BSS 49 : Peperangan Antara Dua Kebenaran (Part II).. ?

( AMARAN berwarna kuning langsat.
 
Ini adalah sambungan BSS 48. Kalau belum baca, sila baca yang bahagian pertama (BSS 48).
 
Atau kalau tidak korang akan mengalami kegatalan kulit kepala kerana menghidapi sindrom blur tiba-tiba)
 
 
 
Untuk BSS yang ke 49 ini, sila sediakan tisu di sebelah korang sebelum meneruskan pembacaan. Mana tahu korang mengalami tragedi terpecahnya empangan air mata, kami tak bertanggungjawab ke atas tragedi yang menimpa. 
 
(Muka serius sambil lap hingus).
 
 
 
Pada awal pagi tu, pasukan pemberontak yang jumlahnya lebih kurang 1000 orang 1 telah menyusun strategi dengan berpecah kepada dua kumpulan, yang mana satu kumpulan menyerang pasukan ‘Aisyah r.anha dan satu lagi kumpulan menyerang pasukan Ali r.anhu.
 
Dan paling epik adalah, kedua-dua kumpulan tu serang secara SERENTAK.
 
Suasana yang tenang aman damai tiba-tiba menjadi kelam kabut dan hiruk pikuk dalam keadaan gelap gelita. Cahaya yang ada masih samar-samar.
 
Masa tu mana ada lampu sportlight padang bola. Yang ada cuma unggun api yang dibuat bagi menerangi khemah.  Dan suasana kelam kabut masa tu lebih dahsyat dari apa yang berlaku semasa penyokong bola sepak negeri bergaduh di padang bola hari tu (tiba-tiba).
 
Dalam keadaan yang sangat panik, huru hara, hiruk pikuk, kelam kabut, dan segala bagai, tentera ‘Aisyah r.anha menyangka bahawa tentera Ali r.anhu menyerang mereka. Mereka kata, “penduduk Kufah (pasukan Ali) menyerbu kita pada malam hari, mereka mengkhianati kita!
 
Manakala tentera Ali r.anhu pula menyangka bahawa tentera ‘Aisyah r.anha menyerang mereka. Bila nampak huru hara, Ali r.anhu pun tanya la pada tentera mereka, “Apa yang terjadi kepada orang ramai?”. Tentera mereka pun kata, “Penduduk Basrah (Pasukan ‘Aisyah) menyerang kita!”. 2
 
Lalu tanpa diduga dan tak pernah terfikir oleh mereka, telah tercetusnya Perang Jamal yang menyebabkan kematian yang begitu banyak dan berakhir dengan kemenangan di pihak Ali r.anhu.
 
Walaupun peperangan ini berlaku, kedua-dua belah pihak tidak mempunyai niat  pun untuk mengadakan peperangan. Dan ulama’ ahlu sunah berijtihad bahawa kematian tentera Muslimin daripada kedua-dua pihak adalah mati Syahid, kerana mereka berperang kerana ditimpa fitna.
 
Pada masa perang sedang berlangsung, Ummul Mukminin ‘Aisyah r.anha sedang berada di atas pelana (tempat duduk) untanya. Beliau tak ikut berperang dan juga tak mengarah sesiapa berperang.
 
Sebab apa?
 
Sebabnya beliau menjangkakan pemergian mereka ke Basrah untuk kemaslahatan (kepentingan) kepada umat Islam tetapi sayangnya.. Tidak pergi ke Basrah sebenarnya adalah lebih baik. Apa boleh buat, nasi dah jadi bubur ayam Marybrown.
 
Sebab tu setiap kali bila ‘Aisyah r.anha teringat kembali pemergiannya ke Basrah, beliau akan menangis sehingga tangisan itu membasahi kain tudungnya.3
 
Mata berkaca.
 
Lap air mata.
 

 

 
Shuk, Kenapa Berlakunya Perang Jamal?
 
Cerita yang tak berapa panjang sebanyak dua siri ni sebenarnya dah menjawab persoalan tu. Malah peperangan yang berlaku ni membenarkan sebuah hadis sahih dari Nabi sallahu alayhi wasallam, iaitu ;
 
“Tidak akan datang Hari Kiamat sehingga dua kumpulan yang besar saling berperang. Berlaku antara kedua-duanya pembunuhan yang dahsyat padahal seruan kedua-duanya adalah satu (yakni kebaikan Islam dan umatnya).”
 
[Shahih Muslim : 157]
 
Shuk, Kenapa Tentera ‘Aisyah r.anha Dan Tentera Ali r.anhu Tidak ‘Tabayyun’ (Siasat) Dulu Siapa Yang Menyerang Tentera Mereka?
 
Logiknya begini ;
 
1.      Dalam keadaan huru hara, hiruk pikuk, kelam kabut, dan segala bagai, mana sempat nak tanya siapa serang siapa. Masa itu anggapan atau ijtihad saja yang menjadi penentu. Ibarat macam kekecohan antara penyokong bola, mana ada sempat nak tanya siapa cari pasal dengan siapa dulu. Tau-tau je keluar paper Metro esoknya.
 
2.      Jangan baca sejarah dengan nada atau imiginasi kita hari ini. Zaman itu mana ada handphone, surat khabar sinar harian atau kosmo!, email, apatah lagi group whatsapp, telegram dan segala bagai.
 
Kalaulah ada whatsapp masa tu, tentera Aisyah’ r.anha dan tentera Ali r.anhu dah inform maklumat dan situasi mereka dalam group whatsapp supaya salah faham tak berlaku. Siap ambil gambar upload dalam group lagi.
 
Eheh.
 
Pengajaran Kisah Ni?
 
Kesimpulannya,
 
1. Jangan pernah sangka buruk pada para sahabat radiyallahu anhum ajmain. Serius mereka adalah manusia-manusia yang mendapat tarbiah paling superb dalam sejarah kemanusiaan oleh Rasulullah sallahu alayhi wasallam.
 
Apabila berlaku peperangan di antara mereka, peperangan mereka ibarat peperangan antara cahaya, bukan peperangan antara cahaya dan kegelapan.
 
2. Maulana Zakaria (seorang ulama’ dalam jemaah Tabligh) pernah sebut dalam kitabnya al I’tidal fi Maratibul Rijal al Ma’ruf Bis Siyasah al Islam, yang mana dia petik kata-kata Khalifah Umar Abdul Aziz masa menjawab isu peperangan antara para Sahabat,
 
“Membasuh tangan dengan darah Sahabat..”
 
Apa maksud kata-kata ni?
 
Maha suci Allah yang telah mengorbankan beribu-ribu nyawa para Sahabat dalam peperangan sesama sendiri semasa siri peperangan Jamal dan Siffin salah satu sebabnya adalah untuk…
 
Untuk apa?
 
Untuk mengajar Ummat akan datang (kita semua ni ha) tentang bagaimana MASALAH dalam politik akan dapat diselesaikan. Dan peperangan ini mengajar kita bagaimana KESAN peperangan sesama Muslim.
 
Hari ini sebab politik kita bergaduh sakan. Kita seronok memaki hamun geng parti lawan. Kita suka bila geng parti lawan kena kutuk macai, barua, penjilat, dan segala bagai.
 
Kita hilang sifat bersaudara atas nama Aqidah.
 
Apa korang tak reti nak ambil pengajaran ke dari kisah para Sahabat? Atau korang baca hanya sekadar nak sedapkan hati para naqib/naqibah sebab nak selesaikan tugasan usrah?
 
Atau korang baca sebab nak siapkan assignment yang kena hantar last minute? Atau sekadar nak jawab exam?
 
Serius saya cakap, masalah politik hari ni boleh selesai dengan kita belajar BAGAIMANA Rasulullah dan Sahabat menyelesaikan masalah politik antara mereka (muka serius). 
 
Antaranya adalah umat Islam mesti BERSEPAKAT atas kepentingan Islam!
 
3. Dan akhir sekali, rajin-rajinkanlah baca sejarah, walaupun bila korang dengar perkataan sejarah, korang rasa nak buat tangan di bahu mata ke atas.
 
Lol.
 
Moga Allah redha.
 
 
 
– Ahmad Shukery –
 
 
 
p/s :
 
So mata korang terbeliak dan mulut korang ternganga atau tak? Kalau ya, misi saya berjaya. Kalau tak sekalipun, misi saya tetap berjaya. 
 
Sebab apa?
 
Sebab korang dah habis membaca. Ho yeah (mata bersinar)!
 
 
 
 
Rujukan :
 
1. Al Imam Ibnu Kathir – al-Bidayah wa An-Nihayah, jilid 7, ms. 227.
 
Teks terjemahan penuh adalah seperti berikut (skema gila ayat),
 
“Orang-orang pun merasa tenang lagi lega (kerana persatuan tersebut)…pada waktu malamnya kedua-dua pihak bermalam dalam keadaan yang sebaik-baiknya. Akan tetapi, pembunuh Uthman melalui malam tersebut dalam keadaan seburuk-buruknya. Mereka berbincang dan bersepakat untuk mencetuskan peperangan pada pagi esoknya. Mereka bangun sebelum terbitnya fajar, jumlah mereka menghampiri 1000 orang. Masing-masing kelompok bergabung dengan pasukannya lalu menyerang mereka (pasukan ‘Aisyah) dengan pedang. Setiap golongan bergegas menuju kaumnya untuk melindungi mereka. Orang-orang (pasukan ‘Aisyah) bangun dari tidur dan terus mengangkat senjata. Mereka berkata : Penduduk Kufah (pasukan Ali) menyerbu kita pada malam hari, mereka mengkhianati kita!”
 
Mereka (pasukan ‘Aisyah) menyangka bahawa para penyerang itu berasal dari pasukan Ali. Suasana huru hara tersebut sampai ke pengetahuan Ali, lalu beliau bertanya: “Apa yang terjadi kepada orang ramai?” Mereka menjawab: Penduduk Basrah (pasukan ‘Aisyah) menyerang kita!”
 
2. Ibid.
 
3. Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah – Minhaj As-Sunah.
 
Teks terjemahan penuh :
 
Ummul Mukminin ‘Aisyah r.anha tidak diperangi dan tidak juga melibatkan dirinya dalam peperangan.
 
Beliau menjangkakan pemergiannya ke Basrah terdapat kemaslahatan kepada umat Islam tetapi ternyata meninggalkan pemergiannya tersebut adalah lebih baik. Maka setelah itu apabila beliau mengingat kembali pemergiannya beliau akan menangis sehingga tangisan itu membasahi kain tudungnya.”
 
4. Al-Imam Ibnu Hazm – al-fishal fi al-milal wa al-ahwa’ wa al-nihal, (ditahqiq oleh Ahmad Syams Ad-Din; Dar Al-Kutub Al-Ilmiah, Beirut, 1996), jilid 3, ms. 83.
 
Teks terjemahan penuh :
 
“Dan adapun (pemergian ke Basrah) Ummul Mukminin (‘Aisyah), Az-Zubair dan Thalhah r.anhum berserta orang-orang yang bersama dengan mereka tidaklah mereka sedikit pun ingin membatalkan kekhalifahan Ali r.anhu, mereka tidak (juga) mencabar jawatan tersebut, mereka tidak menyebut apa-apa kecacatan yang merendahkan beliau (Ali r.anhu) daripada jawatan tersebut, tidak juga bertujuan mengangkat khalifah yang baru yang lain dan tidak memperbaharui bai’ah kepada sesiapa yang lain. Ini adalah sesuatu yang tidak dapat diingkari oleh sesiapa dengan apa cara jua.
 
Kebenaran yang sebenar yang tidak memiliki apa-apa permasalahan padanya adalah mereka tidak pergi ke Basrah untuk memerangi Ali atau menentangnya atau mencabut bai’ah daripadanya… yang benar mereka berangkat ke Basrah tidak lain (adalah) untuk menutup (daripada berlakunya) perpecahan yang baru dalam Islam disebabkan peristiwa pembunuhan yang zalim ke atas Amirul Mukminin Uthman r.anhu.”
 
5. Ibid.
 
Teks terjemahan penuh ;
 
 
Pasukan Ali r.anhu turut ke Basrah bukan untuk memerangi pasukan ‘Aisyah tetapi untuk bersatu dengan mereka, menguatkan mereka dan menyatukan (kembali) umat Islam (di bawah satu panji) dalam menghadapi peristiwa pembunuhan Uthman r.anhu.”

9 Responses

  1. Allahuakhbar..tp bgaimana pnyelesaian politik yg x berkesudahan?kritik menfkritik antara satu sama lain..padahal setiap individu mmpunyai tanggungjawab tersendiri sbgai khalifah..

  2. Kisah ni berlaku selepas nabi wafat or sesudah nai wafat?
    terkejut baca…

    dalam sirah ada tak wanita yang berperang?

    and…

    time tu siti aisyah camner ada kat sana?

    maaf tanya..

  3. Ain Mat Salleh :

    1. Selepas kewafatan Rasulullah, ketika mana Saidina Ali mejadi Khalifah.

    2. Kisah wanita berperang sekali tak dapat dipastikan. Tapi yang pasti memang tentera Saidatina Aisyah r.anha yang terlibat perang seperti dicatat dalam kitab2 sejarah.

    3. Saya dah tulis masa bahagian pertama tentang perang ni. Kena baca dari part 1.

  4. Alhamdulillah. Dapat intipati dari sejarah ni. Banyak lagi cerita sejarah Islam yang telah diputarbelitkan oleh syiah. Moga kita dijauhkan dri cerita rekaan syiah. Saya suka cara anda mengolah sejarah dalam bentuk cerita yg begitu santai. Keep it up. Moha Allah redha

Leave a Reply to Anonymous Cancel reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Jom Hantar Kad Ucapan Ramadan

Jom Hantar
Kad Ucapan Ramadan