BSS 52 : Daripada UPSR kepada PhD..? (Bahagian 2)

 
Selepas mendapatkan keputusan SPM, saya sangat bersyukur kepada Allah pada ketika itu. Hasil azam saya untuk berubah sejak berada di tingkatan 4 membuahkan hasil! 
Sejujurnya bukan mudah untuk berubah, apatah lagi secara dramatik sudah tentunya mustahil, tetapi perubahan secara beransur-ansur dan bersabar di dalam perubahan akhirnya perubahan itu menjadi kenyataan! Semasa di dalam tempoh permohonan ke IPT, saya telah menghantar kesemua borang-borang permohonan di merata tempat.
Antara IPT-IPT yang menawarkan tempat pengajian kepada saya adalah UNIKL (diploma chemical engineering), UNISEL (engineering foundation), UITM (diploma electrical engineering) dan kolej matrikulasi pahang.
Alhamdulillah, banyak rezeki dari Allah ketika itu. Murahnya rezeki dari Allah mungkin disebabkan usaha kita sendiri dan ringannya tangan kita untuk membantu orang lain agar turut berjaya!
Masalah mula timbul apabila pilihan kita hanyalah satu, tidak ada dua atau tiga. Waktu itu sangat mencabar untuk diri saya membuat pilihan. Ada sebahagian daripada ahli keluarga saya meminta untuk saya mengambil diploma terlebih dahulu dan ada sebahagiannya tidak menghalang untuk saya teruskan ke kolej matrikulasi.
Waktu itu, saya dibisikkan dengan cabaran di matrikulasi yang susah dan tidak ramai yang boleh cemerlang. Boleh difahami kerisauan daripada ahli keluarga saya jika saya mengambil keputusan untuk ke kolej matrikulasi.
Namun begitu, saya teringat kata-kata sahabat saya,
jangan ikut kata orang yang kata tak boleh, ikut kata diri sendiri yang kata BOLEH!
Saya mula mencabar diri saya sendiri untuk membuktikan bahawa saya mampu cemerlang di kolej matrikulasi!
Saya yakin akan kemampuan diri saya walaupun kelihatan mustahil. Kejayaan itu boleh dimiliki oleh sesiapa sahaja asalkan dia memiliki keyakinan dan azam yang tinggi!
Saya masih ingat, janji-janji saya kepada ibu saya sebelum saya melangkah ke kolej matrikulasi,
Mak, lan janji dengan mak, habis matrikulasi lan akan dapat keputusan yang cemerlang
Saya meletakkan azam yang sangat tinggi dan matlamat saya hanyalah cemerlang ketika di matrikulasi. Waktu itu, tawakal saya hanya kepada Allah dan saya yakin Allah pasti akan bersama dengan saya.
Setelah melangkah ke kolej matrikulasi, saya luangkan waktu belajar sehingga 3 pagi. Sabtu dan ahad hanyalah waktu-waktu untuk berada di perpustakaan. Aktiviti dengan rakan-rakan saya tolak kesemuanya atas alasan ingin menumpukan kepada pelajaran. Sejujurnya, saya tidak pernah berusaha sehebat begitu ketika di bangku sekolah.
Hanya satu faktor yang boleh menentukan sejauh mana usaha kita untuk mendapatkan sesuatu. Iaitu, setinggi mana kita meletakkan matlamat! Jika kita meletakkan matlamat untuk dapat RM 5, maka usaha kita hanya untuk mendapatkan RM 5. Jika kita meletakkan matlamat untuk RM 1000, maka usaha kita semestinya ke arah mendapatkan RM 1000!
Selama 9 bulan saya menjalani kehidupan sebagai pelajar matrikulasi yang hanya menumpukan usaha sekeras tenaga bagi memenuhi janji-janji saya kepada ibu saya. Jika orang lain “enjoy” dengan kehidupan matrikulasi atas keseronokan berjalan-jalan di pusat bandar, saya hanya “enjoy” dengan menelaah buku di perpustakaan.
Akhirnya, setelah tamat matrikulasi, saya telah berhasil mendapatkan keputusan yang cemerlang. Janji-janji yang telah saya berikan kepada ibu saya dapat dipenuhi! Perasaan saya pada waktu itu, hanya Allah yang lebih mengetahui.
Setelah tamat matrikulasi, saya perlu membuat pilihan terhadap bidang yang akan saya ceburi ketika di IPTA nanti. Sejujurnya, membuat pilihan itu amat sukar. Banyak pendapat dan saranan yang telah diberikan kepada saya pada waktu itu. 
Ada yang meminta saya untuk mengambil bidang engineering, medic, forensic dan pelbagai lagi bidang. Tetapi, saya memilih bidang, “sains fizik dengan pendidikan“. Ramai yang terkejut pada waktu itu terutamanya adik beradik saya sendiri.
Waktu itu saya memiliki peluang untuk mengambil bidang yang lebih popular, tetapi saya memilih bidang fizik dengan pendidikan yang akhirnya menjadi seorang guru di sekolah. Ramai yang menyindir saya pada ketika itu disebabkan bidang saya yang tidak popular dan remeh dalam kalangan masyarakat.
Namun, saya berkata kepada diri saya sendiri,
Orang yang cem erlang tidak akan ikut telunjuk orang lain, tetapi dia ikut telunjuk diri sendiri!
Saya memilih bidang ini disebabkan minat saya yang begitu mendalam untuk menyampaikan ilmu serta memberikan motivasi kepada orang lain agar turut cemerlang . Minat ini juga disebabkan pengalaman saya yang pernah menjadi mentor di sekolah dan sikap yang suka menaikkan semangat orang lain.
Saya tidak peduli kata-kata orang lain dan tetap berdegil untuk meneruskan bidang tersebut. Akhirnya, saya telah berjaya menjadikan diri sendiri sebagai seorang mahasiswa Universiti Putra Malaysia jurusan Sarjana muda sains fizik dengan pendidikan.
Sewaktu bergelar mahasiswa, saya mula aktif di dalam aktiviti kolej dan tarbiyyah. Waktu itu, saya berpandangan ulat buku semata-mata tidak akan menjamin kecemerlangan saya pada suatu masa nanti. Saya perlu tingkatkan keupayaan diri untuk berani bercakap di khalayak ramai, mampu mengendalikan program dan memiliki asuhan tarbiyah yang mantap.
Elemen tersebut pada hemat saya sangat penting di masa hadapan dan menjadi ulat buku semata-mata tidak boleh menjadikan diri saya sebagai orang yang mampu bekerja.
Sepanjang bergelar mahasiswa, saya telah berhempas pulas untuk aktif di dalam program dan tarbiyyah di samping mengekalkan kecemerlangan akademik.
Kelihatan mustahil?
Tidak bagi saya. Tidak ada yang mustahil selagi perkara itu berada di dalam batasan keupayaan manusia.
Antara medium yang saya ceburi ketika di universiti adalah PEMBINA UPM, Debat bahasa melayu, pengurusan program, Usrah, sukan memanah dan sebagainya. Kesemua ini saya telah ceburi dengan baik dan kesannya begitu luar biasa!
Peringkat awal sememangnya sukar untuk membahagikan masa, namun, sekiranya perkara ini dapat dilalui secara perlahan-lahan maka kita pasti akan dapat seimbangkan antara pelajaran dan aktivisme.
Di dalam tempoh pengajian universiti, ada yang memandang rendah kepada bidang yang saya ceburi dan tidak melihat peluang untuk saya melonjak ke hadapan.
Bagi saya, itu hanyalah pandangan manusia. Pandangan diri sendiri kepada diri kita lebih penting! Saya yakin, saya boleh pergi dengan lebih jauh walaupun dengan bidang yang tidak popular ini.
Selama 4 tahun saya telah melalui zaman universiti dengan penuh keseronokan yang tidak pernah saya rasai sejak di bangku sekolah. Saya pernah mendapatkan keputusan dekan untuk beberapa semester secara berturut-turut, anugerah thesis terbaik, pendebat terbaik universiti dan sebagainya. Bagi saya pencapaian itu adalah pengalaman yang sangat berharga.
Di peringkat universiti, jika saya hanya menjadi ulat buku dan tidak mahu menjenguk ke dunia luar, maka saya pasti tidak akan dapat merasai pengalaman sebegitu. 
Ada orang yang bertanya kepada saya, bagaimana untuk mudah mendapatkan ilmu, maka saya katakan
banyakkan memberi“.
Saya amalkan konsep ini sejak di bangku sekolah, dan sememangnya memberikan hasil yang sangat berharga!
Selepas tamat pengajian ijazah sarjana muda, maka akhirnya saya telah berjaya membuktikan kepada orang-orang yang berada di sekeliling saya pada waktu itu, saya mampu menggengam sekeping ijazah sarjana muda!!
Bermula daripada pelajar yang tidak cemerlang, akhirnya menjadi pelajar yang cemerlang. Bukan mudah, namun tidak mustahil.
Setelah tamat pengajian, saya telah membuat keputusan untuk menyambung pelajaran di peringkat PhD. Ramai yang ragu-ragu dengan saya ketika itu kerana cabaran PhD tidak seperti matrikulasi mahupun degree. Cabarannya tentulah lebih sukar dan panjang!
Seperti sebelum ini, saya tetap berkata dengan diri saya,
Jangan ikut kata orang kata tak boleh, ikut kata diri sendiri yang kata boleh!
Sebelum saya berjaya sambung PhD, saya mengambil Master (Ijazah sarjana). Namun, Maha Suci Allah yang memberi izin kepada saya untuk menaiktaraf (convert) dari Master ke PhD !
Sambung….
Penulis : Noorazlan Bin Abd Azis. (Azlan Wildan)
Edited : Ahmad Shukery

6 Responses

  1. Kalau result spm tak berapa cemerlang setakat 5a 4a, bila masuk matrik kita ada azam yg tnggi nak berubah and berjaya, tak mustahil ke saya nk dpat pointer yg bgus dekat matrik nanti?

  2. Tak mustahil.

    Saya pernah jumpa pelajar yang SPM cuma 5A, tapi waktu matrik dapat pointer 4.0.

    Saya juga pernah jumpa pelajar yang SPM straight A's, tapi waktu matrik dapat pointer bawah 2.0

  3. Ye betul sye pn 3 jer spm..msuk matrik…alhamdullilah stkt ni sume ujian lps 3.7 above…yg pnting usaha…yakin pda dri

  4. kadang susah nak bahagikan masa antara akademik & society semua .. macam mana ye .. sedangkan priority study .. tapi amanah dalam society ade jugak ..

Leave a Reply to al_ubudiyyah Cancel reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Jom Hantar Kad Ucapan Ramadan

Jom Hantar
Kad Ucapan Ramadan