BSS 45 : Umat Terbaik Atau Terbalik?

 
Bedtimes Story Sentap (BSS) saya nak kongsi satu perkara yang kita sama-sama muhasabah. Muhasabah sedalam-dalamnya.
 
Sebelum tu maaf lewat BSS malam ni, sebab kami tadi baru habis talk di Terengganu, jadi agak lewat sikit.
 
Jadi BSS malam ni pasal apa?
 
Ha.. Meh baca..
 
Zaman saya sekolah dulu, tak kira la sekolah rendah atau sekolah menengah, ustaz atau ustazah yang mengajar kelas saya ada kata :
 
“kita semua ni ummat Nabi Muhammad sallahu alaihi wasallam. Ini bermakna kita ini ummat terbaik. Kita adalah ummat yang masuk syurga dulu berbanding ummat terdahulu. Pahala ummat Nabi Muhammad sallahu alaihi wasallam berlipat kali ganda berbanding ummat terdahulu, malah niat je untuk lakukan kebaikan pun dah dapat pahala..” 
 
Macam ni lah lebih kurang ayat yang banyak kali berlegar dari mulut ustaz atau ustazah saya yang mengajar dalam kelas pendidikan Islam masa zaman sekolah dulu. So saya rasa macam best sangat nie sebab dapat jadi ummat yang terbaik sampai kadang-kadang tak kisah dapat result exam teruk pun, yang penting jadi ummat terbaik.
 
Ye la, ummat terbaik masuk syurga dulu berbanding ummat sebelum ni.
 
Saya masa sekolah dulu, siap buat perancangan kalau saya dah masuk syurga, saya nak mintak PS2 (Playstation 2), PSP, saya nak minta makanan sedap banyak-banyak dan banyak lagi.
 
Dan yang paling bestnya, masa saya sekolah rendah dulu, saya pernah berazam kalau dah masuk syurga nanti saya nak jadi power rangers!  Haha.
 
Tetapi lepas saya balik sekolah, saya tengok ustaz atau ustazah saya dan juga orang di sekeliling saya menjalani kehidupan seharian macam biasa je.
 
Mereka kerja, ada yang pergi sekolah, lepas tu makan, tidur, berak, tengok TV, berkahwin, pergi main futsal, pergi buka facebook (eh, masa tu belum ada lagi) dan lain-lain.
 
Saya tertanya-tanya..
 
Di mana GAMBARAN yang menyatakan kita ummat yang terbaik..?
 
 
Saya pernah juga dengar kisah ummat sebelum ni..
 
Mereka juga makan, minum, tidur, berkahwin dan macam-macam lagi.
 
Yang bezanya dari sudut ibadah, mereka sangat hebat. Mereka beribadah sampai beratus-ratus tahun (sebab umur mereka panjang), ada yang boleh jalan atas air, ada yang sujud sampai batu melekuk, ada yang cahaya zikir sampai naik ke langit kerana lamanya berzikir, tetapi kenapa mereka masuk syurga lambat?
 
Nak kata ibadah ummat hari ini (yang saya nampak termasuk saya sendiri), solat pun ada yang lengah-lengah, ada lagi sengal tak solat langsung.
 
Nak kata berjalan atas air, sorang pun saya tak jumpa. Banyak tengok kartun Naruto la kalau siapa yang kata pernah berjalan atas air. Yang saya banyak jumpa ramai yang “masuk air” ada la.
 
Jadi apa yang best sangat dengan amalan ummat hari ni (ummat Nabi Muhammad sallahu alaihi wasallam)?
 
Jadikan Aku Umat Ahmad
 
Saya ada baca sebuah hadis riwayat Qatadah ibn Nu’man,
 
Pada suatu hari Nabi Musa alaihi salam berdoa kepada ALLAH,
 
“ya ALLAH, di dalam kitab ini (Taurat), ada diceritakan satu umat yang terbaik yang pernah dikeluarkan dalam kalangan manusia, jadikanlah mereka itu umatku..”
 
ALLAH menjawab, “ia milik AHMAD”
 
Nabi Musa berdoa lagi,
 
“Ya Tuhanku, di dalam kitab ini ada diceritakan tentang umat yang terakhir dikeluarkan ke bumi, dan mereka pula yang pertama memasuki Syurga, jadikanlah mereka itu umatku.”

ALLAH menjawab, “ia milik AHMAD”.
 
Nabi musa berdoa lagi, “ya Tuhanku, di dalam kitab ini ada di ceritakan tentang umat yang membaca kitab mereka dengan sepenuh hati lalu mampu menghafalnya, tidak pernah ada umat lain sebelum ini yang mampu menghafal kitab-kitab mereka, jadikanlah mereka itu umatku.”

ALLAH menjawab, “ia milik AHMAD.”
 
Nabi Musa berdoa lagi,
 
“Ya Tuhanku, di dalam kitab ini ada di ceritakan tentang umat yang  beriman dengan apa yang disampaikan kepada mereka dan tentang umat-umat sebelum mereka, dan mereka terpilih pula untuk menghadapi Dajjal, jadikanlah mereka itu umatku.”
 
ALLAH menjawab, “ia milik AHMAD.”
 
Nabi Musa berdoa lagi,
 
“Ya Tuhanku, di dalam kitab ini diceritakan tentang umat yang mendapat kebajikan pahala hanya dengan berniat, dan jika mereka melakukanya pula, ganjaran itu akan digandakan dengan seratus kali ganda kebaikan, jadikanlah mereka itu umatku.”
 
ALLAH menjawab, “ia milik AHMAD.”
 
Lalu Nabi Musa alaihi salam meletakkan kitabnya di sebelah dan berdoa,
 
“Ya ALLAH, jadikanlah aku umat AHMAD..”
 
Hebat kan jadi ummat Nabi Muhammad ni iaitu umat yang terbaik. Tetapi saya masih mencari-cari di mana jawapan untuk soalan-soalan saya ni sehinggalah saya masuk ke universiti. Saya pergi kuliah agama, ada seorang ustaz menceritakan tentang ummat terbaik berdasarkan potongan ayat Quran surah ali Imran ayat 110.
 
Nak Jadi Umat Terbaik?
 
Jadi bagaimana kita boleh jadi ummat terbaik?
 
Sebelum saya cerita lebih jauh, saya bagi contoh. Macam mana seorang doktor tu boleh mendapat gelaran sebagai doktor yang terbaik?
 
Dia cemerlang dengan bangganya dalam ujian kedoktoran ke?
Dapat 4 flat dalam setiap semester sepanjang 8 atau 9 tahun pengajian?
Berjaya sambung bidang medical sampai ke hujung benua atau hujung planet?
Berjaya mengharungi dunia Housemanship dengan cemerlang, gemilang dan terbilang?
 
Mestilah jawapannya TAKDE SATU PUN dalam senarai!
 
Aik?  Jadi macam mana doktor tu digelar doktor terbaik?
 
Doktor yang terbaik adalah mereka yang menggunakan segala kemahiran dan kemampuan dalam bidang ilmu kedoktoran lalu dia “terjun” ke dalam lembah masyarakat untuk menyelesaikan masalah atau penyakit masyarakat sehinggalah masyarakat sekeliling mendapat manfaat daripada ilmu kedoktoran dia tu.
 
Ha, maka masa tu doktor tu layak mendapat gelaran doktor terbaik!
 
Faham??
 
Contoh lain. Macam mana seorang mahasiswa/i tu digelar mahasiswa/i terbaik??
 
Adakah dengan mendapat 4.00 setiap sem saja hingga dapat anugerah dekan?
Atau join program-program saja?
Atau duduk dalam bilik main DOTA, COC atau tengok movie dan drama korea jepun Melayu saja??
 
Itu saja?
 
Mestilah TAK.
 
Jadi macam mana mahasiswa/i tu digelar mahasiswa/i terbaik?
 
Mahasiswa/i yang terbaik adalah mereka yang menggunakan segala kemahiran dan kemampuan dalam bidang ilmu sepanjang dia belajar tak kisahlah apa pun, lalu dia “terjun” ke dalam lembah masyarakat  ataupun kawan-kawan sekeliling untuk menyelesaikan masalah ketidakfahaman kawan-kawan dalam sesuatu perkara atau membantu masyarakat luar sehinggalah orang di sekelilingnya mendapat manfaat daripada ilmu yang dia ada.
 
Ha, maka masa tu mahasiswa itu layak mendapat gelaran mahasiswa/i terbaik!
 
Jadi balik kepada tajuk asal, bilakah suatu Ummat itu, layak mendapat gelaran sebagai Ummat yang terbaik?
Jawapan ada dalam Al quran ! 
 
Ummat akan menjadi Ummat terbaik adalah apabila mereka mengamalkan dan membuat “kerja-kerja” agama iaitu dia “terjun ke dalam lembah masyarakat sekeliling untuk menyelesaikan masalah atau penyakit masyarakat sehinggalah masyarakat di sekeliling mendapat manfaat daripada ilmu agamanya yang di sampaikan.
 
Ha, maka masa tu ummat itu layak mendapat gelaran Ummat yang terbaik!
 
Faham?
 
Apa kerja agama untuk ummat terbaik?
 
Firman Allah yang bermaksud :
“Kamu (wahai umat Muhammad) adalah SEBAIK-BAIK UMAT yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu MENYURUH BERBUAT SEGALA PERKARA YANG BAIK DAN MELARANG DARIPADA SEGALA PERKARA YANG SALAH (Berdakwah) serta kamu pula beriman kepada Allah… “

(Aali Imran 3:110)
 
Inilah kerja Ummat terbaik, dan inilah fungsi ummat terbaik!
 
Korang pernah terfikir tak..
 
Dulu masa Nabi-nabi yang dah wafat seperti Nabi Nuh alaihi salam, Nabi Musa alayahi salam, Isa alayhi salam dan lain-lain, Allah lantik Nabi lain buat dakwah kepada kaum atau ummatnya, lepas Nabi lain itu wafat, Allah lantik pula Nabi lain, begitulah seterusnya sehingga tiba ke zaman Nabi terakhir iaitu Nabi Muhammad sallahu alaihi wasallam, dah  tidak ada Nabi lagi selepas ini.
 
Kenapa?
 
Sebab kitalah ummat Nabi yang mewarisi cita dan risalah para Nabi untuk membawa manusia kepada Allah atau dengan erti kata lain, kitalah mewarisi kerja dakwah untuk Ummat!
 
Bak kata Syed Qutub ; “ kita bukanlah pemula atau pengakhir kepada perjuangan (dakwah) tetapi kitalah adalah penerus kepada perjuangan ini..”
 
Jadi korang ada pilihan, nak jadi ummat terbaik atau ummat “terbalik”..
 
Last but not least, saya petik kata-kata Imam Hassan al Banna :
 
“Anda sekalian bukan satu pertubuhan kebajikan, bukan parti politik, juga bukan suatu badan yang dibentuk untuk tujuan-tujuan terbatas.
 
Anda sebenarnya adalah suatu roh baru yang mengalir di hati umat ini dan dihidupkan dengan al Quran. Anda adalah suatu suara yang bergema tinggi melaungkan dakwah Rasulullah saw. Tidak keterlaluan jika anda merasai bahawa anda adalah penanggung beban Kenabian setelah kesemua manusia enggan melakukannya.”
 
 
Moga malam ni tidur dalam keadaan tidur yang terbaik. Hoho.
 
Moga Allah redha.
 

 

Wallahua’lam
 
– Ahmad Shukery –

 

p/s: kredit idea daripada Hamka Kereta Mayat.

4 Responses

  1. Salam tuan Hamka Kereta Mayat. Saya sangat berbangga tuan respon dalam komen ini.

    Ya artikel ni di ambil inspirasi daripada artikel tuan Hamka. Maaf tak dinyatakan kredit, terlepas pandang.

Leave a Reply to Ummairah Nasir Cancel reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Jom Hantar Kad Ucapan Ramadan

Jom Hantar
Kad Ucapan Ramadan