Kalau Dah Terlanjur, Macam Mana?

 
 
Secara jujurnya, sangat berat untuk saya tulis bab ini. Wallahi, sangat berat. Saya ambil masa yang agak lama untuk fikir, perlu atau tidak saya masukkan bab ini dalam buku kali ini. Tetapi, apabila kami mendapat ratusan soalan dan luahan di inbox Facebook page dan emel Tarbiah Sentap, saya rasa saya perlu tekad untuk tulis bab ini.
            Bab ini adalah bab yang melibatkan aib, maruah dan juga kehormatan. Reputasi saya boleh terjatuh, sebab kalau orang salah faham kenapa saya tulis bab ini, saya boleh kena fitnah dengan teruk.
Tetapi percayalah, Wallahi saya menulis ini adalah untuk membantu ummat. Saya menulis dalam keadaan menangis, kerana saya tak nak ummat ini hilang jati diri dan kecelaruan identiti, seterusnya putus asa dengan Allah lalu murtad.
            Wallahi, tulisan ini langsung TIDAK menyuruh berzina. Tetapi ketahuilah, di luar sana SANGAT RAMAI anak orang Islam khususnya Melayu yang dah terlanjur berzina. Serius sangat ramai, daripada yang masih bersekolah, sehinggalah di alam universiti. Daripada pelajar atau golongan aliran sains atau ‘awam’, sehinggalah pelajar aliran agama seperti sekolah agama atau fakulti pengajian Islam!
Itu belum lagi yang masih di alam pekerjaan, bahkan lebih teruk lagi, dah berkahwin pun masih berzina dengan orang lain!
            Kalau kau sungguh-sungguh mendalami denyut nadi ummat ini, isu terlanjur ini adalah salah satu isu kritikal yang berlaku pada ummat selain daripada isu-isu lain seperti isu ideologi, ekonomi dan sebagainya. Ini pun isu berat dan serius.
Ketahuilah, tujuan saya menulis bab ini antaranya adalah untuk memberi harapan kepada mereka yang sudah terlanjur bahawa mereka masih ada harapan dan pilihan untuk BERTAUBAT dan mereka juga TIDAK KOTOR lagi kalau mereka bertaubat. Masih ada dan sentiasa ada insyaAllah selagi belum jadi mayat.
            Kemudian saya juga tulis bab ini bertujuan agar orang yang sudah terlanjur tahu apa yang mereka perlu buat selepas ini tanpa mengulangi dosa mereka semula, dan membina hidup baru. Membina hidup berTuhan, bukan hidup bersyaitan.
Luahan.
Kami banyak kali menerima luah an dan pengakuan daripada mereka yang terlanjur. Semuanya memberi luahan bukan untuk suka-suka, tetapi untuk membantu mereka macam mana nak keluar daripada ketagihan berzina. Sekali dah berzina atau terlanjur, memang akan ketagih! Bukan dadah atau rokok je boleh ketagih, berzina pun boleh ketagih!
            Antara luahan kritikal yang kami dapat adalah, seorang perempuan yang mengaku dia belajar di sebuah IPTA Malaysia, yang berasal daripada keluarga yang mengamalkan Islam sebaiknya, maksudnya mak dan adik beradik tudung labuh, ayah selalu jaga amal di masjid dan sebagainya. Bahkan, pelajar ini mengambil aliran pengajian Islam.
            Masa zaman sekolah di sekolah agama, dia langsung tidak pernah bercinta. Katanya nak bercinta selepas nikah. Apabila masuk alam IPTA, dah mula culture shock sebab bercampur dengan lelaki. Akhirnya dia bercinta dengan seorang lelaki yang sama fakulti dengannya, bakal “ustaz” lah kiranya. Selepas bercinta punya bercinta, akhirnya dah pandai pegang tangan, dating, dan sebagainya. Sebab jauh daripada keluarga.
            Lalu kesannya, dia terlanjur beberapa kali, dan mengandung! Semasa mengandung, pakwenya minta dia gugurkan kandungan. Kalau tak nak gugurkan kandungan, dia akan tinggalkan perempuan itu dan tak nak mengaku anak dalam kandungan itu sebagai anak dia.
Perempuan ini menangis, lalu dia inbox page kami. Dia inbox dalam sekitar pukul 9.00 malam. Dia ceritakan semua masalah yang berlaku, dan dia cakap dia tak nak gugurkan kandungan itu. Dan dia dah beberapa minggu tak pergi kuliah sebab perut dah besar.
            Kemudian dia buat permintaan kami dengan kata,
“Admin, saya sekarang dah mengandung. Apa perlu saya buat? Saya tak nak buat dosa kali kedua. Saya dah tertekan teramat sangat. Tolong, apa perlu saya buat? Tolong jawab mesej ini, atau kalau tidak saya akan bunuh diri!”
Gila kritikal sampai tahap nak bunuh diri. Malah ada kes lain yang mana ini kawan housematenya yang cerita. Dia kata, housematenya dah bekerja dan bercinta lama dengan pakwenya sampai akhirnya bertunang. Tetapi seminggu lebih sebelum berkahwin, mereka terlanjur.
Bertunang pun dah terlanjur. Kemudian beberapa hari sebelum hari pernikahan, lelaki tersebut memutuskan pertunangan. Housematenya jadi tertekan dan menangis.
Bertambah lagi tertekan, housematenya itu kini mengandung anak luar nikah! Dan lebih tertekan tahap kritikal, beberapa minggu selepas putus tunang, lelaki tersebut kahwin dengan perempuan lain! Lagilah housematenya tertekan sangat sampai murung dan berkunci dalam bilik. Hingga dia kena buang kerja sebab beberapa hari tak datang kerja.
Dan ada banyak lagi luahan dan pengakuan, sama ada yang dari aliran pengajian Islam, yang pernah ditarbiah – maksudnya yang ikut usrah, datang program tarbiah dan sebagainya – sehinggalah orang yang bukan aliran pengajian Islam. Ini bukan cerita rekaan saya, memang ia real. Saya malas nak copy paste tulisan mereka, sebab ia panjang sangat. Dah macam karangan.
Dan saya sebut pengajian Islam BUKAN untuk memburukkan mereka, wallahi! Tolong jangan salah faham. Saya sebut pengajian Islam dan ikut tarbiah sebab nak beritahu kau, kalaulah orang yang belajar ilmu agama secara mendalam atau yang ikut tarbiah sekalipun pun boleh terlanjur, apatah lagi yang jauh dari agama, tak belajar ilmu agama, tak pernah pergi kelas pengajian, jarang turun masjid, tak tutup aurat, dan sebagainya.
Dan kau juga kena tahu dan faham bahawa orang yang ambil pengajian Islam, sekolah agama atau bakal ustaz ustazah ini bukan maksum, dan juga bukan malaikat atau bidadari. Mereka juga manusia biasa, yang terdedah dengan tipu daya iblis dan buat dosa.
Dia sama macam kau, manusia biasa hidup akhir zaman yang penuh fitnah. Kita bantu mereka walaupun mereka aliran pengajian Islam sekalipun, sebab dia juga nak bertaubat dan berubah. Kerana kita juga bukan malaikat.
Cuma apa saya nak kau rasa adalah, rasakanlah betapa kritikalnya umat ini! Kalau tak percaya, pergi jabatan agama atau hospital, minta statistik anak luar nikah dan yang kena tangkap khalwat. Statistiknya sangat menyeramkan.
Saya tak perlu tulis di sini, sebab kau boleh cari di Google dan sebagainya. Cuma apa yang perlu saya cakap adalah, ummat hari ini dah sangat kritikal dan tidur lena! Kalau kau yang sedar dari lena pun tak buat apa-apa, apatah lagi yang sedang lena.
Arghhh!!
Apa Perlu Buat?
            Baiklah, kalau kau yang baca ini dah terlanjur, apa perlu kau buat? Di sini saya tuliskan beberapa langkah yang saya rasa sesuai dan sepatutnya buat. Ini bukan nas syarak yang wajib kau ikut, tetapi ia adalah cadangan. Kau boleh terima, kau boleh tolak. Tiada masalah. Cuma ada beberapa perkara je yang wajib, dan nanti saya akan nyatakan.
1)    Sebelum pergi jauh, kalau kau dah pernah terlanjur dan sekarang kau nak bertaubat dan berubah, saya ada berita baik untuk kau. Nak tahu apa dia?
Serius?
Iaitu Allah sayang dan cintakan kau! Wallahi, saya tak tipu kau, Allah sayang pada kau. Allah cintakan kau. Buktinya, Allah bagi kau hidayah, Allah campakkan dalam hati kau rasa serba salah dan takut. Allah campakkan dalam hati kau rasa bahawa kau wajib berubah.
Kau tidak rasa sombong dengan dosa kau, sehingga kau pertahankan dosa kau dan tak nak taubat. Tidak, tetapi Allah nak kau bertaubat dan berubah.
Cuma kau jangan putus asa dengan Allah. Rasakanlah dalam diri kau bahawa Allah cintakan kau lagi, Allah sayang kau walaupun ramai manusia merasa jijik dan benci pada kau. Tetapi Allah tak begitu.
“Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri merekasendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dialah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”
(Surah Az Zumar 39:53)
Bertaubat dan bergembiralah sehingga menangis, kerana Allah masih cintakan kau! Kalau Allah benci kau, dia akan campakkan dalam hati kau perasaan malas untuk bertaubat, malah lebih teruk dari itu, kau BERBANGGA dengan dosa kau sehingga kau suka bila orang tahu kau berzina. Bukannya ada rasa malu dan takut. Naudzubillahi minzolik.
2)    Perkara pertama yang WAJIB kau buat sekarang ini adalah kau bertaubat bersungguh-sungguh. Taubat bersungguh-sungguh ini maksudnya berjanji pada Allah dan diri kau untuk tidak buat lagi.
Buat solat sunat taubat, ataupun kalau tak boleh solat, kau duduk menghadap kiblat (sebagai adab), tadah tangan dan berdoa merayu-rayu kepada Allah minta ampun pada dia sampai menangis teresak-esak. Bertaubat hari-hari, kalau tak sempat doa, istighfar setiap hari sekurangnya 100 kali.
InsyaAllah orang yang bertaubat lebih mulia dari orang yang tidak bertaubat walaupun dia tak pernah berzina. Kalau kau bertaubat sungguh-sungguh iaitu taubat nasuha, kau ibarat bayi yang baru lahir. Bergembiralah!
Kalau ulang balik dosa tersebut? Taubat lagi dan usaha bersungguh-sungguh untuk tinggalkan maksiat tu lagi. Bertaubat dan terus bertaubat, sampai akhirnya moga kau mati dalam keadaan bertaubat, bukan tengah maksiat. Jangan TANGGUH taubat.
3)    Ramai orang yang dah terlanjur merasakan dirinya kotor dan jijik WALAUPUN dah bertaubat. Saya nak beritahu, JANGAN merasakan dir i kau itu KOTOR atau JIJIK sekiranya kau dah BERTAUBAT. Kerana orang yang dah bertaubat ini ibarat bayi yang baru lahir. Tetapi jangan pula rasa diri kau mulia dari orang lain, aku lempang nanti.
Tetapi syaratnya kau mesti bertaubat sungguh-sungguh, selepas itu move on dengan hidup baru. Jangan ulang lagi kesalahan lalu. Kau mungkin tak boleh lupa memori luka itu, tetapi kalau kau bertaubat sungguh-sungguh, Allah telah lupakan dosa yang kau buat itu. Baiknya Allah! Subhanallah!
4)    RAHSIAKAN aib kau selama-lamanya. Ini adalah aib dosa peribadi kau, dan kau wajib rahsiakan. Tidak perlu cerita kepada orang lain. Kalau perlu cerita pun, ceritalah kepada orang yang paling kau percaya yang dia tidak akan bocorkan aib kau dan membantu kau, bukannya kutuk dan hina kau. Beritahu contoh kepada kaunselor, kawan baik dan sebagainya.
Dan haram untuk kau GEMBIRA dan BANGGA dengan dosa kau.
5)    Sekarang apa nak buat dengan pakwe atau makwe kau itu? Apa lagi, bernikahlah! Kau dah tahap wajib bernikah ni. Pujuk dan yakinkan mak ayah untuk bernikah, tetapi rahsiakan apa yang kau dah buat. Itu adalah aib kau, dan peliharalah aib kau. Kemudian dalam masa yang sama, jangan berikhtilat lagi. Ikhtilat ini dah diterangkan secara detail dalam buku Tarbiah Sentap siri 1.
Bernikah secepat mungkin, kalau boleh tahun itu juga. Jangan terlanjur lagi, jaga ikhtilat sungguh-sungguh. Sebab ikhtilatlah kau couple, pandai pegang tangan dan berzina. Ia bermula sebab ikhtilat! Itu root cause kau berzina. Jadi jaga root cause ini.
6)    Macam mana kalau lelaki atau perempuan itu tinggalkan kau? Ini biasanya banyak berlaku pada perempuan. Dia akan tertekan. Lelaki biasanya kalau dah berzina kemudian perempuan itu nak tinggalkan dia, jarang jumpa kes dia tertekan. Tak tahulah kalau kau tertekan.
Kalau kau adalah perempuan, kau ada beberapa pilihan untuk buat. Saya cuma bagi cadangan, dan kau pilihlah nak buat macam mana.
(a)  Kau pujuk lelaki itu untuk bertanggungjawab. Pujuk dia supaya dia bernikah dengan kau. Kalau kau masih pelajar sekolah, minta dia kahwini kau selepas habis tingkatan 5. Sepanjang proses nak berkahwin, jaga ikhtilat dan jangan berzina lagi.
(b)  Kalau lelaki itu tekad tak nak bertanggungjawab, MOVE ON saja. Bukan vape on. Buat apa merayu kepada orang yang langsung tak bertanggungjawab.
Kalau kau paksa juga sehingga dia berkahwin dengan kau dalam keadaan tertekan, saya risau lepas kahwin kalau dia masih tak taubat, dia tidak akan bertanggungjawab dengan kau, dan akhirnya kau bercerai. Lagi kritikal.
Binalah hidup baru tanpa lelaki itu. Kau tak rugi dan kau tak tanggung dosa dia pun. Kalau dia tak bertaubat, itu urusan dia dengan Allah. Apa kau perlu buat sekarang, kalau kau belajar lagi, bertaubatlah dan mulalah belajar sungguh-sungguh, tak payah fikir bercinta. Dah tiba masa kau rasa nak kahwin, barulah ikut seperti proses yang saya cadangkan sebelum ini.
Kalau kau sudah bekerja, bantulah keluarga dan adik beradik kau. Dan sebaiknya, berkahwinlah secepat mungkin kalau boleh tahun itu juga. Sebab biasanya orang dah pernah berzina, dia akan rasa ketagih.
Dan jangan pula nak membujang sebab benci lelaki. Haram. Dan TAK SEMUA lelaki jahat. Sebab itu kena pandai usaha dan buat persediaan.
Anggap ini adalah ujian yang kau dapat hasil dari dosa kau. Allah nak tengok kesungguhan kau menyesal dan bertaubat. Boleh jadi kalau lelaki itu tak tinggalkan kau, mungkin kau akan terlanjur sekali lagi. Siapa tahu.
(c)  Kalau dah kahwin nanti dengan lelaki lain, RAHSIAKAN dari suami kau. Jangan ceritakan yang kau pernah terlanjur. Ia bagi mengelakkan mudarat yang lebih besar seperti pergaduhan rumahtangga dan cerai. Ketahuilah, cerai adalah perkara halal yang DIBENCI Allah.
Fikirlah tentang masa depan anak-anak kalau kau bercerai dengan suami. Tak kesian ke? Saya adalah anak yang lahir dari penceraian ibu ayah saya. Sakit tahu hidup dalam keluarga berantakan. Saya tahu, ini adalah takdir saya dan saya tiada pilihan.
Tetapi kau ada pilihan untuk tidak bercerai. Buatlah pilihan dengan baik. Biarlah peristiwa hitam itu antara kau dengan Allah saja.
Dan saya tahu, ramai kata kalau perempuan dah terlanjur berkahwin, walaupun dia rahsiakan yang dia pernah terlanjur, tetapi nanti suami akan dapat tahu juga sebab rasa beza perempuan yang dah terlanjur atau tak.
Persoalan saya di sini, macam mana suami kau boleh tahu beza kalau itu adalah kali pertama dia? Kalau dia dapat rasa beza, mesti rasa “fishy” atau pelik. Sebab itu first time dia, jadi biasanya tidak akan rasa beza sebab dia pun tak tahu.
Walau apa pun, dalam masa yang sama, kau wajib berdoa sungguh-sungguh setiap hari agar Allah pelihara dan tutup aib kau sampai jadi mayat. Antara tips nak Allah jaga aib kau adalah, kau berdoa agar Allah pelihara dan tutup aib kau, dan satu lagi, kau TUTUP dan jaga aib orang lain.
Dengan kata lain, jangan MENGUMPAT peribadi orang, jangan buka aib orang lain, jangan bocorkan rahsia dan dosa peribadi orang lain dan sebagainya.
Dan kalau kau adalah lelaki, kau buat juga perkara yang sama seperti di atas. Pujuk ajak kahwin, kalau dia berkeras tak nak, move on saja dan mulakan hidup baru yang bebas dari dosa berzina. Setiap orang ada pilihan untuk berubah dan bertaubat, atau masih kekal dalam dosa yang sama. Kau pilihlah untuk berubah dan bertaubat.
7)    Kalau mengandungmacam mana? Haa. Ini yang paling susah nak jawab sebenarnya. Saya ambil masa berbulan berbincang dengan beberapa orang kawan termasuk team Tarbiah Sentap, apa yang perlu kita cadangkan kepada orang yang dah mengandung ini. Baiklah, ini antara beberapa cadangan kami.
a)    Yang ini wajib kau ingat bahawa, JANGAN pernah terfikir untuk gugurkan kandungan. Please saya merayu, jangan. Kau dah terlajak buat dosa, takkan kau nak gugurkan kandungan lagi. Tolonglah, kesianlah pada anak tu. Apatah lagi kalau bayi dalam kandungan kau dah sampai 4 hingga 5 bulan kandungan. Tolong ya, jangan gugurkan.
Ramai suami isteri di luar sana yang nakkan bayi, tetapi tak dapat walau dah berkahwin bertahun-tahun. Takkan kau sanggup gugurkan. Itu belum lagi termasuk kesan sampingan.
b)    Yang ini, kau minta lelaki itu bertanggungjawab. Suruh dia berkahwin dengan kau. Kalau dia suruh gugurkan, kau berkeras dengan dia tak nak gugurkan. Pujuk dan merayu agar dia bertanggungjawab, itu anak kau bersama dia. Takkanlah dalam jiwa dia tiada sekelumit perasaan kesian atau sayang pada bayi itu.
Melain dia tiada hati perut.
c)    Kalau lelaki itu memang tak nak bertanggungjawab, saya ada beberapa cadangan untuk kau tetapi ia bergantung pada situasi. Situasi pertama, jika kau adalah pelajar sekolah, yang pertama sekali maklumkan kepada mak ayah kau tentang perkara ini, kalau kau ada keberanian.
Ia berisiko, sebab ada mak ayah yang benci lalu halau anak dia, ada yang tak nak mengaku anak. Tetapi ada juga yang sedih tetapi redha. Saya jumpa banyak kes yang mak ayah memang sedih dan terduduk, tetapi perkara dah berlaku. Takkan nak halau pula. Jadi dia tolong anaknya.
Kemudian kalau kau tak berani, pilihan kedua yang kau ada adalah maklumkan kepada guru kaunseling dan minta dia rahsiakan perkara ini daripada guru-guru dan pelajar lain. Dia akan bantu insyaAllah, kalau dia guru kaunseling yang berdedikasi.
Kemudian, pilihan ketiga yang kau juga ada adalah, masuk ke sekolah-sekolah pemulihan. Di sana insyaAllah mereka akan bantu sebaik mungkin untuk selesaikan masalah kau.
Situasi kedua, kalau kau adalah pelajar IPT, pilihan kau ada yang pertama adalah kau maklumkan pada mak ayah. Pilihan kedua adalah, kau BEKUKAN atau tangguhkan semesta, kemudian pergi ke pusat pemulihan seperti Raudhatus Sakinah, dan sebagainya dan lahirkan anak di sana.
Di sana insyaAllah akan dimaklumkan apa yang perlu buat. Saya tak tahu apa prosedur di sana, cuma itulah tempat yang kami boleh cadangkan. Dan minta pandangan orang di sana apa yang perlu kau buat seterusnya. Kemudian minta juga pandangan dari pihak psikologi atau kaunselor di universiti kau untuk pandangan dia. Pastikan minta dia rahsiakan.
d)    Tetapi walaubagaimana pun, kau hari-harilah berdoa agar diberi kekuatan untuk kau berbincang dengan keluarga kau. Kalau kau kena marah sekalipun, saya yakin insyaAllah keluarga kau takkan buang kau. Paling tidak kau buat mak kau menangis, ayah kau tepuk dahi sambil terduduk, adik beradik kau terdiam malu.
Cuma nasihat saya, face the ruthless problem, don’t run from it! Moga Allah bagi kau kekuatan untuk berubah sepenuhnya, dan beritahu sejujurnya. Dan moga Allah bagi kekuatan pada keluarga dan adik beradik kau untuk berhadapan dengannya.
Bertaubatlah.
            Saya tahu, selepas kau baca bab ini, mungkin akan timbul beberapa lagi persoalan dalam kepala kau. Maaf sebab banyak tidak menjawab dan membantu kau persoalan kau. Mungkin akan ada nak tanya macam mana kalau suami kayu tiga, isteri curang, atau mak atau ayah yang curang dengan pasangan lain, ataupun adakah lelaki atau perempuan itu akan berubah pada masa hadapan, atau macam mana nak cari pasangan yang terima kau seadanya dan sebagainya.
            Mungkin juga akan ada yang nak tanya, kalau dah pernah berzina dan bertaubat, adakah kemungkinan kalau kahwin nanti, kau akan berkahwin dengan penzina juga sebab Allah kata lelaki yang baik berkahwin dengan perempuan baik dan seterusnya. Kau rujuklah orang yang berhampiran kau yang kau percaya. Saya tolong mana yang mampu saja, termasuklah menulis bab ini.
            Pada akhir bab ini, saya cuma nak beritahu beberapa perkara saja. Yang pertama, ayat tentang lelaki baik dengan perempuan baik, perempuan jahat dengan lelaki jahat, ia terpakai sekiranya kau TIDAK bertaubat. Kau masih lagi nak berzina, kau jadi pelacur dan sebagainya. Maka kau mungkin akan dapat jodoh yang jahat. Sama seperti yang saya cerita bab persediaan jodoh itu.
            Kalau kau dah bertaubat sungguh-sungguh, kemudian taat perintah Allah jauhi larangan Allah sampai kau jadi wanita solehah akhir zaman, kau mungkin akan berkahwin dengan lelaki yang tidak pernah berzina dan soleh. Atau kalau pernah berzina pun dia dah bertaubat sungguh-sungguh macam kau. Sebab Allah itu tidak pernah mengecewakan. Allah selalu bagi kita pilihan dalam hidup ini, pilihlah dengan sebaiknya.
            Sebab lepas kau mati nanti, kau dah tiada pilihan lagi. Sementara masih boleh pilih, pilihlah untuk bertaubat dan berubah.
Yang kedua, kau sentiasa ada harapan untuk jadi baik dan soleh atau solehah. Walaupun kau adalah seorang lelaki atau perempuan yang sangat jahat dulu. Saya yakin, kau boleh berubah, itupun kalau kau PILIH untuk berubah.
            Allah sangat baik. Wallahi, sangat baik. Saidina Umar al Khattab yang sebelum Islam sangat teruk dan jahat, tetapi Allah sayang dia, Allah nak jadikan dia pembantu agama Allah, dan Umar pun pilih untuk berubah dan menerima Islam, lalu Allah muliakan dia antara semulia makhluk. Kalau nak bandingkan kejahatan dan dosa kau dengan Umar sebelum masuk Islam, berbeza sangat.
            Bertaubat dan berubahlah. Mungkin ramai orang akan benci pada kau, akan merasakan kau ini kotor, jijik dan sebagainya. Tetapi pada sisi Allah, pada sisi Rasulullah, pada sisi orang beriman, kalau kau bertaubat sungguh-sungguh, menyesal sampai menangis, maka kau lebih mulia daripada orang yang menghina kau tetapi langsung tidak pernah bertaubat. Bahkan kau boleh jadi lebih mulia dari malaikat!
            Kau mungkin dosa dalam bab berzina, tetapi mereka berdosa dalam bab mengumpat dan menghina kau. Dosa kau tidak menghalalkan mereka menghina dan membenci kau selama-lamanya selagi kau dah bertaubat. Kami di sini yakin, kau boleh jadi lebih baik dari kami, walaupun kami pun tidaklah sesoleh mana pun.
Kau juga mungkin boleh jadi lebih mulia di sisi Allah berbanding kami, sebab boleh jadi kami uruskan Tarbiah Sentap penuh dengan penyakit hati seperti ujub, takbur, ri’ak dan sebagainya. Lalu amalan kami berterbangan seperti gunung Tihamah putih yang berkecai menjadi debu di akhirat nanti.
            Wahai kawan,
            Jangan putus asa dan jangan berhenti berharap kepada Allah. Kerana Dia tidak pernah mengecewakan.
Belum sampaikah lagi masanya bagi orang-orang yang beriman, untuk khusyuk hati mereka mematuhi peringatan dan pengajaran Allah serta mematuhi kebenaran (Al-Quran) yang diturunkan (kepada mereka)?
Dan janganlah pula mereka menjadi seperti orang-orang yang telah diberikan Kitab sebelum mereka, setelah orang-orang itu melalui masa yang lanjut maka hati mereka menjadi keras, dan banyak di antaranya orang-orang yang fasik – derhaka.”
(Surah Al-Hadid 57:16)
            Moga Allah pelihara aku, keturunan aku, dan kau semua daripada masalah berzina atau terlanjur ini. Dan moga Allah sudi berikan kita semua keampunanNya yang tidak pernah padam, dan memasukkan kita semua dalam Syurga. Amin.
Wallahu’alam. – Shukery Azizan –
Sumber : Dipetik dari Bab 11 buku Aku Bukan Malaikat karya Shukery Azizan. Kongsikan pada kawan-kawan dan group sebelah jom, dan moga bermanfaat !! :)
#ShukeryAzizan
#AkuBukanMalaikat
********
 
 
 
Untuk pengetahuan pembaca, ini adalah salah satu BAB daripada buku Aku Bukan Malaikat tulisan Shukery Azizan yang alhamdulillah sudah ada di pasaran. Boleh dapatkan di kedai-kedai buku berhampiran korang.
Semoga bermanfaat :)
 
p/s : Dapatkan E-Book tulisan Shukery Azizan yang bertajuk “Kisah Wanita Di Dalam Al-Quran” hari ini juga. Klik di sini untuk dapatkan segera : >> KLIK DI SINI <<

23 Responses

  1. saya antara yg pernah terbelenggu dngn dosa2 "besar" itu.. but when the time come, Allah gerakkn hati smpi rsa sempit giler dngn rasa berdosa, menangis sy mtk Allah tunjukkan jalan sbb sy xmampu. yer Allah jwab doa sy.. cuma pedih dan sakit tu Allah jer tau. anggaplah kafarah dosa. bkn skejap sakit tu..tapi xbermaksud slmanya. nk cuci hati dan fikiran yg pernah kotor bkn boleh guna berus gigi tapi kna guna berus dawai untuk sental. tapi bila dah hbes "masa" tu, awk akn rsa tenang. dan stiap hari awk akn bersyukur dipilih mnjadi antara yg Allah bg peluang berubah. satu jer plg pntg bg saya..betul kan lah solat anda. sy solat 5 waktu tapi tanpa pnghayatan dan roh kot, jadi sy terjebak. jadi di awal perubahan untk tngglkn move on to totally new life u cnt do that by your own.. u must ask from Allah. dan 1st most important thing betulkn solat, hayati solat anda, solat di awal waktu..sy menangis di setiap solat sy selama setahun lebih. lama kan? tapi kt situ la sy dpt kekuatan.. kesedihan dan penyesalan kesakitan tu la kdg2 bwak kita dekat dngn Allah. skrg wlupun dah okay and I got the much better new life yg sy xpernah imgine pon, kdg2 sy rindu pada saat sy mngis dngn penuh kusyuk tu. jadi jiwa2 yg sedang mncari..teruskn mncari, mulakan lngkah, mntk kekuatan pada Allah. sumpah Dia akn tlg..tapi awk jgk kna tlg diri sndri please.. tahniah tarbiah sentap I love all of your books sbb rsa real teguran dan tips2 gaya penulisn yg bukan dari sisi org alim yg sempurna tapi jgk dri sisi sang pendosa. May Allah bess you.. wassalam

  2. scroll tlegram tarbiah, akhirnye jumpe topik ni. Alhamdulillah aku dah buat semuanya, aku redha. Aku telah terima kifarah dosa zina aku dlu.

  3. Sama la kita..aku redha dah, even suami sendiri yg hina aku. Aku redha. Aku dilayan mcm sampah.. Aku tggu saat penceraian saja ni. Anak aku. aku akn serahkn pada suami.. Aku bukan seorang ibu yg baik. 🙁

  4. Assalam admin..saya nk tnya..kalau dh berzina..dh mengaku dgn parents..dh bertaubat dan lelaki tu nk bertanggungjawab..tapi parents x nk terima lelaki tu..nak buat mcm mn?

  5. Macam mana pula jika masing masing sayang menyayangi tetapi kekangan belajar utk berkahwin pada usia muda dan lelaki pula suka mengajak ke lembah zina sedangkan si perempuan tidak mahu ..tpi disebabkan sayang , takut ditinggalkan, si perempuan mengikuti kehendak si lelaki ? Dan jika si perempuan ingin berubah , haruskah si perempuan meninggalkan lelaki tersebut untuk mengelak zina ?

  6. Tinggalkan lelaki itu yg terbaik.jgn takut tiada jodoh.InsyAllah jika ditakdirkan jodoh akan bertemu kembali.Kalau tiada jodoh Allah akan ganti yg lagi baik.Jika benar2 syg serahkan urusan pada Allah.

  7. apakah title anak tersebut kalau mereka berkahwin?
    jika anak perempuan bagaimana? boleh diwalikan dengan si bapak?
    jikan anak lelaki mungkin tiada masalah.

  8. tentang cadangan untuk berkahwin. ya mungkin boleh dibuat sekiranya bujang dengan bujang. bagaimana jika bujang dengan suami orang? harap dijawab. terima kasih.

  9. Tidak boleh kah dikenakan tindakan undang2 terhadap lelaki yg xnk bertanggungjwb… cthnya jika ank tu lahir nanti bgaimana dgn hak nafkah ank pdhal itu adalah zuriat lelaki tersebut? Boleh beri pencerahan dlm hal begini. Terima kasih

Leave a Reply to Anonymous Cancel reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Jom Hantar Kad Ucapan Ramadan

Jom Hantar
Kad Ucapan Ramadan