direka oleh manusia kan? Macam mana kita tahu? Kita tahu sebab kita baca manual pada kipas angin tu, lalu kita gunakan kipas angin tu macam biasa.
 
 
Tetapi cuba kau bayangkan, kipas angin tu kau guna sebagai pengadun tepung dan telur yang nak buat kek tu. Boleh berfungsi tak? Ataupun kau gunakan kipas angin tu untuk jadi enjin motorboat. Ha, atas bot tu kelam kabut cari suis plug.

 

Agak-agak, apa berlaku pada kipas tu? Mestilah tak dapat berfungsi lama, atau cepat rosak. Sebab apa? Sebab dia digunakan BUKAN sebagai fungsi asal dia. Sepatutnya fungsi kipas direka adalah untuk sejukkan badan, bukan adun kek atau jadi enjin motorboat. So, untuk memastikan kipas tu boleh bertahan lama dan berfungsi dengan baik, kau mesti guna kipas tu sama macam fungsi dia dibuat.
 
Korang nampak tak apa saya nak cakap? Berhuhu la aku sampai esok.
 
Ok la, saya bagi contoh realiti semasa. Saya tak tahu sama ada kau yang baca ini adalah pelajar sekolah, mahasiswa/i, atau orang dah bekerja. Tapi cuba kau bayangkan, kau sekolah seawal sekolah rendah selama 6 tahun. Kemudian sambung sekolah menengah selama 5 tahun. Lepas tu ada rezeki sambung Matrikulasi atau STAM selama 1 tahun, atau sambung STPM selama 2 tahun, ataupun sambung diploma selama 3 tahun.
 
Kemudian ada rezeki lagi, kau berjaya masuk universiti, kalau nak sambung degree. Belajar di universiti, at least 3 atau 4 tahun biasanya kecuali medik. Ok la kita ambil angka 4 tahun. Lepas habis universiti, kau pun dapat kerja. Itupun nasib kalau kau tak “tanam anggur” bertahun-tahun tunggu kerja turun dari “syurga”.
 
 Lalu kau pun bekerja dengan gaji yang ikut suka hati nak letak berapa. Dah 2,3 tahun kerja, kau pun berkahwin, lalu dapat anak. Kau teruskan bekerja untuk bayar rumah, kereta, api air dan sebagainya. Itu belum lagi nak bayar tanggungan anak lagi. Pejam celik pejam celik, dah umur 55 tahun. Masa untuk pencen.
 
Bila dah pencen, kau pun tunggulah anak-anak berbakti pada kau, bagi duit bulan-bulan berserta dapat duit pencen, kalau ada la. Dan itu pun kalau dapat anak yang jenis kenang jasa. Kalau dapat anak yang macam hampagas, memang tak ke mana lah jawabnya. Moga dijauhkan. Moga Allah kurniakan kita anak-anak yang soleh dan solehah.
 
Ha, tak habis lagi cerita ni. Setelah bertahun-tahun mereput di rumah tanpa berkerja, kau pun dah umur 65. Kalau kau jenis malas membaca dan berfikir, maka cepatlah nyanyuk. Kalau rajin berfikir sikit, mungkin lambat sikit nyanyuk, atau tak nyanyuk. Lalu tinggal beberapa tahun lagi, kau pun akhirnya mereput jadi mayat, lalu diusung ke tanah perkuburan untuk dikebumikan.
 
Maka tamatlah riwayat hidup kau di dunia dan bersedialah masuk ke salah satu taman-taman Syurga atau salah satu dari lembah-lembah di Neraka semasa di kubur. Kemudian anak-anak serta generasi kau pun buat kitaran yang sama seumur hidup mereka, sampailah mereput jadi mayat dan masuk kubur.
 
Persoalannya, adakah Allah cipta kita hanya untuk itu? Hanya untuk itu saja? Itu saja? Saya tertarik dengan kata-kata Hamka antaranya,
 
“Kalau hidup untuk kerja dan makan, maka kera di hutan pun kerja dan makan juga.”
 
Jadi apa bezanya kita dengan kera, babun, lintah, orang utan, nyamuk Aedes, ikan majlis perbandaran dan sebagainya? Bukan ke Allah dah beritahu dalam surah at Tin, kita ni adalah sebaik-baik ciptaan?
 
“Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya.”
 (Surah At Tin 95:4)
 
Kalau kau masih tak faham apa saya tulis panjang-panjang ni, silalah terjun tingkap. Hehe. Takdelah, silalah baca sekali lagi sampai faham. Kalau kau dah boleh bayangkan, faham dan berfikir apa yang saya nak sampaikan ni, sepatutnya kau dah mula berfikir,
 
“A’ah la. Aku hidup ni untuk apa? Kenapa Allah hidupkan aku?”
 
Kalau kau masih tak mampu berfikir macam ni, maksudnya punchline saya tak sampai. Perghh, hambar. Kau kena ingat yang Allah ciptakan kita ni bukan untuk main-main atau suka-suki je. Serius. Barbie Doll yang ada di supermarket tu pun, direka bukan suka-suka, melainkan untuk bisnes dan perkara lain.
 
Itu Barbie Doll, ni apatah lagi kita manusia yang cukup sifat, ada akal dan nafsu, boleh berfikir, boleh belajar, kerja dan sebagainya. Walaupun kita bukan malaikat, tetapi Allah ciptakan kita bukan suka-suka je.
 
“Maka adakah patut kamu menyangka bahawa Kami hanya menciptakan kamu (dari tiada kepada ada) hanya untuk bermain-main? Dan kamu (menyangka pula) kepada Kami tidak akan dikembalikan?”
 (Surah Al-Mu’minun 23:115)
 
“Dan (ingatlah) tidaklah Kami menciptakan langit dan bumi serta segala yang ada di antaranya, secara main-main.”
 (Surah Al-Anbiya’ 21:19)
 
Jadi kalaulah Allah ciptakan hatta langit dan bumi bukan secara main-main, apatah pula kita manusia yang ada akal dan hati. Mesti ada sebab lagi serius kenapa Allah ciptakan kau. Kau hidup bukan untuk makan, minum, pergi tandas, potong kuku, belajar, kerja, kahwin, dapat anak, pencen, lepas tu mati. Tapir kat Zoo Taiping pun boleh buat. Jadi kau hidup untuk apa?
 
Kalau nak tahu tujuan hidup kita, kita kena tengok dulu FALSAFAH kenapa Allah ciptakan manusia. Persoalannya, apa falsafahnya? Aduh, dah macam masuk kelas sastera la pula. Jangan pening, saya buat ia ringkas dan mudah faham. Supaya saya dan kau tak pening, dan akhirnya kita bergembira sambil makan pop corn.
 
Falsafah Allah ciptakan manusia hanyalah satu saja, iaitu penyerahan, penyembahan dan ketaatan secara TOTAL kepada Allah. Maksudnya, Allah nak kita menyembahnya secara total tanpa mensyirikkanNya dengan sesuatu perkara. Dan Allah nak kita TAAT kepada Allah secara total tanpa melanggar perintahNya.
 
Apa tujuan ganjaran disebalik kita sembah dan taat
secara total kepada Allah? Ganjarannya adalah REDHA ALLAH kepada manusia dan SYURGA. Ini adalah ganjaran maha besar kepada sesiapa yang melakukan ketaatan secara total kepada Allah. Tetapi, apa yang kita kena buat untuk dapat redha Allah dan Syurga ini?
 
Haa, macam mana nak buat adalah, kau kena ikut manual yang Allah dah turunkan kepada seluruh manusia, iaitu al Quran. Allah sebut dalam Al Quran,
 
“Tidak Aku ciptakan jin dan manusia, kecuali untuk beribadah kepada Ku.”
 (Surah Adz-Dzariyat 51:56)
 
Dalam al Quran, manual rujukan hidup yang sepatutnya kita baca hari-hari, Allah dah beritahu yang Allah ciptakan kita untuk beribadah atau mengabdikan diri kepada Allah. Kena taat perintah Allah, jauhi larangan Allah. Ibadah ini bukan hanya solat semata-mata, bahkan makan, minum, tidur, kerja, study fizik kimia bio syariah ekonomi sastera semua itu boleh jadi satu ibadah. Jangan sempitkan perkataan “ibadah” hanya solat, puasa, zakat dan haji saja.
 
Islam ni adalah cara hidup kita, maksudnya setiap perkara yang kita buat kerana Allah, jadilah ia ibadah hatta masuk dalam jamban dan minum air mineral sekalipun. Sebab tu masuk jamban kena baca doa.
 
Tetapi, ibadah saja tak cukup. Kalau hidup untuk ibadah saja, Jin pun diciptakan untuk beribadah juga. Kalau macam tu, apa beza kita dengan Jin ifrit, Jin mata toncet, Jin yang jual seluar dan sebagainya. Jin ini makhluk ghaib yang Allah dah ceritakan secara detail dalam surah Al Jin. Kau buka dan baca terjemahan. Kalau rajin, baca tafsirnya sekali. Jadi apa beza kita dengan Jin? Bezanya adalah pada satu ayat di surah al Baqarah,
 
“Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat: Sesungguhnya Aku hendak menciptakan untuk bumi itu khalifah..”
 (Surah Al-Baqarah 2:30)
 
Pemimpin atau khalifah ini bukan semata-mata ada jawatan di sekolah, universiti, tempat kerja ataupun negara sekalipun, malah pemimpin paling biasa adalah kita pimpin diri sendiri, iaitu pimpin nafsu kita supaya taat kepada Allah dan jauhi larangan Allah. Pemimpin tak semestinya berjawatan.Pemimpin yang paling besar adalah kita tadbir dunia ni dengan Islam, seperti kata imam almawardi yang sangat mahsyur:
 
حراسة الدين وسياسة الدنيا به
 “Mendirikan agama (Islam) dengan kukuh, dan mentadbir dunia dengan petunjuk agama (Islam)”
 
Ok jelas? Jadi inilah tujuan hidup kita bagi mencapai falsafah awal tadi, iaitu penyerahan, penyembahan dan ketaatan secara total kepada Allah.
 
Kenapa Hati Tak Tenang?
 
Jadi bila dah tahu tujuan hidup, apa signifikannya pula? Maksudnya, apa yang kita dapat kalau kita tahu tujuan hidup ni?
 
Sebenarnya, bila dah tahu, faham, hayati dan praktikkan tujuan hidup kita sebagai manusia dan Muslim, SEPATUTNYA kau automatik akan tahu di mana untuk cari ketenangan saat hati kau rasa tertekan, jiwa kau rasa stress tahap kritikal dan sebagainya. Sebab kita faham hakikat tujuan hidup ni, bukan kosong kosong kosong.
 
Hari ini ramai orang cari ketenangan daripada hiburan haram seperti pergi disko, konsert yang ada unsur haram dan sebagainya. Kalau anak muda, ramai yang melayan lagu-lagu dan movie macam Kpop, Running Man, Big Bang,Exo, Girl’s Generation, Katy Perry, One Direction, Justin Bibir, Hindustan, drama Melayu India Pakistan Bangla dan segala bagai.
 
“Eleh, cakap je la kau anti Korea.”
 
Laa, saya tak anti Korea pun. Sebenarnya bukan Korea Jepun je, termasuklah drama, movie atau lagu-lagu Bangla, Somalia Timur Laut, Afrika Barat Daya, dan segala bagai. Malah ada juga cari ketenangan dengan main game sampai 10 pagi, tengok bola sampai terlajak subuh, window shopping sampai tak solat zohor atau asar, makan sampai 24 pinggan setiap satu jam. Padu beb…
 
Kau mungkin bahagia dan tenang bila buat semua tu. Tetapi kau tak boleh tipu diri sendiri yang ketenangan dan bahagia kau jumpa tu hanya sementara saja. Sebab apa yang selalu berlaku adalah kau mencari-cari sesuatu untuk terus menenangkan jiwa dan mengisi hati kau sepenuhnya.
 
Bila kau faham tujuan hidup untuk beribadah kepada Allah, by default sepatutnya kau akan sedar bahawa mahu tak mahu kau memang kena kembali kepada agama, iaitu kembali pada Allah. Kembali pada Allah ni bukan maksudnya kena mati.
 
Tetapi dengan cara mendekatkan diri kepada Allah. Antaranya kau iktikaf di masjid atau di bilik untuk perempuan, kemudian solat dan doa sambil menangis-nangis merayu pada Allah. Menangis-nangis, bukan doa ala kadar je. Ataupun kau baca Al Quran sambil menghayati terjemahannya sambil menangis! Rasulullah sebut,
 
“Apabila kamu membacanya (al Quran), maka menangislah.”
 (Riwayat Ibnu Majah)
 
 Serius, saya tak tipu kau.
 
Sebab Allah yang pemilik hati dan emosi kau, bukan diri kau. Kau sendiri tak mampu kawal emosi dan perasaan kau, apatah lagi bab hati. Tetapi Allah yang mampu buat segalanya. Bersolat, doa sampai menangis-nangis dan bacalah al Quran sambil hayati maksudnya, insyaAllah kau akan jumpa ketenangan.
 
Tetapi..
 
Memang pada awalnya kebanyakkan orang takkan rasa apa-apa sangat bila baca al Quran dan terjemahan, ataupun susah sangat nak berdoa sampai menangis-nangis. Apatah lagi nak gagahkan diri untuk iktikaf dikatsurau atau bilik seorang diri untuk yang perempuan. Tenang tu jauh sekali. Bahkan mungkin boleh jemu dan bosan.
 
Hati ini macam cawan kosong. Kalau kau isi dengan air kopi o, maka cawan tu akan nampak hitam pekat. Bila kau hanya letak setitis dua air mineral, ia takkan mengubah warna air kopi O itu. Cara nak ubah warna air kopi o tu hanyalah dengan kau tuang air mineral banyak-banyak, sampai melimpah ruah keluar air kopi o tu. Sampai satu masa, cawan tu akan jadi jernih semula sebab penuh dengan air mineral.
 
Macam tu dengan hati. Mula-mula kena paksa buat semua ni. Ikhlas tak ikhlas benda kedua. Nanti saya cerita bab ikhlas ni. Hati yang jarang merasai kenikmatan dengan iktikaf, solat, berdoa merayu pada Allah atau mendengar dan membaca Al Quran, lambat laun kau akan rasa ketenangan kalau dibuat dengan berterusan. Sebab tu antara amal yang paling afdhol adalah meninggalkan maksiat.
 
Kau ketahuilah, ketenangan itu adalah pabila kita mengingati Dia. Ini janji Allah, bukan janji hanya tinggal janji, atau janji yang dicapati. Ini janji Allah.
 
“..orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati akan menjadi tenang.”
 
( surah Ar-Ra’d 13:28 )
 
Semoga kau dapat tahu tujuan hidup, dan dapat cari ketenangan. Doa saya buat kau semua. 
               
Wallahu’alam
 
-Shukery Azizan-
 
p/s : Dapatkan E-Book tulisan Shukery Azizan yang bertajuk “Kisah Wanita Di Dalam Al-Quran” hari ini juga. Klik di sini untuk dapatkan segera : >> KLIK DI SINI <<
 
 
 

9 Responses

  1. Betul. Kehidupan di dunia ini sekejap je. Bila tiba masa kita akan pulang ke kampung halaman iaitu (Akhirat). Ibarat : Kita dalam perjalanan panjang kemudian berhenti di RnR nak cari bekalan (isi perut dll.), ada sesetengah orang banyak bekalannya tapi bocor, ada yang sedikit, malah lebih malang lagi ada yang tiada. Bagaimana hendak 'survive' di penghujung jalan nanti?

    Allahul Musta'aan, Moga kita tergolong dalam golongan yang banyak bekalan & tidak bocor.

  2. Hari ini saya ingin mengunkapkan tentang perjalanan hidup saya,karna masalah ekonomi saya selalu dililit hutang bahkan perusahaan yang dulunya saya pernah bagun kini semuanya akan disitah oleh pihak bank,saya sudah berusaha kesana kemari untuk mencari uang agar perusahaan saya tidak jadi disitah oleh pihak bank dan akhirnya saya nekat untuk mendatangi paranormal yang terkenal bahkan saya pernah mengikuti penggandaan uang dimaskanjeng dan itupun juga tidak ada hasil yang memuaskan dan saya hampir putus asa,,akhirnya ketidak segajaan saya mendengar cerita orang orang bahwa ada paranormal yang terkenal bisa mengeluarkan uang ghaib atau sejenisnya pesugihan putih yang namanya Mbah Rawa Gumpala,,,akhirnya saya mencoba menhubungi beliau dan alhamdulillah dengan senan hati beliau mau membantu saya untuk mengeluarkan pesugihan uang ghaibnya sebesar 10 M saya sangat bersyukur dan berterimakasih banyak kepada Mbah Rawa Gumpala berkat bantuannya semua masalah saya bisa teratasi dan semua hutang2 saya juga sudah pada lunas semua,,bagi anda yang ingin seperti saya dan ingin dibabtu sama Mbah silahkan hubungi 085 316 106 111 saya sengaja menulis pesan ini dan mempostin di semua tempat agar anda semua tau kalau ada paranormal yang bisah dipercaya dan bisa diandalkan,bagi teman teman yang menemukan situs ini tolong disebar luaskan agar orang orang juga bisa tau klau ada dukun sakti yg bisa membantuh mengatasi semua masalah anda1.untuk lebih lengkapnya buka saja blok Mbah karna didalam bloknya semuanya sudah dijelaskan PESUGIHAN DANA GHAIB TANPA TUMBAL

  3. Assalamu alaikum.wr.wb..saya ibu dahayu member MBAH SERO
    angka yang MBAH SERO berikan kemarin 4d SGP (2536) TGL 17 NOVEMBER 2016 tembus 100% syukur alhamdulillah dapat (280.juta) terima kasi banyak MBAH atas bantuannya saya sudah bisa melunasi hutag-hutang sama rentenir bahkan saya sudah buka usaha bagi teman-teman pecinta nomor togel mau menang seperti saya hubungi MBAH SERO di nomor hp 082 370 357 999

  4. Terima kasih ustaz. Sangat2 memberi kesan. mudah2an kita semua tahu tujuan hidup. agar kembali pada Allah dalam keadaan yang baik dan tidak sia2. aamiin. 🙂

  5. Aku hidup supaya dapat mengalami sesuatu yang bermakna kepada saya. Juga perlu kita menyumbang apa yg kita mampu kepada masyarakat tu supaya orang lain pun dpt hidup dengan bermakna.

Leave a Reply to Unknown Cancel reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Jom Hantar Kad Ucapan Ramadan

Jom Hantar
Kad Ucapan Ramadan