Apa Hukum Sambut Tahun Baru Cina?

Setiap tahun, Malaysia tidak akan terlepas dalam meraikan perayaan sempena Tahun Baru Cina. Dan sudah pasti, persoalan yang akan timbul, terutama dalam jiwa remaja adalah, boleh ke orang Islam meraikan juga Tahun Baru Cina? Tak berdosa ke? Mungkin ada yang pandang remeh dengan soalan ini. Pada kami, ini satu soalan yang sangat bagus. Sebab apa?
 
Sebab soalan ini membuktikan ramai remaja yang nak beramal dengan cara hidup Islam dan nak hidupnya nak terikat dengan syariat Islam. Alhamdulillah, terbaik! Apa pun, sebelum kita jawab boleh atau tak, lebih baik kita lihat satu persatu dulu inforia berkaitan dengan Tahun Baru Cina ini, daripada sejarah, hinggalah keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan Malaysia.
 
Sejarah Tahun Baru Cina
 
Kalau merujuk tulisan Dr Zulkifli al-Bakri, Mufti Wilayah Persekutuan, sejarah terperinci tentang Tahun Baru Cina ini ada banyak versi. Antara versi yang selalu diceritakan tentang sejarah Tahun Baru Cina ni adalah, apabila kisah sebuah penduduk kampung yang hidup dalam ketakutan sebab diburu oleh seekor makhluk mistik yang akan memakan mereka yang bernama “Year” (tak tahu la terjemahannya Tahun ataupun apa. Kita panggilah beliau sebagai Year). Year ni binatang yang badan macam seladang tetapi kepala singa, dan dipercayai hidup di lautan. Fuh. Dan setiap kali malam tertentu sekali dalam setahun, Year akan keluar untuk makan haiwan, manusia dan harta mereka.
 

 

Ini gambaran “Year”

 

Dipendekkan cerita, ada seorang tua yang cadangkan untuk membuat bising seperti bunyi pukulan gendang, membakar mercun dan gantung kertas berwarna merah yang disebut sebagai Dui Lian atau menampalnya pada tingkap rumah supaya dapat halau binatang tu. Sebab mereka percaya, haiwan itu takut warna merah dan bunyi bising. Cadangan itu berjaya, dan demi meraikan kemenangan itu, mereka pun sambut hari kemenangan itu sebagai Tahun Baru pada masa itu.
 
Secara hakikatnya pula, sambutan Tahun Baru Cina lebih kepada menyambut tahun baru bagi masyarakat cina mengikut kalendar lunar Cina. Yang mana setiap tahun akan diwakili dengan satu zodiak haiwan, dan pada tahun 2018 ini, jatuh kepada tahun babi atau khinzir. Sambutan tahun baru Cina akan berterusan selama 15 hari dan pada hari ke 15 akan ada perayaan pesta tanglung.
 

 

Dapatkan buku Pujukan Dari Tuhan karya Shukery Azizan
dan Kerana Aku Sayang karya Aniq Muhaimin secara online di 019 6803782

 

Islam dan Toleransi Dalam Beragama
 
Islam tidak menafikan pun hak agama lain untuk diamalkan, bahkan Rasulullah SAW sendiri hidup bersama orang Yahudi, Nasrani dan kaum musyrikin. Tetapi asasnya mestilah berwala’ (taat setia) kepada Islam dan barra’ (menolak) kekufuran serta merasa ‘izzah (bangga) dengan pegangan Islam sekaligus menampilkan akhlak Muslim hingga keperibadian dan gaya hidup kita boleh dibezakan dengan golongan kafir. Allah menyebut, 
 
وَمَنۡ أَحۡسَنُ قَوۡلٗا مِّمَّن دَعَآ إِلَى ٱللَّهِ وَعَمِلَ صَٰلِحٗا وَقَالَ إِنَّنِي مِنَ ٱلۡمُسۡلِمِينَ
 
“Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada (mengesakan dan mematuhi perintah) Allah, serta ia sendiri mengerjakan amal yang so
leh, sambil berkata: “Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang Islam (yang berserah bulat-bulat kepada Allah)!”.
 
(Fussilat: 33)
 
Hakikat sambutan Tahun Baru Cina hanyalah satu perayaan adat yang tidak ada kaitannya dengan permasalahn aqidah. Ianya sekadar menyambut tahun baru mengikut calendar lunar Cina. Ini kerana perbuatan yang dianjurkan mestilah dilakukan atas dasar kemasyarakatan dan hubungan sosial.
 
Keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan
 
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-78 yang bersidang pada 12 Jun 2007 telah membincangkan Hukum Orang Islam Mengucapkan Tahniah Dan Ucapan Selamat Bersempena Perayaan Agama Bukan Islam. Muzakarah telah memutuskan bahawa:
 
Apa jua amalan atau perlakuan orang Islam dalam hal-hal yang berkaitan dengan perayaan orang bukan Islam sekiranya melibatkan akidah atau iktikad seperti mengiktiraf agama bukan Islam atau menganggap semua agama adalah sama, maka ia ditegah oleh Islam.
 
Walaubagaimanapun sekiranya amalan atau perlakuan tersebut hanya atas dasar kemasyarakatan atau hubungan sosial antara Islam dan bukan Islam untuk tujuan perpaduan, maka ia dibenarkan oleh Islam.
 
Memberi ucapan tahniah dan selamat atau mengirimkan ucapan melalui kad atau alat-alat telekomunikasi seperti e-mail atau sistem pesanan ringkas (sms) dan sebagainya kepada orang bukan Islam sempena dengan perayaan agama mereka adalah harus, dengan syarat ucapan itu tidak mengiktiraf, memuji atau memuliakan agama bukan Islam serta tidak menggunakan sebarang simbol atau lambang keagamaan mereka dalam kiriman ucapan tersebut.
 
Dapatkan buku Agar Kau Bahagian karya Najmi Fetih
di rangkaian kedai buku seluruh Malaysia sekarang juga!
Yee Sang (Mengajukan Ucap Selamat Demi Kemakmuran/Prosperity Toss)
 
Masyarakat Cina di Malaysia dan Singapura sangat biasa dengan istilah Yee Sang yang maksudnya satu upacara makan bersama yang diadakan bagi mengucapkan kemakmuran. Dan uniknya, Yee Sang ni hanya popular di Malaysia dan Singapura, tetapi bukan di tanah besar China, Hong Kong dan Taiwan. Yee Sang atau disebut sebagai Yusheng ialah hidangan dalam perayaan Tahun Baru Cina yang dihidangkan tujuh jenis warna makanan berlainan seperti hirisan betik, lobak putih, lobak merah, salmon mentah, kekacang, aneka sayuran dan aneka sos serta ramuan lain.
 
Menurut Dr Dzulkifli al Bakri, melalui sudut kaca mata Islam, makanan halal lagi baik tidak ada halangannya untuk dimakan. Allah berfirman,
 
يَٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ كُلُواْ مِمَّا فِي ٱلۡأَرۡضِ حَلَٰلٗا طَيِّبٗا وَلَا تَتَّبِعُواْ خُطُوَٰتِ ٱلشَّيۡطَٰنِۚ إِنَّهُۥ لَكُمۡ عَدُوّٞ مُّبِينٌ
 
Maksudnya: Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi yang halal lagi baik, dan janganlah kamu ikut jejak langkah Syaitan; kerana sesungguhnya Syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu.
 
(Al-Baqarah: 168)
 
Jadi menurut Tuan Mufti, amalan Yee Sang ini lebih kepada adat dan tak ada sangkut paut dengan masalah aqidah, ia harus hukumnya bagi umat Islam yang diajak untuk turut serta dalam upacara Yee Sang ni. Dengan syarat, makanan yang dihidangkan mestilah halal dan tidak dikaitkan dengan permasalahan aqidah sama ada daripada segi ucapan ataupun iktikad (keyakinan) terhadap upacara itu. Begitu juga selama mana tidak ada unsur-unsur maksiat dalam upacara tersebut.
 
Maksud ‘Gong Xi Fa Cai’
 
“Gong xi fa cai” (Tulisan Cina Tradisional: 恭喜發財; Tulisan Cina Ringkas: 恭喜发财; pinyin: gōngxǐ fācái; Bahasa Kantonis (Yale): gūnghéi faatchòih; bahasa Hokkien (POJ): Kiong-hí hoat-châi; bahasa Hakka: Kung hei fat choi), diterjemah sebagai “Tahniah dan semoga mendapat rezeki”.
 
Ungkapan ini banyak kali disalah anggap sebagai sinonim dengan “Selamat tahun baru” sejak berabad-abad lalu. Dua aksara pertama ungkapan ini mempunyai kepentingan sejarah yang lebih lama (menurut legenda, ucapan tahniah adalah bagi kejayaan menghadapi raksasa Nian dengan selamat, namun secara praktis ini juga boleh melibatkan kejayaan mengharungi keadaan musim sejuk yang teruk). Melihat kepada maksudnya ini, menurut Dr Dzulkifli Al-Bakri, ianya jelas tidak bermasalah dan tidak bercanggah dengan akidah Islam malah ianya satu ucapan yang amat baik dan melambangkan perpaduan yang erat sesama kita.
 
Dapatkan Areef The Album di Spotify, iTunes, Deezer, Joox, KKbox
atau dapatkan CD album dengan whatapps di 019 6803782 sekarang juga!
Kenyataan Mufti Wilayah Persekutuan
 
Dalam sebuah negara yang mempunyai kepelbagaian agama, bangsa yang majmuk, adat dan budaya yang berlainan seperti Malaysia, sudah tentu ia menjadikan kita lebih terbuka dan bertolak ansur (tasamuh dan toleransi) tanpa menggadaikan prinsip-prinsip utama Islam.
 
Ini adalah beberapa garis panduan yang Dr Dzulkifli al-Bakri cadangkan kepada kita semua sebagai umat Islam yang ingin terlibat dalam sambutan perayaan bangsa lain untuk sama-sama diteliti dan diaplikasikan:
 
1. Majlis tersebut tidak disertakan dengan upacara-upacara yang bertentangan dengan akidah Islam.
 
Maksud “bertentangan dengan akidah Islam” ialah sesuatu perkara, perbuatan, perkataan atau keadaan yang jika dilakukan menyebabkan tercemarnya akidah umat Islam.
 
2. Majlis tersebut tidak disertakan dengan perbuatan yang bertentangan dengan syarak.
 
Maksud “bertentangan dengan syarak” ialah sesuatu perkara, perbuatan, perkataan atau keadaan yang jika dilakukan akan bertentangan dengan ajaran Islam yang diamalkan oleh masyarakat Islam.
 
3. Majlis tersebut tidak disertakan dengan “perbuatan yang bercanggah dengan pembinaan akhlak dan budaya masyarakat Islam” di negara ini.
 
Maksud “bercanggah dengan pembinaan akhlak dan budaya masyarakat Islam” ialah sesuatu perkara, perbuatan, perkataan atau keadaan yang jika dilakukan akan bertentangan dengan nilai dan norma kehidupan masyarakat Islam Negara ini yang berpegang kepada ajaran Islam berdasarkan Ahli Sunnah Wal Jamaah.
 
4. Majlis tersebut tidak disertakan dengan perbuatan yang boleh “menyentuh sensitiviti masyarakat Islam”.
 
Maksud “menyentuh sensitiviti masyarakat Islam” ialah sesuatu perkara, perbuatan, perkataan atau keadaan yang jika dilakukan akan menyinggung perasaan umat Islam tentang kepercayaan dan amalan mereka.
 
5. Pihak penganjur dan orang ramai diminta mendapatkan pandangan pihak berkuasa agama sebelum menganjur atau menghadiri majlis perayaan orang yang bukan beragama Islam.
 
Menurut Dr Dzulkifli al-Bakri, beliau dapati sambutan Tahun Baru Cina yang dilakukan oleh kebanyakan pemimpin masyarakat Cina dan juga disertai oleh pemimpin negara atau negeri yang beragama Islam, masih di ruang lingkup yang dibenarkan oleh Islam. Ini kerana, ia bertujuan untuk menjaga dan memelihara hubungan masyarakat dan lebih kepada hidup dalam kontrak sosial yang diraikan tanpa menggadaikan prinsip agama.
 
Wallahua’alam. Moga Allah memberikan taufiq dan hidayah-Nya kepada kita semua dan semua yang bukan Islam supaya masuk Islam dan amalkan Islam dengan Islam yang sempurna. Dan moga Allah kurniakan keharmonian dan keamanan kepada kita semua. Ameen.
 
Rujukan :
 
S.S Datuk Dr. Zulkifli Bin Mohamad Al-Bakri,
Mufti Wilayah Persekutuan.
 
http://muftiwp.gov.my/index.php/ms-my/perkhidmatan/bayan-linnas/589-bayan-linnas-siri-48-hukum-menyambut-tahun-baru-cina
 
p/s : Dapatkan E-Book tulisan Shukery Azizan yang bertajuk “Kisah Wanita Di Dalam Al-Quran” hari ini juga. Klik di sini untuk dapatkan segera : >> KLIK DI SINI <<

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Jom Hantar Kad Ucapan Ramadan

Jom Hantar
Kad Ucapan Ramadan